Friday, August 21, 2009

Lagu 1Malaysia : Penyanyi profesional, amatur berentap

Penyanyi profesional, amatur berentap

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin


KETUA Pegawai Eksekutif Celcom (M) Berhad, Datuk Sri Shazalli Ramly, Ahmad Izham dan Seelan bersama finalis dan mereka yang terbabit menjayakan kempen Pencarian Hot FM Lagu 1Malaysia.

Tarikh tutup undian Pencarian Hot FM Lagu 1Malaysia pada 26 Ogos

SEBANYAK 10 daripada 350 penyertaan yang diterima daripada kempen Pencarian Hot FM Lagu 1Malaysia dipilih ke peringkat akhir merebut peluang wang tunai bernilai RM5,000 yang ditawarkan kepada juara.

Apa yang menariknya, pertandingan ini bakal menyaksikan pertarungan di antara komposer serta penyanyi profesional dan amatur yang berentap merebut gelaran juara.
Pemilihan lagu terbaik ini hanya boleh dibuat melalui undian secara talian menerusi sesawang rasmi Hot FM di www.hotfm.com.my. Tarikh tutup undian adalah pada 26 Ogos sementara pemenang diumumkan pada 31 Ogos nanti sempena Hari Kemerdekaan ke-52.

Ketua Rangkaian Radio Media Prima, Ahmad Izham Omar berkata, pemilihan ke semua 10 peringkat akhir ini tidak hanya dibuat oleh Media Prima Berhad (MPB) tetapi turut membabitkan Jabatan Perdana Menteri (JPM). Katanya, kriteria pemilihan tidak terletak kepada populariti artis tetapi 10 lagu yang terpilih itu dinilai kepada melodi serta liriknya.

“Lagu yang kami pilih pertamanya perlu menarik supaya sesuai untuk disampaikan oleh pancaragam atau ketika konsert, setelah kami mengenal pasti 30 lagu yang terbaik barulah kami melihat liriknya. Apa yang mengejutkan kami, pihak jabatan sendiri mencari lagu yang moden sesuai dengan aliran muzik semasa.

“Kami amat berbangga kerana usaha Hot FM mendapat sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Pada mulanya, kami meminta supaya Perdana Menteri yang memilih pemenang tetapi beliau menyarankan supaya masyarakat Malaysia diberikan hak untuk memilih kerana lagu itu kelak ditujukan khas untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi Hot FM, Seelan Paul menafikan penyenaraian pendek artis dan komposer profesional terletak di tangan mereka, sebaliknya turut membabitkan pihak JPM. Beliau bagaimanapun berkata, pembabitan komposer mahupun artis terkemuka tidak menjamin kemenangan mudah kepada mereka.

“Ketika kami mengumumkan senarai finalis Rabu lalu, maklum balas yang kita terima tidak banyak yang berpihak ke arah komposer terkenal. Saya percaya pendengar Hot FM sedar ini bukannya pertandingan yang mengetengahkan artis popular tetapi kempen 1 Malaysia.

“Kempen ini sebenarnya meletakkan semua peserta dalam satu kelas yang sama, tidak ada istilah siapa yang profesional dan amatur. Pada tahap ini mereka semuanya sama saja, semuanya memiliki bakat serta kebolehan tersendiri,” kata Seelan.

Menurut Seelan lagi, pada mulanya mereka tidak berharap kempen yang dicetuskan secara spontan oleh Faizal Ismail dan Fara Fauzana akan mendapat sambutan menggalakkan. Malah ketika peringkat saringan, mereka hanya menjangkakan hanya empat buah lagu saja yang menepati kriteria tetapi mengejutkan apabila lebih 30 buah lagu menarik yang diterima mereka.

Lagu yang akan dipilih sebagai lagu 1 Malaysia terbaik tidak hanya membawa pulang wang tunai sebanyak RM 25,000 tajaan Xpax, tetapi juga berpeluang merakamkan muzik video yang bakal ditayangkan di televisyen.

Kempen Pencarian Hot FM 1 Malaysia lahir secara spontan apabila penyampai radio itu, Fara Fauzana mencabar Faizal supaya menghasilkan lagu patriotik yang bersesuaian dengan generasi baru apabila melihat masyarakat masih lagi menyanyikan lagu patriotik lama ketika menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan Manchester United dan Malaysia. Faizal menyahut cabaran berkenaan dan berjaya menghasilkannya dalam tempoh tiga hari, dari situ maklum balas positif diterima daripada pendengar Hot FM mendorong stesen berkenaan menganjurkan kempen berkenaan. Lebih membanggakan penyertaan diterima dari masyarakat berbilang bangsa.

No comments: