Saturday, August 22, 2009

@sinepleks: Adakala tidak mudah jadi dewasa

@sinepleks: Adakala tidak mudah jadi dewasa

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff


ANTARA babak yang dapat ditonton dalam filem I Love You, Beth Cooper.

Filem I Love You, Beth Cooper cuba menyingkap konflik dunia remaja

MUNGKIN filem I Love You, Beth Cooper lebih sesuai untuk tontonan remaja berikutan kisah yang ditampilkan dalam karya arahan Chris Columbus itu bertumpu kepada kehidupan bekas pelajar sekolah tinggi yang kini menunggu waktu melangkah ke fasa baru dalam kehidupan.

Namun begitu, ia sebuah judul menghiburkan, penuh babak lawak, disokong pula dengan jalan cerita serta kekuatan lakonan bintang utamanya, Hayden Panettiere.

Kisah bermula dengan ucapan pelajar terbaik, Denis Cooverman (Paul Rust) yang mengaku menyintai Beth Cooper (Panettiere) di majlis perhimpunan tamat belajar. Bukan sekadar Beth yang yang disebut Denis dalam ucapannya, bahkan beberapa kenalan lain turut dimalukan di majlis itu termasuk teman karibnya, Rich (Jack Carpenter) yang dikatakan sebagai lelaki homoseksual.

Bertemu dengan gadis idamannya, Denis mengajak Beth ke parti yang diadakan di kediaman ibu bapanya. Amat mengejutkan apabila Beth dan dua temannya yang seksi, Cammy (Lauren London) dan Treece (Lauren Storm) tidak menghampakan harapan Denis.

Malangnya, teman lelaki Beth, Kevin (Shawn Roberts) dapat menghidu jejak kekasihnya, lalu menyerbu rumah Denis.

Beth dan rakannya menyelamatkan Denis serta Rich dengan memandu keluar daripada kawasan perumahan berkenaan. Mereka singgah melepak di kawasan hutan, berparti di rumah rakan, berenang dan akhirnya melepaskan lelah di kabin milik bapa Treece.

Denis yang pada awalnya melihat Beth sebagai gadis sempurna, mula mengenali lebih dekat wanita muda itu sepanjang pengembaraan mereka. Dia melihat segala kekurangan yang ada pada Beth, seterusnya mengubah pandangan Denis terhadap gadis terbabit.

Secara ringkas, I Love You, Beth Cooper adalah hiburan ringan yang cuba mengajak penonton memahami dilema remaja yang melangkah ke alam dewasa. Pada masa sama, penulisnya, Larry Doyle, seperti berpesan kepada khalayak untuk menerima seseorang itu dengan seadanya.

Watak Denis, umpamanya, bagai tidak dapat menerima hakikat gadis pujaannya, Beth, ialah perempuan yang sanggup mengucup lelaki asing hanya kerana ingin membeli bir. Lama kelamaan, selepas mendalami personalitinya, Denis menyukai Beth kerana diri wanita muda itu yang sebenar, bukan si sempurna yang dimimpikan olehnya sejak beberapa tahun lama.

Segala kejadian yang ditempuh lima remaja dengan permasalahan sendiri itu hanya dialami dalam masa sehari. Begitupun, pengarahnya bijak menyusun plot menjadikan penonton tidak bosan menunggu apakah insiden seterusnya akan berlaku.

Menghidupkan cerita tentunya aktres muda yang cukup dikenali menerusi siri Heroes, Hayden Panettiere. Begitu besar potensi pelakon berusia 20 tahun ini. Watak remaja yang tampak ceria, tetapi sebenarnya memendam pelbagai duka dalam diri, amat menjadi di tangan Panettiere. Kuat sekali mainan emosi pelakon ini, walaupun pada dasarnya filem sepanjang 102 minit adalah dalam jalur komedi.

Maka tidak hairanlah, dia antara bintang muda dalam ciptaan yang kian menjadi perhatian produser filem terkemuka. Tahun depan, namanya akan terus bersinar dengan tiga filem iaitu Hoodwinked 2: Hood vs. Evil, Alpha and Omega dan Carmel.

Jika anda ingin berhibur bersama sebuah cerita ringan, I Love You, Beth Cooper diharapkan pilihan yang tidak mengecewakan. Filem terbitan Kanada dan Amerika Syarikat ini mula ditayangkan di Malaysia pada 20 Ogos.

No comments: