Friday, August 21, 2009

Farid Kamil & Lisa Surihani : Risau peminat bosan

Risau peminat bosan


LISA SURIHANI semakin banyak belajar daripada aktor senior termasuk Farid.


SERING kali digandingkan sebagai pasangan kekasih di layar perak, Farid Kamil dan Lisa Surihani bagaikan tidak lagi memberi sebarang 'kesegaran' kepada penonton. Bukannya bosan dengan lakonan mereka tetapi disebabkan terlalu banyak disatukan sebagai kekasih, timbul persoalan mengapa mereka perlu digandingkan sekali lagi?

Tidak dinafikan mereka mampu memaparkan keserasian sebagai kekasih tetapi ada penonton yang mahukan kelainan. Bukan sahaja pernah digandingkan dalam tiga buah filem iaitu I'm Not Single, Remp-It V3 dan terbaru Semerah Cinta Stilleto, mereka juga pernah berlakon bersama dalam drama 3 Janda yang ditayangkan di Astro.

Bagi penerbit filem Semerah Cinta Stilleto, David Teo, dia mempunyai alasan yang kukuh mengapa kedua-dua aktor itu dipilih untuk membintangi filem ke-37 keluaran syarikat miliknya, MIG Production Sdn. Bhd. Berpendapat bahawa mereka berdua adalah pasangan romantik, David tidak dapat memikirkan alasan untuk memisahkan Lisa dan Farid.

"Mereka ialah pasangan kekasih paling sesuai untuk pasaran filem sekarang. Sebenarnya bukan senang bagi kami mencari pasangan kekasih yang sesuai. Bukan sahaja mengambil aspek padanan wajah, faktor kematangan dan ketinggian juga penting.

"Jadi berdasarkan kajian yang dibuat kami dari semasa ke semasa, Farid dan Lisa ialah pasangan yang sesuai terutama dengan watak dalam filem itu. Lisa sangat sesuai dengan watak gadis kaya dan Farid pula padan dengan watak penjual ikan. Kesesuaian watak juga penting dalam pemilihan pelakonnya."

Farid pula mengambil peluang bekerjasama dengan Lisa sebagai satu benda yang positif. Disebabkan keserasian yang telah dibina daripada gandingan sebelum itu, Farid berpendapat ia patut digunakan sebaiknya untuk mencapai efek yang dikehendaki oleh skrip filem.

"Apa yang David lihat mengenai kami berdua adalah perkara biasa dilihat oleh mana-mana penerbit yang mahu mencapai kutipan box-office. Ini kerana bagi menjayakan filem genre romantik komedi, keserasian adalah sangat penting.

"Lagipun keserasian yang ada memudahkan saya untuk bekerja di set penggambaran. Jadi saya tidak perlu lagi mencari masa untuk membina keserasian dengan aktres baru. Lisa sekarang juga lebih matang dan berkembang dari segi lakonan. Itu memudahkan lagi kerjasama kami," jelas Farid yang turut menghadiri majlis pelancaran itu.

Sibuk dengan penggambaran drama Korban 44, Farid belum meluangkan masa untuk menjiwai wataknya sebagai Leto yang menjadi penjual ikan di pasar borong serta tinggal di kawasan flat murah.

"Disebabkan watak saya dalam drama Korban 44 juga mencabar, saya belum ada masa untuk membuat kajian mengenai watak Leto. Tapi saya sudah membaca skripnya sepintas lalu. Jadi gambaran mengenai watak itu sudah ada dan saya juga yakin kerana keserasian bersama Lisa," tambahnya lagi.

Lisa yang memegang watak Stila mengaku ramai audiens suka menyaksikan dia dan Farid berganding sebagai pasangan kekasih dalam filem. Jadi dia hormat dengan pendapat penonton dan kelebihan itu memudahkan dia bekerja di set.


KARYAWAN di depan dan di belakang filem Semerah Cinta Stilleto termasuk penerbitnya, David Teo (empat dari kanan).


"Keserasian membolehkan saya membuang perasaan kekok. Lagipun kita bekerja secara profesional dan sering berbincang. Maka, tidak timbul masalah saya berasa susah untuk 'bercinta' dengan Farid dalam filem.

"Tidak juga ada isu keselesaan kerana saya hanya melakukan tanggungjawab saya. Apa yang penting adalah saya lakukan yang terbaik. Saya juga menggunakan peluang ini untuk belajar dengan Farid yang lebih senior daripada saya," jelasnya yang bakal dilihat dalam filem Zoo, Legenda Budak Syaitan dan Kapoww.

Komedi realistik

Memulakan penggambaran pada 12 Ogos lalu, penggambaran dijadualkan siap dalam masa 18 hari. Turut dibintangi oleh Cat Farish, Angah Raja Lawak, Kenchana Dewi, Nanu, Maimon Muttalib dan Shaharudin Thamby, filem itu diarahkan oleh Ahmad Idham.

Menjalankan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dengan bajet RM1.5 juta, Idham tidak memerlukan persiapan yang banyak memandangkan filemnya kali ini lebih ringan dari segi genrenya.

Namun, Semerah Cinta Stilleto tidak memberi fokus sepenuhnya kepada elemen cinta. Nilai hiburannya juga merangkumi komedi yang lebih realistik.

"Selalunya jika anda menonton filem romantik komedi, banyak babak bersifat fantasi dipaparkan. Saya mahu memberikan cerita yang lebih realistik," ujar Idham.

Menceritakan kisah dua kehidupan berbeza antara Lisa dan Farid, Idham mahu membuat kupasan mengenai sifat seseorang yang dilahirkan daripada keluarga kaya dan miskin. Cerita dua darjat itu diceriakan dengan komedi berdasarkan situasi yang berlaku.

"Saya cuba untuk membongkar kehidupan dua golongan berbeza dan mencari erti kesempurnaan yang dicari setiap insan. Perbezaan taraf perlu dilihat dari perspektif positif memandangkan negara kita sedang menuju ke arah globalisasi. Maka, diharap dengan filem itu, ia dapat meningkatkan kesedaran penonton," jelas Idham.

Memberitahu bahawa pemilihan pelakon dilakukan bersama krew filem dan pihak MIG, Idham menyatakan dia tidak mahu dikatakan bias terhadap mana-mana pelakon. Proses yang sama juga dilakukan semasa memilih judul yang sesuai.

"Pada mulanya kami mahu meletakkan judul Stilleto sahaja. Tapi selepas melakukan perbincangan, kami takut judul itu terlalu urban. Ini kerana sasaran penonton kami bukannya golongan dari bandar. Oleh itu, pemilihan judul filem juga memainkan peranan penting dalam menarik perhatian audiens.

"Satu lagi, kita juga perlu membuat kajian siapa sasaran penonton. Contohnya seperti filem Brainscan, filem itu menarik tetapi gagal mengaut keuntungan kerana judulnya terlalu urban. Jadi kami tidak kisah jika ada orang yang cakap Semerah Cinta Stilleto itu 'kampung'. Janji judul itu dekat dengan hati audiens kami," ujarnya.

No comments: