Tuesday, August 11, 2009

Kemenangan bersejarah Afdlin

Kemenangan bersejarah Afdlin


Dari kiri, Afdlin Shauki, Orked Ahmad, Liyana Jasmay, Salina Saibi, Syed Ahmad Faizal dan penerbit tayangan Unggul Sdn. Bhd., Gayatri Su-Lin Pillai.


PELAKON dan pengarah Afdlin Shauki merupakan finalis dalam Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) yang paling banyak menggondol anugerah pada malam kemuncak festival itu di Dewan Cancelor, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah malam Sabtu lalu.

Filem Papadom arahannya muncul pemenang kategori Filem Terbaik, Pelakon Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Filem Komedi Terbaik.

Keseluruhannya filem itu meraih hadiah wang tunai RM100,000 menewaskan naskhah seperti Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad yang pada mulanya dikatakan mampu untuk mendominasi anugerah pada FFM22.

Dengan kemenangan Afdlin bagi kategori Filem Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik itu, beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM80,000.

Menurutnya, Papadom bukan sahaja membuat kejutan kepadanya tetapi ia juga mampu untuk menarik perhatian para penonton apabila ia akan ditayangkan tidak lama lagi.

"Papadom belum lagi ditayangkan kepada umum tetapi ia sudah mendapat perhatian para juri. Mungkin jalan ceritanya yang mengisahkan pengalaman hubungan antara seorang ayah dan anak perempuan yang sarat dengan nilai kasih sayang telah menambat hati para juri.

"Ini kali pertama filem arahan saya menang kategori Filem Terbaik. Sebelum ini saya pernah memenangi kategori anugerah Pelakon Terbaik melalui filem Suara Hati dan Buli.

"Saya dapati saingan terdekat saya dalam kategori ini ialah filem Talentime dan Setem," ujarnya yang akan mengarahkan filem Jalan Lama iaitu sebuah genre drama thriller dalam waktu terdekat ini.

Hadiah utama FFM22 disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah sambil disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Menteri Penerangan, Kominikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Turut serta ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Wong Kam Hoong dan Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim.

Ikhlas berlakon buahkan hasil

LIYANA Jasmay merupakan antara pelakon paling muda di kalangan finalis kategori Pelakon Wanita Terbaik pada FFM22 yang mengungguli kategori tersebut.

Pelakon berusia 21 tahun itu menewaskan empat lagi finalis kategori Pelakon Wanita Terbaik iaitu Nabila Huda menerusi filem Bohsia, Nadia Mustafa (Jangan Tegur), Sharifah Amani (Sayang U Can Dance) dan Heliza Helmi (Syurga Cinta).

Dia yang pertama kali memenangi anugerah menerusi festival filem itu tidak menafikan terpaksa bersaing dengan empat finalis itu yang disifatkannya mempunyai kelebihan masing-masing.

"Dalam kategori itu saya rasa pesaing saya yang paling dekat ialah Nabila Huda. Watak lakonanya berkesan. Bagaimanapun, ini adalah persaingan yang sihat.

"Sebelum ini iaitu pada Festival Filem Malaysia yang ke-19 saya pernah dicalonkan sebagai finalis kategori Pelakon Harapan tetapi tidak memang.

"Saya bersyukur dengan kemenangan ini biarpun berasa sedikit tertekan kerana saya rasa para penonton akan membayangkan lakonan saya selepas ini tentunya akan lebih bagus lagi," katanya.

Liyana tidak menafikan bekerja di bawah arahan Afdlin Shauki menerusi Papadom banyak memberikan pengalaman berharga buatnya sehingga dia berjaya mengungguli kategori tersebut.

Biarpun cara pengarah itu bekerja agak serius tetapi jelas Liyana, dia banyak menerima kebebasan daripada Afdlin yang cukup memahami tentang dunia lakonan.

"Saya senang bekerja dengan Afdlin atau Tayangan Unggul Sdn. Bhd. Saya dapati Afdlin seorang yang mempunyai keghairahan tinggi dalam bidang ini," akuinya.

Filem Castello lakonan Liyana tiga tahun lalu banyak membuka ruang yang luas kepadanya dalam bidang lakonan dan tidak sampai empat tahun dia sudah pun menggondol anugerah penting itu.

Cadang tubuh Yayasan Yasmin Ahmad

WALAUPUN Yasmin Ahmad telah meninggal dunia tetapi menurut adiknya, Datin Orked Ahmad, kakaknya Yasmin Ahmad tentu akan gembira apabila diangkat sebagai pemenang kategori Pengarah Terbaik pada FFM22 baru-baru ini.

Jelas Orked, kegembiraan itu antara lain kejayaan Talentime banyak dibantu oleh rakan-rakan Allahyarham termasuklah di Singapura, India, Thailand dan Jepun yang banyak menyokong filem-filemnya selama ini.

"Terima kasih atas sokongan semua rakyat Malaysia dan rakan-rakan kakak saya yang berada di luar negara yang berada di sisi kami ketika kami dibendung dengan suasana kesedihan.

"Kalau kakak saya masih ada, dia akan berasa amat bersyukur dan gembira kerana menerima anugerah ini. Apatah lagi ini adalah hadiah yang beliau impikan.

"Setiap malam sebelum tidur kakak saya akan minta ampun daripada Tuhan dan memaafkan semua orang. Saya harap semua orang dapat memaafkan kesilapan kakak saya. Doakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang yang beriman," katanya.

Orked mengucapkan ungkapan itu ketika memberi ucapan semasa menerima hadiah wang tunai RM20,000 dan trofi bagi mewakili kakaknya itu.

Sementara itu, Orked turut mengumumkan, akan menggunakan duit hadiah kemenangan itu bagi menubuhkan Yayasan Yasmin Ahmad tidak lama lagi demi membantu insan-insan kurang bernasib baik.

"Duit ini akan dimasukkan dalam Yayasan Yasmin Ahmad supaya ia dapat disalurkan kepada tujuan-tujuan amal. Idea ini datangnya daripada banyak pihak termasuklah Datuk Seri Farid Ridzuan (Ketua Pegawai Ekskutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad).

"Ini adalah jalan terbaik kami bagi menghargai sumbangan Yasmin dalam bidang seni dan kasih sayangnya kepada semua orang. Penubuhan yayasan itu akan kami umumkan kelak," katanya lagi.

Hadiah Salina untuk anak

SEMENTARA itu, Salina Saibi yang memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Salina Saibi berkata, dia tidak menyangka akan memenangi anugerah itu dan menyifatkan sebagai rezeki anak sulungnya yang kini berusia empat bulan.

Kata pelakon berusia 27 tahun ini, dia akan menggunakan wang tunai RM10,000 yang dimenanginya itu untuk kegunaan anak perempuannya, Farahshakira Amir pada masa depan.

"Saya anggap ini adalah rezeki anak saya. Saya tidak sangka akan menang. Saya ingatkan pemenangnya ialah Vanidah Imran atau Norkhiriah. Lakonan mereka berdua amat hebat. Saya rasa macam dalam mimpi. Apa pun saya amat bersyukur dengan kemenangan ini," katanya.

Salina menyifatkan watak Amy yang dilakonkannya dalam filem Bohsia cukup berbaloi kerana ia merupakan watak yang mencabar bakatnya dalam bidang lakonan.

Malah, keberkesanan watak lakonannya itu turut diakui oleh suaminya, Azmir Osman, 46, dan juga ramai lagi kawan-kawan rapatnya termasuklah pelakon Dynaz.

"Suami saya kata, kalau juri lihat lakonan saya dalam filem itu mereka tentu akan suka. Ramai yang kata saya ada peluang memang kategori itu. Dynaz misalnya, awal-awal lagi sudah meramalkan saya boleh menang.

"Ternyata watak Amy seorang yang psiko, gila-gila dan kaki gaduh tidak sia-sia. Saya lakonkan watak itu dengan bersungguh-sungguh kerana ia merupakan filem pertama lakonan saya," ujarnya.

Malah, kemenangan Salina itu juga cukup berbaloi apabila ia turut dikongsi dengan ibu bapa dan keluarganya yang datang bersamanya dari Kuala Lumpur bagi memberi sokongan moral kepadanya.

Kemenangan itu tambahnya sebagai galakan dan doa kepadanya untuk lebih yakin dengan bakat lakonan yang dimilikinya dalam perjuangannya sebagai pelakon pada masa depan.

No comments: