ANTARA babak filem The Orphan. |
Kehadiran Esther membuatkan keluarga John Coleman menjadi huru hara
FILEM: The Orphan
Pelakon: Vera Farmiga, Peter Saarsgard, Isabelle Fuhrman, CCh Pounder, Jimmy Bennett
Pengarah: Jaume Collet-Serra
Genre: Seram, Drama
Tarikh tayangan: 20 Ogos 2009.
SEBELUM ini banyak filem seram yang memaparkan kisah kanak-kanak diterbitkan. Filem The Omen, The Unborn dan Ju-On adalah antara contoh filem seram yang pernah mencetuskan fenomena dan membuatkan penonton masih terbayang-bayang aksi seram yang ditonjolkan. Terbaru, filem dari genre serupa muncul di pawagam Khamis lalu. Pada zahirnya, The Orphan bukanlah sebuah cerita hantu kanak-kanak ataupun kisah kanak-kanak yang dirasuk tetapi lebih kepada kekejaman yang dilakukan oleh seorang budak perempuan berusia 9 tahun.
Kisah bermula apabila pasangan Kate dan John Coleman melalui saat getir dalam rumah tangga apabila anak ketiga mereka, Jessica mati ketika dalam kandungan. Peristiwa itu amat sukar diterima Kate, yang pada masa sama mengalami masalah ketagihan alkohol. Bagi mengatasi kesedihannya, Kate menabur abu mayat Jessica di bawah pokok bunga ros putih di tamannya dan meletakkan plak yang terukir kata-kata azimat sebagai mengingati bayinya yang sudah tiada itu.
Tak cukup dengan itu, mereka mengambil anak angkat - seorang kanak-kanak perempuan bernama Esther dari sebuah rumah anak-anak yatim. Berbeza dengan kanak-kanak sebaya dengannya, Esther banyak menghabiskan masa bersendirian dengan melukis dan menyanyi. Kebijaksanaannya bertutur dan melahirkan pendapat membuatkan pasangan itu berminat engambil Esther sebagai anak angkat.
Namun begitu, kehadiran Esther dalam keluarga Coleman disambut dingin oleh anak lelakinya Daniel, tetapi anak perempuannya, Max, yang cacat pendengaran menerima kedatangan Esther dengan gembira kerana dia kini mempunyai kawan untuk bermain. Pun begitu, kebahagiaan yang dinikmati keluarga Coleman pada awalnya berubah dengan sekelip mata sejak Esther tinggal bersama mereka.
Kebaikan Esther tidaklah seperti yang disangka. Dia kejam dan penuh dendam kesumat. Dalam hatinya tidak ad rasa kasihan. Lihat saja bagaimana dia sanggup membunuh seorang rahib kerana bimbang wanita itu membongkar rahsia yang selama ini disimpannya dengan rapi serta melakukan pelbagai salah laku lain yang tidak sepatutnya dibuat seorang kanak-kanak.
Sejak kehadiran Esther, banyak peristiwa pelik berlaku sehinggakan Kate merancang untuk menyiasat latar belakangnya. Bagaimanapun, apabila Kate menyuarakan kebimbangannya itu kepada suaminya, hasratnya ditolak tanpa menyedari kehadiran Esther di dalam keluarga mereka sebenarnya mengundang bahaya. Apa sebenarnya rahsia yang cuba disembunyikan Esther?
Filem ini memang padat dengan unsur cemas serta terdapat banyak babak menakutkan membuatkan penonton mampu menjerit di dalam pawagam. Malah, pengarah filem ini juga bijak bermain dengan situasi sekali gus membuatkan ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku dan bagaimana Esther boleh menjadi begitu ganas. Pun begitu, segala persoalan itu terjawab di penghujung cerita.
Pujian sewajarnya diberikan kepada penulis filem ini, Alex Mace kerana berjaya menghasilkan sebuah cerita seram yang mampu membuatkan adrenalin penonton mengalir deras dan sentiasa di dalam debaran. Dan apa yang lebih penting, pengakhiran filem ini penuh dengan kejutan. Hendak tahu apakah kejutan itu, silalah ke pawagam kerana filem The Orphan ini memang berbaloi untuk ditonton.
No comments:
Post a Comment