|
|
BEBERAPA bulan selepas dikatakan akan berehat untuk sementara waktu, program bual bicara AC Di Sini yang menampilkan AC Mizal selaku hos rancangan kini kembali dengan nafas baru.
Bukan lagi berjudul AC Di Sini, ia sebalikny menjalani proses transformasi bagi menarik lebih ramai lagi penonton dengan pendekatan santai dan berkonsepkan humor.
Menggunakan judul baru yang lebih ringkas iaitu AC?, ia secara tidak langsung menyaksikan bahawa AC Di Sini sudah pun 'berkubur'.
Mula ke udara sejak 28 April 2006, AC Di Sini diakui sebagai program yang banyak pengikutnya dan merupakan antara terawal menggunakan khidmat band pengiring di studio.
Konsep yang diketengahkan itu sememangnya menjadi ikutan program-program bual bicara lain dengan paparan eksklusif membabitkan golongan selebriti.
Meski kadang kala mengundang kontroversi, namun, AC Di Sini tidak lebih sebagai program yang mahu mendekatkan artis atau selebriti kepada penonton.
Elemen lucu dan menghiburkan ditambah dengan isu-isu panas artis tanah air dan negara merupakan kekuatan program tersebut.
Adflin Shauki dan Sheila Rusly merupakan antara artis yang pernah menitiskan air mata semasa menjadi tetamu AC Di Sini.
Maka tidak hairanlah ia menjadi sebahagian rancangan yang mempunyai rating tertinggi di saluran Ria (saluran 104, Astro).
Dan melihatkan populariti yang diraih AC Di Sini bukannya sedikit, Astro melihat ia perlu diberikan nafas baru memandangkan format AC Di Sini semakin menjadi ikutan program lain.
Biarpun menukar judul programnya kepada AC?, ia bagaimanapun masih mengekalkan AC Mizal dalam menerajui program berkenaan.
Bersiaran setiap Jumaat mulai 7 Ogos lalu, AC? menggunakan set studio yang baru dengan berlatarbelakangkan kelab malam bagi menimbulkan suasana glamor.
Menurut Penerbit AC?, Azwin Kamarul Zaman, AC? tampil dengan lima segmen iaitu Carta AC & Teropong, Borak AC & Kaunter AC, Gelak Geli AC, Wow! dan Garaj AC.
Masih menggunakan tagline Sempoi, kata Azwin, AC? lebih memfokus kepada karakter AC Mizal dalam menghidupkan suasana program bual bicara itu.
"Sebenarnya, ada banyak lagi karakter AC Mizal yang masih belum digali. Dia seorang yang berbakat dan bakat yang ada padanya itu akan kami cari untuk AC? tampil lebih segar.
"Kami perlu ke hadapan memandangkan ketika ini sudah banyak program bual bicara diterbitkan oleh stesen televisyen.
"Untuk itu, elemen-elemen baru perlu ditampilkan,'' katanya ketika ditemui pada sesi rakaman AC? untuk episod 26 di studio 2, Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Episod 26 yang bakal disiarkan pada Aidilfitri itu menampilkan dua pelakon muda, Fizo Omar dan Kamal Adli serta penyanyi Alyah yang kini popular dengan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang.
Menyambung perbualan, Azwin menjelaskan, AC? lebih kepada santai dan lawak tetapi masih mengekalkan soalan-soalan panas untuk artis yang diundang ke studio.
Ujarnya, AC? juga tidak lupa kepada peranan penonton di studio apabila memberikan peluang kepada mereka untuk bertanyakan apa sahaja persoalan terhadap artis melalui Kaunter AC.
Menerusi segmen Wow! pula, katanya, ia akan mengenengahkan personaliti berbakat besar negara yang telah berjaya mengharumkan nama Malaysia.
Ditanya mengapa menukar nama daripada AC Di Sini kepada AC?, Azwin berkata, AC? boleh ditakrifkan kepada nama pengacara program itu dan boleh juga merujuk kepada persoalan 'apa cerita?'.
"Sekali berubah, kita akan cuba untuk mengubah semuanya,'' jelas Azwin yang percaya AC? akan berjaya menambat hati penonton.
No comments:
Post a Comment