Friday, August 21, 2009

Menghayati perjuangan Bapa Pembangunan

Menghayati perjuangan Bapa Pembangunan


KELUARGA bahagia Tun Razak digambarkan dengan cantik sekali.


APABILA penulis menjengah dunia pada tahun 1985, beliau sudah sembilan tahun kembali ke rahmatullah. Sebagai individu yang bernafas dalam nikmat udara selesa selepas lebih tiga dekad negara mencapai kemerdekaan, hanya gambar dan ceritera kehebatannya dapat dibaca lewat akhbar dan buku sejarah.

Pun begitu, baru-baru ini sisi lain yang terbentang di depan mata membuatkan individu cukup berharga itu menjadi semakin dekat di pemikiran.

Meskipun hanya di pentas teater dan tidak pernah mengenali tokoh politik yang diberi gelaran sebagai Bapa Pembangunan, perjuangan atas nama Malaysia sehingga ke akhir hayatnya cukup meruntun jiwa.

Itulah yang dirasai tatkala menonton teater muzikal Tun Abdul Razak yang dipentaskan di Istana Budaya sejak 16 Ogos hingga semalam.

Hanya melalui teater, setiap penonton merasai betapa besarnya sumbangan Tun dalam kemakmuran yang dikecapi Malaysia kini.

Fahamlah kami, bagaimana jasa dan pengorbanan beliau yang membawa kepada gelaran sebagai Bapa Pembangunan negara.

Tun Abdul Razak, bukan sahaja berjaya memupuk perpaduan berdasarkan peristiwa 13 Mei dan menamatkan konfrantasi antara Malaysia-Indonesia, malah melahirkan idea membasmi kemiskinan menerusi Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan.

Selain itu juga, teater berkenaan dengan jelas memaparkan ciri-ciri hebat kepimpinan beliau yang membuka hubungan dua hala bersama China dalam menggerakkan ekonomi dalaman.

Melihat ke kolam rasa, sebenarnya rasa syukur bersarang di hati saat menonton teater yang diarahkan oleh Datuk Rahim Razali itu bersempena dengan bukan kemerdekaan ke-52 baru-baru ini.

Nampaknya teater yang mengangkat Rashidi Ishak sebagai Tun Abdul Razak dan penyanyi terkenal Fauziah Latif sebagai Toh Puan Rahah Mohd. Noah isteri kepada mantan Perdana Menteri itu cukup menarik minat orang ramai yang dilihat memenuhi setiap kerusi di Panggung Sari, Istana Budaya.

Selain tarikan dua artis terkenal, teater ini sebenarnya cukup bersejarah apabila menggunakan sepenuhnya tenaga pelajar dan graduan dari Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Walaupun terdapat beberapa kekurangan seperti gangguan sistem bunyi, teater muzikal ini boleh dikatakan menarik dan juga mampu mendidik penonton tentang perjuangan tokoh politik waktu sebelum merdeka dan selepas merdeka.

Menurut Rahim, membawakan sebuah teater yang bercerita tentang ketokohan seorang pemimpin yang disegani bukanlah satu tanggung jawab mudah.

Sementelah tugasnya sebagai penghulu kepada teater muzikal ini cukup berat dan mencabar sementelah sudah 10 tahun tidak mengarah mana-mana teater.

Bagaimanapun, tawaran yang diberikan kepadanya tetap diterima memandangkan Tun Abdul Razak bukan sahaja orang yang dihormatinya, malah, merupakan orang yang cukup dekat dengan jiwanya sebagai seorang anak Melayu.

"Saya arah teater ini daripada hati kerana saya tahu Tun orang yang cukup disayangi ramai. Sebab itu, tanggungjawab mengarah teater ini cukup berat.

"Subjek teater ini sendiri sangat berat dan saya cukup bimbang jika mesej yang ingin diterjemahkan kepada penonton melalui dialog dan lagu tidak sampai.

"Tetapi syukur, setelah beberapa malam banyak reaksi positif yang saya terima. Saya juga gembira dengan barisan pelakon utama yang setiap hari menunjukkan peningkatan," katanya.

Tidak diragui lakonan Rashidi sangat bagus, namun apabila tiba bahagian nyanyian, suaranya tidak berapa jelas kedengaran ditambah jika dia berpadu suara dengan Fauziah Latif.

Timbul persoalan mengapa pengarahnya masih merelakan Rashidi menggunakan suara sendiri dan menyanyi secara langsung, sedangkan banyak lagi alternatif lain yang boleh digunakan agar tidak mencacatkan perjalanan teater itu.

Bagi pengarahnya, bukan dia tidak mahu menggunakan segala alternatif yang ada tetapi kerana dia yakin dengan kemampuan yang dimiliki oleh pelakon pilihannya itu.

"Saya yakin dengan Rashidi, saya tahu ada beberapa kekurangan tetapi saya bangga dengan keberanian serta kebolehannya.

"Kita semua tahu yang Rashidi seorang pelakon, pemuzik tetapi bukan seorang penyanyi. Namun, saya tetap memilihnya untuk memegang watak utama yang memerlukan dia nyanyi secara langsung kerana saya tahu dia mampu," ujarnya.


KASIH sayang Razak dan Rahah.


Rashidi akui kelemahan

Rashidi yang ditemui sejurus pementasan selesai juga mengakui masih ada perasaan gugup memandangkan ini kali pertama dia terlibat dengan teater walaupun pernah ditawarkan oleh Datuk Rahim sebelum ini.

"Sebelum teater muzikal Tun Abdul Razak, saya pernah ditawarkan berlakon teater oleh Datuk Rahim tetapi saya tolak dengan baik kerana takut.

"Mungkin sebab sudah terlalu selesa berada di hadapan kamera membuatkan saya tidak mahu orang melihat segala kelemahan apabila di atas pentas," katanya.

Tambah suami kepada pelakon Vanida Imran ini lagi, tawaran kali kedua oleh Datuk Rahim sukar ditolak memandangkan subjeknya seorang yang amat dikaguminya.

"Saya tahu banyak kelemahan terutama nyanyian tetapi saya sudah cuba yang sehabis baik. Dapat pula berlakon dengan seorang penyanyi yang saya minat dan diarah oleh seorang pengarah dan pelakon berkaliber, mana mungkin saya menolak," tuturnya.

Kata Rashidi yang membotakkan separuh kepalanya demi watak Tun, meskipun tidak pernah berjumpa dengan Tun Abdul Razak tetapi apabila dipertanggungjawab sebagai pelakon utama dia telah mula rapat dengan Tun Abdul Razak melalui kajian yang dilakukannya.

"Saya seolah-oleh dapat melihat dengan mata kasar perjuangan Tun menerusi kajian dan dari situ saya mula kumpulkan karakter Tun dalam diri.

"Walaupun karakter yang dipentaskan tidak sama dengan Tun yang sebenar tetapi melalui dialog serta lagu saya rasa cukup mesej yang ingin disampaikan.

"Kalau ikutkan Tun seorang yang tidak banyak cakap, kalau bercakap sangat lembut dan tidak dalam nada yang tinggi, tetapi untuk teater kalau saya cakap dengan cara itu tiada siapa yang mendengar suara saya," terang Rashidi yang semakin ketagih untuk berlakon teater.

Buang rasa malu

Bagi wanita jelita di samping Rashidi, Fauziah Latif atau mesra disapa sebagai Gee pula dilihat menampilkan lakonan yang cukup berkesan ditambah dengan suara yang cukup merdu dan menarik perhatian penonton.

Boleh dikatakan Gee antara kekuatan teater ini meskipun wataknya tidak besar berbanding dengan watak Tun.

"Seingat saya semasa latihan penuh suara saya langsung tidak boleh keluar, tetapi pada pementasan yang sebenar alhamdulillah suara saya okey.

"Mungkin kerana mood itu sudah ada dan saya pun semakin menjiwai watak Toh Puan Rahah dari hari ke hari. Sebenarnya saya cuba perbaiki kelemahan setiap hari," luahnya.

Bicara Gee lagi, walaupun dia berjaya menampilkan lakonan beremosi tetapi terselit juga rasa malu jauh di sudut hatinya kerana sudah terlalu lama dia tidak menjejaki pentas teater.

"Teater ini ibarat yang pertama bagi saya kerana melakon watak yang sangat berat. Malu itu tetap ada tetapi semakin lama perasaan itu makin hilang.

"Sepanjang berlatih dan bersama rakan-rakan dalam teater ini apa yang saya lihat, Tun seorang yang berjiwa rakyat dan kejayaan setiap lelaki disusuli dengan bantuan seorang wanita dibelakangnya.

"Jadi tanggungjawab isteri Tun juga sama besar dengan suaminya kerana, dia bukan sahaja wanita yang memberi harapan kepada Tun tetapi juga negara," terangnya.

No comments: