Saturday, August 22, 2009

Padah nama Khan

Padah nama Khan

Oleh Zainuri Misfar


PENAHANAN selama dua jam oleh pihak imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty di New York, membuatkan Shah Rukh Khan semakin tawar hati untuk berada di Amerika Syarikat.

Kali pertama Shah Rukh Khan tidak rasa bangga dengan nama besar yang dimilikinya

NAMA Shah Rukh Khan cukup gah sebagai pujaan ramai di negaranya, namun aktor ini tidak ghairah untuk membina nama dalam industri filem Hollywood seperti yang dilakukan kebanyakan pelakon seangkatan dengannya.

“Sebenarnya saya belum cukup bagus untuk pergi ke Hollywood,” katanya sambil menjelaskan untuk mencipta nama di Hollywood, dia harus menilai kemampuan dirinya. Bagaimanapun, katanya, itu tidaklah bermakna dia tidak menyimpan keinginan untuk mencuba di Hollywood.

“Kalau mereka di sana (Hollywood) menawarkan watak yang cukup baik, saya akan pertimbangkan. Tapi setakat ini saya tidak pernah diberikan tawaran besar atau watak yang bagus dari Hollywood, tak kiralah ia watak besar atau kecil.

“Lagipun, pada usia sudah 40 tahun ini, saya tidak fikir bakat sebagai pelakon sudah cukup bagus. Iyalah, maksud saya sangat berbakat, cukup tampan dan boleh bertutur (bahasa Inggeris) dengan baik.

“Saya juga tidak boleh melakukan sesuatu secara khusus seperti berkungfu. Lainlah mereka mula membuat filem lagu Hindi di Hollywood. Itupun saya tidak fikir mereka akan panggil saya berlakon,” katanya dalam nada yang dianggap menyindir itu.

SHAH RUKH KHAN (kanan) bersama patung lilin yang menyerupainya di sebuah muzium di Paris.

Namun begitu, Shah Rukh mengalu-alukan mana-mana bintang Bollywood yang mahu mencuba nasib dalam industri perfileman di Hollywood.

“Macam manapun, saya tak fikir bekerja di sana (Hollywood) adalah matlamat utama mereka atau menjadi sasaran penting kepada setiap aktor atau aktres dari India,” katanya.

Penahanannya selama dua jam oleh pihak imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty di New York, membuatkan Shah Rukh semakin tawar hati untuk berada lama di Amerika Syarikat atau mempunyai perancangan serius untuk melebarkan kariernya di Hollywood.

Ketika ditahan, aktor itu dalam perjalanan ke Chicago untuk menghadiri majlis berkaitan dengan Hari Kebangsaan India.


“Mereka memeriksa dengan teliti disebabkan saya orang Asia. Mereka hendak tahu kenapa saya datang ke Amerika dan di mana saya tinggal di sini (Amerika Syarikat),” katanya.

Pengurus Shah Rukh, Niloufer Qureshi memberitahu IANS: “Dia (Shah Rukh) ditahan hanya kerana ada nama Khan di hujungnya. Dia terus ditahan sehinggalah pegawai dari kedutaan India campur tangan.”

Ditanya perkara yang sama, Shah Rukh berkata: “Sesetengah negara ada masalah dengan nama saya. Tapi saya bangga dengan nama ini (Khan)”.

Berita penahanan Shah Rukh Khan itu mendapat maklum balas segera sehingga mencetuskan ‘perbalahan’ antara India dan Amerika Syarikat. Di New Delhi, jurucakap Menteri Dalam Negeri, Vishnu Prakash berkata India akan mendapatkan penjelasan berhubung penahanan aktor kesayangan mereka itu daripada Kedutaan Amerika dan Konsol utama India di New York.

“Perkara ini akan diajukan dengan kedutaan Amerika. Kita mahu mendapatkan penjelasan mengapa perkara ini boleh berlaku,” kata Prakash.

Dalam kenyataan balas, Duta Amerika ke India, Timothy J Roemer berkata, pihaknya cuba menyelesaikan masalah itu sebaik mungkin.

“Shah Rukh adalah ikon global dan dia dialu-alukan sebagai tetamu di Amerika Syarikat. Ramai rakyat Amerika suka filemnya,” kata Timothy.

Kenyataan daripada pihak keselamatan lapangan terbang yang dipetik oleh agensi berita AFP, menyatakan penahanan Shah Rukh bukan niat hendak menghalang aktor memasuki Amerika.

“Ia bukan pengasingan, bukan juga bertujuan menghalang masuk ke negara ini. Sekiranya kami bimbang keganasan dan pengganas, kami semua bertanggungjawab untuk mencegahnya. Pemeriksaan ini bukan saja dilakukan oleh rakyat asing tetapi rakyat Amerika juga tidak terkecuali,” kata jurucakap itu.

Menteri Penerangan dan Penyiaran India, Ambika Soni mengumumkan penahanan Shah Rukh kerana sesuatu yang tidak jelas.

“Saya tidak fikir penahanannya disebabkan namanya berkait dengan agama. Tetapi di Amerika, memang ada beberapa kejadian yang menyebabkan mereka sering mendapatkan butir seseorang itu lebih daripada yang diperlukannya,” katanya.

Menteri Hal Ehwal Luar India, Vayalar Ravi menyifatkan Shah Rukh sebagai ‘kebanggaan India’ dan beliau terkejut apabila aktor itu ditahan di lapangan terbang.

'Shah Rukh Khan ialah kebanggaan India. Saya terkejut apabila dia ditahan di Lapangan Terbang Newark,” katanya.

Produser filem Bollywood yang rapat dengan Shah Rukh, Karan Johar dalam reaksinya di Mumbai berkata, dia amat terkejut dan berasakan ia tidak sepatutnya berlaku. Turut melahirkan perasaan sama ialah Priyanka Chopra dan seorang lagi produser, Kabir Khan.

Shah Rukh mengakui bahawa dia ditahan kerana menjadi ‘kebimbangan besar’ kepada pegawai Amerika yang menyoalnya bertalu-talu - kebanyakannya mengenai tujuan perjalanannya ke Amerika.

Aktor itu berkata, sekumpulan rakyat India, termasuk penganjur acara dari Chicago sudah menunggu di luar lapangan terbang untuk menyambut ketibaannya.

“Secara peribadi saya berasakan perkara ini sudah selesai. Tapi sekiranya ini berlaku lagi, saya boleh minta pihak berkuasa di India supaya menahan Angelina Jolie apabila pelakon itu masuk ke negara saya pula,” kata Shah Rukh Khan.

IRONINYA sebelum penahanan itu, Shah Rukh tidak menghadapi masalah untuk menjalani penggambaran filem My Nam Is Khan yang dibuat di sekitar San Francisco.

Filem itu diterbitkan dengan kerjasama antara Dreamworks dan Reliance yang kemudian bersekutu bersama syarikat penerbitan milik Shah Rukh sendiri iaitu Shah Rukh Khan Red Chillis Entertainment dan Karan Johar Dharma Production, manakala Fox Star Studio pula akan bertindak sebagai pengedar dan pemasaran.

Fox Star Studio adalah syarikat yang memberi sokongan terhadap penerbitan filem Slumdog Millionaire. Usaha Fox Star ini dikatakan sebagai percubaan untuk mengetengahkan sentuhan ajaib Johar yang dipilih mengarahkan filem My Name is Khan.

Bagi filem ini, Shah Rukh dilaporkan menerima bayaran kira-kira RM73 juta (AS$21 juta) untuk filem ini. “Saya sangat mengambil berat dengan tawaran ini dan memang memberikan perhatian serius terhadap filem ini. Ia seperti bermula dari awal lagi selepas dua dekad,” kata aktor ini.

Filem My Name is Khan mengambil latar pasca peristiwa 9/11. Ia memberi tumpuan di atas diskriminasi yang dihadapi oleh Rizwan Khan (Shah Rukh Khan) sebagai seorang lelaki Muslim. Rizwan menderita sejenis Autism dikenali sebagai sindrom Asperger. Dia jatuh cinta dengan ibu tunggal bernama Mandira (lakonan Kajol). Cerita filem ini berlatarkan di San Francisco dengan fokusnya adalah bagaimana serangan pengganas memberi kesan terhadap kehidupan dan perhubungan mereka. Filem My Name Is Khan dijangka ditayangkan pada tahun 2010.

Selain SRK, filem ini turut dibintangi Kajol, Sonia Jehan, Jimmy Shergill, Zarina Wahab, Parvin Dabbas, Arif Zakari, Navneet Nishan, Sheetal Menon dan Tanay Chheda.

Shah Rukh menggambarkan dirinya sebagai ‘superstar’ terakhir Bollywood. Dia mendakwa perubahan dalam industri hiburan sekarang bererti ‘superstar’ di Bollywood sedang menghadapi era kesukaran. “Industri hiburan berubah sangat pesat, terutama dengan perkembangan saluran satelit dan multipleks. Tidak lama lagi tidak akan ada lagi superstars. Saya percaya bahawa saya adalah superstar terakhir India,” katanya.

FAKTA: Shah Rukh Khan

  • Dilahirkan pada 2 November 1965, di New Delhi. Graduan sarjana Ekonomi dari Hansraj College pada 1988.

  • Muncul pertama kali di TV pada tahun 1988. Filem pertamanya muncul empat tahun selepas itu. Selain popular sebagai penyanyi dan penari, dia juga dikenali sebagai pengacara program Who Wants To be a Millionaire versi India untuk satu musim.

  • Sudah membintangi lebih 70 filem.

  • Nama Shahrukh bermaksud Wajah Raja (Face of the King), tetapi lebih suka namanya ditulis sebagai Shah Rukh Khan atau S.R.K.

  • Pada mulanya dia ke Mumbai bukan hendak menjadi pelakon tetapi mahu mencari bekas kekasihnya, Ghauri. Mereka kemudian berkahwin dan mempunyai dua anak. SRK seorang Muslim, sedangkan isterinya masih seorang Hindu.

  • Buku kegemarannya ialah The Hitchhiker's Guide to the Galaxy dan mempunyai seekor anjing bernama Chewbacca.

  • Dia mengaku tidak menerima tawaran dari penerbit filem Amerika tetapi dia tidak kisah.

  • Dia dianugerahkan Doktor Kehormat dari Universiti Bedfordshire Britain pada Julai 2009/

  • Membuat pengakuan dia bersedia berlakon dengan percuma kalau terlalu suka dengan wataknya.
  • No comments: