Friday, August 21, 2009
Oprah saman 50 pemilik perniagaan
NEW YORK - Hos program bual bicara terkenal, Oprah Winfrey (gambar) dan pakar televisyen, Dr. Mehmet Oz menyaman lebih 50 pemilik perniagaan kecantikan dan ubat diet kerana menggunakan nama mereka tanpa izin.
Saman melibatkan entiti perniagaan kecil di seluruh Amerika Syarikat (AS) itu dibuat menerusi dua firma milik Winfrey, Harpo Inc. dan OW Licensing Co. serta syarikat Zo Co. yang diterajui Oz.
Dalam saman tersebut, pihak plaintif mahu menghentikan penggunaan nama, gambar, suara dan cap dagangan kerana ia menyalahi undang-undang hak cipta.
"Defendan-defendan ini secara sengaja menggunakan reputasi dan harta intelek plaintif bagi mengaut keuntungan lumayan dengan membuat dakwaan palsu bahawa produk mereka diuji atau disokong oleh Winfrey dan atau Oz sedangkan perkara itu tidak berlaku," kata saman berkenaan.
Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab peniaga-peniaga kecil itu mencemarkan reputasi mereka.
Antara produk yang dipertikai termasuk makanan tambahan, kosmetik seperti krim antiselulit dan penuaan selain produk pemutih gigi. - Agensi
Denzel Washington buat kejutan dalam tren
TOKYO - Para penumpang tren komuter mendapat sentuhan Hollywood apabila aktor Denzel Washington (gambar) bertugas sebagai pegawai perlepasan dengan membuat pengumuman dalam bahasa Jepun.
Dalam suara garau, Washington mengumumkan "kereta api ini akan bergerak sekarang," sejurus sebelum tren bergerak pada pukul 1.23 tengah hari di sini semalam.
Pemenang anugerah Oscar dua kali itu melawat pusat pengendalian stesen tren bawah tanah Tokyo bagi mempromosikan filem terbarunya yang berkisar tentang rampasan kereta api bertajuk The Taking of Pelham 123.
"Seronok dapat menjadi pegawai perlepasan untuk sehari. Hati-hati kerana saya bertugas," katanya dengan nada berseloroh.
Dalam filem tersebut, Washington berlakon sebagai pegawai perlepasan kereta api di New York yang ditugaskan untuk berunding dengan seorang pengganas dan perampas kereta api lakonan John Travolta. - AFP
Tiket tonton Miss Universe tidak laku
SAN JUAN - Kehadiran jelitawan dari seluruh dunia gagal memikat penonton berikutan jualan tiket pertandingan akhir Miss Universe 2009 kurang memberangsangkan, kata seorang pegawai semalam.
Jurucakap Kementerian Pelancongan Bahamas, Janet Johnson berkata, perkembangan itu memaksa pihak penganjur mengadakan sesi promosi habis-habisan beberapa hari sebelum acara berprestij itu dijadual bermula Ahad ini.
"Promosi itu melibatkan pakej beli tiga tiket dapat satu tiket percuma untuk peringkat akhir pertandingan Miss Universe yang turut disiarkan di televisyen," kata Johnson.
Tambahnya, orang ramai mula menunjukkan minat menjelang bermulanya pertandingan tersebut kerana ia sudah menjadi budaya setempat untuk membuat sesuatu pada saat-saat akhir.
Pihak penganjur menjelaskan, sebanyak 3,000 tiket bagi peringkat akhir masih boleh dibeli dengan harga antara AS$175 (RM617) dan AS$750 (RM2,640).
Menurutnya, seramai 15 ratu cantik akan bersaing dalam pertandingan kali ini yang turut menampilkan persembahan beberapa penyanyi popular seperti David Guetta dan Kelly Rowland. - AP
Kak Pah : Sunyi tanpa Asri
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin dan Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
Datuk Sharifah Aini |
Tak ramai tahu Kak Pah akrab dengan vokalis utama kumpulan Rabbani yang menyahut panggilan Ilahi pada 13 Ogos lalu
PERBUALAN melalui telefon sebulan setengah lalu mengundang Allahyarham Mohd Asri Ibrahim untuk bersama-sama menyemarakkan kelas agama yang diadakan di kediamannya setiap Khamis rupanya perbualan terakhir Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini dengan penyanyi utama kumpulan Rabbani itu.
Allahyarham bagaimanapun tidak dapat memenuhi undangan penyanyi yang selesa membahasakan dirinya sebagai Kak Pah dengan alasan masalah kekangan waktu. Bagaimanapun penolakan dibuat secara baik dan lembut barangkali tidak mahu mengecilkan hati tuan rumah.
Seakan masih baru perbualan antara mereka, tiba-tiba Khamis minggu lalu beliau menerima berita yang sukar dipercayai. Berita kepulangan Asri ke Rahmatullah amat mengejutkan Kak Pah hingga membuatkan moodnya terjejas sepanjang hari.
Mungkin ramai tidak tahu biarpun berbeza aliran muzik namun mereka cukup akrab, persahabatan mereka sudah terjalin lebih 17 tahun lalu sejak Asri masih lagi bersama kumpulan Nada Murni. Hubungan mereka tambah akrab apabila sama-sama bernaung di bawah syarikat rakaman EMI.
“Kak Pah terkejut mendapat berita Asri sudah meninggal dunia sehingga Kak Pah jadi bingung. Kak Pah tak dapat terima kenyataan Asri sudah tiada sehinggalah apabila di tiba di rumah keluarga Allahyarham barulah Kak Pah yakin yang dia memang benar-benar sudah pergi. Kebetulan pada hari berkenaan Kak Pah terikat dengan rakaman program raya untuk RTM, jadi Kak Pah tak berkesempatan nak lari sekejap untuk menziarah jenazah.
| MEMBACAKAN selawat bersama ustaz dan pelajar tahfiz. |
“Setelah selesai rakaman kira-kira jam 9 malam barulah Kak Pah dapat bergegas ke rumah Allahyarham. Kak Pah terkilan sangat sebab tak sempat menatap wajah Asri buat kali terakhir. Kak Pah mahu sangat berbuat demikian tetapi jadual Kak Pah ketika itu sangat ketat.
“Kak Pah memang terasa sangat pemergian arwah kerana kami sudah saling mengenali lebih 17 tahun. Dulu arwah sering menghadiri tahlil dan kelas agama di rumah Kak Pah tetapi sejak Rabbani sibuk, arwah jarang dapat turut serta. Bagaimanapun setiap kali kami terserempak di mana-mana, arwah tak pernah lupa bertanyakan khabar Kak Pah. Arwah panggil Kak Pah dengan panggilan Kak saja, jadi apabila setiap kali kami terserempak dia mesti bertanya, Kak apa khabar? Kak masak apa? Itu antara soalan wajib yang ditanyakan arwah.
“Bukan saja dengan Kak Pah, arwah juga akrab dengan Aliff. Jika dia ke Madinah, dia tak lupa menghubungi Aliff dan belanja anak Kak Pah makan. Kalau Aliff balik bercuti seperti tiga tahun lalu, arwah juga akan hubungi Aliff dan mengundangnya berbuka puasa di Hotel Singgahsana, tempah arwah menyanyi sepanjang bulan Ramadan,” kata Kak Pah yang sukar melupakan kebaikan Asri yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri.
Oleh kerana sudah menganggap Asri seperti adiknya sendiri, Kak Pah sanggup mengadakan majlis tahlil di kediaman arwah tetapi dia tidak menganggap sumbangan itu dari seorang yang bernama Sharifah Aini sebaliknya daripada seorang kakak kepada adiknya.
| MELAYAN kanak-kanak tahfiz menjamu selera selepas selesai majlis ilmu. |
Sepanjang mengenali Allahyarham, perkara paling membuatkan Sharifah Aini sukar melupakan Asri adalah kepada keperibadian mulia Ikon Nasyid itu. Sikapnya yang bertimbang rasa dan tidak berkira adalah antara sikap terpuji yang cukup membuatkan Kak Pah kagum.
“Arwah seorang yang unik, dia bukan seorang yang mata duitan dan tidak pernah berkira soal bayaran. Berapa pun yang diberikan penganjur dia akan terima dengan ikhlas tidak kiralah banyak atau sikit.
“Kak Pah juga cukup terharu kerana pernah sekali penganjur tak mampu menyediakan bayaran sebaliknya hanya mampu memberikan duit minyak saja tetapi arwah tetap terima undangan berkenaan. Kebaikannya betul-betul membuatkan Kak pah terharu, dia langsung tidak berkira sebaliknya amat berbesar hati dapat membantu.
“Arwah juga seorang yang sangat tenang, sepanjang tempoh perkenalan kami, Kak Pah tak pernah dengar dia marah atau merungut. Kata-kata yang keluar dari mulutnya semuanya lembut dan sangat berbudi bahasa. Nampaknya selepas ini Kak Pah tidak berpeluang lagi untuk bertemu dengan orang yang baik seperti Asri dan Kak Pah akan merindui keindahan suaranya mengalunkan azan,” kata penyanyi itu lagi.
Bagaimanapun penyanyi yang sudah lebih 40 tahun pengalaman dalam dunia seni suara tanah air itu menasihati ahli kumpulan Rabbani yang lain supaya tidak patah semangat sejak ketiadaan Asri, sebaliknya mengharapkan anggota kumpulan yang lain akan terus kekal berdakwah dan berjuang demi Rabbani.
Kak Pah teruja Ramadan tiba
SAMBUTAN Ramadan tahun ini tentu sekali cukup bererti bagi Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini apabila anak lelaki tercinta, Aliff, turut berada di sisi. Aliff yang masih menuntut di Madinah, kembali ke ibu kota 3 Julai lalu untuk bercuti panjang kira-kira tiga bulan, sebelum pulang semula ke Arab Saudi.
Pengajian anak muda berusia 27 tahun itu masih berbaki empat tahun di kota suci itu. Lalu, kata penyanyi bersuara buluh perindu itu, tiada apa lagi yang diinginkan selain menyambut kedatangan bulan puasa penuh keberkatan itu bersama anak tunggalnya.
"Kak Pah sebenarnya amat seronok sekarang kerana Aliff pulang ke Kuala Lumpur untuk sama-sama menyambut Ramadan di Malaysia. Yang lain tidak lagi penting apabila dia ada di samping Kak Pah," ujar wanita yang sering membahasakan dirinya sebagai Kak Pah itu tatkala ditemui di kediamannya, baru-baru ini.
Akui penyanyi yang paling lama bertahan bersama syarikat rakaman EMI Malaysia ini, pada ketika dia cukup gembira dengan kehadiran Aliff, hatinya akan cepat bersedih sebaik saja hari-hari si bujang kesayangannya itu hendak meninggalkannya semula hampir tiba.
"Walaupun dia masih bersama Kak Pah, tetapi hati Kak Pah sudah mula tidak tenang sebaik saja mengetahui hanya beberapa hari yang tinggal untuk kami meluangkan waktu bersama sebelum dia pulang ke Madinah. Itulah yang selalu Kak Pah rasakan setiap kali Aliff terpaksa pulang menyambung pengajian," cerita penyanyi Yayadan ini. Tahun ini, Aliff akan kembali ke Madinah pada Aidilfitri ketiga.
Ditanya apakah dia tidak merancang sebarang percutian bersama anak lelakinya itu sepanjang Aliff berada di ibu kota, penerima Anugerah Khas Bintang Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 memberitahu, dia sebenarnya sudah pun mempunyai perancangan sendiri.
"Pada awalnya, Kak Pah memang hendak pergi bercuti bersama Aliff serta anak angkat Kak Pah ke Australia. Tetapi, mengenangkan keadaan sekarang yang kurang mengizinkan apabila penyakit Influenza A (H1N1) semakin menular, nampaknya biarlah Kak Pah tunda dulu perancangan itu.
"Namun, Insya-Allah, dalam masa terdekat ini Kak Pah dan Aliff akan turun ke Singapura untuk bertemu dengan ibu Kak Pah di sana. Setiap kali tibanya Ramadan, Kak Pah menang tidak lupa untuk menjenguk ibu di kota Singa," ujar artis yang turut menghiasi beberapa filem popular ini.
Sering anjurkan majlis ilmu di rumah
MENYAMBUT Ramadan secara bersederhana, Sharifah Aini berkata, sebagaimana amalannya sejak kira-kira setahun yang lalu, pada Ramadan ini dia akan tetap menganjurkan majlis ilmu atau majlis khatam Quran di kediamannya. Amalan menganjurkan majlis ilmu seperti itu, kata Biduanita ini, menjadi sesuatu yang amat menggembirakan serta menyenangkan hatinya saat ini.
"Pada setiap bulan, Kak Pah memang ada menjemput ustaz dan anak-anak tahfiz sekitar Kuala Lumpur dan Selangor untuk hadir pada majlis khatam al-Quran yang diadakan di surau di kediaman Kak Pah. Seperti yang dapat dilihat pada malam ini, kira-kira 80 kanak-kanak tahfiz bersama ustaz mereka hadir mengimarahkan majlis.
"Kak Pah ingin memenuhkan rumah Kak Pah dengan bacaan ayat suci al-Quran serta zikir. Apalah gunanya rumah yang tersergam ini jika Kak Pah tidak menggunakannya untuk mendapatkan pahala? Baiklah Kak Pah manfaatkan rezeki yang diberi Tuhan ini untuk mendapatkan kebaikan.
"Lagipun, sudah menjadi azam Kak Pah dulu, apabila siap saja rumah ini, Kak Pah hendak menjadikannya pusat majlis agama dan ilmu. Kak Pah amat gembira dengan semua amalan ini," katanya yang turut mengundang saudara-mara serta kenalan rapat setiap kali majlis sedemikian dianjurkan.
Menurut Sharifah Aini, sebagaimana manusia dia mencari rezeki menerusi bakat yang dianugerahkan Tuhan kepadanya sebagai penyanyi. Namun, amalan untuk bekalan akhirat tidak akan dilupakannya.
"Kak Pah berasa cukup bertuah apabila ustaz yang datang pun agak rapat dengan Kak Pah. Mereka golongan yang penuh dengan ilmu di dada. Kini Kak Pah berasa lebih selesa apabila golongan berilmu ini yang datang ke rumah. Kak Pah sudah penat dianiaya mereka yang mengaku sahabat, tetapi akhirnya melakukan perkara tidak baik di belakang kita.
"Bukannya Kak Pah sombong untuk tidak mengundang golongan itu lagi ke rumah, tetapi Kak Pah sentiasa belajar daripada kesilapan," ujarnya yang akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur.
Penyanyi ini turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambung Ramadan kepada semua peminat serta pembaca Berita Harian.
Ustaz Asri Dalam Kenangan di TV3
MASIH terngiang-ngiang suara Mohd Asri Ibrahim atau Ustaz Asri bersama rakan-rakannya dalam kumpulan Rabbani menyanyikan lagu Pergi Tak Kembali yang sejak akhir-akhir ini sering disiarkan oleh stesen radio.
Bagi mereka yang pernah bertemu secara langsung dengan Ustaz Asri, sudah tentu akan terkenang kemesraan dan keramahannya dengan wajahnya yang sentiasa tersenyum.
Pemergian Ustaz Asri yang meninggal dunia pada 13 Ogos lalu meninggalkan kesan besar bukan saja kepada industri muzik tanah air keseluruhannya. Allahyarham bukan saja dikenali sebagai penyanyi, tetapi juga seorang personaliti TV dan penggubah lagu, selain sering terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan terutama memberi motivasi kepada generasi muda.
Perjuangan Ustaz Asri di dalam kumpulan Rabbani yang mula ditubuhkan pada 1 Mac 1997 berjaya mendapat sambutan peminat dengan alunan zikir dan menyebarkan dakwah melalui irama nasyid yang diperjuangkan.
Sebagai mengenang perjuangan Allahyarham, TV3 menerbitkan program Ustaz Asri Dalam Kenangan selama satu jam mulai jam 6.00 petang ini.
Program ini akan memaparkan kompilasi persembahan kumpulan Rabbani dalam konsert yang pernah dirakamkan TV3 seperti Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul asul 1428H (2007) & Konsert Rabbani Istimewa Maulidur Rasul 1427H (2006) termasuk persembahan duet kumpulan Rabbani bersama penyanyi terkemuka tanah air iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search dan Mawi.
Penonton juga akan dapat menyaksikan sedutan visual sewaktu pengebumian jenazah Allahyarham serta wawancara bersama anggota kumpulan Rabbani yang lain.
Selain itu, penonton boleh menghantar ucapan takziah yang akan dipaparkan melalui crawler ketika program ini disiarkan dengan cara menghantar SMS: hantar TV3
Orang ramai boleh menelefon talian bantuan 03-79557736 pada hari Isnin hingga Jumaat jam 9 pagi hingga 6 petang untuk sebarang maklumat lanjut.
Sementara itu, TV3 menganjurkan Majlis Doa Selamat Sempena Ramadan dan tahlil kepada Allahyarham Ustaz Asri - Rabbani di Surau Sri Pentas (TV3), Damansara Utama, jam 12.30 tengah hari, semalam.
Lagu 1Malaysia : Penyanyi profesional, amatur berentap
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
KETUA Pegawai Eksekutif Celcom (M) Berhad, Datuk Sri Shazalli Ramly, Ahmad Izham dan Seelan bersama finalis dan mereka yang terbabit menjayakan kempen Pencarian Hot FM Lagu 1Malaysia. |
Tarikh tutup undian Pencarian Hot FM Lagu 1Malaysia pada 26 Ogos
SEBANYAK 10 daripada 350 penyertaan yang diterima daripada kempen Pencarian Hot FM Lagu 1Malaysia dipilih ke peringkat akhir merebut peluang wang tunai bernilai RM5,000 yang ditawarkan kepada juara.
Apa yang menariknya, pertandingan ini bakal menyaksikan pertarungan di antara komposer serta penyanyi profesional dan amatur yang berentap merebut gelaran juara.
Pemilihan lagu terbaik ini hanya boleh dibuat melalui undian secara talian menerusi sesawang rasmi Hot FM di www.hotfm.com.my. Tarikh tutup undian adalah pada 26 Ogos sementara pemenang diumumkan pada 31 Ogos nanti sempena Hari Kemerdekaan ke-52.
Ketua Rangkaian Radio Media Prima, Ahmad Izham Omar berkata, pemilihan ke semua 10 peringkat akhir ini tidak hanya dibuat oleh Media Prima Berhad (MPB) tetapi turut membabitkan Jabatan Perdana Menteri (JPM). Katanya, kriteria pemilihan tidak terletak kepada populariti artis tetapi 10 lagu yang terpilih itu dinilai kepada melodi serta liriknya.
“Lagu yang kami pilih pertamanya perlu menarik supaya sesuai untuk disampaikan oleh pancaragam atau ketika konsert, setelah kami mengenal pasti 30 lagu yang terbaik barulah kami melihat liriknya. Apa yang mengejutkan kami, pihak jabatan sendiri mencari lagu yang moden sesuai dengan aliran muzik semasa.
“Kami amat berbangga kerana usaha Hot FM mendapat sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Pada mulanya, kami meminta supaya Perdana Menteri yang memilih pemenang tetapi beliau menyarankan supaya masyarakat Malaysia diberikan hak untuk memilih kerana lagu itu kelak ditujukan khas untuk rakyat,” katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Operasi Hot FM, Seelan Paul menafikan penyenaraian pendek artis dan komposer profesional terletak di tangan mereka, sebaliknya turut membabitkan pihak JPM. Beliau bagaimanapun berkata, pembabitan komposer mahupun artis terkemuka tidak menjamin kemenangan mudah kepada mereka.
“Ketika kami mengumumkan senarai finalis Rabu lalu, maklum balas yang kita terima tidak banyak yang berpihak ke arah komposer terkenal. Saya percaya pendengar Hot FM sedar ini bukannya pertandingan yang mengetengahkan artis popular tetapi kempen 1 Malaysia.
“Kempen ini sebenarnya meletakkan semua peserta dalam satu kelas yang sama, tidak ada istilah siapa yang profesional dan amatur. Pada tahap ini mereka semuanya sama saja, semuanya memiliki bakat serta kebolehan tersendiri,” kata Seelan.
Menurut Seelan lagi, pada mulanya mereka tidak berharap kempen yang dicetuskan secara spontan oleh Faizal Ismail dan Fara Fauzana akan mendapat sambutan menggalakkan. Malah ketika peringkat saringan, mereka hanya menjangkakan hanya empat buah lagu saja yang menepati kriteria tetapi mengejutkan apabila lebih 30 buah lagu menarik yang diterima mereka.
Lagu yang akan dipilih sebagai lagu 1 Malaysia terbaik tidak hanya membawa pulang wang tunai sebanyak RM 25,000 tajaan Xpax, tetapi juga berpeluang merakamkan muzik video yang bakal ditayangkan di televisyen.
Kempen Pencarian Hot FM 1 Malaysia lahir secara spontan apabila penyampai radio itu, Fara Fauzana mencabar Faizal supaya menghasilkan lagu patriotik yang bersesuaian dengan generasi baru apabila melihat masyarakat masih lagi menyanyikan lagu patriotik lama ketika menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan Manchester United dan Malaysia. Faizal menyahut cabaran berkenaan dan berjaya menghasilkannya dalam tempoh tiga hari, dari situ maklum balas positif diterima daripada pendengar Hot FM mendorong stesen berkenaan menganjurkan kempen berkenaan. Lebih membanggakan penyertaan diterima dari masyarakat berbilang bangsa.
Kerjasama tubuh sekolah filem
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
AHMAD bertukar dokumen MoU dengan Pengarah Eksekutif Scientific Arts Capital, Alfred Sia sambil diperhatikan oleh Tan Sri Jins Shamsuddin dan Abdul Wahab (kanan). |
Peluang lepasan diploma, ijazah lanjut pelajaran
DENGAN matlamat melahirkan lebih ramai penggiat filem profesional, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) mengadakan kerjasama bersama Orange International College (OIC) dan Scientific Arts Capital bagi merealisasikan penubuhan Sekolah Filem dan Teknologi di kolej itu.
Pewujudan sekolah itu atas kesedaran ramai graduan yang tercari-cari lokasi terbaik untuk mempraktikkan teori yang dipelajari ketika di kolej mahupun universiti. Begitu juga ramai lepasan institusi pengajian tinggi yang bekerja dalam bidang bukan dipelajari mereka, berikutan peluang agak terhad.
Lalu, dengan adanya sekolah filem ini, diharap lepasan diploma mahupun ijazah, serta mereka yang berminat dalam industri pembikinan filem tidak perlu risau mengenangkan masa depan mereka selepas tamat pengajian.
Ketua Pegawai Eksekutif OIC, Abdul Wahab Badaruzaman, berkata ramai bekas pelajar perfileman tidak mempunyai kepakaran atau kurang terlatih apabila tamat pengajian.
"Justeru, kami menyediakan tempat untuk golongan ini, serta mereka yang berminat dalam dunia perfileman, tidak kiralah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia ataupun universiti, untuk mempraktikkan teori yang dipelajari," katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman itu di Finas, Hulu Klang, baru-baru ini.
Menurutnya, tempoh kursus akan berlangsung tiga hingga enam bulan dengan tenaga pengajarnya disediakan FDAM, yang kini memiliki lebih 300 anggota dengan 16 orang daripadanya pemegang ijazah doktor falsafah.
Abdul Wahab memberitahu, kursus perfileman yang ditawarkan di kolej terbabit ialah suntingan, penulisan skrip, pengarahan, animasi, lakonan dan videografi.
"Seramai kira-kira 40 pelajar dijangka mendaftar untuk peringkat permulaan ini, pada November depan. Abdul Wahab berkata, sijil tamat kursus yang disediakan kolej itu diiktiraf kerajaan.
Bagi membantu FDAM menjayakan kursus berkenaan pula, persatuan terbabit turut mendapat sokongan Persatuan Penulis Skrin Malaysia (Swam) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima).
Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim berkata, selepas Aidilfitri nanti, seramai 25 tenaga pengajar daripada ketiga-tiga persatuan terbabit akan diberikan latihan selama dua minggu sebelum mereka memulakan tugas pada Januari tahun depan.
Pengerusi Eksekutif OIC, Tan Sri Yahaya Ibrahim pula berkeyakinan kursus perfileman yang ditawarkan mereka muncul usaha yang bakal mencapai kejayaan berikutan wujudnya ramai pakar dalam bidang berkenaan dalam persatuan terbabit.
Dengarnya...: Filem lakonan Fazura ditayangkan 5 November
Fazura berlakon dalam filem Pisau Cukur. |
BEBERAPA hari lalu, rakan Cik Normah ada berborak dengan orang kuat Primeworks Studios, yang sebelum ini bertanggungjawab menghasilkan filem Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad. Khabarnya, banyak lagi projek menarik bakal diusahakan syarikat penerbitan dan pengedaran filem ini untuk tahun depan.
Primeworks juga nampaknya selesa dengan projek usaha sama beberapa syarikat lain dalam penghasilan filem. Dengan cara itu, katanya, penjimatan kos boleh dilakukan. Dalam keadaan pasaran filem Malaysia yang belum begitu besar ini, tindakan itu tentulah antara cara terbaik untuk meneruskan pembangunan industri filem tempatan.
Khabarnya, projek seterusnya membabitkan usaha sama antara Primeworks dengan Red Films yang sebelum ini turut bekerjasama dengan mereka menghasilkan Pisau Cukur. Dua lagi syarikat yang akan sekali lagi bekerjasama dengan Primeworks ialah Skop Productions dan Lineclear Motion Pictures.
Ketiga-tiga syarikat terbabit memang sudah sering bekerjasama dengan Primeworks. Jadi, mereka memang saling memahami antara satu sama lain. Sebuah lagi syarikat yang menjalinkan kerjasama dengan mereka ialah KRU Studios.
Selain Pisau Cukur lakonan Maya Karin, Fazura dan Aaron Aziz yang akan ditayangkan 5 November ini, dua lagi filem yang sudah pun disiapkan bersama Lineclear, Dua Hati Satu Jiwa dan Empat Madu bakal menemui peminat pada tahun depan.
Disember ini pula, Primeworks dikatakan bakal menyaksikan filem usaha samanya bersama syarikat penerbitan dari Thailand, Sanctuary, ditayangkan di negara ini. Filem yang dibintangi pelakon Thai dan Hollywood itu menjenguk pawagam di negara Gajah Putih terbabit pada Oktober depan.
Primeworks juga khabarnya kini dalam proses terakhir menghasilkan filem I Not Stupid dalam versi Melayu. Filem yang dibuat berdasarkan komedi popular dari Singapura terbitan 2002 itu bakal diarahkan sekali lagi oleh sutradara asalnya, Jack Neo. Sebuah lagi filem komedi berjudul Where Got Ghost? juga bakal diterbitkan oleh Primeworks tahun depan.
Jejak Rasul kembali lagi dengan paparan Sirah Anbiya
SEBAGAIMANA kurma dan dan bazaar Ramadan menjadi penyeri sambutan bulan puasa, begitu juga dengan program di TV3, Jejak Rasul yang menjadi santapan rohani setiap kali menjelangnya bulan yang mulia ini.
Mula diperkenalkan pada tahun 1995 di TV3, Jejak Rasul adalah dokumentari ilmiah yang popular kerana memaparkan peninggalan para anbiya selain peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan 25 Rasul.
Kali ini, Jejak Rasul - Sirah Anbiya yang disiarkan sebanyak 29 episod ini menemui penonton TV3 sepanjang Ramadan setiap hari jam 6 petang mulai, esok.
Sirah Anbiya’, dokumentari sejarah berkonsep kembara jalanan atau travelogue ini adalah pembikinan semula siri Jejak Rasul musim pertama. Bagaimanapun, kali ini pengisiannya lebih segar dan bermaklumat.
Sejak diperkenalkan 14 tahun lalu, Jejak Rasul 1 memberi kesan amat berkesan kepada penonton dan industri dalam pembikinan dokumentari berbentuk ilmiah.
Siri pengenalan Jejak Rasul ini terus menjadi permintaan ramai dan selepas lebih sedekad menemani penonton, lokasi-lokasi Jejak Rasul yang masih menjadi sebutan penonton setia siri ini kembali dikunjungi oleh krew penerbitan Jejak Rasul.
Bersempena sambutan ulang tahun TV3 yang ke 25 ini, Jejak Rasul 15 kembali menerokai lokasi bersejarah yang pernah dilawati seperti Syria, Mesir, Jordan, Israel, Turki, Arab Saudi dan Yemen.
Jejak Rasul 15 akan mengupas sejarah Nabi dan Rasul juga kisah-kisah penuh pengajaran yang disebut dalam al-Quran dan Sunnah. Bersesuaian dengan lokasi penggambaran yang bersejarah, warna kehidupan masyarakat tempatan juga akan turut dipaparkan merangkumi latar belakang sejarahnya, budaya serta bahasa.
Siri 29 episod ini membawakan kisah bersumberkan al-Quran dan Sunnah disokong dengan fakta dan kajian ilmiah serta disampaikan oleh pengacara berwibawa, Ahmad Noor Sulaiman.
Penerbit Jejak Rasul Musim ke-15, Jasmi Shahir berkata, siri kali ini memberi tumpuan kepada semangat yang ditunjukkan oleh Rasul serta pengajaran yang boleh didapati daripada sejarah.
Kisah-kisah para Rasul ini dapat dilihat dengan jelas lagi melalui siri Jejak Rasul selain dari mengetahui peristiwa yang bersejarah melalui al-Quran dan Hadis. Ayat-ayat suci al-Quran dan Hadis menerangkan perjuangan para Rasul dan sahabat demi menegakkan syiar Islam seperti rintangan yang terpaksa dihadapi ketika berdakwah, kesusahan dan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh mereka serta pencapaian dalam menyebarkan agama Islam.
Penggambaran yang dijalankan selama 100 hari ini bukan saja menerokai peristiwa sejarah para Rasul seperti yang dinyatakan di dalam Quran dan Sunnah tapi turut memaparkan pemandangan, rakyat tempatan dan lokasi-lokasi yang dilawati sepanjang pengembaraan di serata pelusuk bumi Anbiya’.
Khusus buat penonton setia TV3, pastikan petang anda terisi sepanjang bulan Ramadan ini dengan menonton Jejak Rasul 15 -Sirah Anbiya.
Raja Ramilah Raja Mohamad : Bukan suka-suka
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
PERTAMA kali bersua dengan pelakon dan pengacara, Raja Ramilah Raja Mohamad, 24, atau Ilya pasti ada yang perasaan wajah gadis dari Ipoh, Perak ini seperti bintang Bollywood.
Gadis berkulit gelap dengan penampilan ranggi menjadi tarikan kepada Ilya yang pernah berkhidmat di awan biru sebagai pramugari bersama Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) lebih empat tahun lalu.
Menurut Ilya, pembabitan dalam drama dan filem yang pada mulanya sekadar ingin mencuba, akhirnya menimbulkan minat mendalam untuk berkecimpung dalam dunia seni.
Gadis berdarah Melayu-Malayalam yang fasih berbahasa Tamil, Inggeris dan Melayu ini mengambil keputusan nekad untuk menjadikan dunia seni sebagai karier utamanya.
"Ketika masih berkhidmat sebagai pramugari, saya sudah mula berjinak-jinak dalam dunia seni dengan menghadiri beberapa uji bakat sekitar 2007.
"Sehingga saya mengambil keputusan nekad untuk tidak menyambung kontrak dengan MAS tahun lalu. Sebaliknya memilih untuk terbabit sepenuh masa dalam dunia seni.
"Pembabitan dalam bidang seni bukan sekadar suka-suka, sebaliknya saya mahu menjadikannya sebagai sumber pendapatan utama. Keputusan itu juga didorong keinginan untuk mencari cabaran baru. Cukuplah pengalaman bertugas lebih empat tahun sebagai anak kapal," kata Ilya ketika berkunjung menjayakan sesi fotografi di Studio NSTP, Bangsar, baru-baru.
Dia yang menyertai uji bakat pertama bersama KL Motion Picture membuat kemunculan pertama di layar kaca menerusi telemovie, Malam Tujuh Likur terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd, dua tahun lalu.
Bakatnya turut diintai produksi antarabangsa apabila membintangi drama Tamil, Tup Periyum Pulli dan Be Brave 2 (telemovie Inggeris).
Di samping lakonan, Ilya terbabit dalam bidang pengacaraan. Bermula dengan program majalah permotoran, X Tune, dia mula mendapat tempat mengendalikan beberapa program bercorak majalah wanita seperti Anggun Pesona di TV2.
Pengacaraan dan lakonan dua bidang yang cukup diminati. Malah, Ilya menyifatkan pembabitan dalam dunia seni bukan sekadar mengejar populariti. Sebaliknya, menganggap pembabitan serius didorong keinginan untuk menyumbang sesuatu seterusnya meraih anugerah dalam dunia seni.
"Memang sukar untuk pendatang baru seperti saya menceburi dunia lakonan. Sebagai orang baru dalam bidang ini, saya perlu rajin berusaha. Perlu sentiasa cuba menyertai sesi uji bakat.
"Bukan mudah untuk meyakinkan seseorang penerbit dan pengarah sesebuah produksi. Tambahan pula, orang baru seperti saya ini.
"Sehinggakan ada yang cuba mengambil kesempatan dan beranggapan serong kepada orang baru seperti saya. Bukan semua pendatang baru dalam dunia seni mudah diperkotak- katik. Perkara ini sedikit sebanyak mencemarkan imej dunia seni itu sendiri," katanya.
Mengakui mungkin kelebihannya kerana menguasai bahasa Tamil, selain bakat semula jadi dalam dunia seni turut memberi ruang untuk bertapak dalam arena seni tanah air.
Ilya juga pernah mendapat tawaran daripada produksi Bollywood. Biarpun ada keyakinan untuk menyambar peluang yang diberikan, dia lebih suka bersikap realistik memikirkan soal masih cetek pengalaman dan mahu membina nama di negara sendiri terlebih dulu sebelum melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa.
Selepas Tup Periyum Pulli, dia turut ditawarkan membintangi sebuah lagi telemovie Tamil, Agguran arahan Shanjay Perumal serta menjayakan program Astro Vaanavil sempena Hari Kebangsaan.
Ilya menyifatkan impian sejak kecil untuk berkhidmat di awan biru sudah terlaksana. Malah kerjaya pramugari itu banyak mengajarnya untuk berhadapan dengan orang ramai dan membina keyakinan diri yang tinggi.
Padanya, biarpun jalan yang dipilih dalam dunia seni masih samar, namun dia percaya pada rezeki yang ditentukan Yang Maha Esa. Justeru, baginya setiap tawaran yang diberikan tidak mahu dipersiakan atau ditolak mentah-mentah. Dia bersyukur kerana sejak terbabit dalam dunia seni, rezekinya tidak pernah putus malah ada saja tawaran yang datang.
"Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk tampil dalam dunia seni. Saya sememangnya tidak kisah ditawarkan apa saja watak sama ada kecil atau besar.
"Kalau boleh, setiap peluang yang diberikan akan saya terima. Malah kadangkala saya rasa tidak puas hati apabila tidak dapat menerima tawaran yang diberikan disebabkan terikat dengan komitmen lain.
"Setakat ini, saya sudah mencuba pelbagai watak seperti gadis kampung, gedik dan watak wanita tua. Kalau boleh, saya memang mahukan watak yang mencabar seperti tomboi dan orang kurang siuman," katanya.
Dengan hanya bersandarkan pengalaman membabitkan diri dalam bidang teater ketika zaman persekolahan, Ilya boleh dilabel sebagai generasi pelapis dalam dunia lakonan. Malah sikap mahu mencuba sesuatu yang berbeza membawa kepada pembabitannya dalam bidang itu.
"Memang saya tidak ada pengalaman langsung dalam bidang ini. Hanya bersandarkan minat. Berlatih sendiri menerusi pengalaman menyertai pelbagai uji bakat selain melalui tawaran yang diterima. Pada saya, latihan paling bagus ialah menerima banyak tawaran bekerja.
"Saya sendiri mengakui mendapat banyak pengalaman dalam setiap pekerjaan yang saya lakukan. Namun, setiap tawaran yang diterima perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan jangan secara sambil lewa. Saya sentiasa menilai setiap kelemahan dalam karakter lakonan supaya dapat menampilkan yang lebih baik pada masa akan datang," katanya.
PROFIL
NAMA PENUH: Raja Ramilah Raja Mohamad
NAMA KOMERSIAL: Ilya
TARIKH LAHIR: 11 Julai 1985
TEMPAT LAHIR: Ipoh, Perak
ADIK-BERADIK: Anak keempat daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan dari Institut Teknologi Perak
KARIER: Pengacara dan pelakon
PENGACARA: Pesona Anggun, Akademi 1001 Rasa Baba's, X Tune, Zero To Hero, Fight School
DRAMA: Malam Tujuh Likur, Kekasihku Seru, Penghujung Rindu, Pantai Keramat, Biru Cinta Laguna, Majal, Tup Periyum Pulli (Tamil) dan Be Brave 2 (Inggeris)
FILEM: Janin
Taufik bengang dituduh kasanova
Oleh Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com.my
BERBEKALKAN wajah tampan, penampilan menarik serta bergaya sudah tentu menjadi igauan ramai wanita. Ditambah pula, kelunakan suaranya dalam melodikan lagu, menarik perhatian dunia muzik tempatan.
Biarpun disempadani dua negara, namun populariti penyanyi kelahiran Singapore Idol musim pertama, Taufik Batisah, 28, turut dirasai di sini.
Taufik yang juga seorang komposer, menganggap populariti adalah satu perkara penting dalam industri hiburan kerana tanpanya sukar bagi dia menembusi pasaran Malaysia dan dikenali ramai.
Tidak mahu dikenali berdasarkan rupa paras, Taufik yang sudah beberapa kali memenangi Artis Singapura Paling Popular di Anugerah Planet Muzik, menginginkan peminat menghargai muzik yang diperjuangkannya.
Justeru, kerana 'publisiti' akhirnya Taufik dikatakan pula seorang kasanova dan gemar bertukar pasangan berikutan dia selalu dilihat berdampingan dengan ramai wanita.
Runsing dengan kenyataan itu, namun Taufik yang ditemui selepas majlis pelancaran album terbarunya berjudul Suria Hatiku di Red Box Ria, baru-baru ini, menjawab segala pertanyaan berkisar kontroversi itu dengan tenang.
Jelas Taufik, dia tidak pernah mengamalkan sikap kasanova kerana cinta adalah satu perasaan simbolik yang sukar ditafsirkan menerusi kata-kata.
Apatah lagi, dia menghormati kehadiran wanita yang bakal bersamanya seumur hidup seperti kasih kepada ibunya sendiri.
"Kelakarlah bila dengar orang kata saya seorang 'player' memandangkan selalu keluar bersama wanita. Bagi saya, keluar dengan wanita adalah perkara biasa dan tidak semestinya kami bercinta. Kalau diikutkan, kawan baik saya sendiri seorang wanita.
"Ketika ini, saya berkawan dengan ramai wanita. Lagipun, kalau keluar dengan lelaki saja, nanti timbul pula gosip mengatakan saya ini gay. Sukar hendak menutup mulut orang. Tetapi, saya terima kerana ia menandakan pembabitan dalam dunia seni muzik disedari ramai.
"Ketika awal menerima gosip itu, sakit hati dan bengang pun ada. Tetapi, lama-kelamaan sudah biasa dan saya bukanlah seorang yang gemar mainkan perasaan wanita. Buat masa ini, saya masih belum ada teman istimewa selepas putus cinta semasa belajar di Politeknik, Singapura.
"Pedih rasanya bila kehilangan orang yang disayangi. Disebabkan itu, lagu Usah Lepaskan saya tujukan khas kepada dia. Berdasarkan pengalaman itu, banyak mengajar saya erti cinta dan berhati-hati memilih pasangan," katanya.
Suasana majlis pelancaran album keempat Taufik dilihat turut mengundang penyanyi dan pelakon, Ezlyn. Kehadiran Ezlyn di situ, menimbulkan persoalan apatah lagi apabila Taufik mendendangkan satu lagu istimewa buat gadis manis ini. Mungkinkah pasangan ini bercinta?
"Hubungan kami tidak lebih sekadar kawan baik saja. Saya kenal dia ketika membuat persembahan dua tahun lalu di Desaru, Johor Baharu. Bagi saya, dia seorang gadis baik dan mempunyai ciri-ciri wanita idaman lelaki. Senang cerita, saya senang berkawan dengannya.
"Kedatangan Ezlyn ke majlis ini sebagai tanda sokongan dan tidak lebih dari itu. Sebagai menghargai rakan artis yang sudi meluangkan masa menghadiri majlis ini, tidak salah rasanya sekiranya menyanyikan satu lagu khas buat mereka.
"Justeru, saya harap tidak timbul pelbagai spekulasi mengenai kehadiran Ezlyn. Tetapi, kalau ada jodoh antara kami, tidak mustahil saya akan melamar Ezlyn sebagai peneman hidup bersama," seloroh Taufik.
Buah tangan terbaru Taufik berjudul Suria Hatiku sudah berada di pasaran pada 4 Mei lalu dan pertama kali berkolaborasi dengan Suria Records (SRC) untuk pengedaran dan promosi album di negara ini. Memuatkan 10 lagu bahasa Melayu, lapan adalah hasil ciptaannya dan dua daripada komposer dan penyanyi terkenal, M Nasir, album kali ini menampilkan kelainan berbanding sebelum ini.
Beritahunya lagi, memandangkan album Teman Istimewa kurang mendapat sambutan di negara ini, album terbarunya dipadatkan dengan pelbagai elemen baru yang lebih menarik dan mempertaruhkan lagu seperti Gadis Itu dan Nafasku untuk menjadi lagu hit di sini. Dua lagu yang dicipta khas oleh M Nasir, Hey dan Citra Suria turut dijangka menjadi lagu hit untuk dimainkan di stesen radio tempatan.
Mohd Azmira Mohamad Arif : Kurniaan bawa rezeki
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
SUARANYA yang sengau dianggap satu kekurangan dan tidak kurang menjadi bahan persendaan bagi mereka yang agaknya terlupa Ilahi menjadikan setiap manusia itu pasti ada kekurangan.
Tidak kiralah sama ada secara luaran mahupun dalaman kerana begitulah sifat kita insan biasa.
Namun, rezeki juga sudah ditentukan-Nya buat mereka yang terpilih. Masalah sengau yang dihidapi Mohd Azmira Mohamad Arif, 26, atau nama komersilnya, Azmir Ariff, sebenarnya adalah satu ‘kurniaan’ yang membawa punca rezeki.
Barangkali, di sini peluang Azmir untuk mencipta sedikit terbatas hanya kerana kekurangan itu namun, pihak luar melihatnya sebagai satu keistimewaan.
Justeru tidak hairanlah, mengapa Azmir berjaya mendapat kontrak daripada pihak Kris Media Pte.Ltd yang secara rasminya bertindak sebagai syarikat rakaman yang turut bertanggungjawab menguruskan kerjaya seninya di Singapura.
Azmir yang ditemui di majlis pelancaran album sulungnya, ‘Kurniaan’ yang diadakan di Restoran Seri Melayu baru-baru ini, ternyata begitu terharu dengan peluang yang diberikan.
“Menjadi insan bernama Azmir Ariff itu tidak mudah kerana saya sudah lelah dengan kata-kata cacian orang yang memandang rendah bakat saya.
“Namun, saya percaya selagi niat kita ikhlas dan sentiasa berusaha, Insya-Allah segala yang diusahakan akan tercapai walaupun payah.
“Terus-terang saya sebenarnya tidak menyangka memperoleh peluang ini apatah lagi, tawaran itu datangnya dari syarikat rakaman dari Singapura. Alhamdulillah, mungkin ini dikatakan nikmat hasil penat lelah selama ini,” katanya.
Pada acara yang indah itu, Azmir sempat menghiburkan tetamu menerusi rangkaian lagu seperti Maafkan Aku, Zapin Kelana, Misteri Cinta Saksi dan Cinta Jasmin.
Sepanjang persembahan, dia kelihatan gementar sehingga hilang kata-kata barangkali kerana tidak menyangka penantian lebih setahun menyiapkan pembikinan album ini berakhir.
“Saya ingat akan menyerah kalah sebelum majlis ini diadakan kerana ada masanya saya fikir saya tidak mampu menghadapi cabaran dan tohmahan menjadi anak seni.
“Syukur, saya masih teguh berdiri dan diberi kekuatan. Kesempatan ini ingin saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua komposer yang terbabit.
“Iaitu Aidit AF3, Rafiq, Qalill, Rosdi Harun, Aesar Mustafa dan tidak ketinggalan komposer disegani ramai, Adnan Abu Hassan kerana mempercayai bakat saya. Tanpa mereka ini, album ini pasti tidak mampu dihasilkan.
“Tidak lupa juga media cetak dan elektronik khususnya stesen radio kerajaan dan swasta yang sudi memutarkan lagu-lagu saya,” katanya.
Pengalaman komposer yang bekerjasama dengannya turut ditanya di majlis pelancaran itu dan seorang daripada mereka iaitu Aidit AF3 menyifatkan Azmir penyanyi yang sangat berbakat besar.
“Azmir dianugerahkan bakat semula jadi dan memiliki ciri-ciri ikon yang boleh dijadikan inspirasi serta contoh kepada masyarakat kerana sifatnya yang merendah diri.
“Selepas tamat AF3, saya bergiat aktif dalam bidang penciptaan lagu dan sudah merakamkan banyak single penyanyi tempatan terutamanya bintang Akademi Fantasia.
“Apa yang istimewanya mengenai Azmir walaupun dia mempunyai masalah sengau, dia mampu menyelesaikan proses rakaman untuk satu lagu kurang daripada dua jam.
“Sedangkan artis penyanyi ‘normal’ lain yang pernah bekerjasama dengan saya ada yang terpaksa mengambil masa tujuh jam untuk satu sesi rakaman,” katanya sambil dipersetujui seorang lain komposer, Rafiq.
Sementara itu, wakil Kris Media Pte Ltd, Aiman Amani, pula menambah, kali pertama menyaksikan persembahan Azmir, pihaknya cukup mengagumi bakat pemuda kelahiran Pulau Mutiara, Pulau Pinang itu.
“Tiada apapun kekurangan pada pemuda ini bahkan suaranya yang merdu dan nyanyiannya itu lebih baik daripada kebanyakan penyanyi lain sehinggakan kita tidak akan menyangka Azmir ada rahsia di sebalik kehebatan suaranya itu.
“Selaku syarikat rakaman kami akan memastikan yang terbaik buat Azmir dan sekarang ini pun beberapa acara sudah direncanakan untuk mempromosikan namanya di Singapura.
“Misalnya pada 11 Oktober nanti Azmir akan membuat persembahan ‘Hi Tea Salam Lebaran Singapore Bersama Rosyam Nor’,” katanya.
Thursday, August 20, 2009
HIBURAN : KHAMIS 20 OGOS 2009
Cabaran besar buat mereka
TEATER muzikal Tun Abdul Razak membuka tirainya pada 16 Ogos lalu diPanggung Sari, Istana Budaya (IB) dan akan berakhir malam ini.
Rosyam selamatkan Iqbal Mazlan
BUATpertama kalinya undian khidmat pesanan ringkas (SMS) yang kerap'meraja' dalam program realiti kecundang di Pentas Akhir Pilih Kasihyang melabuh tabir pada hujung minggu lepas.
150 program sempena kempen NegaraKU
SEMPENAmeraikan sambutan kemerdekaan negara yang ke-52, Astro menyediakanlebih 150 buah program menarik bagi mengisi kempen NegaraKU, The BestOf 1Malaysia yang berlangsung selama sebulan bermula 15 Ogos lalu.
Rezeki Ramadan Zur Eda
HADIRsahaja Ramadan, selain bulan memperbanyakkan amal ibadah, pasti ramaidaripada kita yang menanti saat ini untuk menambah pendapatan denganmenjual juadah berbuka puasa.
Hanya 300 orang tonton persembahan Afgan
Disebalik nama-nama besar dari Indonesia, sistem audio dan visual yangbagus, konsert Illuminight - A Light Beat Of Love yang berlangsung diStadium Indoor Arena, Bukit Kiara Kuala Lumpur, Ahad lalu gagal menarikpeminat seni tanah air untuk menyaksikan konsert berkenaan.Hasilnyastadium yang boleh memuatkan penonton sehingga 5,000 orang hanyadihadiri tidak lebih daripada 300 penonton sahaja!Walaupun artis-artisyang hebat membuat persembahan iaitu kumpulan pop soul, Maliq &D'Essentials; pemenang anugerah Artis Lelaki Terbaik dan Album TerbaikAnugerah Planet Muzik 2009 (APM2009), Afgan Syahreza; Kumpulan Terbaikdan Artis Indonesia Paling Popular(APM 2009), Yovie & Nuno; danAtilia, sayang sekali ia tidak berjaya mengajak penonton untuk datangsama-sama berhibur dengan mereka.
Konsert berbayar hilang eksklusif
Penggiat seni perlu mencari formula terbaik dalam menangani lambakankonsert percuma yang bercambah di seluruh negara. Ia bukan sahajamembunuh konsert berbayar bahkan merendahkan nilai seni dan harga dirianak seni.
Anjurkan hanya di luar KL
"Kami di TV3 mengadakan konsert Jom Heboh secara percuma kepadamasyarakat semata-mata ingin menjalankan tanggungjawab sosial kepadamereka" – FADZLINIZA
Ya, kami akan menikah
"Tidak dinafikan, saya ada juga impian untuk mengenakan tudung suatuhari nanti. Siapa saja yang tidak ada keinginan untuk melakukanperubahan terhadap diri. Paling pasti, kedua-dua ibu bapa saya bakalterkejut dengan perubahan mendadak ini nanti" – SOFIA
Simon tidak tiru Bon Jovi
BIARPUN sekadar meraih tempat keenam dalam program realiti One In AMillion 3 (OIAM3), lelaki ini tidak pernah berhenti berusaha.
Edison dimalukan
Walaupuntelah menerima pelbagai cemuhan sebelum ini gara-gara skandal fotoseksualnya dengan beberapa artis wanita, nasib malang Edison Chen belumberakhir.
Ajar artis lambat
KISAH yang diceritakan oleh seorang teman Marilyn yang kerjayanyamencantikkan wajah orang perihal tentang seorang artis wanita yang baruberlakon dalam satu filem sahaja dan beberapa buah drama.
Gadis Remy?
HARIini, usia pelakon Nur Kasih yang membawakan watak Siti Sarah inimenginjak 19 tahun. Lalu, kalau mahu mendasari hati anak bongsu duaberadik ini mengenai soal perasaan dan hati agaknya mungkin masihterlalu awal.
Cafe Akhil Hayy dihenti
PROGRAMCafe Akhil Hayy yang disiarkan stesen televisyen berbayar Astro Oasissaluran 106 dan sudah memasuki musim ketiga tidak akan disambung semulakerana menghadapi kemelut dua isu yang membabitkan dua personaliti,baru-baru ini.
Gosip kuatkan cinta Siti, Datuk K
JIKApasangan lain menantikan ucapan tahniah di hari ulang tahun perkahwinanmereka, lain pula ceritanya dengan penyanyi nombor satu tanah air,Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Saban tahun dia menanti apa pula kisahsensasi mengenai rumah tangganya yang akan didedahkan, seterusnyamembangkitkan kontroversi.
Epilog: Songkok ajak hayati semangat 1Malaysia
KELMARINsaya berpeluang mengikuti pratonton satu drama tempatan dalam bentuktelefilem berjudul Songkok. Drama itu dijangka disiarkan menerusi TV2pada malam esok. Menerusi arahan Jurey Rosli, Songkok memberi satupernyataan semangat muhibah rakyat negara ini yang pelbagai kaum tetapisaling memahami dan menghormati hak masing-masing.
Dengarnya...: Inul bergoyang gerudi di Sabah, Sarawak
KALAUada yang masih ingat Julai tahun lalu, Ratu Dangdut Goyang Gerudi, InulDaratista dijadualkan membuat persembahan konsert di Johor Bahru (JB).Bagaimanapun konsert itu dibatalkan apabila dikatakan mendapattentangan pihak berkuasa tempatan.
Dengarnya...: Tarik diri gara-gara bayaran 'ciput'
CIKNormah hairan kenapa pelakon cantik yang seorang ini tidak kelihatangambarnya sewaktu pelancaran sebuah filem baru-baru ini. Malah rakansepejabat Cik Normah memberitahu pelakon itu yang ditemuinya dalam sesifotografi pada hari yang sama berlangsungnya sidang media filemterbabit, memang sudah bersiap untuk ke majlis itu.
Dengarnya...: Rosyam 'naik hantu'
AHADlalu, Cik Normah sempat luangkan masa menonton di rumah pertandinganakhir Pilih Kasih yang diadakan di Kompleks Penyiaran Tuanku Mohammad,Senawang, Seremban. Cik Normah tak nak sentuh, siapa yang menang, siapayang kalah. Yang Cik Normah nak sentuh ialah mengenai kisah di belakangtabir yang tak nampak di dalam skrin TV.
Korban rambut demi watak
DEMImenghayati watak sebagai Perdana Menteri ke-2, Tun Abdul Razak, pelakonRashidi Ishak sanggup mengorbankan rambutnya khusus untuk TeaterMuzikal Tun Abdul Razak yang akan melabuhkan tirainya malam ini.
Dokumentari Paradigm sempena kemerdekaan
PENGISIANprogram menarik sepanjang Bulan Kemerdekaan menerusi Radio TelevisyenMalaysia (RTM) akan dilengkapi dengan dokumentari Inggeris Khas Merdekaberjudul Paradigm.
Sinar baru Yuni
"Sepi hati, terjadi lagimungkin sampai mati, aku sepibiar senyum hadir di harikunamun itu hanya ada di bibir, di bibir saja."
Sukarnya bawa nama legenda
WALAUPUN judulnya Jalan Merdeka, persembahan drama arahan KabirBhatia ini berkonsepkan komedi ringan yang menjejaki perjalanan hiduptiga lelaki berbeza bangsa, berlatar pelbagai peristiwa dan pencapaianpenting negara sama ada dalam bidang hiburan, sukan, politik, ekonomidan sosial.
Kehilangan Ustaz Asri
PEMERGIAN Allahyarham Mohd Asri Ibrahim, ke rahmatullah pada 13 Ogoslalu, jelas meninggalkan kesan cukup mendalam yang tidak terbataskepada kaum keluarga dan saudara-mara saja malah, sahabat handaimahupun peminat Rabbani.
Lagu asli ada harga
DALAM usia 69 tahun, penyanyi veteran Samsudin Lamin masih gagahmeneruskan usaha memperjuangkan irama asli. Katanya, kesihatannya baikwalaupun bukan seperti orang muda kerana masih mampu untuk melakukanpersembahan serta merakamkan album baru.
Rabbani takkan terkubur
KEMBALINYA vokalis utama kumpulan nasyid Rabbani, AllahyarhamMohamad Asri Ibrahim ke Rahmatullah Khamis lalu, masih segar di ingatandan dirasai hinggalah saat ini.
Rahim muda di pentas
RAHIM Maarof mula dikenali ketika tampil selaku vokalis kumpulanheavy metal, Whitesteel, satu daripada lima kumpulan mengetengahkanmuzik berat ketika bersaing dalam Battle of the Bands (BOTB) padapertengahan 1980-an.
Teruja dipilih Shuhaimi
IMPIAN pendatang baru, Lana Nordin untuk bekerja di bawah pengarahterkenal, Datin Paduka Shuhaimi Baba tercapai apabila ditawarkanberlakon dalam drama bersiri Waris Jari Hantu terbitan Pesona PicturesSdn Bhd, yang kini dalam penggambaran.
Borak Lokasi: Tonton filem klasik untuk hasil terbaik
MULANYA Tiar Razlan Ismail, 45, menyolek pengantin barulah diamenceburi bidang solekan untuk drama dan filem. Itupun ia bermulasecara kebetulan menggantikan kawannya yang ketika itu mendapat tawaranmenjadi jurusolek artis untuk drama Aku, Atuk dan Emak.
Borak Lokasi: 'Pendapat pelakon diambil kira'
DEMI mencari lokasi yang sesuai untuk menggambarkan suasanakemerdekaan negara pada 1957, Kabir Bhatia sanggup meredah jauh diPenampang, Kuala Selangor. Di perkampungan nelayan yang dipenuhideretan kedai lama itu bagaikan sebuah studio kepada pengarah danproduser yang ingin menghidupkan semula suasana era 50-an.
Borak Lokasi: Cari barang antik kerja mencabar
UNTUK mengembalikan suasana zaman silam, jelas pengarah seni, AliMohamad, 52, ia kerja yang rumit untuk mencari barang lama sepertiradio, alat memasak air panas, botol oren dan cawan lama. Jika susahmencari barang diperlukannya seperti meja dan dan kerusi fesyen lamaAli sanggup mengupah orang untuk membuatnya.
Borak Lokasi: Belek majalah, gambar lama
RAMAI gemar menonton drama atau filem berdasarkan zaman silam,tetapi mereka yang bekerja di belakang tabir bagaikan hendak 'pecahkepala' untuk mencari barangan lama.
Soseh Soseh: Akhil Hayy hina wanita?
SEJAK berita pernikahan penceramah bebas, Akhil Hayy dengan penyanyidan pelakon, Waheeda disiarkan semua akhbar utama Isnin lalu,macam-macam cerita yang SS dengar. Baik teman di pejabat, pembaca yangmembuat panggilan dan juga mereka yang bergosip di Internet.
Soseh Soseh: Gadis comel lentuk di bahu pelakon
BARU-baru ini, seorang teman SS menghadiri satu sidang media. Bolehdikatakan, ramai jugalah wartawan yang hadir termasuk wakil mediaasing. Namun, lebih menarik perhatian rakan SS mengenai aksi mesraseorang artis lelaki dengan temannya.
Hiburan seisi keluarga
SEBAGAI saluran baru buat pelanggan Astro, tayangan filem menarikuntuk hiburan seisi keluarga disajikan Astro Citra (saluran 131)sepanjang bulan ini.
Cabaran besar buat mereka
shazryn.faizal@utusan.com.my
| |
| RAHIM Razali kembali mengarahkan teater muzikal selepas 10 tahun. |
TEATER muzikal Tun Abdul Razak membuka tirainya pada 16 Ogos lalu di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) dan akan berakhir malam ini.
Apa yang membanggakan, pada hari pertama pementasan tiket habis dijual. Begitu juga dengan tiga malam seterusnya. Pastinya, kejayaan itu merupakan satu berita gembira buat semua krew produksi muzikal berkenaan.
Apatah lagi, ia dipentaskan sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-52 hujung bulan ini.
Bukan mudah juga untuk mengajak masyarakat dan penonton tempatan menonton naskhah sebegini.
Namun, jangan cepat menelah dan membuat andaian sekali gus menganggap ia pementasan yang berat.
Teater muzikal Tun Abdul Razak bukanlah naskhah yang menceritakan sejarah Allahyarham Tun Razak sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir pada 14 Januari 1976 di London.
Sebaliknya, ia mengupas perjuangan serta kisah yang tidak pernah diketahui umum sebelum ini yang berlaku dalam dirinya sebelum dan semasa bergelar Perdana Menteri dari tahun 1970 hingga 1976.
Semangat anak muda
| |
| TEATER muzikal Tun Abdul Razak memberikan kepuasan buat Che Kem. |
Memang wajar sekali pementasan ini dipentaskan kerana ia memberi peluang kepada generasi muda hari menghayati perjuangan negarawan ulung itu.
Menyingkap sejarah, teater muzikal Tun Abdul Razak pada mulanya hanya diterbitkan dalam skala yang kecil sahaja pada Oktober tahun lalu.
Ia merupakan projek yang dikendalikan sepenuhnya oleh graduan serta tenaga pengajar Akademi Seni dan Warisan dan Budaya (Aswara).
Sehinggalah ia menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyarankan teater ini dipentaskan semula.
Lantaran itu, Panggung Sari, IB dipilih untuk mengangkat naskah ini dalam skala yang lebih besar. Kali ini, ia dibahagikan kepada empat segmen yang merangkumi awal kepimpinan, sewaktu menjadi Perdana Menteri, kemuncak pentadbiran serta hari-hari terakhirnya.
Masih lagi diterajui sepenuhnya oleh graduan dan pelajar Aswara, produksi ini wajar dipuji dan disokong sepenuhnya oleh semua pihak.
Merangkumi 180 orang pelajar, graduan serta tenaga pengajar Aswara dalam pementasan ini termasuklah pemuzik orkestra yang terdiri daripada berbilang kaum yang mengendalikan perjalanan keseluruhan teater ini.
Hanya lima orang sahaja pemain yang bukan daripada institusi berkenaan termasuk Rashidi Ishak dan Fauziah Latiff yang masing-masing memegang watak sebagai Tun Abdul Razak dan Toh Puan Rahah serta Datuk Rahim Razali sebagai pengarah untuk teater ini.
"Ini adalah peluang untuk menonjolkan bakat mereka yang lahir daripada sebuah institusi yang diwujudkan untuk terus memelihara seni warisan bangsa kita.
"Itu adalah harapan saya untuk melihat pementasan ini mendapat sambutan daripada masyarakat dan penonton kerana naskhah ini adalah sesuatu yang cukup istimewa.
| |
| WAJAH ayu yang dimiliki Fauziah Latiff menjadi kriteria utama untuknya memegang watak Tun Rahah. |
"Ingin juga saya tegaskan di sini ia bukanlah sebuah pementasan yang diangkat bulat-bulat daripada teks sejarah tetapi ia merupakan sebuah kisah yang berlaku dalam perjuangan Tun Razak," demikian kata Che Kem yang merupakan pengurus produksi serta merangkap salah seorang daripada panel skrip teater muzikal Tun Abdul Razak.
Cabaran
Che Kem atau nama sebenarnya, Mohd. Kamarulzaman Taib yang juga pensyarah di Aswara memberitahu, cabaran utama naskhah ini ialah untuk mengangkat naratif ceritanya yang berbeza dengan pementasan terdahulu.
Untuk itu juga, dia mahu menampilkan dua artis popular sebagai teraju utama dalam menarik perhatian penonton untuk menonton pementasan ini selain menerapkan elemen muzikal.
Mengenai pemilihan Rashidi atau Shidi sebagai figura tersohor itu, Che Kem memberitahu, dia mahu penonton serta peminat melihat sisi lain Shidi sebagai seorang pelakon.
Apatah lagi, ini merupakan kali pertama Shidi berlakon teater dan pastinya ramai yang mahu melihat bagaimana Shidi menggalas tanggungjawab besar itu.
"Pada awalnya, kami ada beberapa nama yang kami lihat berpotensi untuk memegang watak Tun Razak tetapi masing-masing terikat dengan komitmen selain jadual kerja yang padat.
"Kami juga mahukan muka baru dalam dunia teater dan tidak salah kami memilih Shidi. Kebetulan jadualnya yang senggang membolehkannya menerima tawaran kami," ujarnya.
Begitu juga dengan pemilihan Fauziah Latiff atau Jee yang memiliki wajah lembut dan sesuai membawakan watak Tun Rahah.
Selain Jee, dua calon lain yang terpilih adalah Misha Omar dan Syafinaz Selamat. Tetapi berikutan komitmen kerja, mereka tidak dapat melibatkan diri walaupun masing-masing teruja dengan tawaran itu.
Bangga
Selain itu, Che Kem melahirkan rasa bangganya kerana teater muzikal kali ini ditangani oleh seniman Rahim Razali yang juga seorang figura yang cukup tersohor dalam dunia teater tempatan.
Sementelah, teater muzikal Tun Abdul Razak merupakan teater pertama arahan Rahim selepas sedekad tidak berbuat demikian.
Ironinya, di pentas yang sama juga Rahim mengarahkan Keris Sang Puteri sewaktu IB mula dibuka 10 tahun lalu.
Mengenai pemilihan Rahim, pada awalnya Che Kem memberitahu, pengarah unggul itu hanya ditampilkan sebagai penasihat tetapi akhirnya, peluang itu diberikan kepadanya.
"Setidak-tidaknya, penglibatannya sebagai pengarah untuk teater ini membuka peluang kepada pelajar Aswara belajar serta menimba pengalaman dan ilmu daripada beliau.
"Saya sendiri banyak belajar daripadanya dan saya dapat melihat bagaimana para pelajar dan pelakon lain menerima input daripadanya dengan cukup senang," kata Che Kem.
Dalam usia yang sudah mencecah tujuh dekad, karisma Rahim masih utuh dan dia masih lagi aktif dalam dunia seni.
Tidak mungkin, katanya, untuk melupakan bidang yang sudah sebati dalam dirinya itu dan sewaktu berbicara mengenai teater muzikal ini, dia begitu senang apabila dapat melibatkan diri dalam teater muzikal ini.
Kagum
Sambil menyatakan kekagumannya dengan semangat anak-anak muda dalam produksi ini, beliau juga tidak terlepas daripada cabaran untuk mengarahkan teater muzikal ini.
"Apabila subjek seperti ini diangkat ke pentas teater, ia tidak boleh dilakukan sambil lewa atau sesuka hati sahaja. Dan, teater seperti ini bukan seperti teater muzikal popular yang lain.
"Disebabkan itu, skrip, muzik serta elemen drama perlu dijalin dengan baik dalam memastikan penonton dapat memahami jalan ceritanya dalam tempoh dua jam.
"Yang paling penting adalah objektif utama yang perlu memastikan penonton terhibur. Kalau tidak, ia bukanlah sebuah pementasan yang baik," ujar Rahim yang cukup terkenal dengan karya-karya autentik seperti Abang, Matinya Seorang Patriot dan Tsu-Feh Sofiah.
Bukan itu sahaja, beliau turut memuji Shidi dan Jee yang berjaya membawakan watak masing-masing dengan baik menerusi latihan dan bimbingan yang dijalankan hampir sebulan yang lalu.
Sebagai orang lama dalam industri, Rahim berhak memberikan pandangannya tentang pementasan ini apabila dia mengakui tempoh sebulan untuk menjalani latihan sebenarnya tidak mencukupi.
"Sebetulnya, untuk pementasan seperti ini ia memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk menyelami dan mendalami watak selain daripada elemen teatrikal yang lain.
| |
| RASHIDI Ishak mengakui semakin selesa dan serasi dengan dunia teater. |
"Semuanya adalah untuk memastikan semuanya berjalan dengan baik. Tetapi, biarpun tempoh singkat, saya puas hati dan gembira kerana apa yang dirancang berjalan dengan baik," kata Rahim yang pernah menerima anugerah Pengarah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali ini.
Serasi
Sebagai teraju utama, Shidi kini semakin serasi dan yakin dengan watak yang dibawakannya itu selepas menjalani latihan intensif bersama Rahim.
Mengakui pada awalnya, dia masih lagi samar dan kekok sementelah ini kali pertama dia beraksi di pentas teater.
"Alhamdulillah, saya sudah dapat apa yang saya cari-cari selama ini dan atas bimbingan Rahim jugalah, saya dapat menjayakan watak ini seperti mana yang dia mahukan.
"Saya menerima tawaran ini kerana saya tidak mahu menjadi seorang yang rugi untuk melepaskannya selepas saya berbuat demikian sedekad yang lalu juga menerusi teater Kasih Sang Puteri.
"Apa yang saya harapkan agar pementasan ini diterima dengan baik dan segala kritikan saya akan ambil dan perbaiki demi masa depan saya," kata suami kepada aktres Vanidah Imran ini penuh optimis.
Biarpun memiliki pengalaman menyanyi lebih 20 tahun, membintangi teater muzikal ini juga memberikan satu cabaran baru buat Jee dalam membawakan watak Tun Rahah.
Sama juga seperti Rahim, Jee kembali ke pentas teater selepas 10 tahun membintangi teater pertamanya, Rubiah juga di pentas yang sama.
"Menyanyi tiada masalah, cuma untuk melontarkan vokal sewaktu berdialog dengan emosi yang berbeza ada kalanya begitu menyukarkan.
"Sampai kena marah jugalah dengan tuan pengarah (ketawa). Alhamdulillah, Rahim banyak mengajar dan membimbing. Saya rasa bertuah kerana dapat berlakon di bawah arahannya," ujar Jee penuh yakin.
Rosyam selamatkan Iqbal Mazlan
| |
| WANINA Zaki pemenang kategori Pelakon Wanita Terbaik Pilih Kasih. SOFIAN Bujang memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Pilih Kasih. |
| |
| |
BUAT pertama kalinya undian khidmat pesanan ringkas (SMS) yang kerap 'meraja' dalam program realiti kecundang di Pentas Akhir Pilih Kasih yang melabuh tabir pada hujung minggu lepas.
Akhirnya di pentas itu, setelah lebih 10 minggu bersiaran di TV2 pada setiap malam minggu, program cetusan idea pelakon dan penerbit terkenal, Rosyam Nor itu menobatkan pelakon sambilan, Muhammad Iqbal Mazlan, 20, sebagai juara.
Pengumuman kemenangan itu disambut sedikit kekeliruan dan kebingungan di kalangan penonton yang membanjiri Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sungai Gadut, Seremban, Negeri Sembilan pada malam itu.
Kenapa tidak? Hampir tiga jam sebelum itu di pentas yang sama, Mohammad Iqbal atau nama pentasnya, Iqbal Mazlan terlebih dahulu diumumkan sebagai yang tercorot dalam undian SMS iaitu cuma 0.13 peratus daripada 50 peratus yang diformatkan bagi penilaian penonton.
Biarpun gagal bertahta di hati penonton yang mungkin terlepas pandang bakat, konsistensi dan kesungguhannya untuk bergelar pelakon, anak muda berasal dari Kuala Lumpur ini pada masa yang sama mencuri perhatian Rosyam.
Daripada 50 peratus yang diperuntukkan bagi penilaiannya, Rosyam yang juga bertindak sebagai penerbit menyumbang sebanyak 39 peratus yang seterusnya melayakkan Iqbal bergelar juara sulung Pilih Kasih.
Iqbal dari awal persembahan ketika menyiapkan tiga tugasan akhir Pilih Kasih iaitu drama bersiri, Monolog dan teater muzikal itu meraih pujian cemerlang daripada dua juri iaitu pengarah Mamat Khalid dan Dr. Abu Hassan iaitu Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi Universiti Malaya.
"Anda sempurna. Anda bijak merobah mood." Itu antara komen juri ketika menilai persembahan monolog Iqbal yang bertajuk, Menjadi Pelakon.
Rosyam pada masa yang sama memberi komen, penilaiannya terhadap lakonan Iqbal telus tanpa bias atau pilih kasih mahupun terpengaruh dengan pujian-pujian menggunung juri tersebut.
Bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas itu, kata Rosyam, beliau juga membuat penilaian tersebut tanpa mengetahui keputusan undian SMS pada penghujung program.
"Saya pernah katakan bahawa Pentas Akhir Pilih Kasih ini akan menjadi penentu juaranya. Di pentas yang sama saya akan berusaha membaca dan menilai bakat dan kesungguhan para peserta ini.
"Terus terang pujian juri jemputan langsung tidak mempengaruhi saya, begitu juga dengan undian SMS kerana saya tidak dimaklumkan tentang keputusan akhir ketika membuat penilaian," jelasnya.
Peningkatan prestasi dan konsistensi Iqbal sepanjang Pilih Kasih berlangsung antara faktor utama yang menjulangnya sebagai Juara.
Namun bakatnya dikatakan cemerlang ketika mempamerkan lakonan dalam drama pendek bersiri, Mangsa Pemburu yang diarahkan oleh Along Kamaluddin dan Amie Maziah.
Lakonan Iqbal dalam drama itu cemerlang, tambah Rosyam, sehinggakan pada kesudahan peserta itu mampu menyerlah berbanding dengan peserta-peserta lain.
"Kesemua peserta diberi bahagian watak yang sama rata kerana tiada hero atau heroin pada mulanya. Namun pada episod akhir Iqbal begitu menyerlah sehingga dia yang bergelar hero dalam drama itu.
"Saya mahukan orang yang ada peningkatan seperti ini," ulas Rosyam.
Komen Iqbal tentang kejayaannya, ia akan dijadikan batu loncatan untuk menempa nama dalam bidang lakonan.
Malah peminat setia Rosyam itu juga memberitahu, walaupun sudah didedahkan serba sikit tentang dunia lakonan ketika menceburinya secara sambilan sebelum ini, dia tetap menganggapnya sebagai baru menapak dalam bidang itu.
"Saya sertai program ini sebagai orang baru walaupun ada sedikit pengalaman kerana pernah berlakon teater dan drama televisyen. Daripada kosong-kosong ini saya berusaha menimba ilmu dan pengalaman dalam Pilih Kasih.
"Memang tidak pernah ada dalam fikiran akan bergelar juara kerana saya sedar saya tidak berada di hati pengundi di luar sana," katanya.
Iqbal berjanji akan menggunakan sepenuhnya kepercayaan yang diberikan Rosyam itu untuk berjaya dalam bidang tersebut.
Kegagalan Mohamad Ridzuan Hasbullah, 20, atau Reza Hasbi sebagai juara walaupun undian SMS sentiasa memihak kepadanya saban minggu dan sering meletakkan di kedudukan teratas pula dikaitkan dengan kegagalannya menyerlah di pentas akhir itu.
"Reza gagal menyerlah di peringkat akhir antaranya kurang memberi penghayatan kepada tugasan watak-watak yang disediakan. Salah satunya yang saya perhatikan adalah dia memanipulasi pelbagai gerakan badan jika fokus lakonannya hilang," beritahu Rosyam.
Sesuatu yang pasti, sosok fizikal yang tegap dan menarik milik jurulatih gim berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu gagal mengaburi mata Rosyam seperti yang dilakukan terhadap pengundi-pengundinya.
Terpaksa bersabar
Pada undian keseluruhan sebanyak 36.07 peratus, Reza tetap membawa pulang trofi naib juara Pilih Kasih selain Abdul Hafiz Abdul Alim,25, atau Indera Hafiz yang merangkul tempat ketiga.
Sementara penganugerahan Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Terbaik yang dinilai oleh guru pementasan teater muzikal, Erma Fatima, guru seni lakon Rohani Yusof dan guru monolog Rosminah Tahir diberikan kepada Mohamad Sofian Bujang, 24 atau Sofian Bujang dan Nur Raihan Mat Zaki, 21 (Wanina Zaki).
Seperti yang dijanjikan kesemua pemenang tersebut akan dipilih untuk berlakon dalam filem baru terbitan Rosyam, Kasih.
Namun peminat mereka barangkali terpaksa bersabar untuk satu tempoh lagi memandangkan penerbitnya belum bersedia untuk menghasilkan filem itu sehingga pesertanya benar-benar bersedia.
Peminat bagaimanapun tetap berpeluang melihat lakonan mereka termasuk 10 finalis itu dalam sebuah muzikal hari raya yang bakal disiarkan di RTM pada Syawal nanti.
Pada masa yang sama, setiap pemenang mahupun peserta program terbabit bebas untuk berlakon di bawah mana-mana produksi selagi ia diterbitkan untuk RTM dalam tempoh setahun ini.
Kata Rosyam, tidak seperti program realiti lain, beliau tidak berniat untuk mengikat peserta-peserta Pilih Kasih sekuat-kuatnya termasuk mendapatkan komisen daripada lakonan yang mereka peroleh selepas ini.
150 program sempena kempen NegaraKU
Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my
SEMPENA meraikan sambutan kemerdekaan negara yang ke-52, Astro menyediakan lebih 150 buah program menarik bagi mengisi kempen NegaraKU, The Best Of 1Malaysia yang berlangsung selama sebulan bermula 15 Ogos lalu.
Pelbagai rancangan menarik yang menonjolkan kepelbagaian dan pencapaian negara selain keindahan budaya, personaliti terkenal serta alam semula jadi turut dipaparkan.
"Kekuatan dan keunikan Malaysia terletak pada kepelbagaiannya, Astro meraikan kepelbagaian ini dengan berkongsi bersama seluruh rakyat Malaysia serta persada dunia tentang pencapaian, sejarah dan kejayaan negara.
"Perkongsian kami yang kukuh dengan rangkaian media global seperti Discovery, National Geographic, CNBC, Asian Food Channel, Animal Planet, History Channel dan banyak lagi telah membolehkan kami mempromosikan Malaysia dan rakyatnya ke mata dunia.
"Kami juga berharap dapat menanam semangat cintakan negara kepada seluruh warga Malaysia melalui siri rancangan kami yang menampilkan kecemerlangan 1Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Rohana Rozhan.
Antara rancangan-rancangan yang disiarkan sempena kempen tersebut ialah Merdeka!: Kata Kata Merdeka di Astro Awani (saluran 501 Astro), tele-filem Semangat Merdeka di Astro Prima (saluran 105 Astro), Kembara Angkasaku di Astro TVIQ (saluran 552 Astro), Jalan Merdeka di Astro Warna (saluran 132 Astro) dan Kelab Pop Edisi Merdeka di Astro Ria (saluran 104).
Tidak ketinggalan ialah dokumentari Hari Merdeka 'One Malaysia' di Astro Vaanavil saluran 201 Astro, temu ramah Merdeka di My Astro Chart Show dan temu ramah eksklusif dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika di China menerusi Interview With Glitterati di Astro AEC (saluran 301 Astro).
Selain itu Astro National Geographics ( saluran 553) akan menyiarkan siri dokumentari berkaitan wau dan keris, Enigmatic Malaysia dan Crossings: Datuk Lat di saluran Discovery Channel (saluran 551 Astro).
Menerusi saluran Astro SuperSport (saluran 811), disiarkan rancangan Malaysian Sporting Heroes Datuk Nicole David dan Datuk Lee Chong Wei.
Turut disiarkan ialah AMP Around Asia yang menampilkan kumpulan Hujan dan Bunkface di saluran Channel [V] (saluran 714 Astro), The Amazing Race Asia di AXN (saluran 701 Astro), Malaysia Uncovered: Jeff Corwin's Experience - Wild Man In Borneo di Animal Planet (saluran 556 Astro) dan Yuk Buat Roti yang dihoskan oleh Chef Wan Ismail di Asian Food Channel (saluran 703 Astro).
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan pada sidang media pelancaran kempen tersebut pula memberitahu, konsep 1Malaysia bukan sahaja harus diuar-uarkan di negara ini malah, kepada seluruh dunia.
"Rancangan-rancangan yang memaparkan kejayaan dan kemajuan negara seperti dokumentari Petronas Towers dan Smart Tunnel wajar diketengahkan di mata dunia.
"Sebanyak 150 rancangan menarik merangkumi dokumentari, sukan, kebudayaan, rancangan hiburan dan drama dipilih dan dipaparkan sepanjang berlangsungnya kempen tersebut yang bakal berakhir pada 16 September ini," katanya.
Bercerita tantang pemilihan pelbagai program tersebut, kata Henry, ia meliputi perjalanan pembangunan dan kejayaan yang dicapai oleh negara.
Menurutnya, rancangan-rancangan yang dipaparkan bakal menimbulkan rasa bangga di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Sementara itu, menurut Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah, Kata-Kata Merdeka yang merangkumi empat episod memaparkan pengertian merdeka daripada tokoh dan negarawan antara 20 hingga 30 tahun lalu.
"Makna kemerdekaan berbeza antara setiap ahli masyarakat. Unsur-unsur tersebut perlu diterangkan dan dipupuk dalam jiwa rakyat Malaysia.
"Kesemua program-program utama, kami akan terapkan semangat kemerdekaan dan semakin berkobar-kobar apabila tiba hari kemerdekaan," katanya.
Rezeki Ramadan Zur Eda
metra.mohamed@utusan.com.my
| |
| SEMPENA Ramadan ini, Zur Eda sibuk berniaga lauk-lauk dan biskut untuk sambutan Aidilfitri. |
HADIR sahaja Ramadan, selain bulan memperbanyakkan amal ibadah, pasti ramai daripada kita yang menanti saat ini untuk menambah pendapatan dengan menjual juadah berbuka puasa.
Tidak kurang, ada yang menggiatkan usaha untuk mendapatkan seberapa banyak tempahan baju Melayu atau baju kurung serta kuih-muih dan biskut sebelum menjelang Aidilfitri selepas sebulan berpuasa nanti.
Bagi golongan artis pula, seperti biasa mereka juga tidak ketinggalan memanfaatkan kehadiran Ramadan dengan aktiviti perniagaan sementelah aktiviti seni agak berkurangan sepanjang bulan yang mulia ini.
Bercakap mengenai berniaga, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Kelmarin ini sama seperti insan lain yang tidak mahu melepaskan peluang untuk aktif menjalankan perniagaan.
Menjual lauk-pauk untuk berbuka serta aneka kuih-muih dan biskut, sempena Ramadan, Zur Eda akan membuka gerainya di dua lokasi iaitu di Bazar Ramadan Damansara Damai dan Bazar Ramadan Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor.
Di Damansara Damai, perniagaannya lebih kepada kuih dan biskut raya manakala jualan juadah berbuka pula dijalankan di Bandar Baru Sungai Buloh.
Menurut Zur Eda, perniagaan tersebut sudah dimulakan sejak bertahun lalu lantaran minat terhadap masak memasak.
Untuk lauk pauk jelasnya, dia menyediakan juadah yang pelbagai terutama masak asam pedas dan gulai kalio.
"Ada tiga jenis asam pedas iaitu asam pedas kepala ikan, asam pedas ikan kembung dan ikan pari.
"Semua resipi ini saya pelajari dari ibu mertua. Saya sendiri akan masak. Ia hanya pada bulan Ramadan sahaja.
"Bagi kuih dan biskut pula, saya jual dalam tujuh jenis termasuk kek kukus. Semuanya adalah resipi turun temurun. Antara yang laris di pasaran ialah biskut Afghanistan dan almond suji," katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media Ramadan bersama Jaafar Onn dan Haiza di Hotel Quality, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ramadan bersama Jaafar Onn dan Haiza merupakan satu promosi juadah berbuka puasa di hotel berkenaan sempena Ramadan ini.
Dengan pakej yang disediakan, mereka yang memilih untuk berbuka puasa di Hotel Quality KL akan berpeluang mempelajari petua masakan daripada Jaafar Onn di samping memenangi cabutan bertuah.
Mendapat tajaan Adabi, minyak cap Buruh, Jakel dan Okamizu, Ramadan bersama Jaafar Onn dan Haiza akan turut menampilkan beberapa artis ternama untuk menghiburkan tetamu.
Menyambung bicara, Zur Eda berkata, dalam usaha memajukan perniagaan khususnya jualan kuih, biskut dan kek pada Aidilfitri, dia tidak lupa memanfaatkan penggunaan internet.
Jelasnya, menerusi laman sesawang www.mudah.com jualan dengan menggunakan label Zur Eda's Choice itu semakin mendapat perhatian ramai.
"Sudah tiga tahun saya berniaga kuih, kek dan biskut Aidilfitri di internet. Saya lakukan khidmat penghantaran.
"Alhamdulillah, sambutan daripada orang ramai cukup memberangsangkan. Seminggu sebelum Ramadan, saya sudah mula sibuk untuk hasilkan kuih raya.
"Memang sibuk tetapi sepanjang Ramadan ini, jika ada undangan menyanyi, saya akan cuba hadir selagi mampu,'' ujarnya yang turut dikenali melalui lagu Lama Tak Jumpa pada 1990.
Kata Zur Eda, jualan menerusi internet amat memudahkan ekoran dia tidak mempunyai kedai sendiri.
Perkembangan aktiviti hiburan
Sementara itu, Zur Eda yang diajukan soalan mengenai perkembangan karier nyanyiannya berkata, kali terakhir dia muncul dengan album adalah pada 1993 yang menampilkan lagu hits Kelmarin.
Sepanjang menyepikan diri daripada sebarang album, dia hanya terlibat dengan nyanyian di kelab malam atau pun persembahan-persembahan korporat.
Bagaimanapun, Zur Eda bersyukur kerana Radio Televisyen Malaysia (RTM) mula mengorak langkah menyediakan satu platform baru kepada artis-artis seangkatannya melalui program Muzik Aktif.
"Dengan adanya program itu, kami rasa seperti dikenang dan dihargai. Baguslah kerana kita sekarang ini sudah semakin dicemari dengan muzik-muzik luar.
"Bukan saya cemburu tetapi jika sudah melampau sangat, ia akan nampak semak.
"Di Muzik Aktif, saya akan menyanyikan lagu-lagu lama saya. Saya harap program ini akan dapat membantu golongan artis tempatan,'' katanya.
Tambah Zur Eda, melihatkan ramai artis-artis seangkatan mula muncul dengan lagu-lagu baru, dirinya juga terdetik untuk membuat kemunculan semula dengan lagu-lagu baru.
"Insya-Allah, saya akan muncul dengan album baru termasuk nyanyian lagu-lagu lama saya yang dahulu yang diberikan nafas baru.
"Semuanya masih dalam proses penerbitan," jelasnya.
Hanya 300 orang tonton persembahan Afgan
dianna.azaham@utusan.com.my
Di sebalik nama-nama besar dari Indonesia, sistem audio dan visual yang bagus, konsert Illuminight - A Light Beat Of Love yang berlangsung di Stadium Indoor Arena, Bukit Kiara Kuala Lumpur, Ahad lalu gagal menarik peminat seni tanah air untuk menyaksikan konsert berkenaan.Hasilnya stadium yang boleh memuatkan penonton sehingga 5,000 orang hanya dihadiri tidak lebih daripada 300 penonton sahaja!Walaupun artis-artis yang hebat membuat persembahan iaitu kumpulan pop soul, Maliq & D'Essentials; pemenang anugerah Artis Lelaki Terbaik dan Album Terbaik Anugerah Planet Muzik 2009 (APM2009), Afgan Syahreza; Kumpulan Terbaik dan Artis Indonesia Paling Popular(APM 2009), Yovie & Nuno; dan Atilia, sayang sekali ia tidak berjaya mengajak penonton untuk datang sama-sama berhibur dengan mereka.
Menyaksikan konsert selama empat jam dengan artis dan lagu-lagu masa kini, wartawan yang membuat liputan tertanya-tanya apa silapnya stadium yang besar itu kelihatan sunyi dan sepi daripada penonton?Apakah kerana terlalu ramai artis dari seberang yang ditonjolkan atau publisiti yang kurang membuatkan peminat seni bagaikan lupa atau tidak minat menyaksikan konsert berkenaan?Menurut wakil Aqsara 3 Persada Sdn. Bhd., Ade Dhena selaku penganjur konsert itu, mereka memang telah menjangka kehadiran penonton yang suram memandangkan pada malam itu terdapat beberapa konsert percuma yang diadakan. "Kami memang sudah menjangka kerana terdapat konsert percuma pada malam ini iaitu MTV World Stage Live In Malaysia 2009 di Sunway Lagoon Surf Beach dan konsert R & R Sinar di Dataran Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
"Namun kami hanya mengetahui semua itu selepas urusan permit, kemasukan artis dan lain-lain sudah selesai. "Untuk menganjakkan tarikh konsert akan membuatkan kos berlipat-ganda. Lagipun bukan senang kami hendak membawa artis-artis terkenal dari Indonesia ini kerana mereka memang sibuk dengan persembahan di sana," katanyaMenurut Ade, pihaknya sedia maklum artis-artis yang terlibat pasti terkilan dengan sambutan dingin itu. "Walaupun penonton tidak ramai, tetapi mereka tetap memberikan persembahan yang terbaik dan penonton juga kelihatan terhibur dengan persembahan mereka," ujarnya selepas konsert itu berakhir. Di sebalik sambutan yang dingin itu, memang tidak dapat dinafikan persembahan malam itu yang menampilkan Atilia, Afgan, Yuvie & Nuno dan Maliq & D'Essentials merupakan persembahan yang hebat dan bertenaga. Konsert dimulakan seawal pukul 8 malam dengan menampilkan Atilia sebagai pembuka tirai.
Atilia yang kelihatan santai bergaun pendek, menyampaikan lagu-lagu seperti Leka, Gelombang, Ranjau dan Selagi dengan suaranya yang lunak dan manja. Dia yang ada ketikanya kelihatan tidak bersemangat memandangkan bilangan penonton yang hadir tidak memberangsangkan kembali bertenaga apabila melihat mereka yang hadir terhibur dengan nyanyiannya. Persembahan diteruskan dengan kemunculan Afgan yang membuatkan penonton wanita menjerit seperti histeria.
| |
| Afgan Syahreza |
Jejaka yang terkenal dengan lagu Terima Kasih Cinta menyampaikan lagu-lagu popularnya antaranya Bukan Cinta Biasa, Wajahmu Mengalih Duniaku dan lagu yang menjadi kegilaan ramai, Terima Kasih Cinta. Di sebalik suaranya yang lunak yang meruntun hati terutamanya kaum hawa itu, berlaku perkara yang kurang manis apabila Afgan memeluk, dicium dan mencium seorang penonton wanita yang dijemputnya naik ke pentas. Yuvi & Nuno juga tidak kurang hebatnya apabila memberikan persembahan yang sungguh bertenaga dengan menyampaikan 10 buah lagu.
Kumpulan yang dianggotai empat jejaka iaitu Yuvie, Dudie, Dikta dan Diat memberikan persembahan bertenaga membuatkan penonton menari bersama. Antara lagu yang disampaikan ialah Bunga Jieaku, Dia Milikku, Sempat Termiliki dan Menjaga Hati yang sering kedengaran di corong-corong radio. Konsert Illuminight - A Light Beat Of Love diakhiri dengan persembahan dari Maliq & D'Essentials selama satu jam. Penonton-penonton yang membeli tiket berharga RM153 ke bawah dibenarkan memenuhi hadapan pentas oleh penganjur untuk memeriahkan persembahan penutup konsert itu.
Hampir semua penonton bagaikan menunggu kemunculan mereka apabila kelihatan penonton yang hadir begitu menikmati muzik yang dibawa oleh Maliq & D'Essentials. Keseluruhannya, konsert Illuminight - A Light Beat Of Love merupakan konsert yang berkualiti dari segi persembahan artis yang sungguh bertenaga, pemilihan lagu, permainan cahaya dan bunyi yang baik serta ketepatan waktu persembahan. Sayangnya kerana kehadiran penonton yang tidak memberangsangkan kerana kurangnya publisiti dan dua konsert percuma yang diadakan pada hari yang sama membuatkan konsert ini suram.
