Friday, August 21, 2009

Raja Ramilah Raja Mohamad : Bukan suka-suka

Bukan suka-suka

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my


PERTAMA kali bersua dengan pelakon dan pengacara, Raja Ramilah Raja Mohamad, 24, atau Ilya pasti ada yang perasaan wajah gadis dari Ipoh, Perak ini seperti bintang Bollywood.

Gadis berkulit gelap dengan penampilan ranggi menjadi tarikan kepada Ilya yang pernah berkhidmat di awan biru sebagai pramugari bersama Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) lebih empat tahun lalu.

Menurut Ilya, pembabitan dalam drama dan filem yang pada mulanya sekadar ingin mencuba, akhirnya menimbulkan minat mendalam untuk berkecimpung dalam dunia seni.

Gadis berdarah Melayu-Malayalam yang fasih berbahasa Tamil, Inggeris dan Melayu ini mengambil keputusan nekad untuk menjadikan dunia seni sebagai karier utamanya.

"Ketika masih berkhidmat sebagai pramugari, saya sudah mula berjinak-jinak dalam dunia seni dengan menghadiri beberapa uji bakat sekitar 2007.

"Sehingga saya mengambil keputusan nekad untuk tidak menyambung kontrak dengan MAS tahun lalu. Sebaliknya memilih untuk terbabit sepenuh masa dalam dunia seni.

"Pembabitan dalam bidang seni bukan sekadar suka-suka, sebaliknya saya mahu menjadikannya sebagai sumber pendapatan utama. Keputusan itu juga didorong keinginan untuk mencari cabaran baru. Cukuplah pengalaman bertugas lebih empat tahun sebagai anak kapal," kata Ilya ketika berkunjung menjayakan sesi fotografi di Studio NSTP, Bangsar, baru-baru.

Dia yang menyertai uji bakat pertama bersama KL Motion Picture membuat kemunculan pertama di layar kaca menerusi telemovie, Malam Tujuh Likur terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd, dua tahun lalu.

Bakatnya turut diintai produksi antarabangsa apabila membintangi drama Tamil, Tup Periyum Pulli dan Be Brave 2 (telemovie Inggeris).

Di samping lakonan, Ilya terbabit dalam bidang pengacaraan. Bermula dengan program majalah permotoran, X Tune, dia mula mendapat tempat mengendalikan beberapa program bercorak majalah wanita seperti Anggun Pesona di TV2.

Pengacaraan dan lakonan dua bidang yang cukup diminati. Malah, Ilya menyifatkan pembabitan dalam dunia seni bukan sekadar mengejar populariti. Sebaliknya, menganggap pembabitan serius didorong keinginan untuk menyumbang sesuatu seterusnya meraih anugerah dalam dunia seni.

"Memang sukar untuk pendatang baru seperti saya menceburi dunia lakonan. Sebagai orang baru dalam bidang ini, saya perlu rajin berusaha. Perlu sentiasa cuba menyertai sesi uji bakat.

"Bukan mudah untuk meyakinkan seseorang penerbit dan pengarah sesebuah produksi. Tambahan pula, orang baru seperti saya ini.

"Sehinggakan ada yang cuba mengambil kesempatan dan beranggapan serong kepada orang baru seperti saya. Bukan semua pendatang baru dalam dunia seni mudah diperkotak- katik. Perkara ini sedikit sebanyak mencemarkan imej dunia seni itu sendiri," katanya.

Mengakui mungkin kelebihannya kerana menguasai bahasa Tamil, selain bakat semula jadi dalam dunia seni turut memberi ruang untuk bertapak dalam arena seni tanah air.

Ilya juga pernah mendapat tawaran daripada produksi Bollywood. Biarpun ada keyakinan untuk menyambar peluang yang diberikan, dia lebih suka bersikap realistik memikirkan soal masih cetek pengalaman dan mahu membina nama di negara sendiri terlebih dulu sebelum melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa.

Selepas Tup Periyum Pulli, dia turut ditawarkan membintangi sebuah lagi telemovie Tamil, Agguran arahan Shanjay Perumal serta menjayakan program Astro Vaanavil sempena Hari Kebangsaan.

Ilya menyifatkan impian sejak kecil untuk berkhidmat di awan biru sudah terlaksana. Malah kerjaya pramugari itu banyak mengajarnya untuk berhadapan dengan orang ramai dan membina keyakinan diri yang tinggi.

Padanya, biarpun jalan yang dipilih dalam dunia seni masih samar, namun dia percaya pada rezeki yang ditentukan Yang Maha Esa. Justeru, baginya setiap tawaran yang diberikan tidak mahu dipersiakan atau ditolak mentah-mentah. Dia bersyukur kerana sejak terbabit dalam dunia seni, rezekinya tidak pernah putus malah ada saja tawaran yang datang.

"Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk tampil dalam dunia seni. Saya sememangnya tidak kisah ditawarkan apa saja watak sama ada kecil atau besar.

"Kalau boleh, setiap peluang yang diberikan akan saya terima. Malah kadangkala saya rasa tidak puas hati apabila tidak dapat menerima tawaran yang diberikan disebabkan terikat dengan komitmen lain.

"Setakat ini, saya sudah mencuba pelbagai watak seperti gadis kampung, gedik dan watak wanita tua. Kalau boleh, saya memang mahukan watak yang mencabar seperti tomboi dan orang kurang siuman," katanya.

Dengan hanya bersandarkan pengalaman membabitkan diri dalam bidang teater ketika zaman persekolahan, Ilya boleh dilabel sebagai generasi pelapis dalam dunia lakonan. Malah sikap mahu mencuba sesuatu yang berbeza membawa kepada pembabitannya dalam bidang itu.

"Memang saya tidak ada pengalaman langsung dalam bidang ini. Hanya bersandarkan minat. Berlatih sendiri menerusi pengalaman menyertai pelbagai uji bakat selain melalui tawaran yang diterima. Pada saya, latihan paling bagus ialah menerima banyak tawaran bekerja.

"Saya sendiri mengakui mendapat banyak pengalaman dalam setiap pekerjaan yang saya lakukan. Namun, setiap tawaran yang diterima perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan jangan secara sambil lewa. Saya sentiasa menilai setiap kelemahan dalam karakter lakonan supaya dapat menampilkan yang lebih baik pada masa akan datang," katanya.

PROFIL

NAMA PENUH: Raja Ramilah Raja Mohamad

NAMA KOMERSIAL: Ilya

TARIKH LAHIR: 11 Julai 1985

TEMPAT LAHIR: Ipoh, Perak

ADIK-BERADIK: Anak keempat daripada empat beradik

PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan dari Institut Teknologi Perak

KARIER: Pengacara dan pelakon

PENGACARA: Pesona Anggun, Akademi 1001 Rasa Baba's, X Tune, Zero To Hero, Fight School

DRAMA: Malam Tujuh Likur, Kekasihku Seru, Penghujung Rindu, Pantai Keramat, Biru Cinta Laguna, Majal, Tup Periyum Pulli (Tamil) dan Be Brave 2 (Inggeris)

FILEM: Janin

No comments: