Saturday, August 22, 2009

Misi istimewa Penyampai Ikon

Misi istimewa Penyampai Ikon

Sebanyak 17 peserta yang terpilih menyertai program Penyampai Ikon tidak mempunyai pengalaman, baik di depan kamera mahupun dalam bidang kewartawanan. Berjayakah Penyampai Ikon menzahirkan impian mereka untuk bergelar penyampai televisyen terhebat? Saksikan bakat mereka pukul 9 malam ini di TV2 RTM.




UNTUK tampil menjadi penyampai yang baik di TV, setidak-tidaknya seseorang itu perlu terlebih dahulu mempunyai asas sebagai seorang wartawan.

Itu satu kenyataan yang boleh dibuktikan kerana pengacara tersohor seperti Wan Zaleha Radzi, Suhaimi Sulaiman, Dang Suria Zainurdin, waima pengacara terkenal Aznil Nawawi pun pernah bergelar wartawan pada awal kerjaya mereka satu ketika dahulu.

Di kaca TV, penyampai haruslah versatil dalam apa jua situasi. Ketika itu, apa sahaja emosi yang tidak kena dalam diri harus diketepikan. Namun, di sebalik lensa kamera yang memotret mereka sebagai individu serba bijak dan sempurna itu, tidak banyak diketahui umum tentang karier itu. Sukar atau senang, semuanya tersimpan sebagai rakaman berharga buat penyampai terbabit sahaja.


BAWAH dari kiri: Noormadiana, Siti Fazurita, Siti Aisyah, Beatrice dan Hazel. Atas dari kiri: Atikah, Norsila, Aina, Nur Izaati, Cassandra dan Khirjaa.


Dari situlah idea pencarian program Penyampai Ikon bermula. Bertitik tolak daripada pengalaman peribadinya, bekas pembaca berita di TV3, Yusanani Yushak kini mula membidik misi mahu melahirkan generasi baru penyampai TV berkaliber di RTM.

Bukan soal menyambung legasi atau membina semula nama yang tenggelam selepas meninggalkan TV3, Penasihat Persembahan di RTM itu ada alasan yang lebih kukuh.

"Saya percaya ilmu yang ada haruslah dikongsi bersama. Beginilah, apabila tiba masa yang sepatutnya, seseorang penyampai berita kena berundur untuk memberi peluang kepada orang baru.

"Ketika karier saya bermula, saya belajar melalui jalan yang sukar. Dulu, tidak semua senior mahu berkongsi ilmu dengan saya. Bahkan saya perhatikan, kerja wartawan ini memerlukan satu latihan intensif. Melangkah sahaja ke bilik berita, seorang wartawan itu terus sibuk dengan tugasan seharian dan tiada masa untuk dihantar berkursus," katanya yang serius mahu melihat kemunculan penyampai baru yang berkaliber menerusi Penyampai Ikon.


BARISAN peserta Penyampai Ikon tekun mendengar taklimat daripada pengetua mereka, Yusanani.


Bertindak sebagai Pengetua Penyampai Ikon yang memulakan episod pertamanya menerusi TV2 Rtm malam ini, Yusanani percaya biarpun bersifat program realiti TV, Penyampai Ikon mampu melahirkan penyampai TV yang benar-benar layak bergelar 'ikon'.

"Saya faham, ikon satu ungkapan yang besar maksudnya. Untuk program ini, saya mahu semangat untuk bergelar ikon meresap ke dalam diri kesemua 17 peserta. Sebab itulah program ini dinilai 100 peratus oleh juri profesional, bukannya SMS dan hanya seorang yang akan diangkat sebagai Penyampai Ikon," katanya yang mula berkhidmat di RTM sejak awal 2009.

Untuk menjadi penyampai yang baik, kewartawanan menjadi asas yang kukuh. Teknik wawancara yang baik boleh dipelajari ketika menjadi wartawan yang secara realiti sentiasa bersedia bertanya untuk mendapatkan jawapan.

Sekiranya diperhatikan, penyampai atau pengacara yang berjaya adalah terdiri daripada kalangan mereka yang mempunyai latar belakang kewartawanan. Lihat sahaja Aznil Nawawi yang pernah menjadi wartawan am di TV3 dan juga wartawan Money Matters. Begitu juga dengan Suhaimi Sulaiman yang mempunyai latar belakang kewartawanan penyiaran di TV3.


ATAS dari kiri: Mohamed Shahril, Mohd. Sharkawi dan Khairul Faizi. Bawah dari kiri: Ensyfrido, Al Firdaus dan Kamal.


Penyampai TV boleh dikategori kepada dua: penyampai yang berotak dan juga penyampai yang kurang bijak.

Penyampai yang berotak ialah mereka yang membuat penyelidikan dan kelihatan cerdik ketika melaksanakan wawancara, sementara yang satu lagi ialah mereka yang tidak membuat kajian sebelum mewawancara seseorang dan hanya mengharapkan soalan-soalan yang disediakan oleh pihak lain atau penerbit rancangan.

Dalam Penyampai Ikon, semestinya penyampai dalam kategori kedua yang bakal dilahirkan, namun sepintas lalu adakah ia persis menyamai sebuah program pencarian bakat pengacara, Malaysian Top Host yang pernah disiarkan TV3 satu ketika dahulu?

Di mana ketulenan Penyampai Ikon berbanding Malaysian Top Host dan apa yang menjadikan ia unik berbanding program realiti sedia ada?

"Malaysian Top Host lebih ke arah pencarian pengacara TV, selain menekankan personaliti menarik. Berbanding dengan Penyampai Ikon, ia sebuah program pencarian penyampai TV yang lebih lengkap merangkumi laporan berita, penulisan skrip berita TV, imej serta disiplin," kata Yusanani.




Uniknya, peserta yang tersingkir tidak akan dikeluarkan daripada program Penyampai Ikon, sebaliknya mereka akan dikekalkan dan wajib mengikuti segala jadual yang ditetapkan sehingga ke episod terakhir.

Peserta yang tersingkir dalam Penyampai Ikon bukan bermaksud mereka gagal untuk selama-lamanya. Jika tidak bergelar Penyampai Ikon atau menjadi pembaca berita utama, mungkin mereka boleh memulakan karier sebagai wartawan dalam program berita. Dari situ, ilmu dan bakat akan berkembang dan tidak mustahil mereka boleh menjadi penyampai yang berjaya pada kemudian hari.

"Dalam Penyampai Ikon, kami tidak mahu mensia-siakan pelaburan yang telah dibuat sejak dari awal pencarian bermula April lalu.

"Peserta yang telah disingkir tetap akan berada di dalam kelas tetapi penglibatannya tidak akan disiarkan.

"Satu lagi uniknya program ini ialah kesemua peserta Penyampai Ikon akan diberi peluang untuk bergelar wartawan penyiaran di RTM. Maknanya, mereka sudah ada pekerjaan apabila program berakhir. Berbanding ramai lagi wartawan di Bilik Berita RTM yang tidak berpeluang berkursus, mereka ini sangat bernasib baik," kata Yusanani.

Menggariskan disiplin setiap peserta dan pasukan Penyampai Ikon sebagai prinsip yang menentukan kejayaan program berkenaan, Yusanani menambah: "Bukan glamor atau berharap untuk dikenali, sebaliknya Penyampai Ikon adalah platform terbaik untuk memasuki dunia kewartawanan TV secara profesional."

No comments: