|
|
EMERGIAN Mohd. Asri Ibrahim atau lebih mesra dikenali Ustaz Asri meninggalkan kesan yang bukan sedikit buat para pejuang muzik nasyid khususnya dan industri hiburan amnya.
Seperti yang semua orang sedia maklum, perjuangan Ustaz Asri bersama kumpulan Rabbani yang mula diasaskan pada 1 Mac 1997 mendapat sambutan luar biasa.Perjuangan Ustaz Asri bersama Rabbani mereka mengajak masyarakat berzikir dan menyanyikan melodi indah bertemakan ketuhanan.Itulah manifestasi dakwah dari kaca mata Ustaz Asri yang akan terus dikenang sampai bila-bila.Justeru, sebagai mengenang perjuangan mulia Allahyarham, stesen televisyen TV3 mengambil inisiatif menerbitkan program Ustaz Asri Dalam Kenangan.Program istimewa itu bakal disiarkan hari ini pada pukul 6 petang.Selama sejam, para peminat setia Allahyarham Ustaz Asri berpeluang menonton semula rakaman persembahan kumpulan Rabbani di konsert-konsert yang pernah dirakamkan oleh stesen televisyen itu khususnya sewaktu beliau menjayakan Konsert Malam Sinar Maulidurrasul 1428H (2007).Tidak ketinggalan rakaman Konsert Rabbani Istimewa Maulidurrasul 1427H (2006) yang turut menampilkan persembahan duet beliau bersama artis-artis tanah air iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search dan Mawi. Dalam program Ustaz Asri Dalam Kenangan ini juga, TV3 akan menyiarkan sedutan visual majlis pengkebumian Allahyarham serta wawancara bersama ahli Rabbani yang lain. Menyedari ramai peminat Ustaz Asri yang merasakan kehilangannya, TV3 memberi peluang kepada peminat dan penonton di rumah mengirim ucapan takziah ketika program ini disiarkan dengan cara menghantar SMS.Jadi, kepada peminat-peminat Allahyarham Ustaz Rabbani, pastikan anda tidak ketinggalan menonton program Ustaz Asri Dalam Kenangan di TV3 pada pukul 6 petang hari ini.
No comments:
Post a Comment