Thursday, August 20, 2009

Rezeki Ramadan Zur Eda

Rezeki Ramadan Zur Eda


SEMPENA Ramadan ini, Zur Eda sibuk berniaga lauk-lauk dan biskut untuk sambutan Aidilfitri.


HADIR sahaja Ramadan, selain bulan memperbanyakkan amal ibadah, pasti ramai daripada kita yang menanti saat ini untuk menambah pendapatan dengan menjual juadah berbuka puasa.

Tidak kurang, ada yang menggiatkan usaha untuk mendapatkan seberapa banyak tempahan baju Melayu atau baju kurung serta kuih-muih dan biskut sebelum menjelang Aidilfitri selepas sebulan berpuasa nanti.

Bagi golongan artis pula, seperti biasa mereka juga tidak ketinggalan memanfaatkan kehadiran Ramadan dengan aktiviti perniagaan sementelah aktiviti seni agak berkurangan sepanjang bulan yang mulia ini.

Bercakap mengenai berniaga, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Kelmarin ini sama seperti insan lain yang tidak mahu melepaskan peluang untuk aktif menjalankan perniagaan.

Menjual lauk-pauk untuk berbuka serta aneka kuih-muih dan biskut, sempena Ramadan, Zur Eda akan membuka gerainya di dua lokasi iaitu di Bazar Ramadan Damansara Damai dan Bazar Ramadan Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor.

Di Damansara Damai, perniagaannya lebih kepada kuih dan biskut raya manakala jualan juadah berbuka pula dijalankan di Bandar Baru Sungai Buloh.

Menurut Zur Eda, perniagaan tersebut sudah dimulakan sejak bertahun lalu lantaran minat terhadap masak memasak.

Untuk lauk pauk jelasnya, dia menyediakan juadah yang pelbagai terutama masak asam pedas dan gulai kalio.

"Ada tiga jenis asam pedas iaitu asam pedas kepala ikan, asam pedas ikan kembung dan ikan pari.

"Semua resipi ini saya pelajari dari ibu mertua. Saya sendiri akan masak. Ia hanya pada bulan Ramadan sahaja.

"Bagi kuih dan biskut pula, saya jual dalam tujuh jenis termasuk kek kukus. Semuanya adalah resipi turun temurun. Antara yang laris di pasaran ialah biskut Afghanistan dan almond suji," katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media Ramadan bersama Jaafar Onn dan Haiza di Hotel Quality, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ramadan bersama Jaafar Onn dan Haiza merupakan satu promosi juadah berbuka puasa di hotel berkenaan sempena Ramadan ini.

Dengan pakej yang disediakan, mereka yang memilih untuk berbuka puasa di Hotel Quality KL akan berpeluang mempelajari petua masakan daripada Jaafar Onn di samping memenangi cabutan bertuah.

Mendapat tajaan Adabi, minyak cap Buruh, Jakel dan Okamizu, Ramadan bersama Jaafar Onn dan Haiza akan turut menampilkan beberapa artis ternama untuk menghiburkan tetamu.

Menyambung bicara, Zur Eda berkata, dalam usaha memajukan perniagaan khususnya jualan kuih, biskut dan kek pada Aidilfitri, dia tidak lupa memanfaatkan penggunaan internet.

Jelasnya, menerusi laman sesawang www.mudah.com jualan dengan menggunakan label Zur Eda's Choice itu semakin mendapat perhatian ramai.

"Sudah tiga tahun saya berniaga kuih, kek dan biskut Aidilfitri di internet. Saya lakukan khidmat penghantaran.

"Alhamdulillah, sambutan daripada orang ramai cukup memberangsangkan. Seminggu sebelum Ramadan, saya sudah mula sibuk untuk hasilkan kuih raya.

"Memang sibuk tetapi sepanjang Ramadan ini, jika ada undangan menyanyi, saya akan cuba hadir selagi mampu,'' ujarnya yang turut dikenali melalui lagu Lama Tak Jumpa pada 1990.

Kata Zur Eda, jualan menerusi internet amat memudahkan ekoran dia tidak mempunyai kedai sendiri.

Perkembangan aktiviti hiburan

Sementara itu, Zur Eda yang diajukan soalan mengenai perkembangan karier nyanyiannya berkata, kali terakhir dia muncul dengan album adalah pada 1993 yang menampilkan lagu hits Kelmarin.

Sepanjang menyepikan diri daripada sebarang album, dia hanya terlibat dengan nyanyian di kelab malam atau pun persembahan-persembahan korporat.

Bagaimanapun, Zur Eda bersyukur kerana Radio Televisyen Malaysia (RTM) mula mengorak langkah menyediakan satu platform baru kepada artis-artis seangkatannya melalui program Muzik Aktif.

"Dengan adanya program itu, kami rasa seperti dikenang dan dihargai. Baguslah kerana kita sekarang ini sudah semakin dicemari dengan muzik-muzik luar.

"Bukan saya cemburu tetapi jika sudah melampau sangat, ia akan nampak semak.

"Di Muzik Aktif, saya akan menyanyikan lagu-lagu lama saya. Saya harap program ini akan dapat membantu golongan artis tempatan,'' katanya.

Tambah Zur Eda, melihatkan ramai artis-artis seangkatan mula muncul dengan lagu-lagu baru, dirinya juga terdetik untuk membuat kemunculan semula dengan lagu-lagu baru.

"Insya-Allah, saya akan muncul dengan album baru termasuk nyanyian lagu-lagu lama saya yang dahulu yang diberikan nafas baru.

"Semuanya masih dalam proses penerbitan," jelasnya.

No comments: