Tuesday, August 11, 2009

Oasis terajui Ramadan di Astro

Oasis terajui Ramadan di Astro


ZAINIR (berdiri lima dari kanan) bersama barisan pelakon yang terlibat dalam drama bersiri dan telemovie sempena Ramadan di Astro.


MENJELANG Ramadan yang dijangka disambut pada 22 Ogos ini, stesen televisyen antara yang sibuk mengatur strategi bagi menyemarakkan bulan yang mulia itu.

Pelbagai program menarik dihidangkan yang bukan sahaja untuk mengaut seberapa ramai jumlah penonton semata-mata tetapi memberi input kepada semua dalam menjalani ibadah puasa dengan sebaiknya.

Stesen berbayar Astro antaranya sudah mula mengorak langkah dalam menyediakan program-program berkenaan dengan saluran-saluran utamanya seperti Ria, Prima, Oasis serta Ceria.

Namun, bagi Ramadan kali ini, saluran Oasis (saluran 106, Astro) dipertanggungjawabkan untuk menjadi teraju utama dalam menggerakkan semarak Ramadan Astro.

Menyajikan banyak program utama, perubahan dilakukan dengan percubaan membawa drama bersiri untuk ditayangkan di saluran berkenaan.

Berkonsepkan kerohanian, antara drama bersiri yang akan disiarkan di Oasis ialah Cinta Sempurna, Tariq & Shireen dan sebuah drama bersiri Arab, Qamar Bani Hashim.

Selain daripada itu, beberapa dokumentari, program bercorak majalah dan program keagamaan lain turut dimuatkan ke dalam Oasis.

Program-program terbabit, Madrasah Salasiah Rasulullah, Rasa Halal Orient : Kemboja, Tadarus al-Quran, Siaran Langsung Solat Terawih Dari Masjid Nabawi dan Kasih Ramadan.

Di samping itu, kapsul-kapsul Ramadan juga diperbaharui membabitkan slot Indahnya Iman.

Sebanyak lapan kapsul diketengahkan iaitu Travelog Dakwah bersama Profesor Dr. Muhd. Kamil Ibrahim; Khazanah Syurga (Ustazah Asni Mansor al Hafizah); Hadis Pilihan (Datuk Abu Hassan Din al Hafiz); Sejadah (Ustaz Mohd. Shukri Ali); Halwa Buat Hawa (Prof. Madya Dr. Halina Halizah Siraj); Mukjizat al-Quran; Kutubkanah @ Oasis (Siti Munazakiah); dan Islah (Datuk Hassan Mahmud al Hafiz).

Kapsul-kapsul berkenaan akan disiarkan selama lima minit iaitu pada sebelum dan selepas azan.

Selari dengan perubahan yang dilakukan, Oasis sempena Ramadan ini menampilkan azan solat yang baru dengan visual paparan kewajipan mengerjakan solat kepada umat Islam dalam apa jua keadaan sekalipun.

Bercakap soal perubahan Oasis ketika Ramadan, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB), Zainir Aminullah berkata, penayangan drama bersiri di Oasis adalah tempoh ujian dalam melihat kemampuan saluran itu menarik khalayak peminat drama berkenaan.

"Kami di Astro berpendapat menonton drama bersiri belum lagi menjadi satu tabiat di kalangan penonton.

"Justeru, dengan kehadiran Ramadan dan tayangan drama bersiri yang cuba dibawa ke Oasis, penonton akan dapat mengikutinya secara tetap.

"Oasis mempunyai kelompok penontonnya yang tersendiri dan jika reaksi diterima adalah baik, ia akan membuka peluang kepada penerbit untuk berkarya dalam penghasilan drama bersiri bagi Oasis,'' katanya ketika ditemui pada majlis Indahnya Ramadan di pejabat AESB di Wisma Penyayang, Taman Equine, Seri Kembangan, baru-baru ini.

Menurut Zainir, mengenai pemilihan drama bersiri di Oasis, ia dinilai menerusi jalan cerita dan kemampuan penerbit untuk mengolah karya masing-masing bagi disesuaikan dengan Oasis.

"Sudah tentu, ia akan lebih kepada kerohanian dan kami di AESB akan menapis dengan teliti sebelum sesebuah karya dibenarkan untuk tayangan di Oasis,'' tegasnya.

Bagaimanapun, jelas Zainir, meski Oasis menjadi teraju Ramadan di Astro, saluran-saluran lain akan tetap meneruskan slot masing-masing khususnya drama dan telemovie.

Jelasnya, sempena Ramadan, AESB telah membuat persiapan rapi dengan menghadiahkan lebih 173 jam untuk program-program baru sepanjang bulan mulia itu.

Bagi Ria dan Prima, program-program menarik yang disajikan sempena Ramadan ialah telemovie Kristal Hitam, Antara Dua Jalan, Kemboja, Sebuah Keranda Kayu, Ulat-Ulat Cinta dan Paku Di Dinding Hati.

Untuk drama bersiri pula, ia menyelitkan drama berjudul Qalesya dan Wadi Unung.

Drama bersiri Arab

Sementara itu, kehadiran Ramadan juga dijadikan platform oleh Oasis untuk melihat sambutan penonton terhadap drama bersiri Arab.

Menurut Pegawai Kanan Astro Oasis, Nurjannah Mohd. Salleh, satu ketika dahulu, drama bersiri Arab begitu popular di kalangan penonton sewaktu disiarkan di sebuah stesen televisyen lain.

Atas dasar tersebut, katanya, Oasis merancang untuk mempopularkan kembali drama bersiri tersebut dengan membawa hasil karya dari beberapa negara Arab.

"Untuk Ramadan, Oasis akan menyiarkan Qamar Bani Hashim. Kami akan menguji sambutan penonton dalam merangka slot drama bersiri Arab pada masa akan datang,'' tambahnya.

Qamar Bani Hashim bakal bersiaran bermula 17 Ogos (setiap Isnin-Khamis) pada pukul 6 petang di Oasis.

Ia menceritakan kehidupan Rasulullah sejak dilahirkan sehingga menjadi seorang pemimpin yang begitu dikagumi.

No comments: