Thursday, August 20, 2009

150 program sempena kempen NegaraKU

150 program sempena kempen NegaraKU

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my

SEMPENA meraikan sambutan kemerdekaan negara yang ke-52, Astro menyediakan lebih 150 buah program menarik bagi mengisi kempen NegaraKU, The Best Of 1Malaysia yang berlangsung selama sebulan bermula 15 Ogos lalu.

Pelbagai rancangan menarik yang menonjolkan kepelbagaian dan pencapaian negara selain keindahan budaya, personaliti terkenal serta alam semula jadi turut dipaparkan.

"Kekuatan dan keunikan Malaysia terletak pada kepelbagaiannya, Astro meraikan kepelbagaian ini dengan berkongsi bersama seluruh rakyat Malaysia serta persada dunia tentang pencapaian, sejarah dan kejayaan negara.

"Perkongsian kami yang kukuh dengan rangkaian media global seperti Discovery, National Geographic, CNBC, Asian Food Channel, Animal Planet, History Channel dan banyak lagi telah membolehkan kami mempromosikan Malaysia dan rakyatnya ke mata dunia.

"Kami juga berharap dapat menanam semangat cintakan negara kepada seluruh warga Malaysia melalui siri rancangan kami yang menampilkan kecemerlangan 1Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Rohana Rozhan.

Antara rancangan-rancangan yang disiarkan sempena kempen tersebut ialah Merdeka!: Kata Kata Merdeka di Astro Awani (saluran 501 Astro), tele-filem Semangat Merdeka di Astro Prima (saluran 105 Astro), Kembara Angkasaku di Astro TVIQ (saluran 552 Astro), Jalan Merdeka di Astro Warna (saluran 132 Astro) dan Kelab Pop Edisi Merdeka di Astro Ria (saluran 104).

Tidak ketinggalan ialah dokumentari Hari Merdeka 'One Malaysia' di Astro Vaanavil saluran 201 Astro, temu ramah Merdeka di My Astro Chart Show dan temu ramah eksklusif dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika di China menerusi Interview With Glitterati di Astro AEC (saluran 301 Astro).

Selain itu Astro National Geographics ( saluran 553) akan menyiarkan siri dokumentari berkaitan wau dan keris, Enigmatic Malaysia dan Crossings: Datuk Lat di saluran Discovery Channel (saluran 551 Astro).

Menerusi saluran Astro SuperSport (saluran 811), disiarkan rancangan Malaysian Sporting Heroes Datuk Nicole David dan Datuk Lee Chong Wei.

Turut disiarkan ialah AMP Around Asia yang menampilkan kumpulan Hujan dan Bunkface di saluran Channel [V] (saluran 714 Astro), The Amazing Race Asia di AXN (saluran 701 Astro), Malaysia Uncovered: Jeff Corwin's Experience - Wild Man In Borneo di Animal Planet (saluran 556 Astro) dan Yuk Buat Roti yang dihoskan oleh Chef Wan Ismail di Asian Food Channel (saluran 703 Astro).

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan pada sidang media pelancaran kempen tersebut pula memberitahu, konsep 1Malaysia bukan sahaja harus diuar-uarkan di negara ini malah, kepada seluruh dunia.

"Rancangan-rancangan yang memaparkan kejayaan dan kemajuan negara seperti dokumentari Petronas Towers dan Smart Tunnel wajar diketengahkan di mata dunia.

"Sebanyak 150 rancangan menarik merangkumi dokumentari, sukan, kebudayaan, rancangan hiburan dan drama dipilih dan dipaparkan sepanjang berlangsungnya kempen tersebut yang bakal berakhir pada 16 September ini," katanya.

Bercerita tantang pemilihan pelbagai program tersebut, kata Henry, ia meliputi perjalanan pembangunan dan kejayaan yang dicapai oleh negara.

Menurutnya, rancangan-rancangan yang dipaparkan bakal menimbulkan rasa bangga di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Sementara itu, menurut Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah, Kata-Kata Merdeka yang merangkumi empat episod memaparkan pengertian merdeka daripada tokoh dan negarawan antara 20 hingga 30 tahun lalu.

"Makna kemerdekaan berbeza antara setiap ahli masyarakat. Unsur-unsur tersebut perlu diterangkan dan dipupuk dalam jiwa rakyat Malaysia.

"Kesemua program-program utama, kami akan terapkan semangat kemerdekaan dan semakin berkobar-kobar apabila tiba hari kemerdekaan," katanya.

No comments: