Kurniaan bawa rezeki
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
SUARANYA yang sengau dianggap satu kekurangan dan tidak kurang menjadi bahan persendaan bagi mereka yang agaknya terlupa Ilahi menjadikan setiap manusia itu pasti ada kekurangan.
Tidak kiralah sama ada secara luaran mahupun dalaman kerana begitulah sifat kita insan biasa.
Namun, rezeki juga sudah ditentukan-Nya buat mereka yang terpilih. Masalah sengau yang dihidapi Mohd Azmira Mohamad Arif, 26, atau nama komersilnya, Azmir Ariff, sebenarnya adalah satu ‘kurniaan’ yang membawa punca rezeki.
Barangkali, di sini peluang Azmir untuk mencipta sedikit terbatas hanya kerana kekurangan itu namun, pihak luar melihatnya sebagai satu keistimewaan.
Justeru tidak hairanlah, mengapa Azmir berjaya mendapat kontrak daripada pihak Kris Media Pte.Ltd yang secara rasminya bertindak sebagai syarikat rakaman yang turut bertanggungjawab menguruskan kerjaya seninya di Singapura.
Azmir yang ditemui di majlis pelancaran album sulungnya, ‘Kurniaan’ yang diadakan di Restoran Seri Melayu baru-baru ini, ternyata begitu terharu dengan peluang yang diberikan.
“Menjadi insan bernama Azmir Ariff itu tidak mudah kerana saya sudah lelah dengan kata-kata cacian orang yang memandang rendah bakat saya.
“Namun, saya percaya selagi niat kita ikhlas dan sentiasa berusaha, Insya-Allah segala yang diusahakan akan tercapai walaupun payah.
“Terus-terang saya sebenarnya tidak menyangka memperoleh peluang ini apatah lagi, tawaran itu datangnya dari syarikat rakaman dari Singapura. Alhamdulillah, mungkin ini dikatakan nikmat hasil penat lelah selama ini,” katanya.
Pada acara yang indah itu, Azmir sempat menghiburkan tetamu menerusi rangkaian lagu seperti Maafkan Aku, Zapin Kelana, Misteri Cinta Saksi dan Cinta Jasmin.
Sepanjang persembahan, dia kelihatan gementar sehingga hilang kata-kata barangkali kerana tidak menyangka penantian lebih setahun menyiapkan pembikinan album ini berakhir.
“Saya ingat akan menyerah kalah sebelum majlis ini diadakan kerana ada masanya saya fikir saya tidak mampu menghadapi cabaran dan tohmahan menjadi anak seni.
“Syukur, saya masih teguh berdiri dan diberi kekuatan. Kesempatan ini ingin saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua komposer yang terbabit.
“Iaitu Aidit AF3, Rafiq, Qalill, Rosdi Harun, Aesar Mustafa dan tidak ketinggalan komposer disegani ramai, Adnan Abu Hassan kerana mempercayai bakat saya. Tanpa mereka ini, album ini pasti tidak mampu dihasilkan.
“Tidak lupa juga media cetak dan elektronik khususnya stesen radio kerajaan dan swasta yang sudi memutarkan lagu-lagu saya,” katanya.
Pengalaman komposer yang bekerjasama dengannya turut ditanya di majlis pelancaran itu dan seorang daripada mereka iaitu Aidit AF3 menyifatkan Azmir penyanyi yang sangat berbakat besar.
“Azmir dianugerahkan bakat semula jadi dan memiliki ciri-ciri ikon yang boleh dijadikan inspirasi serta contoh kepada masyarakat kerana sifatnya yang merendah diri.
“Selepas tamat AF3, saya bergiat aktif dalam bidang penciptaan lagu dan sudah merakamkan banyak single penyanyi tempatan terutamanya bintang Akademi Fantasia.
“Apa yang istimewanya mengenai Azmir walaupun dia mempunyai masalah sengau, dia mampu menyelesaikan proses rakaman untuk satu lagu kurang daripada dua jam.
“Sedangkan artis penyanyi ‘normal’ lain yang pernah bekerjasama dengan saya ada yang terpaksa mengambil masa tujuh jam untuk satu sesi rakaman,” katanya sambil dipersetujui seorang lain komposer, Rafiq.
Sementara itu, wakil Kris Media Pte Ltd, Aiman Amani, pula menambah, kali pertama menyaksikan persembahan Azmir, pihaknya cukup mengagumi bakat pemuda kelahiran Pulau Mutiara, Pulau Pinang itu.
“Tiada apapun kekurangan pada pemuda ini bahkan suaranya yang merdu dan nyanyiannya itu lebih baik daripada kebanyakan penyanyi lain sehinggakan kita tidak akan menyangka Azmir ada rahsia di sebalik kehebatan suaranya itu.
“Selaku syarikat rakaman kami akan memastikan yang terbaik buat Azmir dan sekarang ini pun beberapa acara sudah direncanakan untuk mempromosikan namanya di Singapura.
“Misalnya pada 11 Oktober nanti Azmir akan membuat persembahan ‘Hi Tea Salam Lebaran Singapore Bersama Rosyam Nor’,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment