|
|
FESTIVAL Filem Malaysia ke-22 (FFM22) menyaksikan 26 filem cereka bertanding menyaksikan jumlah penyertaan kategori itu yang terbesar sepanjang ia dianjurkan setakat ini.
Filem sebagai cabang budaya yang tinggi seharusnya berupaya menyampaikan kepada para penonton tempatan dan antarabangsa satu gagasan atau idea yang dijadikan sebuah cerita.
Ia kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk lakon layar yang mempersona dan akhirnya diolah serta digarap dengan berkesan untuk menjadi sebuah filem berkualiti.
Sekiranya filem Malaysia hendak berhijrah ke persada dunia untuk diterima oleh masyarakat antarabangsa maka persembahan dalam semua aspek perfileman hendaklah mengatasi piawaian seni yang berkualiti tinggi.
Semua persembahan seni yang berkualiti tinggi baik sastera, seni tampak, seni tari, muzik atau filem hendaklah dinilai daripada sudut kecemerlangan yang berjaya menyentuh hati naluri penggemarnya.
Karya tiruan lambat laun dapat dikesan sebagai karya yang tidak asli dan persembahan yang hambar dan ia akan ditolak oleh para penonton kelak.
Filem yang berhemah tinggi bukan hanya sekadar menghiburkan tetapi juga meninggalkan kesan mendalam sambil menyentuh hati sanubari para penonton.
Panel juri FFM22 berhadapan dengan beberapa filem yang tidak meninggalkan kesan yang baik, yang mempersendakan institusi negara dan ada pula yang mencampur adukkan agama, kepercayaan dengan perbuatan khurafat yang mengelirukan para penonton.
Ada juga filem yang menonjolkan cara hidup yang keterlaluan seolah-olah memperkenalkan budaya baru. Walaupun hak bersuara adalah hak asasi manusia yang dijamin oleh undang-undang negara tetapi hak itu tidaklah mutlak kerana Perlembagaan Persekutuan juga mempunyai peruntukan menghadkan kebebasan tersebut.
Dalam hal ehwal perfileman, kebebasan berkarya adalah tertakluk kepada Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (khususnya peraturan yang perlu dipatuhi untuk mendapatkan lesesn penerbitan terlebih dulu) dan undang-undang penapisan filem bagi memotong babak-babak yang tidak sesuai atau mengharamkannya sama sekali.
No comments:
Post a Comment