|
|
MEMASUKI dunia hiburan, elemen popular sememangnya amat diperlukan oleh mereka yang bergelar insan seni. Dilabel sebagai mereka yang sering diperhatikan, namun, pada satu peringkat, ada segelintir artis tidak lagi memikirkan soal populariti dan hanya fokus kepada kerjaya dengan cara tersendiri.
Bagi mereka, zaman mengejar populariti sudah lama berlalu dan kini adalah zaman untuk menstabilkan kehidupan.
Begitulah yang diperkatakan oleh penyanyi rock terkenal tanah air, Awie, kepada wartawan ketika ditemui pada sesi promosi cincin Agate koleksi Pahlawan, Habib Jewels Sdn. Bhd., di Ampang, Selangor baru-baru ini.
Ujar Awie, selepas 23 tahun berada di pentas seni, dia enggan memikirkan pengaruh populariti atau publisiti.
Pada usianya yang kini menginjak 41 tahun, apa yang memerlukan tumpuannya ialah masa untuk menuai hasil kerja kerasnya selama ini.
"Ketika ini juga, ada beberapa perkara yang melingkari hidup saya yang tidak memerlukan publisiti.
"Meskipun tidak perlu populariti, tetapi saya bersyukur kerana kerja saya masih berjalan seperti biasa,'' katanya.
Selain Awie, sesi promosi cincin Agate itu turut dihadiri rakan seperjuangannya iaitu Afdlin Shauki, Hans Issac, AC Mizal dan Aaron Aziz.
Kelima-lima mereka merupakan antara artis lelaki bertuah kerana terpilih untuk 'dihadiahkan' cincin Agate oleh Habib Jewels sempena promosi koleksi bergaya di Aidilfitri.
Berbalik kepada persoalan populariti, ujar Awie, apa yang berlaku ke atasnya sepanjang bergelar artis sebelum ini merupakan satu pengajaran untuknya membina kehidupan.
"Macam-macam perkara sudah saya lalui. Hidup di bawah kolong, kahwin, cerai, semuanya sudah saya rasa.
"Dalam industri hiburan pun pelbagai perkara sudah saya tempuhi. Kini saya sudah tidak fikir lagi soal publisiti,'' tegasnya.
Apa kata Afdlin, Hans, AC Mizal dan Aaron?
Sementara itu, bagi Afdlin Shauki, kalau dahulu dia menganggap dirinya sebagai 'penumpang' dalam dunia hiburan, kini dia lebih selesa menjadi 'pemandu'.
"Kini, berilah peluang kepada yang masih baru. Kami sebagai 'pemandu' akan cuba membuka jalan kepada artis baru untuk mengembangkan karier.
"Kerana itu juga, saya tidak memikirkan lagi soal populariti,'' jelas seniman berjiwa besar ini lagi.
Bagi sutradara filem Papadom yang baru-baru memenangi kategori Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22, ketika masih merangkak di dalam dunia hiburan dahulu, dia sering dinasihatkan oleh artis-artis senior agar tidak memikirkan soal popular.
"Mereka juga menasihatkan saya supaya bekerja keras dan kerja yang bagus pasti akan mendapat ganjarannya di masa mendatang,'' ujar Afdlin yang meraikan ulang tahun ke- 20 penglibatannya sebagai anak seni.
Pandangan Afdlin turut disokong rakan baiknya, Hans Isaac dan AC Mizal.
Hans dan AC tidak menafikan, di awal pembabitan sebagai artis, mereka sangat dahagakan populariti.
Dan kini, seiring perubahan masa dan usia, Hans dan AC lebih memberikan perhatian pada kerja.
Bagi aktor tampan kelahiran Singapura, Aaron Aziz pula, objektif utama dia berhijrah ke Malaysia bukanlah untuk mencari populariti semata-mata.
Katanya, memasuki bidang lakonan di sini hanyalah untuk menimba pengalaman seni.
"Kalau dianggap popular, itu kira bonuslah. Tetapi bagi saya, selagi ada rezeki, saya akan tetap meneruskan kerjaya sebagai artis walau sudah tidak lagi popular,'' tambahnya.
Peraga cincin Habib
Sementara itu, Awie, Afdlin, Hans, AC dan Aaron menjadu pilihan syarikat pengeluar barangan kemas popular, Habib Jewels untuk mempromosikan kolek terbaru syarikat itu, Agate.
Menurut Penolong Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Habib, Yasheedah Yashaiya, rasional pemilihan kelima-lima selebriti memperkenalkan cincin jenis itu ialah, koleksi berkenaan bersesuaian dengan lelaki berusia 30 tahun ke atas.
"Biarpun ada yang mengatakan ia hanya sesuai dipakai golongan pakcik-pakcik, cincin Agate juga sesuai untuk anak muda.
"Pemilihan Awie, Afdlin, Hans, AC Mizal dan Aaron adalah untuk mendapatkan maklum balas berhubung trend pemakaian cincin Agate di kalangan lelaki bermula pada usia 30 tahun," kata Yasheedah.
Koleksi Agate katanya, dipasarkan bersempena dengan sambutan Aidilfitri yang akan diraikan bulan depan.
No comments:
Post a Comment