Thursday, August 20, 2009

Rosyam selamatkan Iqbal Mazlan

Rosyam selamatkan Iqbal Mazlan


JUARA Pilih Kasih, Muhammad Iqbal Mazlan (tengah) bersama pemenang lain pada pertandingan akhir program realiti itu di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sungai Gadut, Seremban, Negeri Sembilan Ahad lalu.



WANINA Zaki pemenang kategori Pelakon Wanita Terbaik Pilih Kasih.
SOFIAN Bujang memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Pilih Kasih.





BUAT pertama kalinya undian khidmat pesanan ringkas (SMS) yang kerap 'meraja' dalam program realiti kecundang di Pentas Akhir Pilih Kasih yang melabuh tabir pada hujung minggu lepas.

Akhirnya di pentas itu, setelah lebih 10 minggu bersiaran di TV2 pada setiap malam minggu, program cetusan idea pelakon dan penerbit terkenal, Rosyam Nor itu menobatkan pelakon sambilan, Muhammad Iqbal Mazlan, 20, sebagai juara.

Pengumuman kemenangan itu disambut sedikit kekeliruan dan kebingungan di kalangan penonton yang membanjiri Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sungai Gadut, Seremban, Negeri Sembilan pada malam itu.

Kenapa tidak? Hampir tiga jam sebelum itu di pentas yang sama, Mohammad Iqbal atau nama pentasnya, Iqbal Mazlan terlebih dahulu diumumkan sebagai yang tercorot dalam undian SMS iaitu cuma 0.13 peratus daripada 50 peratus yang diformatkan bagi penilaian penonton.

Biarpun gagal bertahta di hati penonton yang mungkin terlepas pandang bakat, konsistensi dan kesungguhannya untuk bergelar pelakon, anak muda berasal dari Kuala Lumpur ini pada masa yang sama mencuri perhatian Rosyam.

Daripada 50 peratus yang diperuntukkan bagi penilaiannya, Rosyam yang juga bertindak sebagai penerbit menyumbang sebanyak 39 peratus yang seterusnya melayakkan Iqbal bergelar juara sulung Pilih Kasih.

Iqbal dari awal persembahan ketika menyiapkan tiga tugasan akhir Pilih Kasih iaitu drama bersiri, Monolog dan teater muzikal itu meraih pujian cemerlang daripada dua juri iaitu pengarah Mamat Khalid dan Dr. Abu Hassan iaitu Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi Universiti Malaya.

"Anda sempurna. Anda bijak merobah mood." Itu antara komen juri ketika menilai persembahan monolog Iqbal yang bertajuk, Menjadi Pelakon.

Rosyam pada masa yang sama memberi komen, penilaiannya terhadap lakonan Iqbal telus tanpa bias atau pilih kasih mahupun terpengaruh dengan pujian-pujian menggunung juri tersebut.

Bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas itu, kata Rosyam, beliau juga membuat penilaian tersebut tanpa mengetahui keputusan undian SMS pada penghujung program.

"Saya pernah katakan bahawa Pentas Akhir Pilih Kasih ini akan menjadi penentu juaranya. Di pentas yang sama saya akan berusaha membaca dan menilai bakat dan kesungguhan para peserta ini.

"Terus terang pujian juri jemputan langsung tidak mempengaruhi saya, begitu juga dengan undian SMS kerana saya tidak dimaklumkan tentang keputusan akhir ketika membuat penilaian," jelasnya.

Peningkatan prestasi dan konsistensi Iqbal sepanjang Pilih Kasih berlangsung antara faktor utama yang menjulangnya sebagai Juara.

Namun bakatnya dikatakan cemerlang ketika mempamerkan lakonan dalam drama pendek bersiri, Mangsa Pemburu yang diarahkan oleh Along Kamaluddin dan Amie Maziah.

Lakonan Iqbal dalam drama itu cemerlang, tambah Rosyam, sehinggakan pada kesudahan peserta itu mampu menyerlah berbanding dengan peserta-peserta lain.

"Kesemua peserta diberi bahagian watak yang sama rata kerana tiada hero atau heroin pada mulanya. Namun pada episod akhir Iqbal begitu menyerlah sehingga dia yang bergelar hero dalam drama itu.

"Saya mahukan orang yang ada peningkatan seperti ini," ulas Rosyam.

Komen Iqbal tentang kejayaannya, ia akan dijadikan batu loncatan untuk menempa nama dalam bidang lakonan.

Malah peminat setia Rosyam itu juga memberitahu, walaupun sudah didedahkan serba sikit tentang dunia lakonan ketika menceburinya secara sambilan sebelum ini, dia tetap menganggapnya sebagai baru menapak dalam bidang itu.

"Saya sertai program ini sebagai orang baru walaupun ada sedikit pengalaman kerana pernah berlakon teater dan drama televisyen. Daripada kosong-kosong ini saya berusaha menimba ilmu dan pengalaman dalam Pilih Kasih.

"Memang tidak pernah ada dalam fikiran akan bergelar juara kerana saya sedar saya tidak berada di hati pengundi di luar sana," katanya.

Iqbal berjanji akan menggunakan sepenuhnya kepercayaan yang diberikan Rosyam itu untuk berjaya dalam bidang tersebut.

Kegagalan Mohamad Ridzuan Hasbullah, 20, atau Reza Hasbi sebagai juara walaupun undian SMS sentiasa memihak kepadanya saban minggu dan sering meletakkan di kedudukan teratas pula dikaitkan dengan kegagalannya menyerlah di pentas akhir itu.

"Reza gagal menyerlah di peringkat akhir antaranya kurang memberi penghayatan kepada tugasan watak-watak yang disediakan. Salah satunya yang saya perhatikan adalah dia memanipulasi pelbagai gerakan badan jika fokus lakonannya hilang," beritahu Rosyam.

Sesuatu yang pasti, sosok fizikal yang tegap dan menarik milik jurulatih gim berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu gagal mengaburi mata Rosyam seperti yang dilakukan terhadap pengundi-pengundinya.

Terpaksa bersabar

Pada undian keseluruhan sebanyak 36.07 peratus, Reza tetap membawa pulang trofi naib juara Pilih Kasih selain Abdul Hafiz Abdul Alim,25, atau Indera Hafiz yang merangkul tempat ketiga.

Sementara penganugerahan Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Terbaik yang dinilai oleh guru pementasan teater muzikal, Erma Fatima, guru seni lakon Rohani Yusof dan guru monolog Rosminah Tahir diberikan kepada Mohamad Sofian Bujang, 24 atau Sofian Bujang dan Nur Raihan Mat Zaki, 21 (Wanina Zaki).

Seperti yang dijanjikan kesemua pemenang tersebut akan dipilih untuk berlakon dalam filem baru terbitan Rosyam, Kasih.

Namun peminat mereka barangkali terpaksa bersabar untuk satu tempoh lagi memandangkan penerbitnya belum bersedia untuk menghasilkan filem itu sehingga pesertanya benar-benar bersedia.

Peminat bagaimanapun tetap berpeluang melihat lakonan mereka termasuk 10 finalis itu dalam sebuah muzikal hari raya yang bakal disiarkan di RTM pada Syawal nanti.

Pada masa yang sama, setiap pemenang mahupun peserta program terbabit bebas untuk berlakon di bawah mana-mana produksi selagi ia diterbitkan untuk RTM dalam tempoh setahun ini.

Kata Rosyam, tidak seperti program realiti lain, beliau tidak berniat untuk mengikat peserta-peserta Pilih Kasih sekuat-kuatnya termasuk mendapatkan komisen daripada lakonan yang mereka peroleh selepas ini.

No comments: