Saturday, August 22, 2009

Dua tahun masalah tak selesai - Kumpulan Ahli Fiqir terus aktif tanpa Samsol

Dua tahun masalah tak selesai - Kumpulan Ahli Fiqir terus aktif tanpa Samsol


AHLI FIQIR kini tinggal bertiga setelah kehilangan Samsol yang didakwa mempunyai masalah peribadi. Dari kiri: Daly, Mawar dan Ceza.


POPULARITI yang diraih kumpulan Ahli Fiqir ketika kali pertama meluncurkan album sulung Hari Ini Dalam Sejarah lewat tahun 2005 berjaya meletakkan nama kumpulan asal Singapura itu sebaris dengan penyanyi popular sedia ada.

Kumpulan yang popular dengan lagu Samseng, Angguk-angguk, Geleng-Geleng, 2x5 dan Dia Datang pada awalnya muncul bersama empat ahli iaitu Fadali Mohd. Darif (Daly atau Ahlifiqir), Samsolnahar Sibengat (Samsol atau Tukangkata), Noor Hidayati Mohamed Yusop (Dayat atau Mawar Berduri) dan Dj Cza atau Muhammad Ceza.

Namun, pertemuan bersama Ahli Fiqir pada majlis pelancaran album ketiga Irama Berimah baru-baru ini mengejutkan banyak pihak apabila tiada langsung kelibat Samsol sebaliknya mereka muncul bersama tiga orang ahli sahaja.

Sebelum ini banyak media telah melaporkan kehilangan Samsol daripada Ahli Fiqir tetapi tiada sebab yang pasti mengenai kehilangannya.

Mungkinkah ini petanda Ahli Fiqir sedang dilanda masalah dalaman dan mereka sudah tiada persefahaman lagi?

Bagi mendapat jawapan yang lebih jelas ikuti temu bual antara Kosmo! dengan Ahli Fiqir serta pihak pengurusan mereka iaitu Warner Music (Malaysia) Sdn. Bhd.:


MOKHTAZA AHMAD


Daripada berempat tinggal bertiga sahaja, ada sebarang pergaduhan?

DALY: Sebenarnya kami tidak bergaduh, hubungan kami masih baik, cuma Samsol ada masalah peribadi yang perlu diselesaikan di Singapura sehingga menyebabkan dia tidak boleh kembali ke Malaysia lagi.

Tidak boleh masuk ke Malaysia? Besar sangat ke masalahnya?

DALY: Apa masalahnya kami tidak boleh beritahu kerana menghormatinya. Tetapi bukan berkaitan dengan pihak imigresen. Dia masih boleh ke Malaysia, tetapi kerana masalah itu dia tersekat di Singapura dan tidak boleh bersama kami meneruskan perjuangan.

Sejak bila Samsol mempunyai masalah tersebut?

MAWAR: Memang agak lama, sebab itu setelah dua tahun baru kami muncul dengan album ketiga. Kami sengaja lewatkan kerana inginkan dia bersama kami, sepatutnya album ketiga keluar pada pertengahan tahun lalu tetapi nampaknya ia masih tidak selesai jadi kami terpaksa teruskan tanpa dia.

Adakah Samsol tidak akan lagi bersama dengan ahli fiqir selepas ini?

DALY: Dia masih bersama kami dan tidak pernah keluar daripada kumpulan. Kontrak yang ditandatangani secara berkumpulan bersama Warner Music pun masih ada baki satu album lagi. Kami harap dia selesaikan masalahnya secepat mungkin dan bersama kami semula.

Untuk album ketiga, apabila muncul bertiga tidakkah kalian rasa janggal dalam album dan persembahan pentas?

Kalau ikutkan untuk album ketiga kami sudah rakam satu lagu bersama Samsol tetapi dia terpaksa direhatkan untuk seketika. Bila jadi begitu, kami tukar semua susunan lagu untuk disesuaikan dengan vokal tiga orang. Tidak ada rasa janggal sebab kami sebelum ini kami sudah biasa lakukan persembahan dengan ahli yang tidak cukup.




MAWAR: Tahun lalu saya lahirkan anak sulung, jadi kebanyakan persembahan dilakukan tanpa saya dan ada ketikanya tanpa Daly. Sebab itu kami sudah biasa, kami anggap Samsol hanya berehat dan kembali apabila semua sudah okey.

Bagaimana pula dengan penerimaan peminat tentang kekurangan ahli?

MAWAR: Setakat ini tiada apa-apa lagi, mereka semua masih menyokong kami, walaupun ketiadaan Samsol mereka masih memberikan reaksi positif terhadap lagu-lagu kami.

Adakah kalian masih menanti kepulangan Samsol bersama Ahli Fiqir?

DALI, MAWAR dan CEZA: Ya, sudah tentu, Ahli Fiqir wujud bersamanya dan kami sentiasa akan menantinya.

No comments: