Saturday, August 22, 2009

Isteri adalah permata Rob Thomas

Isteri adalah permata Rob




MEMIKUL status sebagai salah seorang artis yang berjaya dalam muzik moden secara komersial sepanjang sedekad lalu, tidak kira semasa bersama kumpulan Matchbox Twenty atau kerjaya solonya, album Rob Thomas sudah terjual sebanyak 80 juta unit di seluruh dunia.

Menganggap dirinya bertuah kerana kebolehan 'mendengar' irama dalam kepala sebelum menulis dan merakamkannya, tidak dinafikan Rob merupakan penyanyi dan penulis lagu paling berjaya dalam generasinya. Baginya, apa yang penting adalah sumber kreativiti.

Merealisasikan inspirasi muziknya adalah apa yang dilakukan oleh Rob pada tahap kualiti tinggi. Maka, bagi mencapai taraf piawai yang diletakkan oleh Rob, ia melibatkan dua proses - inspirasi dan kemahiran.




"Inspirasi adalah sesuatu yang magis. Contohnya seperti anda duduk di dalam kereta atau bilik dan anda mendengar melodi. Anda menyukainya dan kemudian sedar ia belum pernah wujud. Itulah inspirasi saya dan tempat yang paling banyak memberikan inspirasi adalah bandar raya New York.

"Kemahiran juga satu proses yang menakjubkan. Apabila anda menyiapkan sebuah lagu, anda akan berasa seperti orang paling kreatif di dunia. Daripada sebuah lagu yang tidak dikenali, lagu itu kemudian akan dinyanyikan oleh ribuan atau jutaan peminat anda. Perasaan itu amat mengagumkan," ujar Rob, 37 tahun.

Gabungan inspirasi dan kemahiran itu boleh ditemui dalam album solo kedua Rob, Cradlesong. Diterbitkan oleh Matt Serletic, semua lagu dalam album itu ditulis atau ditulis bersama oleh Rob. Single pertamanya, Her Diamonds yang mengisahkan tentang penyakit isterinya, Marisol Maldonado menerima respons positif terutama di Australia.

"Lagu itu bersifat peribadi menceritakan kisah isteri saya yang menghidap penyakit autoimun (sejenis penyakit yang disebabkan oleh inflamasi dan gangguan auto antibodi). Lagu itu bercerita bagaimana satu pasangan berdepan dengan aktiviti seharian. Terdapat banyak kesedihan apabila seseorang berdepan dengan masalah sebegitu.

"Saya sebenarnya menulis lagu mengenai bagaimana orang berhadapan dengan masa sukar dan masa sukar itu adalah universal yang boleh menjadi apa-apa masalah berbeza," katanya yang paling menyukai lagu Her Diamonds.




Menyukai kacukan muzikal seperti apa yang dipaparkan dalam lagu Cradlesong, Rob gemar membawa pendengar melayan lagu di luar zon selesa masing-masing. Hasilnya, Rob menghadiahkan satu produk rock penuh instrumental yang menawarkan keterujaan serta tenaga.

Bunyi gitar garang boleh didengar menerusi lagu Fire On The Mountain dan elemen pop menguasai lagu Give Me The Meltdown. Elemen elektronik menyempurnakan lagu Real World' 09 dan lagu yang merupakan judul albumnya, Cradlesong adalah satu-satunya lagu balada yang tenang.

"Saya membina studio di tingkat bawah kediaman saya. Jadi banyak lagu dalam album saya bermula dengan bunyi drum. Setakat ini, semua lagu saya ditulis dengan piano atau gitar akustik. Kini saya boleh bermain drum dan memasukkan elemen gitar. Apa yang utama ialah Matt boleh lebih mendalami lagu saya sebelum diterbitkan," ujar penyanyi kelahiran Landstuhl, Jerman itu.

Banyak irama dalam album itu menggambarkan elemen lemah dan sifat natural satu perhubungan. "Saya rasa dalam perhubungan antara manusia, bukan sahaja hubungan romantik sentiasa menjadi inti pati lagu saya. Ia adalah mengenai bagaimana manusia berkomunikasi dengan orang lain, apakah layanan yang diberi dan perkongsian berita gembira dan sedih.

"Dalam lagu Mockingbird, satu pasangan membuat keputusan bahawa kebahagiaan datang dengan perpisahan. Sebuah lagi lagu yang mempunyai hubungan percintaan, Someday menceritakan bagaimana satu pasangan yang berharap supaya pergolakan mereka akan terhenti," ujar Rob yang merupakan penyanyi utama kumpulan Matchbox Twenty.


ALBUM solo Rob Thomas telah terjual melebihi 80 juta unit di seluruh dunia.


Lagu terakhir dalam album Rob, Getting Late mengisahkan peredaran masa. Digunakan sebagai taktik kesedaran, Rob mahu pendengarnya berpijak di bumi yang nyata. Suka memasukkan momen yang mewakili masa kini, Rob melihat dunia secara optimis dan tanpa sempadan. Semangat yang sama turut boleh didapati dalam albumnya.

"Saya bukan orang yang mementingkan wang ringgit. Dengan beberapa buah lagu yang lebih 'gelap', saya memasukkan lagu yang memberi harapan pada penghujungnya. Ia adalah bahagian yang membuatkan anda ingin berkongsi dengan orang yang mungkin memiliki kedukaan yang sama," jawabnya yang lebih suka menyanyi secara live.

Suka membuat persembahan di lokasi luar seperti pantai dan taman, Rob sentiasa mencuri masa untuk berehat setiap enam bulan bekerja keras. Malah, ada masanya, Rob pernah terfikir untuk berhenti menyanyi.

"Selain berehat saya tidak pernah berhenti bermain muzik tetapi ada masanya saya pernah terfikir untuk berhenti. Namun, muzik adalah satu-satunya benda yang saya mahir dalam hidup saya. Walaupun berpeluang untuk pergi ke kolej atau memulakan karier lain, saya sebenarnya tidak mempunyai pilihan. Saya hanya boleh menjadi pemuzik," katanya yang suka berkomunikasi menerusi laman sosial Twitter.


ROB THOMAS berkongsi perasaan gembira dan kesedihan dalam banyak lagu ciptaannya sendiri.


Tidak menyanyi sama apabila lagunya dimainkan di corong radio, Rob memberitahu, dia bagaimanapun berasa teruja apabila lagunya dimainkan. Memulakan karier muzik seawal usia 15 tahun, Rob mengaku dirinya masih berasa gementar apabila diperlukan bercakap dengan peminat.

"Saya gementar apabila perlu bercakap depan orang ramai. Contohnya seperti semasa saya membuat persembahan pada konsert Live 8 di hadapan jutaan penonton, menyanyi adalah senang kerana ia datang secara natural. Tapi apabila saya perlu memperkenalkan orang lain, saya mula cemas," katanya yang berharap untuk membuat persembahan di Stadium Olimpik, Greece.

No comments: