Friday, August 21, 2009

Tari Tirana sarat elemen tarian Lestary TV3 25 Ogos pukul 9 malam.

Tari Tirana sarat elemen tarian


Antara babak menarik yang dipaparkan dalam Tari Tirana.


JIKA bercerita tentang filem mahupun drama tempatan yang jalan ceritanya disaratkan dengan elemen tarian, di negara ini masih baru jika dibandingkan dengan produksi negara luar. Cuba memberi kelainan mengikut arus global, syarikat penerbitan Radius One Sdn. Bhd., membawakan kisah Tari Tirana yang bakal disiarkan setiap Selasa menerusi slot Lestary di TV3 bermula 25 Ogos ini pukul 9 malam.

Menampilkan barisan pelakon utama seperti Wan Sharmila, Nadia Aquila, Shaz Jazle dan Ammar, kisah yang mengangkat tema tarian itu fokus kepada kehidupan seorang gadis dari Singapura bernama Tirana yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menyambung pengajiannya.

Drama arahan sutradara, Shahrulezad Mohamedin itu turut di jayakan oleh Noryati Taib, Zaibo, Zaefrul Nordin, Ruzana Ibrahim dan Faizul.

Bukan sahaja menampilkan ramai muka baru dalam bidang lakonan, malah Shahrulezad agak bertuah kerana barisan pelakon yang dipilih kebanyakannya mempunyai asas dalam bidang tarian.

Biarpun baru, tegas Shahrulezad, kebanyakan mereka mempunyai bakat lakonan yang dirasakannya mampu menyampaikan mesej dalam Tari Tirana.

"Sebelum ini, memang banyak pihak mengatakan bahawa saya gemar mengambil pelakon yang sama bagi kebanyakan produk arahan saya.

"Bagi saya, mana-mana syarikat produksi memang begitu. Apabila mereka sudah selesa bekerjasama dengan seseorang pelakon secara tidak langsung orang yang sama sahaja akan dipanggil.

"Tentang pemilihan ramai pelakon baru dalam drama ini, bukan untuk lari dari dakwaan itu tetapi kerana ingin memberi kelainan dalam drama yang berkisarkan kehidupan remaja sebegini," katanya.

Menyuntik elemen tarian dalam drama tersebut, jelasnya, idea dan perancangan menghasilkan drama sedemikian telah tercetus sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, mencari pelakon yang bersesuaian dengan kepelbagaian karakter dalam Tari Tirana sedikit membantutkan usaha tersebut.

"Tari Tirana banyak bermain dengan adegan-adegan tarian. Di negara ini, pelakon-pelakon kita bukan macam pelakon di Bollywood yang boleh dikatakan mempunyai pakej lengkap dengan lakonan, tarian dan nyanyian.

"Untuk mencari pelakon yang ada bakat dan pandai menari itulah yang saya rasa sukar dan merupakan satu cabaran buat saya.

"Bagaimanapun, untuk drama ini saya sediakan beberapa orang koreografer yang bagus untuk melatih mereka menari dengan baik," kata pengarah drama bersiri Sindarella itu lagi.

Sekilas mengenai siri tersebut, kisah bermula apabila Tirana seorang gadis dari Singapura yang terputus hubungan cinta dengan seorang penyanyi pop terkenal di negara itu, Ash.

Hubungan mereka retak setelah Ash dihasut oleh pengurusnya, Vee yang mahukan Ash menumpukan perhatian dalam kerjaya.

Kerana kecewa, Tirana mengikut nasihat bapanya untuk menyambung pengajian di London. Sedar akan agenda ayahnya yang ingin menjodohkannya dengan Ryan, Tirana mengambil keputusan menyambung pengajian di Kuala Lumpur.

Tanpa pengetahuan ayahnya, Tajudin, Ryan membantu menguruskan urusan Tirana ke Kuala Lumpur.

Episod baru kehidupan Tirana bermula setelah berjaya menjadi pelajar di Universiti LimKok Wing. Di sana dia mula menyedari bahawa dia benar-benar meminati tarian.

Dalam pada itu, Chika seorang pelajar di universiti itu yang juga seorang ketua kumpulan tarian berlagak sombong biarpun mengetahui bahawa Tirana begitu teruja untuk menjadi sahabatnya.

Kebencian Chika terhadap Tirana bertambah apabila menyedari bahawa Tirana mampu menyainginya dan mengetahui kekasihnya, Neo seakan menyukai Tirana. Apakah yang berlaku seterusnya?. Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan siri Tari Tirana ini.

Selain tarian dan percintaan, gandingan Zaibo dan Noryati dilihat sebagai pencetus elemen komedi dalam siri tersebut.

"Noryati sebelum ini sangat dikenali dengan watak Makcik Mary dan dalam cerita ini wataknya sebagai seorang pengawal keselamatan wanita yang garang.

"Berpasangan dengan Zaibo, dapat menyuntik elemen komedi dan juga kekeluargaan dalam cerita ini. Salah satu sebab lagi ialah saya tidak mahu ketinggalan penonton dari kawasan luar bandar," katanya sebelum mengakhiri perbualan.

No comments: