Monday, August 17, 2009

Cinta Akhil, Waheeda datang sendiri

Cinta Akhil, Waheeda datang sendiri


Akhil dan Waheeda berharap pernikahan mereka mampu menoktahkan nista khalayak sebelum ini.



PASANGAN pengantin baru tersenyum manis selepas sah bergelar suami isteri.


Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila penceramah bebas dan hos saluran Oasis, Akhil Hayy akhirnya bernikah dengan penyanyi dan pelakon Waheeda atau nama sebenarnya Nor Wahidah Abdul Wahab.

Hubungan mereka sudah lama dihidu media dan khalayak. Apa lagi gosip cinta mereka tidak pernah surut sejak setahun lalu. Mereka bukan sekadar dikatakan bercinta malah sempat didakwa sudah berkahwin. Namun, kedua-duanya tegas menafikan khabar angin tersebut.

Sehinggalah bekas isteri Akhil, Maizawati Zainal, 33, tampil ke hadapan bercerita tentang kepincangan rumah tangganya pada tanggal 16 Julai, perkahwinan Akhil dan Waheeda adalah berita yang ditunggu-tunggu banyak pihak yang mahu melihat kesudahan telenovela mereka.

Ironinya, Akhil berkahwin baru dalam tempoh genap sebulan bergelar duda. Perkahwinan dia dan Waheeda juga seperti mengesahkan bahawa mereka memang punya hubungan luar biasa sebelum ini. Jika tidak, masakan Akhil boleh terus memilih Waheeda untuk berkahwin semula dalam jangka waktu yang singkat.

"Ini soal jodoh. Kita tidak boleh hendak cakap singkat atau lambat jangka waktu saya menduda. Ada juga orang yang baru bercerai hari ini, sudah berkahwin baru pada keesokan harinya," katanya yang turut memberitahu perkahwinan mereka adalah doa daripada semua pihak yang selama ini mengikuti kontroversi mereka.

Tambah Akhil, penyatuan mereka hanya berpandukan senaskhah al-Quran sebagai pegangan hidup yang menutup spekulasi yang menjalar sejak lebih setahun lalu. Ia juga bukti mereka tidak pernah berkahwin.

Akhil yang hanya membuat perancangan seminggu untuk bernikah berkata: "Hari ini adalah bukti kami tidak pernah berkahwin. Saya harap ia juga penutup spekulasi hubungan kami yang digembar-gemburkan banyak pihak selama ini."

Tidak lagi berdolak-dalik seperti sebelum ini, Akhil yang segak berbaju Melayu putih juga membuka kisah cinta mereka secara kiasan.

Pertama sekali, tegas Akhil, sejak dahulu, dia memang tidak pernah menafikan mempunyai hubungan yang baik dengan penyanyi yang hit dengan lagu Wassini itu sebaliknya dia menafikan bercinta dengan gadis itu.

Beritahu Akhil, dia mula rapat dengan Waheeda sejak dua tahun lalu. Sejak itu mereka berkawan baik.

Jelasnya: "Selama ini pun saya tidak pernah menafikan saya selesa berkawan dengan Waheeda tetapi saya nafikan kami bercinta. Allah yang menggerakkan perasaan kasih saya ke arah ini (perkahwinan) dan saya mengikut petunjuk Allah untuk mengambil Waheeda sebagai isteri saya."

Dijolok soalan tentang bibit cinta antara mereka, Akhil hanya mengulas ringkas. Katanya, mustahil dia berkahwin dengan Waheeda tanpa ada bibit cinta.

"Ia didorong perasaan cinta kepada wanita ini selepas Allah membuka pintu hati untuk menerima anugerah yang besar daripada Allah.

"Saya akan mencuba sedaya upaya untuk membimbing keluarga saya," katanya yang menerima ketentuan Ilahi itu dengan tangan terbuka.

Sementara bagi Waheeda yang kelihatan gembira dengan perkahwinan itu berkata, penyatuan mereka adalah hikmah terbesar dalam dugaan yang mereka tempuhi selama ini.

Malah, dia juga tidak peduli dengan nista yang sudah dan bakal melanda lagi selepas dia akhirnya berkahwin dengan bekas suami orang ini.

"Lantaklah orang hendak kata apa. Banyak benda yang lebih penting harus kita fikirkan daripada memikirkan tentang cakap-cakap orang.

"Apa yang penting saya memegang kata-kata daripada Dr. Fadzilah Kamsah bahawa ada hikmah yang besar menanti di sebalik dugaan yang saya lalui. Alhamdulillah, hari ini saya mendapat ganjaran tersebut," katanya.

Kejar rahmat Ramadan

Dinikahkan oleh Pendaftar Nikah Rujuk dan Cerai Hulu Selangor, Ustaz Zulkhairi Jaid di Masjid Jamek Al-Rahimah, Kuala Kubu Baharu, Selangor, dengan hanya sekali lafaz, Akhil memberitahu pernikahan yang dijalankan di kawasan desa itu bukan diadakan dengan tujuan untuk mengelak daripada media. Sebaliknya dia bersetuju untuk dinikahkan oleh Zulkhairi yang merupakan teman baiknya di masjid itu.

Ditanya tentang pemilihan tarikh nikah, kata Akhil, tiada signifikan pada tarikh 16 Ogos sebagai tarikh ijab kabul mereka. Tarikh tersebut dipilih kerana mereka mengejar rahmat Ramadan dan mahu menikmati rahmat tersebut sebagai pasangan suami isteri.

"Pada mulanya kami merancang untuk bernikah pada 21 Ogos iaitu sehari sebelum Ramadan. Saya mahu mengambil keberkatan malam Ramadan pertama.

"Bagaimanapun, selepas berbincang, kami awalkan seminggu pernikahan ini. Apa yang penting adalah kami mengejar rahmat Ramadan dalam sebuah keluarga baru," ujar Akhil.

Pernyataan tersebut disokong Waheeda dengan mengatakan: "Ia juga untuk anak-anak kami. Kami mahu anak-anak kami menyambut Ramadan dengan sebuah keluarga sempurna."

Ditanya tentang destinasi bulan madu, Waheeda memberitahu, tiada perancangan untuk meraikan cinta mereka yang akhirnya bersatu. Namun, katanya, cukup dengan kunjungan keluarga antara dia dan Akhil.

Kata Waheeda: "Kami akan mengeratkan hubungan antara dua keluarga dengan kunjungan kami nanti."

Pernikahan ini juga, kata Waheeda, menjadi penutup kepada kerjayanya. Dia mahu cuci tangan daripada bidang hiburan serta memberi komitmen sepenuh masa kepada anak-anak tirinya selain bersedia membina keluarga sendiri.

"Dengan pernikahan ini, saya sudah berhenti menjadi anak seni secara rasmi. Saya tidak mahu anak-anak dan keluarga saya terabai," katanya yang mahu membuka buku baru kehidupannya.

Semoga berbahagia


MAIZAWATI doakan kebahagiaan Akhil dan Waheeda.


Dari hujung corong telefon, bicaranya kedengaran bersahaja dan tenang. Tidak terlalu perlahan kesedihan dan tidak juga terlalu berdolak-dalik, meskipun wanita itu sudah boleh meneka soalan yang bakal diajukan kepadanya.

“Saya tahu kenapa. Tidak apalah, teruskan dengan soalan anda,” ujar Maizawati Zainal, 33, bekas isteri pendakwah selebriti dan penyanyi nasyid, Akhil Hayy ketika dihubungi Kosmo! petang semalam.

Mengakui hanya mengetahui mengenai majlis pernikahan Akhil dengan penyanyi Waheeda selepas dihujani beberapa panggilan telefon daripada wartawan pada sebelah pagi, Maizawati bersikap profesional tanpa mengelak pertanyaan media.

“Seperti yang saya katakan dahulu, peminat lebih tahu. Peminat sekarang sudah pandai, jadi tidak perlulah dinafikan sebelum ini,” ujarnya mengakui tetap mendoakan kebahagiaan Akhil dan Waheeda.

Tambah Maizawati, kalau boleh dia enggan lagi mengambil tahu tentang perjalanan bekas suaminya memandangkan mereka kini sudah berpisah.

“Biarlah, rasanya saya tidak perlu lagi mengambil tahu tentang dia (Akhil). Sejak awal tahun lagi memang dia sudah tidak memberitahu saya apa-apa,” ujarnya.

Menganggap apa yang dilaluinya hari ini sebagai takdir, Maizawati menjelaskan yang dia reda dengan ketentuan dan dugaan Yang Maha Esa.

“Saya percaya setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Tidak ada manusia yang sempurna. Mungkin dia (Akhil) ada kebenaran dan kesalahannya dan begitu juga saya.

“Kehidupan terpaksa diteruskan. Sebagai ibu tunggal dan anak kepada orang tua yang memerlukan sokongan saya, maka saya perlu berusaha gigih.

“Sebab itu saya perlu mencari rezeki untuk teruskan hidup,” katanya sambil memberitahu baru-baru ini dia dilantik Yayasan Pembangunan Nur Hikmah sebagai Duta Tudung Myza.

Enggan lagi bersedih mengenang keperitan hidup yang pernah dilaluinya, Maizawati juga berusaha membuat bisnes kek coklat bersama seorang kawan. Tidak ketinggalan wanita itu turut terlibat dengan bisnes jualan jubah Abaya yang dibawakan eksklusif dari Dubai.

Kepada yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang produk yang diusahakan Maizawati sila hubungi talian faks 05-547 2235.

Farid, Lisa ikon romantik?

Farid, Lisa ikon romantik?


Pernah dikaitkan bercinta, Lisa dan Farid menafikan bahawa mereka punyai perasaan cinta antara satu sama lain.


DAHULUNYA, dua insan popular ini pernah dikaitkan sebagai pasangan yang sedang mengait buih-buih cinta. Sering dilihat bersama ketika menghadiri majlis-majlis tertentu, ia seakan menguatkan andaian pelbagai pihak yang mereka sebenarnya punyai perasaan cinta antara satu sama lain.

Meski pernah menafikan dakwaan demi dakwaan yang muncul, masih ada yang tidak percaya akan penafian yang dilakukan.

Sehingga pada satu ketika, dakwaan itu semakin meluas. Secara tiba-tiba, terbit cerita yang mengatakan mereka sudah putus cinta.

Begitulah tanggapan yang dilakukan terhadap pelakon Lisa Surihani dan Farid Kamil.

Masakan tidak, mereka sebelum ini pernah digandingkan dalam tiga buah filem yang sedikit sebanyak menguatkan lagi ‘fitnah cinta’ dua anak seni ini.

Tiga filem berkenaan ialah I’m Not Single dan Rempit V3, terbitan MIG Production Sdn. Bhd. (MIG) serta Lagenda Budak Setan (terbitan Tarantella Pictures).

Malah, mereka berdua juga pernah berlakon bersama menerusi drama bersiri Tiga Janda.

Terbaru, Lisa dan Farid sekali lagi digandingkan dalam filem ke-37 terbitan MIG berjudul Semerah Cinta Stileto.

Diarahkan oleh Ahmad Idham Ahmad Nadzri, menerusi filem komedi romantik itu, Farid yang memegang watak Leto manakala Lisa (Stila) terjebak dalam cinta antara dua darjat.

Gandingan ini pantas ditafsirkan oleh orang nombor satu dalam MIG iaitu David Teo sebagai gandingan yang cukup secocok.

Mahu menjadikan Lisa dan Farid sebagai ikon pasangan romantik, David menjelaskan bahawa mereka sememangnya serasi tatkala dilihat dalam filem.

Bak Ali Setan yang sehingga kini masih diingati dengan gandingan mantap Fauziah Ahmad Daud dan Azmil Mustapha, Lisa serta Farid bagaimanapun punyai alasan tersendiri mengapa mereka cukup serasi ketika beraksi di pentas lakonan.

Saya serasi dengan Lisa

Menurut Farid, seperkara positif yang dapat dilihatnya tatkala digandingkan dengan Lisa adalah antara kedua-dua mereka memang sudah ada keserasian.

Jelasnya, keserasian itu telah wujud sejak dia dan Lisa berlakon menerusi filem I’m Not Single lagi.

“Apa yang dilihat oleh David Teo adalah satu perkara yang biasa. Untuk filem komedi romantik, pemilihan pelakon adalah cukup penting.

“Pemilihan yang tepat akan memudahkan sesiapa sahaja mencapai matlamat yang diinginkan.

“Bagi saya, keserasian yang wujud dengan Lisa mampu memudahkan kerja dan saya tidak perlu bersusah payah untuk mencari keserasian. Hanya menggunakan

keserasian sedia ada,’’

katanya ketika ditemui sejurus selepas majlis pelancaran Semerah Cinta Stileto yang diadakan di Restoran Lemon, Seri Kembangan, baru-baru ini.

Semerah Cinta Stileto yang memulakan pengambaran 12 Ogos menampilkan pelakon ternama seperti Nanu Baharudin, Cat Farish, Shaharudin Thamby, Datuk Jamali Shadat, Maimon Muttalib, Angah (Raja Lawak), Mie (Raja Lawak), Rama serta Kenchana Dewi.

Menyambung bicara, Farid berkata, Lisa juga telah menampakkan kematangan serta peningkatan dalam lakonan.

“Ia juga menjadi faktor yang mampu memudahkan kerja dan mewujudkan keserasian antara kami. Lisa telah banyak terlibat dengan pelakon-pelakon lain. Seperkara lagi, kami telah didik supaya bersikap profesional dan soal peribadi harus diketepikan,’’ katanya.

Ditanya mengenai wataknya dalam Semerah Cinta Stileto, Farid menjelaskan, bahawa filem itu meletakkannya sebagai seorang pemuda yang hidup dalam keadaan serba sederhana.

Bekerja sebagai penjual ikan di pasar borong dan tinggal di rumah flat, pelbagai kejadian yang berlaku telah memberi kesempatan untuknya bertemu dengan Stila, seorang anak orang kaya yang tinggal di banglo berhadapan dengan rumah flatnya.

Namun, hubungan Stila dan Leto mendapat tentang daripada keluarga Stila.

“Saya masih belum membuat kajian mengenai watak sebagai penjual ikan kerana terikat dengan projek di Astro.

“Insya-Allah, berdasarkan pembacaan skrip, saya yakin akan mampu membawa watak ini dengan berkesan,’’ kata Farid penuh yakin.

Lisa tidak kekok

Sementara itu, berbalik kepada persoalan mengenai ikon pasangan romantik paling ideal, di pihak Lisa pula, dia mengakui, tidak merasa kekok untuk bercinta dengan Farid.

Bukannya cinta seperti yang ditafsirkan oleh ramai pihak tetapi cinta tersebut jelas Lisa, adalah cinta di lokasi pengambaran membabitkan filem-filem atau drama berkaitan romantik.

“Kami pernah bekerja secara bersama lebih daripada sekali. Watak-watak sebelum ini pun ada kaitan dengan cinta.

“Justeru, perasaan kekok untuk bercinta dengan Farid di set lokasi sudah tidak ada. Kami cukup komited dengan kerja bagi menjayakan watak yang diberikan,’’ katanya.

Mengenai usaha David Teo yang mahu menjadikannya dan Farid sebagai ikon pasangan romantik, Lisa memberitahu, bahawa sebagai pelakon, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menjayakan apa sahaja perwatakan dalam lakonan.

“Saya pun masih lagi baru dan ada banyak lagi perkara yang harus dipelajari,’’ tambahnya.

Kepada soalan tentang rezekinya dalam lakonan, Lisa tidak lupa memanjatkan kesyukuran atas apa yang dinikmatinya sepanjang beberapa tahun bergelar pelakon ini.

Selain Semerah Cinta Stileto, ujar Lisa, dia terlibat dengan filem Zoo serta Kapoww.

Perginya seorang pejuang nasyid

Perginya seorang pejuang nasyid


SENTIASA ceria, Allahyarham dikenali sebagai seorang yang berhemah dan lemah lembut dalam pergaulan.


SETIAP pagi, seperti biasa sebelum melangkah keluar dari rumah untuk ke pejabat, Mohamad Asri Ibrahim dibekalkan erat pelukan isteri yang mengiringinya hingga ke pintu sambil mengucup tangan sebagai doa agar perjalanan suami selamat pergi dan kembali.

Namun pagi 13 Ogos lalu, entah kenapa Mohd. Asri atau lebih mesra disapa Ustaz Asri, ayah kepada enam orang anak itu begitu tergesa-gesa untuk pergi, hingga tidak berpeluang isteri tercinta Haliza Shahadan, 39, memeluk erat suami seperti biasa.

Walaupun tindakan Ustaz Asri berlainan daripada biasa, namun Haliza atau lebih mesra dipanggil Noor Jannah tidak menyangka apa. Cuma yang terfikir, suami tersayang tergesa-gesa kerana ada tugas sudah menanti pada 10.30 pagi itu.

Pagi itu, Ustaz Asri dan Rabbani dijadualkan menyanyikan lagu tema Syahadah musim kelima sebuah rancangan terbitan RTM yang akan disiarkan sepanjang bulan Ramadan, di Auditorium P.Ramlee, Angkasapuri.

Namun suratan takdir telah menentukan. Kelainan sikap Ustaz Asri pagi itu rupa-rupanya petanda beliau akan pergi buat selama-lamanya meninggalkan isteri, anak-anak dan dunia yang fana ini.

Tidak siapa menduga, ketika Noor Jannah sibuk di rumah mengurus anak-anak, ahli anggota Rabbani berusaha membantu memulihkan Ustaz Asri yang rebah tiba-tiba ketika mahu memulakan latihan menyanyikan lagu tema tersebut.

Dan... dalam suasana tenang dan sepi, ketika syahadah dibisikkan di telinganya, Ustaz Asri yang rebah dan pucat wajahnya, longlai di pangkuan sahabat-sahabatnya.

Meski hati mereka digayut rasa sedih, namun tidak mahu mengaku kalah. Dengan semangat setia kawan dan dipanjatkan beribu doa, dengan menaiki van milik mereka, Ustaz Asri dibawa ke Pusat Perubatan Pantai.

Namun takdir menentukan segala-galanya. Allah lebih menyayanginya dan tepat pada pukul 11.45 pagi, doktor mengesahkan Ustaz Asri yang dikenali sebagai pejuang lagu-lagu nasyid meninggal dunia kerana sakit jantung.

Dilahirkan pada 3 Ogos 1969, pemergian Allahyarham amat mengejutkan ramai pihak terutama kepada mereka yang meminati koleksi lagu-lagu dakwah nyanyiannya bersama kumpulan Rabbani.

Selama 12 tahun memperjuangkan irama nasyid, kini, segalanya hanya tinggal kenangan dan akan terus terpahat di sanubari setiap daripada kita semua.

Dan, sememangnya, kita semua perlu menerima takdir dan hakikat bahawa Ustaz Asri kini sudah tiada lagi untuk mengingatkan semua dengan lagu-lagu berbentuk dakwah dan nasihat.

Semuanya sudah termaktub sebagai mana janji Allah SWT dalam al-Quran bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati.

Rebah ketika menjalani sesi latihan sempena pelancaran program Syahadah, rintihan dan tangis sendu mengiringi saat jenazah Allahyarham dimandi, dikapan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Selain seorang balu, Haliza Shahadan@Noor Jannah, Allahyarham meninggalkan enam anak iaitu Mohd. Nasimudin, 15; Mohd. Fathi, 14; Nur Afikah, 12; Mohd. Ilham, 10; Sufiyah Munawarh, 6 dan Hamdi Rabbani, 4.

Dua hari sebelum itu, penulis berkesempatan menemui Allahyarham ketika majlis menandatangani perjanjian persembahan Rabbani di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya sempena Ramadan tahun ini.

Ia merupakan kerjasama ke-18 tahun berturut-turut Rabbani bersama hotel itu.

Allahyarham yang sentiasa ceria pada majlis itu berkata : "Kadang-kadang terdetik di hati saya, jika Singgahsana tidak mengundang kami pada tahun ini, tidak mengapalah.

"Tetapi, jika tidak ada tawaran daripada Singgahsana, ibadah kami sempena Ramadan tahun ini bagaikan tidak lengkap kerana ini merupakan salah satu cabang ibadah Rabbani."

Dalam pertemuan itu, penulis sempat mengajukan soalan dan bertanyakan pendapat Allahyarham mengenai Rabbani yang boleh dilabel sebagai kumpulan nasyid nombor satu negara berdasarkan undangan menyanyi di pentas yang tidak pernah lekang.

Allahyarham dengan rendah diri berkata : "Alhamdulillah, Rabbani masih aktif. Bukan hanya konsert, Rabbani sering kali bersama dengan masyarakat. Komitmen setiap ahli kumpulan juga menjadi penentu kepada kejayaan Rabbani.

"Menjaga hati rakan-rakan juga penting. Contohnya, jika saya seorang dipanggil dalam sesebuah majlis, saya akan katakan tidak boleh kerana semua ahli Rabbani perlu diundang sama. Kita perlu utamakan rakan-rakan."

Begitulah setia dan kasihnya Allahyarham terhadap ahli anggota Rabbani yang dianggap bagaikan saudara sendiri.

Bercakap mengenai Allahyarham, dengan berita pemergiannya itu, bait-bait lagu dakwah dan zikir munajat yang sering bermain di bibirnya tatkala aktif bersama Rabbani dan juga Nada Murni mungkin sukar untuk dilupakan.

Perginya Allahyarham merupakan satu kehilangan yang besar kepada lapangan nasyid tanah air.

Dalam waktu ini juga, pastinya kita akan mengingati lagu berjudul Pergi Tak Kembali, ciptaan KRU dengan lirik oleh Allahyarham yang pernah dipopularkan Rabbani sekitar 2000.

Lagu itu cukup menginsafkan dan mengingatkan kita semua betapa kematian itu adalah sesuatu yang benar dan pasti berlaku.

Hayatilah lirik karya lagu tersebut :

Setiap insan pasti merasa,

Saat perpisahan terakhir,

Dunia yang fana akan ditinggalkan,

Hanya amalan yang dibawa.

Terdengar sayup surah dibaca,

Sayunya alunan suara,

Cemas di dada...lemah tak bermaya,

Terbuka hijab di depan mata.

Selamat tinggal pada semua,

Berpisah kita selamanya,

Kita tak sama nasib di sana,

Baikkah atau sebaliknya.

Amalan dan takwa jadi bekalan,

Sejahtera bahagia pulang...ke sana.

Sekujur badan berselimut putih,

Rebah bersemadi sendiri,

Mengharap kasih anak dan isteri,

Apa mungkin pahala dikirim.

Terbaring sempit seluas pusara,

Soal-bicara terus bermula,

Sesal dan insaf tak berguna lagi,

Hancurlah jasad dimamah bumi.

Berpisah sudah segalanya,

Yang tinggal hanyalah kenangan,

Diiring doa dan air mata,

Yang pergi takkan kembali lagi.

Astro tawan penonton Melayu

Astro tawan penonton Melayu


SEBAHAGIAN bekas pelajar Akademi Fantasia menghiburkan tetamu yang hadir.


STESEN berbayar terulung negara, Astro sentiasa hadir dengan pembaharuan yang kreatif dalam menjaga hati pelanggan setianya. Baru-baru ini, Astro hadir dengan pakej baru iaitu pakej Mustika demi memenuhi permintaan pelanggan Melayu yang kian bertambah.

Langkah ini ternyata memberi impak positif apabila melalui penyelidikan yang dibuat oleh AGB Nielsen Media Research baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan, Astro baru-baru ini mencapai kenaikan peratusan mendadak dimana kini sebanyak 46 peratus daripada jumlah kediaman di Malaysia yang memiliki televisyen melanggan Astro sehingga Jun 2009.

Pelanggan Astro juga terus berkembang menjadi 2.73 juta langganan dan lebih 12.3 juta jumlah penonton.

"Penonton Melayu kini tidak lagi hanya menonton kepada satu siaran sahaja dimana sekarang mereka bertukar ke pelbagai saluran yang lebih khusus untuk genre kegemaran masing-masing.

"Kurang dari dua bulan selepas Astro melancarkan Pakej Mustika yang mengandungi saluran Astro Citra, Astro Warna dan B4U, sebanyak 200 ribu buah rumah telah melanggan pakej itu.

"Pada asalnya, kami menyasarkan sebanyak 300 ribu buah rumah mengambil Pakej Mustika sebelum akhir tahun ini tetapi kini kami percaya mampu mencapainya sebelum Hari Raya Aidilfitri," ujar Henry ketika majlis Pratonton Gempak Universe di Royale Chulan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, kajian AGB Nielsen Media Research mendapati lapan buah saluran-saluran Melayu Astro telah mendominasi jumlah penonton di kalangan penonton-penonton TV Melayu.

"Perkembangan ini membawa berita baik buat kami semua apabila mendapati sebahagian besar daripada statistik itu disumbang oleh penonton-penonton drama dan program realiti terbitan sendiri yang ditayangkan di Astro." ujar Khairul.

Menurut Khairul, rancangan Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7)baru-baru ini meraih purata lebih dari 1 juta penonton pada setiap konsert mingguan.

Program realiti mencari bakat pelawak pula iaitu Raja Lawak meraih jumlah penonton seramai 1.3 juta orang pada episod akhir musim ketiga.

Program Jangan Lupa Lirik pula meraih penonton seramai 3.5 juta orang dan Sehati Berdansa pula berjaya meraih lebih daripada 2 juta penonton daripada kalangan penonton Melayu.

"Bukan itu sahaja, slot tayangan drama iaitu Primawara di Astro Prima, Mertua vs Menantu, berjaya meraih purata 2.7 juta penonton pada setiap minggu dan episod akhir drama ini merupakan program yang paling banyak ditonton di platform Astro," tambah Khairul.

Untuk penggal yang akan datang lebih banyak program-program baru disusun di saluran-saluran Melayu Astro terpilih yang bakal menawan hati setiap pelanggan.

Di antara program-program baru itu yang dijangka memberi impak kepada statistik dan kenaikan jumlah penonton ialah sebuah drama bersiri muzikal ala High School Musical iaitu Kau Dan Aku.

Drama bersiri yang disasarkan kepada penonton remaja ini bakal menyaksikan sekumpulan anak-anak remaja mempersembahkan lagu dan tarian hebat.

Ia dibintangi oleh Mila AF5 dan Akim AF7 serta beberapa orang bintang AF yang lain dan bakal menemui penonton pada September nanti.

Selain itu, tajuk-tajuk baru seperti Belalang, Segunung Harapan, Cinta Sempurna, Senja Heights dan siri animasi baru, Mat Kacau, adalah di antara tajuk-tajuk yang akan berselang-seli menyinari saluran-saluran Melayu terpilih tidak lama lagi.

Tambah Khairul, dia berharap dengan program-program baru sempena bulan Ramadan dan Syawal yang telah disusun akan terus menarik minat penonton untuk terus setia dengan Astro.

Kak Yong kecewa tiada rancangan kanak-kanak

Kak Yong kecewa tiada rancangan kanak-kanak


Kak Yong


BAGI kanak-kanak yang pernah membesar dengan rancangan Permintaan Apa Itu? yang ke udara di Rangkaian Nasional (RTM) setiap Sabtu pukul 9.30 pagi suatu ketika dahulu, nama Kak Yong tentu tidak asing lagi bagi mereka.

Rancangan yang mula ke udara sejak tahun 1977 hingga 2002 itu begitu sinonim dengan Kak Yong dan kanak-kanak, biarpun pasangannya sering berubah namun Kak Yong tetap teguh berdiri di situ.

Kini meskipun rancangan itu sudah 'dimatikan' tanpa kuburnya sejak tujuh tahun lalu, namun hingga saat ini ke mana sahaja juruhebah kecil molek ini pergi, nama Kak Yong menjadi panggilan.

Sebab itu tidak hairanlah ketika temuramah dan sesi fotografi ini dilakukan di sebuah hotel lima bintang baru-baru ini, gadis menjual mutiara berusia awal 20-an tanpa ragu-ragu memanggil nama Kak Yong tatkala mendengar suara bekas juruhebah popular ini.

Sesuatu yang amat memeranjatkan penulis tatkala ditanya kepada si gadis mutiara itu, jawapannya memang mudah; "Saya kenal suara Kak Yong, dulu selalu dengar Permintaan Apa Itu? di radio."

Begitulah kuatnya pengaruh rancangan itu. Bukan sahaja ia mewarnai hidup Kak Yong atau nama sebenarnya Tengku Mariam Tengku Laksamana Nasir, 54, malah program ini juga banyak memberi informasi kepada kanak-kanak.

"Sebenarnya Kak Yong pun tidak menduga kesan daripada rancangan yang diilhamkan oleh Noramin, sampai ke hari ini. Tetapi apa yang penting ketika mengendalikan rancangan itu, walaupun khas untuk kanak-kanak tetapi Kak Yong dan pasangan sentiasa membuat homework.

"Kak Yong akan baca akhbar dan cuba mendapat bahan-bahan yang sesuai untuk program setengah jam itu. Sebabnya apa juga informasi yang diberikan akan menjadi panduan kepada kanak-kanak," cerita Kak Yong yang kini memenuhi masa lapang melayan anak adik-adiknya dan cucu kepada adik-adiknya.

Kak Yong, anak sulung daripada empat beradik dan merupakan kerabat diraja Negeri Sembilan mula menjadi ahli keluarga RTM pada tahun 1977 sebagai pekerja sementara dan tetap sebelum mengambil keputusan berhenti pada tahun 2002.

Permintaan Apa Itu? yang mulanya dikendalikan bersama Busu Noramin selama empat tahun sehingga 1980 merupakan satu-satunya rancangan radio yang dikhaskan untuk kanak-kanak.

Ketika bersama Busu Noramin, Permintaan Apa Itu? yang bersiaran selama setengah jam akan menunaikan lagu-lagu permintaan yang bertemakan kanak-kanak ataupun dinyanyikan kanak-kanak sambil membaca surat yang dikirim.

Ketika itu, lagu-lagu yang sentiasa memenuhi program itu ialah Sakit Gigi nyanyian Indra Shahril, Kain Pelikat (Anuar Zain dan Ellina) dan lagu-lagu nyanyian Andrian, Siti Musliha serta Gadis Melayu nyanyian Othman Hamzah.

Bagaimanapun apabila Noramin ke Jepun kerana bekerja di NHK selama empat tahun, Kak Yong dipasangkan dengan Abang Chik@Zainal Abas.

Ketika bersama Abang Chik, rancangan berkenaan ke udara selama 45 minit dengan mengekalkan konsep dan segmen yang sama.

Tetapi pada tahun 1985, apabila Kak Yong bertukar 'pasangan' dan mengendalikan rancangan itu dengan Abang Bull@ Hasbullah Awang, konsepnya diubah sedikit.

"Bersama Abang Bull, konsepnya lebih ceria dan very friendly. Selain surat menyurat, kami mengundang tetamu ke studio terdiri daripada personaliti untuk segmen soal jawab.

"Selalunya kanak-kanak mengambil inisiatif menelefon personaliti untuk bertanya kemusykilan mereka. Jika doktor, mereka akan bertanya mengenai kesihatan begitu juga sukan.

"Kak Yong memang berbangga kerana kanak-kanak turut mengambil bahagian dalam rancangan ini dan mereka tahu apa yang mereka mahukan daripada setiap personaliti yang kami bawa ke studio," cerita Kak Yong.

Menurut Kak Yong, walaupun mulanya beliau berharap Abang Bull akan kekal dengannya tetapi selepas tiga tahun, Kak Yong terpaksa menerima kenyataan bahawa dia terpaksa berpasangan dengan juruhebah lain pula.

Bersama Abang Salleh Abdul Rahman selama tiga tahun mulai 1989, Kak Yong terus mengendalikan rancangan yang diminati kanak-kanak itu. Namun masa berubah pada tahun 1992, Kak Yong ditugaskan sendirian mengendalikan program berkenaan.

Lapan tahun lamanya Kak Yong mengendalikan Permintaan Apa Itu? sendirian dengan mengundang personaliti terdiri daripada ahli sukan seperti pemain boling negara, Shazlin dan artis seperti Syafinaz dan Kristal.

Biarpun rancangan itu sudah lama, namun kepelbagaian segmen yang dibawakan memberi nafas baru kepada program khas untuk kanak-kanak itu.

"Apabila kendalikan program ini secara solo Kak Yong cuba memberi nafas baru kerana selama sejam, macam-macam segmen diselitkan.

"Sebab itu rancangan berinformasi dan memberi didikan kepada kanak-kanak ini selain tetamu yang merupakan personaliti, Kak Yong turut mengundang kanak-kanak sebagai hos bersama," cerita Kak Yong.

Ketika itu, dua kanak-kanak yang menjadi hos bersama ialah Adibah Ali Rahman,9, dan Melissa Nurul Ashikin, 9, dengan Kak Yong sebagai anchor.

"Sebagai anchor, Kak Yong membimbing mereka untuk mengendalikan bersama rancangan ini. Memang seronok bersama mereka sebab celoteh budak-budak, tapi yang penting mereka tidak tersasar jauh daripada konsep program ini," cerita Kak Yong yang pernah juga mengendalikan program Permintaan Wanita dan bertugas di konti.

Menurut Kak Yong, sebagai pengendali program permintaan dan informasi untuk kanak-kanak yang paling lama, beliau tidak pernah merasa bosan atau jemu.

Sebaliknya 25 tahun bersama Permintaan Apa Itu? membuatkan Kak Yong semakin dekat di hati kanak-kanak.

"Cuma Kak Yong kesal, apabila Kak Yong tinggalkan RTM, tiada lagi rancangan khas untuk kanak-kanak di radio," kata Kak Yong.

Menyentuh mengenai kehidupannya. Kak Yong yang pernah mendirikan rumah tangga bersama Sherkawi Jirim pada September 1978 hingga 1996 berkata: "Entahlah selepas rumah tangga Kak Yong runtuh, hati ini bagaikan tertutup untuk berkahwin lagi. Walaupun ada desas-desus mendakwa punca perceraian kami kerana anak, tetapi itu bukanlah sebabnya.

"Bagi Kak Yong, apa juga yang terjadi sudah ditentukan oleh Allah. Kak Yong terima dengan reda. Walaupun kini Kak Yong lebih suka hidup di samping adik-adik dan anak saudara, tetapi jika suatu hari jodoh menemukan Kak Yong dengan seseorang, Kak Yong akan terima.

"Buat masa ini Kak Yong bahagia begini, dan insya-Allah jika semuanya berjalan lancar, Kak Yong akan terlibat dalam bidang penerbitan bersama dengan adik Kak Yong.

"Kak Yong dan adik kini sedang mencari peluang menerbitkan iklan komersial untuk televisyen," cerita Kak Yong yang pernah mengendalikan rancangan kanak-kanak untuk TV3.

Rahsia langsing Jennifer

Rahsia langsing Jennifer

Betulkah sampai macam itu sekali untuk kurus? Pelakon jelita yang juga bekas bintang siri komedi Friends, Jennifer Aniston mendedahkan yang rutin senamannya dilakukan pada pukul 3 pagi setiap hari.

Aktres berusia 40 tahun itu yang sekarang sedang sibuk dengan penggambaran filem The Bounty di New York, Amerika Syarikat memberitahu, dia mahu mengekalkan bentuk badannya meskipun dihambat dengan jadual kerja yang ketat.

Satu sumber berkata: "Jennifer memberi sepenuh fokus untuk filem tersebut. Sebab itu dia mahu sentiasa bertenaga tetapi masih tetap langsing.

"Dia terpaksa bangun seawal 3 pagi untuk bersenam kerana adakalanya dia sudah perlu berada di lokasi The Bounty pada pukul 5 pagi."

Mengakui ia bukan sesuatu yang mudah, rejim senaman Jennifer adalah satu sesi yoga dan satu sesi angkat berat

Tarantula cari Leona

Tarantula cari Leona

Penyanyi Leona Lewis nyaris menjadi mangsa gigitan tarantula baru-baru ini dalam satu sesi penggambaran di Malibu, Amerika Syarikat.

Dia yang sedang memberikan pelbagai pose untuk kulit album terbarunya merupakan orang pertama melihat mahkluk itu.

Oleh kerana terlalu terkejut dan ketakutan, Leona tidak melarikan diri, sebaliknya kaku dan terketar-ketar di set penggambaran itu.

Bagaimanapun, tarantula itu tidak sempat melakukan onar lebih buruk di sana apabila sepasukan pegawai kawalan serangga perosak datang untuk memberikan bantuan.

Satu sumber memberitahu akhbar The Sun, penyanyi kelahiran British itu tidak menyangka yang sesi penggambaran tersebut telah mengganggu sarang haiwan berbisa berkenaan.

Akhbar itu bagaimanapun mempertikaikan reaksi penyanyi yang mendakwa dirinya sebagai pencinta haiwan itu. "Ia aksi yang agak pelik dan tidak dijangkakan," lapor The Sun.

Bagaimanapun, seorang jurucakap memberitahu, penyanyi berusia 24 tahun itu memberi reaksi sedemikian kerana takut dia digigit oleh tarantula itu.

MLTR mahu terus hidup!

MLTR mahu terus hidup!


JASCHA mempunyai vokal merdu yang memukau hati banyak peminatnya.



LAGU 25 Minutes dan Sleeping Child antara lagu yang melonjakkan nama MLTR.


MASIH ingat lagi kali terakhir kumpulan popular Micheal Learns To Rock mengadakan konsert di Malaysia pada tahun 2007. Ia bagaikan sebuah pusat karaoke besar apabila setiap bait-bait lagu yang dialunkan mereka disambut dengan nyanyian bersama peminat-peminat.

Apatah lagi, saat membawakan lagu kegilaan ramai antaranya Sleeping Child, 25 Minutes dan Out of the Blue, suara vokalisnya, Jascha Richter terus tenggelam bila peminat-peminat semakin kuat bernyanyi bersama.

Mungkin 'konsert karaoke' seperti itu akan berulang sekali lagi apabila MLTR bakal menggegarkan pentas Arena of Stars, Genting Highlands pada 5 September ini menerusi konsert jelajah Micheal Learns To Rock Eternity Tour 2009 Live In Malaysia.

Ya, MLTR bakal kembali dengan konsert jelajah dunia bermula dengan negara kelahiran mereka Denmark, Singapura, diikuti pula dengan Malaysia, di bawah penganjuran Star Planet.

Menurut Jascha, dia dan teman-temannya tidak sabar untuk berjumpa dengan peminat Malaysia yang banyak menyokong mereka selama ini.

"Bukan itu sahaja, kami juga tidak sabar untuk melihat negara yang penuh dengan kehijauan. Paling seronok bila dapat menjamu selera dengan makanan pedas.

"Pada konsert itu nanti, kami akan memainkan lagu-lagu daripada album Eternity serta lagu-lagu hit yang lain seperti Paint My Love, Out of the Blue dan Goodbye Kiss.

"Saya yakin, untuk persembahan ini, kami tidak akan mengecewakan peminat kami yang masih lagi setia dengan MLTR," tuturnya dalam satu temu bual menerusi telefon bersama Kosmo!.

Selepas Malaysia, MLTR bakal mengadakan konsert di enam buah negara lagi.

Kekal imej bersih

Selama 22 tahun MLTR mengukir nama dengan membawakan muzik slow rock, mereka tetap disayangi peminat lebih-lebih lagi pencinta muzik Asia.

Kejayaan demi kejayaan dikecapi mereka dalam tempoh itu. Namun, belum pernah lagi MLTR dikecam dengan berita-berita yang kurang enak seperti skandal, penceraian mahupun pengambilan dadah.

Vokalisnya dan juga pemain keyboard, Jascha Richter, Kare Wanscher (drum) dan Mikkel Lentz (gitar), masing-masing mahu menonjolkan bakat dan mencipta sebuah karya muzik yang akan diingati ramai.

Jascha mengakui, ahli-ahli MLTR masih lagi bersosial tetapi tidaklah di tahap yang mampu menjejaskan karier serta keluarga mereka.

"Kehadiran MLTR cuma mahu berkarya dan meluaskan muzik ke pentas dunia. Walaupun kehidupan penyanyi jenis kami mempunyai cara hidup rock n roll, MLTR lebih selesa untuk pulang ke rumah ataupun hotel sejurus selepas tamat kerja kami.


ARENA OF STARS GENTING akan menjadi saksi kepada persembahan hangat kumpulan MLTR pada 5 September ini.


"Benar, saya mahu menjadi seperti Elvis yang penuh dengan jeritan peminat wanita. Tetapi cukup sekadar itu, dan tidak mungkin lebih daripada yang disangkakan,

"Lagipun kehidupan kami sangat mudah, iaitu lelaki berkeluarga yang mencari rezeki untuk isteri dan anak-anak. Hidup kami seperti orang biasa. MLTR merupakan penyanyi yang hanya fokus pada muzik tanpa membabitkan perkara-perkara lain," katanya.

Selain tampil dengan imej bersih, MLTR tetap berdiri kukuh sungguhpun mereka dikelilingi dengan penyanyi-penyanyi baru.

Rahsianya? Mencipta karya muzik dengan hati yang ikhlas serta bekerja keras. Namun, kejayaan yang diperoleh tidak pernah membuatkan diri mereka menjadi lebih bongkak.

"Sebenarnya, kekal selama 22 tahun bukanlah satu perkara yang mudah. Banyak cabaran yang perlu dilalui. Saya tahu, MLTR tidaklah sehebat penyanyi berkumpulan di Hollywood, tetapi kami memastikan agar MLTR sentiasa hidup dan diingati peminat.

"Sebab itulah setiap karya yang dihasilkan dalam album, daripada membuat persembahan kecil-kecilan sehinggalah konsert jelajah dunia, kami akan buat yang terbaik untuk peminat kami.

"Mungkin kerana muzik kami yang banyak menyentuh perasaan membuatkan kami masih diminati. Jika dilihat semula, bermula album pertama kami pada tahun 1991 hinggalah kini iaitu album Eternity, tiada yang banyak berubah mengenai konsep muzik yang kami tonjolkan. Muzik MLTR lebih banyak menunjukkan diri kami yang sebenar," katanya.

Beritahu Jascha lagi, kehadiran penyanyi-penyanyi baru tidak langsung menjejaskan MLTR. Sebaliknya perjalanan karier mereka terasa lebih mudah.

Kerana itu, tidak pernah pun terlintas di fikiran yang mungkin satu hari nanti MLTR akan dibubarkan.

Peraduan Konsert MLTR

JADILAH lima pembaca bertuah pertama menjawab soalan yang dihantar melalui warnermusiccontest@gmail.com dan anda berpeluang menyaksikan konsert MLTR secara langsung bersama teman anda.

Pemenang bakal membawa pulang:

Hadiah Pertama: Dua tiket konsert yang bernilai RM160 setiap satu + Album MLTR Eternity & Beyond

Hadiah kedua: Tiga tiket konsert yang bernilai RM80 setiap satu + Album MLTR Eternity & Beyond

Selain itu, album MLTR Eternity & Beyond yang mempunyai dua cakera padat di dalamnya turut akan dijual pada harga RM40.90.

Jessica Simpson jadi geisha di Jepun

Jessica Simpson jadi geisha di Jepun


JESSICA (kiri) memakai kimono ketika dia berada di Jepun baru-baru ini. WAJAH sebenar Jessica (gambar kecil).


TOKYO - Penyanyi dan pelakon terkenal, Jessica Simpson memakai kostum geisha ketika dia berada di Jepun, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Penyanyi yang berambut perang itu dipercayai menghabiskan masa empat jam untuk mengubah penampilan dirinya itu.

Jessica memakai kostum dan menghias wajahnya seperti geisha semasa dia berada di Jepun untuk menjalani rakaman siri The Price of Beauty baru-baru ini.

Dia turut bersiar-siar di Jepun bersama rakan-rakannya dengan memakai kimono dan membawa kipas tangan.

Kimono yang dipakai Jessica dipercayai berharga AS$10,000 (RM35,175).

Jessica yang popular dengan lagu Do You Know kini kembali hidup tanpa kekasih selepas ditinggalkan oleh pemain bola sepak Amerika, Tony Romo. - Agensi

Pelakon Holly McGuire ditangkap kerana kokain

Pelakon ditangkap kerana kokain


Holly McGuire


LONDON - Pelakon terkenal di Britain, Holly McGuire (gambar) ditangkap selepas polis menemui kokain bernilai lebih £150,000 (RM872,540) dan sejumlah pokok kanabis di sebuah rumah, lapor sebuah akhbar semalam.

McGuire yang merupakan pelakon siri Footballer's Wives pernah menjalin hubungan dengan pemain bola sepak England, Rio Ferdinand.

Dia ditangkap selepas polis menyerbu sebuah rumah di Hornchurch, Essex dan menemui wang tunai berjumlah £120,000 (RM698,032) dalam sebuah but kereta yang diletakkan dalam sebuah garaj.

McGuire dituduh merancang bersama rakannya, Steven Brace membekalkan tiga kilogram kokain yang ditemui dalam almari sebuah bilik tidur.

Beberapa pegawai turut menemui 56 pokok kanabis di rumah yang bernilai £300,000 (RM1.74 juta) itu.

McGuire kini mengendalikan sebuah syarikat media yang memberikan bantuan untuk meningkatkan kerjaya model baru.

Dia kini dibebaskan dengan ikat jamin £5,000 (RM29,084) tetapi dikenakan perintah berkurung bermula pukul 6 petang hingga 6 pagi. - Agensi

Brad Pitt tidak lagi hisap ganja

Brad Pitt tidak lagi hisap ganja

LOS ANGELES - Pelakon terkenal, Brad Pitt mengaku dia tidak lagi menghisap ganja selepas dia menjadi bapa beberapa tahun lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang pernah berlakon dalam filem Mr and Mrs Smith mendedahkannya dalam satu temu ramah dengan seorang pengacara televisyen, Bill Maher baru-baru ini.

"Saya kini ialah seorang bapa," katanya yang berusia 45 tahun dan kini hidup bersama dengan aktres Angelina Jolie.

Hasil perkongsian hidupnya dengan Jolie, Pitt mempunyai tiga anak iaitu Shiloh dan satu pasangan kembar.

Dia dan Jolie turut mempunyai tiga anak angkat lain.

Dalam temu ramah itu, Maher menyebut satu parti yang dihadirinya bersama Pitt.

Pengacara itu memberitahu penonton bahawa Pitt menggulung daun ganja dengan sempurna sekali dalam parti tersebut.

"Saya merupakan seorang artis," gurau Pitt ketika memberi reaksi kepada kenyataan Maher itu. - Agensi

Timberlake bergaya dengan Harley Davidson

Timberlake bergaya dengan Harley Davidson


TIMBERLAKE menunggang motosikal Harley Davidson di Los Angeles baru-baru ini.


LOS ANGELES - Tidak disangkal lagi bahawa penyanyi Justin Timberlake akan menyebabkan ramai gadis tertawan dengannya setelah dia memakai jaket kulit dan menunggang motosikal, lapor sebuah akhbar semalam.

Timberlake yang popular dengan lagu SexyBack menunggang motosikal Harley Davidson menuju ke sebuah kafe di sini untuk makan tengah hari baru-baru ini.

Bagaimanapun, sekumpulan paparazi terpaksa merakamkan gambarnya dengan pantas semasa dia berhenti di satu persimpangan kerana dia memecut laju sejurus warna lampu isyarat bertukar menjadi hijau. - Agensi

Tak buru gelaran primadona

Tak buru gelaran primadona

Oleh Zubir Mohd Yunus




LIMA tahun dulu sebagai Phim, anak kehilangan kasih sayang ibu bapa, lalu terjebak di kancah sosial, dia mula memaparkan lakonan membanggakan menerusi Castello. Kini sebagai Amy, Liyana Jasmay, 21, akhirnya berjaya menampilkan lakonan cemerlang menerusi Papadom, sekali gus menobatkannya antara aktres termuda dalam sejarah penganjuran Festival Filem Malaysia untuk bergelar Pelakon Wanita Terbaik.

Pun begitu, Liyana tidak perlu menunggu terlalu lama untuk menggenggam trofi yang menjadi idaman setiap aktres itu, namun bagi Salina Saibi, selepas menjayakan hampir 100 judul drama kira-kira lapan tahun lalu, kini barulah bakatnya menjadi perhatian apabila filem pertamanya, Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam, berjaya melonjakkan bakat lakonannya, lalu merangkul gelaran Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, baru-baru ini.

Liyana mula mengenali dunia lakonan seawal usia sembilan tahun lagi, namun dia hanya bergiat aktif ketika umurnya melewati 16 tahun apabila diperkenalkan Rosyam Nor menerusi Castello dan sejak itu tawaran lakonannya tidak pernah sepi. Hari ini namanya sudah berjaya berada di puncak apabila industri perfileman negara mengiktiraf bakat seninya.

"Apa yang saya peroleh hari ini adalah rezeki dan berkat doa daripada keluarga. Selain itu, kerja berpasukan daripada krew Papadom memainkan peranan besar kejayaan yang saya peroleh ini. Sekalipun watak saya di dalam Papadom agak simple, tapi ia sarat dengan emosi. Justeru, kejayaan ini adalah kejayaan bersama seluruh warga kerja Papadom, khususnya Abang Afdlin (Shauki) yang banyak memberi tunjuk ajar," kata Liyana.



Selepas menggenggam kejayaan ini, layakkah Liyana bergelar primadona muda memandangkan kejayaan yang diperolehnya dalam waktu singkat?

"Kejayaan ini adalah antara matlamat atau 'goal' yang saya cita-citakan selama ini. Kini, ia sudah termakbul dan bukan bermakna saya berada di zon yang selesa, sebaliknya kerja keras harus dilipat gandakan. Saya tidak pernah terlintas untuk bergelar primadona, perjalanan seni saya masih jauh. Kehadiran saya dalam industri ini sekadar pelapis kepada industri filem, sekali gus menyambung legasi industri itu yang boleh kita banggakan hari ini. Sekurang-kurangnya saya bersyukur, lakonan saya mendapat tempat di hati juri dan mudah-mudahan peminat terus memberi sokongan kepada perjalanan seni saya.

"Namun, sebelum saya mengecapi kejayaan hari ini, saya sebenarnya sudah belajar daripada kegagalan. Orang kata gagal dulu, menang kemudian. Saya pernah gagal merebut gelaran Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada FFM19 menerusi Castello, hari ini kekecewaan saya sudah ditebus... alhamdulillah," katanya lagi.

Umum sedia maklum, Liyana dikatakan berkawan rapat dengan bintang Akademi Fantasia 5 (AF5), Aizat yang popular menerusi lagu Hanya Kau Yang Mampu. Justeru, sejauh mana perhubungan mereka setakat ini, sudahkah melewati fasa percintaan dan apa yang Aizat katakan kepada Liyana mengenai kejayaannya itu?

"Kami tetap berkawan baik seperti dulu, cinta ke, kahwin, tak pernah terlintas langsung. Lagipun kami masih muda, saya tak mampu meramal apa-apa mengenai persahabatan kami. Just go with the flow. Sekiranya perhubungan kami sebagai kawan baik mampu bertahan lama tanpa berdepan sebarang masalah dan akhirnya ditakdirkan bertemu jodoh dengannya, saya reda.

'Aizat tumpang bangga'

Liyana (kiri) dan Salina

"Mengenai kejayaan saya di FFM22 baru-baru ini, Aizat sangat gembira. Dia tahu saya suka berlakon, kini apabila trofi kebanggaan itu berada di genggaman saya, Aizat tumpang bangga," kata Liyana berterus terang.

Selain dikenali sebagai pelakon filem dan drama, Liyana juga semakin gah menyusuri bidang nyanyian apabila single pertamanya, Aku Tak Percaya Cinta, semakin hari terus mendapat tempat di hati pendengar. Album mini pertamanya yang berkonsepkan teen pop rock, selain memuatkan lagu seperti Aku Jatuh Cinta, Pelik, Penyelamat Cinta dan Kejar dijangka berada di pasaran selepas Aidilfitri ini.

Namun, belum ada sejarah yang membuktikan, benar-benar wujud seorang artis berjaya menguasai kedua-dua bidang - lakonan dan nyanyian, sekali gus. Setakat ini hanya Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang memonopoli pelbagai cabang seni dalam satu masa. Justeru, ada dakwaan yang meminta agar Liyana hanya beri tumpuan kepada lakonan semata-mata dan melupakan seni suara.

"Saya tak peduli apa orang kata! Saya akan terus mencuba dan berjaya sebagai penyanyi. Lebih sedekad lalu, orang pernah melabel Datuk Siti Nurhaliza sebagai penyanyi kampung, dia tak boleh menyanyi dan macam-macam lagi. Lihat hari ini kedudukan Datuk Siti, dia adalah satu-satunya penyanyi terbaik, belum ada yang mampu menandingi kehebatannya di pentas nyanyian! Datuk Siti tidak mempedulikan cakap-cakap orang, dia berjaya," kata Liyana tegas mempertahankan pendiriannya.

Bukan setakat itu saja, Liyana juga pernah dituduh Ratu Plagiat dalam laman web hiburan popular kerana lagu nyanyian dan cara penampilannya dikatakan meniru penyanyi remaja terkenal dunia, Avril Lavigne! Liyana juga didakwa penyanyi tiada identiti sendiri.

"Penggubah muzik saya, AG Coco adalah peminat Avril, justeru dia menghasilkan 'bunyi' seperti Avril dan mahu saya jadi seperti Avril, tapi bukan bermaksud meniru 100 peratus seperti bintang dunia itu. Orang kata saya tak ada identiti, saya tak peduli cakap-cakap orang! Avril adalah bench mark saya. Saya menyanyi dengan cara saya sendiri, keaslian itu hadir dari dalam hati, cuma pengaruh artis berkenaan saja yang diperkatakan orang," tegasnya.

Salina sukar percayai kemenangan

Sementara itu, bagi Salina, sebalik diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, dia mengakui terlalu sukar mempercayai keputusan itu. Katanya lagi, selama bergelar pelakon, dia berasakan dirinya jarang mendapat pendedahan media massa, jauh sekali memperoleh populariti, justeru apabila dia mendapat tempat di hati juri, dia ingin berkongsi kejayaan itu dengan seluruh produksi Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam, lebih-lebih lagi Datuk Yusof Haslam dan pengarahnya, Syamsul Yusof.

"Alhamdulillah, trofi kemenangan ini adalah rezeki anak saya yang baru lahir, sokongan suami, keluarga dan warga kerja Skop Productions. Saya tak pernah bermimpi memperoleh kejayaan sebesar ini. Saya juga jarang berpeluang mendekati pihak wartawan atas faktor kesibukan kerja menghalang saya mendapatkan perhatian media massa," katanya.

Salina lambat popular, apa komen anda?

"Saya akui perkara itu. Saya tidak pernah menganggap diri saya popular. Justeru, apabila nama saya dibacakan antara lima terbaik dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, tepukan dan sorakan yang saya dengar daripada penonton, perlahan saja, saya tak terkejut. Tapi, apabila nama saya diumumkan sebagai pemenangnya, nak tercabut rasanya jantung ini!

"Bagi saya, apabila saya sudah mendirikan rumah tangga, mempunyai anak, baru saya dapat rasakan, ada juga publisiti. Tapi, sekalipun saya jarang mendapat perhatian media massa, alhamdulillah tawaran berlakon tak pernah putus. Namun, saya akui sokongan daripada pihak wartawan, publisiti daripada mereka, adalah antara tulang belakang kejayaan seseorang artis, itu saya tidak boleh menafikannya," kata Salina lagi.

Katanya lagi, selepas menggenggam kejayaan ini, dia akan terus bekerja keras kerana kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha berterusan.

"Liyana sudah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik, insya-Allah suatu hari nanti saya juga bercita-cita untuk berjaya seperti dirinya," kata Salina yang begitu teruja apabila kali pertama diberi peluang menjadi gadis penghias muka depan B*Pop sekalipun dia sudah lama bergelar pelakon.

INFO: Liyana

  • NAMA PENUH: Liyana Jasmay
  • TARIKH LAHIR: 28 Mac 1988
  • ASAL: Kuantan, Pahang
  • KELUARGA: Bongsu daripada empat beradik
  • PENDIDIKAN: Diploma Seni Persembahan & Media di Sunway University College, Bandar Sunway, Selangor (sambung belajar Mac 2010)
  • FILEM: Castello, Syaitan, Maut, Histeria, Kami The Movie, Papadom, Pisau Cukur, Duhai Si Pari Pari dan Niang Rapik The Movie
  • DRAMA: Laila Sari, Zeti & Mawas, Ponti Anak Remaja, Niang Rapik The Series, Najwa dan Sari Maya
  • ALBUM MINI: Liyana Jasmay - Aku Tak Percaya Cinta
  • DUTA: Maybelline
  • PENCAPAIAN: Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) di Kota Kinabalu, Sabah.

    INFO: Salina

  • NAMA PENUH: Salina Saibi
  • TARIKH LAHIR: 10 Januari 1982
  • ASAL: Kuala Lumpur
  • KELUARGA: Anak kedua daripada lima beradik
  • FILEM: Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam
  • DRAMA: Gerak Khas, CID, Pasrah, Air Mata Maria, Kembali Bertaut, Dari Mata Arissa, Bila Guruh Bergempita, Pintu Ke Syurga dan Spy Man
  • KOMERSIAL: Kayla Beverly Hills
  • PENCAPAIAN: Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) di Kota Kinabalu, Sabah.
  • NAMA SUAMI: Azmir Osman
  • NAMA ANAK: Farah Syakira, lima bulan.

  • Lokasi & kemudahan golf: Tropicana Golf & Country Resort Bhd, Jalan Kelab Tropicana, Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, Selangor (03 7804 8888).
  • Terima kasih: Setiausaha eksekutif, Norazita Shahlasun (rita@tropicanagolf.com).
  • Solekan & dandanan Liyana: Tiar Zainal (013 628 4835)
  • Solekan & dandanan Salina: Bunge (019 669 7701).
  • Kasut Salina: Figos.
  • Kenangan pahit manis FFM22

    Kenangan pahit manis FFM22



    JINS Shamsudin menurunkan tandatangan di belakang penari kanak-kanak ketika melawat Kampung Budaya Linangkit Tuaran.

    MEMANG letih tak habis lagi sejak Kak Pora balik dari Kota Kinabalu. Tetapi penat di sana rasa berbaloi juga kerana sernok dapat bersama orang filem, yang lama dan baru, yang tua dan muda. Kak Pora ucapkan tahniah kepada penganjur Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) di Sabah kerana berjaya mengemudi dan memastikan acara selama lima hari dan malam kemuncak anugerahnya berjalan lancar, meriah dan rata-ratanya ramai yang gembira. Mereka yang kalah dan tak puas hati, pedulikan.

    Sehingga hari ini, Kak Pora tidak dengar sebarang rungutan besar mengenai pemenang yang dipilih juri FFM22 kali ini. Maknanya masing-masing berpuas hati. Kalau ada sdua tiga orang yang bising kat belakang, itu biasalah. Kak Pora faham bukan senang nak memuaskan hati semua orang sepenuhnya.

    Seperti mana lazimnya, banyak acara diatur oleh penganjur tetapi tidak semua artis yang hadir atau turut serta kerana masing-masing lebih selesa memerap dalam bilik hotel. Iyalah, masing-masing sudah perasan jadi bintang besar, macam hilang status pula kalau hendak berpanas atau beramah mesra dengan anak yatim, orang tua dan sebagainya.

    Bagi Kak Pora bukan saja di festival tetapi dalam mana-mana aktiviti bercorak kebajikan, selalunya artis yang sedang popular dan muda ini, memang jarang dan langsung tak minat hendak terbabit sama walaupun mereka mempunyai banyak masa terluang. Memang banyak perkara yang Kak Pora perhatikan mengenai gelagat artis kita sepanjang FFM22 berlangsung. Masih ada artis yang suka meninggi diri, sombong tak bertempat, berpuak-puak dan berlagak semacam saja. Ada yang jenis asyik nak melaram dengan pakaian dan gaya bintang filem, macamlah dia hebat sangat.

    Tetapi memang ada juga yang bersikap positif apabila tidak keberatan untuk menyertai apa saja program yang diatur penganjur. Kak Pora tidak salahkan penganjur sebab sudah mengatur apa yang terbaik untuk semua delegasi. Setiap acara itu membabitkan ramai orang. Tak bolehlah penganjur nak buat acara secara khusus untuk orang tertentu saja. Itu sudah tidak adil kepada pihak lain pula.

    Malam kemuncak FFM22 diadakan di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terletak di Teluk Sepanggar tidak berapa jauh dari bandaraya Kota Kinabalu. Kak Pora hadir dengan berpakaian gaun hijau gelap. Kak Pora bersama dua anak turut hadir malam itu. Walaupun kawan setugas kak Pora, Suzan dan Zainuri hadir sama, tetapi apabila dah masuk dewan yang luas dan ramai orang itu, ityu, kelibat mereka pun dah tak nampak. Lagipun, apabila berada di UMS, memang luas dan indah pemandangan UMS. Pemandangan laut dan hutan menjadikan persekitaran universiti ini sangat mendamaikan. Dewan Canselor saja boleh memuatkan lebih 5,000 orang. Cukup besar!.

    Namun, dalam pujian mengenai acara FFM22, ada juga beberapa perkara yang tak kena. Bagi Kak Pora, entah kenapa atur cara keseluruhannya agak hambar. Gandingan pengacaranya, Fahrin Ahmad dan Vanidah Imran bagaikan tiada keserasian. Mereka nampak kaku, mendatar. Ternyata Fahrin seperti hilang punca, mungkin kurang pengalaman mengendalikan acara besar seperti FFM22. FFM22 adalah acara nasional. Kak Pora faham RTM cuba hendak menaikkan bintang atau bakat baru yang dilahirkan menerusi program terbitannya.

    Malangnya, kehadiran bintang baru yang langsung tidak dikenali itu menyebabkan penonton, baik di luar dan dalam dewan menjadi terpinga-pinga. Bagi Kak Pora, kalau pun RTM nak mempopularkan mereka, tengoklah dulu acara yang macam mana. Kata orang tengoklah tempat dulu. Janganlah sampai memakan diri. Macam FFM22, dek keghairahan memperkenalkan muka baru, akhirnya persembahan pada malam festival itu menjadi hambar dan mengundang kebosanan.

    Mujurlah ada persembahan daripada Ito yang menyanyikan lagu tema filem Geng: Pengembaraan Bermula, atau Pacai bersama Afdlin Shauki serta Rashidi Ishak bergandingan menyanyikan lagu dari filem Setem. Kemuncaknya dimeriahkan persembahan daripada barisan pelakon filem Estet arahan Mamat Khalid.

    Kak Pora difahamkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim pun ada luahkan rasa kurang berpuas hati dengan persembahan pada malam itu. Kak Pora tak tahulah beliau tidak berpuas hati dari sudut mana, tetapi apa yang Kak Pora tahu memang ramai yang merungut dengan corak persembahan malam itu. Biasalah. Tahun lalu, perkara seperti ini timbul juga apabila Astro sebagai penyiar rasmi terlalu ghairah hendak menonjolkan bintang realiti mereka pada acara kemuncak FFM21. Akibatnya, ada yang buat persembahan tunggang langgang dan jadi macam Konsert AF.

    Selain dari acara pada malam persembahan, Kak Pora terdengar juga cerita daripada beberapa wartawan, kenapa penganjur tidak menyediakan kategori khas kepada media? Apakah peranan media tidak penting dalam industri perfileman tanah air? Dulu ada kategori Pengkritik Filem, sekarang ke mana menghilang kategori itu?

    Satu hal lagi, ketika menghadiri simposium, hati Kak Pora jadi berdebar-debar apabila bekas Ketua Pengarah Finas 'membelasah' Ketua Pengarah Finas sekarang. Bekas Ketua Pengarah ini mempersoalkan tindakan dan tugas yang dilakukan Ketua Pengarah Finas sekarang.

    Hampir panas juga sampai nada suara Ketua Pengarah Finas sekarang menjadi tinggi. Ada pemerhati dan penggiat industri filem yang hadir tertanya-tanya apa motif sebenar bekas Ketua Pengarah Finas itu? Mungkin dia teringin untuk balik semula ke jawatan itu? Apa yang dia sudah buat sepanjang tempoh dia menjadi Ketua Pengarah Finas selama sedekad dulu?

    KAK PORA: Tidak dapat melupai pengalaman bersumpit ketika melawat Monsopiad yang menjadi kebanggaan keluarga kaum Kadazan-Murut.

    Artis muda malas bangun awal

    Artis muda malas bangun awal

    BERCAKAP lagi pasal FFM22, Kak Pora juga kena beri pujian kepada mereka yang terbabit secara langsung dan tidak langsung sebab bukan senang pihak penganjur hendak menguruskan lebih 600 artis dan delegasi dari Semenanjung untuk berkumpul di Sabah. Silap hari bulan boleh kena darah tinggi dibuatnya.

    Bila sudah berkampung di tempat orang, secara automatik segala pergerakan dipantau mengikut jadual dan program yang ditetapkan. Cerita orang dalam jawatan kuasa pada Kak Pora, apabila sudah ada pelbagai generasi disatukan di bawah satu bumbung, maka pelbagai kerenah jugalah yang perlu ditangani penganjur dan tuan rumah.

    Pertama sekali soal bangun awal pagi, bagi artis dan delegasi yang lebih matang ia bukan masalah besar tetapi isu ini jadi berat buat artis muda belia yang baru nak merangkak-rangkak bina nama. Kak Pora boleh kelaskan sebagai jenis yang tidak tahu hormati masa dan kurang budi bahasa. kalau program dijadualkan jam 9.30 pagi, artis muda kebanyakannya tidak nampak muka dan sebenarnya bukan mereka tidak hadir ada urusan lain tetapi ramai yang masih 'terbongkang' dalam bilik hotel. bayangkan ada artis popular perempuan bangun jam 11 pagi. Ada hero filem yang bangun jam 12 tengah ahari dan lepas bangun, mereka bersiap kemudian terus saja pergi makan tangah hari. Buruknya perangai!

    Peliknya, ada artis sebaya boleh terpacak di lobi hotel mengikut jadual, tetapi dalam satu kes sepanjang festival itu kenapa tidak bagi artis jejaka muda remaja yang perasan kacak ini. Tak pasal-pasal sebab dia seorang, dua bas yang penuh delegasi terlewat sampai ke destinasi. Paling menyakitkan hati bukannya tahu nak minta maaf, ini dia boleh buat muka ikan selamba macam tak ada apa-apa yang berlaku.

    Kalau filem sulung lakonannya meletup-letup tahap pecah panggung, Kak Pora boleh faham lagi kalau dia nak berlagak diva tapi filem kau ke mana apa ke mana, duduk jaja muka untuk publisiti murahan saja, alamatnya tidak berapa lama sangatlah masa depan anda dalam industri ini. Satu lagi yang buat Kak Pora rasa nak naik darah apabila orang dalam bercerita mengenai lintasan di hamparan merah pada malam kemuncak Anugerah FFFM 22. Sebenarnya Kak Pora sejuk betul tengok rata-rata artis tanah air yang bergaya anggun, sopan, bergaya dan jelita di TV.

    Cuma, fikiran Kak Pora terganggu dek penampilan berani isteri aktor yang cukup popular masa kini. Malas nak cerita lebih-lebih, tapi rasanya dalam keadaan sedang berbadan dua, bukankah lebih elok untuk kelihatan lebih sopan tak perlu nak dedah sampai.... Ah, malaslah nak cakap. memang dia sengaja nak mendedahkan lurah! si suami tu, kalau boleh tolonglah tegur sikit, jangan jadi dayus. yang datang FFM22 dari kalangan pelbagai usia dan ramai artis veteran juga hadir. Hormatlah orang sikit.

    KAK PORA: Tahniah buat Norman KRU yang kini sudah menjadi suami orang...

    High School Musical di IB?

    High School Musical di IB?





    SELEPAS muzikal terkenal dunia, Mamma Mia! mendapat sambutan luar biasa ketika dipentaskan akhir tahun lalu, Kak Pora mendapati tidak banyak program antarabangsa sehebat itu dianjurkan di Istana Budaya (IB) tahun ini, dengan pengisian lebih bertumpu kepada program tempatan.

    Entah apa sebabnya program antarabangsa berkurangan di IB tahun ini, Kak Pora kurang pasti. Lagipun, Kak Pora tahu bukan murah belanja mahu bawa masuk program antarabangsa ke IB, makan jugalah belanja berjuta-juta. Jika tidak kuat promosi, kutipan tiket pun belum tentu mampu menanggung kos dikeluarkan.

    Tetapi, dalam sibuk menyiapkan tugasan sebelum pergi ke Kota Kinabalu hari tu, Kak Pora dihubungi seorang teman lama di IB memaklumkan di situ bakal berlangsung pementasan muzikal terkenal antarabangsa, High School Musical. Biar betul ni? Dia memberitahu Kak Pora, rundingan sedang berlangsung antara pihak IB dengan Disney, syarikat penerbitannya dan promoter yang akan membawa muzikal itu ke Malaysia. Jika tiada aral melintang, ia akan dipentaskan Disember ini sempena musim cuti sekolah.

    Difahamkan, muzikal itu yang sudah mengaut keuntungan lebih RM100 juta sejak dipentaskan di West End, London dan Broadway, New York dua tahun lalu, juga sebagai mengisi kekosongan slot program di IB dari 8 hingga 16 Disember selepas pementasan Cicakman - The Musical ditunda ke tahun depan.

    Kalau betul khabar berita ini, nampaknya ia bakal menjadi acara kemuncak dan penutup tirai bagi Kalendar Program IB 2009. Tentu muzikal itu bakal menampilkan barisan pelakon asalnya termasuk Zac Efron yang memainkan watak Troy Bolton, selain Vanessa Hudgens (Gabriella Montez) yang gambar aksi terlampaunya kini menjadi bahan dalam internet.

    Peluang ini harus dilihat secara positif dan dimanfaatkan, khususnya warga kerja IB dan penggiat teater tempatan untuk berkongsi pengalaman serta mengambil tahu mengenai teknologi, terutama aspek teknikal.

    KAK PORA: Lama tak dengar perkembangan aktivis teater, Khalid Salleh. Apa dah jadi dengan projek teater beliau yang berjudul Walinongsari?

    Anis nafi sengaja reka cerita

    Anis nafi sengaja reka cerita

    Oleh Zubir Mohd Yunus




    Penyanyi remaja masih simpan SMS Jamal pelawa keluar makan, kahwin

    ENTAH dari mana puncanya, tiba-tiba saja nama penyanyi remaja, Anis Aneesa, 23, diperkatakan dalam dunia hiburan apabila dituduh mendera bapa sendiri, Mushid Desa, hingga mendapat perhatian program hiburan sensasi TV3, Melodi. Khabarnya, antara penderaan yang dilakukan Anis kepada bapanya ialah membasuh coli dan seluar dalamnya sehingga bapanya jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital.

    Tidak lama selepas itu, menerusi Melodi juga, pendedahan kononnya Anis bercinta dengan Raja Pop, Jamal Abdillah turut menjadi perhatian. Kononnya mereka kini tidak lagi berhubungan.

    Pun begitu, ada beberapa laporan media menyebut, Anis sengaja mereka dua cerita sensasi itu untuk meraih perhatian pihak wartawan, seterusnya mencari publisiti murahan! Anis dikatakan mereka cerita dengan tujuan memperoleh populariti dalam sekelip mata. Dia juga didakwa sebagai artis yang sangat terdesak memasang strategi yang kurang bijak untuk melonjakkan namanya. Kini, makin ramai yang mula mengenali Anis.

    Anis yang ditemui B*Pop minggu lalu mengakui, dia tiada tempat untuk mempertahankan dirinya apabila satu pihak saja melemparkan pelbagai tuduhan terhadapnya. Kehadirannya di Balai Berita, Anis turut membawa bersamanya Surat Pengesahan Masuk Wad dari Hospital Selayang bertarikh 11 Mei 2009 yang mengesahkan bapanya dimasukkan ke wad kerana penyakit gout dan tekanan darah tinggi, membuktikan dia tidak pernah mendera bapanya.

    Mengenai hubungan Anis dengan Jamal sehingga Raja Pop itu dikaitkan 'berkasih' dengan seorang artis muda, ternyata Jamal yang kini berusia 50 tahun tenang memberikan jawapannya seperti disiarkan Harian Metro pada 3 Julai lalu. Difahamkan artis muda yang dimaksudkan itu ialah Anis Aneesa.

    Dalam laporan itu, Jamal dilaporkan berkata, memang dia mengenali gadis itu dan keluarganya, tetapi tidak pula sampai mereka jatuh cinta.

    "Malah, sebenarnya hubungan kami pun hanya sebagai rakan sesama artis saja. Sesuaikah dia (artis muda) untuk saya jadikan isteri? Dalam soal sekarang, saya mahu memberi tumpuan sepenuhnya pada karier nyanyian," kata Jamal seperti disiarkan menerusi Harian Metro.

    Kenyataan Jamal menerusi sebuah majalah hiburan, turut melaporkan perkara hampir sama apabila dia menegaskan: "Saya memang kenal dia (difahamkan merujuk kepada Anis) dan biasa jumpa ibu bapanya. Tapi tak adalah pula kami nak bercinta. Dia bukan cita rasa saya. Takkanlah wanita sebegini saya nak buat isteri."

    Justeru, apabila Anis pernah memberitahu pihak media massa mengenai dirinya berkawan baik dengan Jamal, memperlihatkan dia seolah-olah seorang saja bertepuk sebelah tangan, sebaliknya Jamal tidak pernah menganggapnya sebagai teman istimewa, apatah lagi untuk menjadi calon isteri!

    Anis mendakwa masih menyimpan beberapa kiriman SMS daripada Jamal kepadanya dan mempamerkan kepada penulis. Antaranya, SMS Jamal bertarikh 27 Oktober 2008, jam 4.30 petang, Jamal pernah mempelawa Anis makan tengah hari bersamanya di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Jamal juga didakwa pernah mengirimkan SMS kepada Anis bertarikh 12 Februari lalu jam 12.41 tengah hari, mempelawa penyanyi itu berkahwin dengannya!

    Tidak cukup dengan SMS, Anis yang pada hari itu turut ditemani ibunya, Sharifah Yunus, 44, sempat memperlihatkan kepada penulis rakaman kamera video, dia sedang berkaraoke dengan Jamal di pusat hiburan yang terletak di premis sebuah hotel di Kuala Lumpur. Anis mengakui rakaman itu dibuat pada 31 Oktober 2008, kira-kira jam 8.30 malam.

    Bukan bertujuan membuka aib sesiapa, Anis mengakui, dia terkilan dengan kenyataan Jamal sebelum ini mengenai perhubungan mereka yang diibaratkan perigi mencari timba, walhal kedua-duanya pernah berkawan rapat sehingga Jamal dikatakan pernah melamarnya untuk berkahwin!

    'Saya tak reka cerita'

    "Kebanyakan media massa menuduh saya sengaja mereka cerita untuk mendapatkan perhatian daripada mereka apabila dua kali tersiar cerita perihal peribadi saya di Melodi, baru-baru ini. Pertamanya, saya didakwa mendera bapa sendiri. Tuduhan kedua apabila kisah saya bercinta dengan Jamal dikatakan suatu cerita rekaan.

    Baru-baru ini, menerusi sebuah akhbar tabloid, tersiar gosip mendakwa saya sangat terdesak mencari publisiti. Kononnya kedua-dua cerita di Melodi itu sekadar ingin menaikkan nama saya semata-mata. Cerita itu dibuat kononnya bertujuan mencari publisiti murahan berdasarkan kisah yang direka-reka.

    Rata-rata pihak wartawan mendakwa Anis menipu sedangkan mereka tidak pernah mendengar penjelasan daripada saya, sekadar mendengar cerita daripada satu pihak saja. Ayah saya dimasukkan ke Hospital Selayang kerana penyakit gout yang dideritai kira-kira tiga tahun lalu. Di sini saya melampirkan Surat Pengesahan Masuk Wad dari Hospital Selayang bertarikh 11 Mei 2009. Sebenarnya ayah saya masuk hospital bukan kerana dia jatuh sakit akibat penderaan yang saya lakukan. Cerita itu adalah fitnah daripada anggota keluarga saya sendiri yang mungkin bertujuan memburuk-burukkan nama saya."

    Jamal pernah ajak Anis kahwin

    "Sebenarnya hubungan saya dengan Jamal bermula apabila kami bertemu di sebuah majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Karyawan. Kami bertukar-tukar nombor telefon. Jamal mempelawa saya keluar dengannya dan sebagai artis baru saya menerima pelawaan itu kerana menghormati permintaannya sebagai penyanyi senior. Ketika itu kami berkenalan atas dasar artis sama artis, ingin mengenali antara satu sama lain.

    Bagi saya sekadar nak berkawan, apa salahnya. Justeru, apabila kami sering bertemu, hubungan itu menjadi semakin rapat. Dari sehari ke sehari perkenalan kami, Jamal pernah meluahkan hasratnya untuk menjadikan saya lebih daripada seorang kawan. Dia juga pernah mengajak saya berkahwin, tapi minta saya tunggu sehingga kes perceraiannya di mahkamah selesai.

    Saya bukannya sekadar mereka cerita, di sini saya mempamerkan beberapa kiriman SMS daripada Jamal menceritakan mengenai perhubungan kami selama ini. Antara SMS daripadanya ialah mempelawa saya makan tengah hari, ajak kahwin dan macam-macam lagi. Maknanya bukan saya yang terhegeh-hegeh. Saya bukannya bertepuk sebelah tangan, kami berkawan dan lama kelamaan perhubungan kami menjadi rapat.

    Apabila Jamal meluahkan hasratnya untuk memperisterikan saya, saya sekadar memberitahunya, kalau ada jodoh tak ke mana. Namun, selepas berlakunya satu insiden, saya mengambil keputusan untuk menjauhkan diri daripadanya. Namun, yang paling mengecewakan saya apabila Jamal membuat kenyataan menerusi sebuah majalah hiburan mendakwa: 'Takkanlah wanita sebegini saya nak buat isteri.'

    Bukan bertepuk sebelah tangan

    Jamal juga pernah membuat kenyataan dalam Harian Metro bertarikh 3 Julai apabila dia berkata: 'Malah, sebenarnya hubungan kami pun hanya sebagai rakan sesama artis saja. Sesuaikah dia untuk saya jadikan isteri?' Bagi saya, kenyataan seperti ini mempersendakan diri saya, seolah-olah saya seorang saja terhegeh-hegeh dan seolah-olah dia tahu cerita luar dan dalam diri saya. Sepatutnya saya yang bertanya begitu.

    Perhubungan kami memang tidak pernah berlaku situasi bertepuk sebelah tangan. Kedua-duanya memberi maklum balas yang baik. Justeru, apabila hubungan kami menjadi renggang, kami tidak pernah bergaduh. Maknanya kami tidak lagi bertemu dengan kerap seperti sebelum ini.

    Kami juga pernah berkaraoke. Ini rakaman kamera videonya (sambil menunjukkan rakaman kamera video Jamal sedang berkaraoke). Ketika itu kami ditemani pembantu peribadi Jamal yang dikenali sebagai Ismail. Adakah situasi itu juga mengatakan saya hanya bertepuk sebelah tangan?

    Ini membuktikan kami pernah berkawan baik. Beberapa kali Jamal pernah meluahkan hasrat untuk menjadikan saya sebagai kekasihnya, ajak kahwin, tapi saya kata tunggu masa yang sesuai.

    Justeru, apabila segelintir pihak media menuduh saya hanya mereka cerita, kononnya saya bercinta dengan Jamal semata-mata untuk meraih publisiti, saya benar-benar terkilan. Ini bermakna, dua cerita peribadi saya yang pernah disiarkan menerusi Melodi sebelum ini, bukan rekaan semata-mata, sebaliknya ia kisah benar!"

    INFO Anis

  • NAMA PENUH: Anis Aneesa Mushid.
  • TARIKH LAHIR: 14 Julai 1986.
  • ASAL: Kuala Lumpur.
  • KELUARGA: Sulung daripada dua beradik.
  • DARAH CAMPURAN: Ayah (Melayu) dan ibu (Siam Kelantan).
  • ALBUM: Dang Dang Dut 3 (2005), Anis Aneesa (2007), Anugerah (awal 2009) dan terbaru masih dalam pembikinan, terbitan Wake The Baby, dijangka berada di pasaran akhir 2009.
  • PENGACARA: Cuti-Cuti Famili, RTM1 (2007).
  • DUTA: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) 2008.
  • Perginya idola nasyid negara

    Perginya idola nasyid negara

    Oleh Rozdan Mazalan


    Mohd Asri (kiri). Isteri Allahyarham, Nor Jannah (kanan) bersama anak-anak.

    Asri Rabbani meninggalkan legasi lagu berkonsep ketuhanan dan kemanusiaan

    AIR mukanya sentiasa tersenyum manis apabila menerima sesiapa saja tetamu. Senyuman manis yang dilemparkan seolah menarik sesiapa saja untuk mendampinginya. Itulah tarikan dan kelebihan dikurniakan kepada Mohd Asri Ibrahim, 40, yang pergi meninggalkan keluarga, sahabat handai dan peminatnya pada 13 Ogos lalu.

    Tiada lagi alunan merdu suaranya ketika menyampaikan lagu nasyid selepas ini, tiada lagi azan yang sentiasa berkumandang setiap tahun berbuka puasa di Hotel Singgahsana Petaling Jaya sepanjang 17 tahun lalu. Lebih mengharukan tidak akan ada lagi rakaman terbaru untuk takbir raya sempena Aidilfitri daripada Asri. Pemergian beliau amat dirasai. Ia suatu kehilangan besar dalam industri nasyid negara kerana selepas Raihan kehadiran Rabbani bersama Asri adalah satu fenomena yang cukup menarik. Bermula menganggotai kumpulan nasyid Nada Murni pada 1987 lagi, arwah cukup dikagumi kerana membawakan pembaharuan dalam nasyid kontemporari dan kekuatan vokalnya juga nyata menyerlah dan unik, meruntun jiwa sesiapa saja pendengar untuk menghayati sehingga habis lagu yang dinyanyikan terutama lagu Pergi Tak Kembali.

    Kini, Asri juga pergi jauh dan tak akan kembali lagi. Sebelum tertubuhnya Rabbani pada 1 Mac 1997, arwah adalah orang yang bertanggungjawab menubuhkan Nada Murni pada 1987. Bermula dari situ semakin hari semakin banyak kumpulan nasyid tertubuh kerana merasai sesuatu yang berbeza disuntik dalam industri nasyid kontemporari.

    Ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham pada pengebumian di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam.

    Pemimpin yang juga vokalis kumpulan Raihan, Che Amran Idris berkata, suara unik arwah ketika memimpin Nada Suara menarik ramai pencinta nasyid untuk menjadikan diri beliau sebagai idola.

    "Sebelum Raihan ditubuhkan lagi, saya sudah mendengar rangkaian lagu yang dinyanyikan arwah ketika bersama Nada Murni. Memang lagu yang dinyanyikan seolah memberi semangat kepada semua kumpulan nasyid untuk mengikutinya berdakwah melalui hiburan nasyid kontemporari," katanya.

    'Selamat tinggal pada semua, berpisahlah kita selamanya, kita tak sama nasib di sana, baikkah atau sebaliknya. Berpisah sudah segalanya, yang tinggal hanyalah kenangan, diiring doa dan air mata yang pergi takkan kembali lagi'... Demikian bait lirik lagu Pergi Tak Kembali yang pernah mengangkat kumpulan nasyid popular itu memenangi kategori Penyanyi Nasyid Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama lapan tahun berturut-turut.

    Sesungguhnya bait lirik yang mampu mengalirkan air mata sesiapa saja mendengarnya tidak akan dilupakan buat selamanya. Sejak 1991, arwah bersama anggota Rabbani lain juga popular menerusi lagu Assalamualaikum, Subhanallah, Ingat 5 Sebelum 5, Di Ambang Syawal, Iqrar dan banyak lagu yang sentiasa mengundang rakan media untuk meraikan majlis berbuka puasa bersama mereka di Hotel Singgahsana.

    Allahyarham rebah kira-kira jam 10.30 pagi Khamis lalu ketika mengadakan raptai pelancaran program Syahadah musim kelima untuk RTM di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Allahyarham yang berasal dari Klang, Selangor, meninggalkan balu, Nor Jannah Shahdan, 38, dan enam anak yang berusia antara 15 hingga empat tahun. Jenazahnya selamat disemadikan selepas solat Maghrib di Perkuburan Islam Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam, pada hari yang sama.

    Apa kata rakan artis

    Dari kiri, Yasin Sulaiman, Ramli MS dan Amy Search.

    Yasin Sulaiman


    "Saya membesar dengan lagu-lagunya sejak dia menganggotai kumpulan Nada Murni lagi sehingga dia bersama Rabbani. Siapa yang tidak terkejut dengan khabar berita menyedihkan ini kerana ramai tidak menyangka beliau akan pergi meninggalkan kita tanpa apa-apa petanda dan penyakit dihidapinya. Isnin lalu, saya ada berjumpanya dan bersembang seperti biasa, namun tidak adapun apa-apa tanda atau perkara ganjil berlaku kepadanya. Pemergiannya satu kejutan. Secara peribadi, arwah adalah sahabat yang sangat baik dan jika ditanya kepada sesiapa saja yang mengenalinya tak ada seorang pun yang tidak suka berkawan dengannya."

    Ramli MS


    "Saya sangat rapat dengan dia sejak dia mula-mula berada dalam industri muzik. Ada kalanya apabila berjumpa kami akan bergurau sehingga melampau-lampau, namun dia tidak endah malah membalasnya dengan gurauan juga. Secara gurau, dulu dia ada berhutang kopiah dengan saya, dia hendak memberi saya kopiah baru tetapi saya tak nak sebab saya mahukan kopiah yang sedang dia pakai kerana kopiah itu lebih bermakna bagi saya sebagai seorang kawan. Saya seolah-olah tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku di mana dia sudah tidak ada lagi bersama kita hari ini."

    Amy Search


    "Saya mengenali arwah beberapa tahun lalu dan sejak akhir-akhir ini hubungan kami semakin rapat, lebih-lebih lagi kami bersama merakam kembali lagu Mentari Merah di Ufuk Timur secara duet. Arwah sangat serius ketika bekerja tetapi secara peribadinya dia seorang yang kelakar dan periang di luar. Kenangan bekerjasama dengannya sesuatu yang indah dan tidak akan saya lupakan sampai bila-bila."

    Mas Omar


    "Dulu saya pernah berkerja bersamanya dengan membuat promosi kumpulan Rabbani. Apabila ada apa-apa majlis kesyukuran saya selalu mengundang arwah untuk memimpin majlis keagamaan dan dia tidak pernah minta bayaran. Peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ketika saya dan Rabbani membuat video klip untuk lagu Assalamualaikum. Kami menjalani penggambaran dengan menaiki helikopter. Seminggu selepas itu helikopter dan juruterbang yang sama kami pernah naiki itu mengalami kemalangan udara di Kepong. Saya dan arwah cukup terkejut. Arwah bersimpati dan mengadakan majlis tahlil tujuh hari berturut-turut. Katanya ini adalah kerja amal untuk juruterbang itu."

    Semangat Asri tidak mati

    Semangat Asri tidak mati

    Oleh Serimah Mohd Sallehuddin


    Kumpulan Rabbani

    Segala perjuangannya untuk memartabatkan lagu nasyid dan berdakwah menerusi hiburan akan diteruskan anggota kumpulan Rabbani yang lain

    "BERDOALAH banyak-banyak seolah-olah kita tidak akan berjumpa Ramadan tahun ini," tazkirah yang disampaikan Allahyarham Mohd Asri Ibrahim, vokalis utama kumpulan nasyid Rabbani ketika menghadiri majlis sidang media Renda Ramadan TV3 di Masjid Al-Bukhary, Jalan Hang Tuah, hampir dua minggu lalu itu seakan-akan satu kiasan bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya.

    Mohd Asri atau dikenali di kalangan teman-teman sebagai Ustaz Asri menghembuskan nafas terakhir pada usia 40 tahun Khamis lalu iaitu 10 hari selepas meraikan ulang tahun kelahirannya yang jatuh pada 3 Ogos, tanpa sempat menjalani ibadat puasa yang bakal menyingkap tirainya beberapa hari saja lagi. Dia rebah ketika memenuhi undangan stesen televisyen RTM yang mengadakan sidang media musim terbaru program Syahadah kira-kira jam 10.30 pagi.

    Selepas ini tidak kelihatan lagi senyuman manis dan sapaan mesra dari seorang bernama Ustaz Asri yang ramah walau dengan sesiapa saja tanpa melihat luaran seseorang insan itu. Baginya, semua makhluk di dunia ini sama justeru wajar diberi layanan sama rata.

    Kehilangan Allahyarham secara mengejut pagi Khamis lalu sekali lagi menggegarkan industri hiburan tanah air yang baru saja meratapi pemergian Allahyarham Yasmin Ahmad tanggal 25 Julai lalu. Kini dunia seni sekali lagi suram dengan pemergian seorang ikon Nasyid.

    Pemergian Asri tidak hanya diratapi keluarga terutama balu Nor Jannah Shahdan, 38, serta enam cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama iaitu Mohd Nasimuddin, 15; Mohd Fathi, 14; Nor Afikah, 12; Mohd Ilham, 10; Sofiyah Munawarah, 6, dan Hamidi Rabbani, 4; anggota kumpulan Rabbani sendiri, bahkan mereka yang pernah mengenali Allahyarham biarpun cuma untuk seketika turut terkesan dengan pemergian Allahyarham. Selepas ini tiada lagi suara lunaknya mengalunkan azan, membacakan ayat suci Al Quran, mendendangkan lagu memuji kebesaran Ilahi serta membacakan doa di majlis.

    GAMBAR kenangan ketika melawat Beijing di China.

    Kembalinya Asri ke Rahmatullah adalah satu kehilangan besar buat industri nasyid tempatan yang sudah tentu kesannya lebih dirasakan anggota Rabbani yang lain iaitu Azadan Abdul Aziz Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman yang sudah bersama-sama Asri sejak kumpulan itu ditubuhkan 12 tahun lalu iaitu tanggal 1 Mac 1997.

    Sepanjang tempoh itu, pelbagai kenangan suka duka serta kejayaan dikecapi bersama. Rabbani pernah menerima anugerah Penyanyi/Kumpulan Nasyid Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama lapan tahun berturut-turut. Dalam tempoh lebih sedekad itu juga, pelbagai pencapaian diraih dan sebanyak 19 buah album dihasilkan.

    Tidak mudah untuk anggota Rabbani melupakan segala kenangan bersama Allahyarham. Kehilangannya membuatkan pergerakan Rabbani menjadi pincang. Namun kata salah seorang anggota yang juga teman rapat Allahyarham, semangat Asri akan terus mengiringi perjuangan mereka kerana Allahyarham bersungguh-sungguh untuk menaikkan nama Rabbani sehinggalah ke saat dia menutup mata.

    "Pemergian Asri tidak akan menguburkan nama Rabbani memandangkan tidak mudah untuk kami berada pada tahap sekarang. Bagaimanapun semangat Allahyarham akan sentiasa mengiringi perjuangan kami, biarpun kehilangannya meninggalkan kesan besar kepada kami.

    SENTIASA menjalani program motivasi bersama peminat yang kebanyakkannya adalah pelajar sekolah.

    "Rabbani akan tetap bergerak, namun suasananya pasti tidak sama lagi seperti dulu. Ketiadaan ustaz membuatkan kumpulan ini jadi pincang tetapi kami perlu meneruskan karier Rabbani. Persembahan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya sepanjang bulan Ramadan yang menjadi aktiviti wajib Rabbani akan tetap kami teruskan.

    "Bagaimanapun ada undangan yang terpaksa kami batalkan beberapa hari selepas ustaz meninggal dunia sebagai menghormati pemergiannya," kata Azadan yang bertungkus-lumus menguruskan pengurusan jenazah.

    Mengenali Allahyarham hampir 20 tahun iaitu ketika sama-sama menyertai kumpulan Nadamurni adalah satu kenangan yang sukar dilupakan Azadan. Lebih menyayat hati apabila melihat teman baiknya rebah di depan mata menyambut panggilan Ilahi. Ayat terakhir Asri yang melaungkan nama Allah ketika rebah masih lagi terngiang-ngiang di ingatan Azadan.

    "Saya bersyukur menjadi antara orang yang rapat dengan Allahyarham tetapi pemergiannya cukup mengejutkan buat saya. Pada hari pemergiannya, ustaz memang kelihatan kurang sihat, pagi sebelum kami ke RTM dia muntah-muntah bagaimanapun kami hanya menyangkakan ia serangan gastrik kerana ustaz ada menghidap penyakit itu.

    "Ketika isteri arwah menghantarnya ke pejabat, keadaan dia cukup lemah. Sebaik memasuki kereta dia hanya berdiam diri, melihat keadaannya itu saya pun membiarkan saja kerana tidak mahu mengganggunya. Namun apabila tiba di RTM, dia nampak ok saja tetapi ketika kami sedang membuat 'soundcheck', tiba-tiba saya terdengar laungan Allah dan nampak arwah rebah.

    "Kenangan bersama Allahyarham cukup sukar untuk saya lupakan. Sepanjang mengenalinya dia seorang yang penyabar, ceria dan suka meraikan orang lain serta terlalu merendah diri, apa saja yang dilakukan adalah ikhlas dari dasar hatinya. Kadang kala kami rasakan dia tidak perlu melakukan sesuatu perkara sampai ke tahap begitu sekali. Jika terbabit dengan persembahan pula, dia seboleh-bolehnya akan memastikan keseluruhan anggota Rabbani tiba lebih awal supaya tidak membiarkan penganjur tertunggu-tunggu," kata Azadan lagi.

    Dalam membuat keputusan untuk Rabbani pula kata Azadan, lazimnya mereka akan berbincang bersama-sama. Namun dalam banyak hal, ustaz lebih gemar berdiam diri dan mendengar bagaimanapun lazimnya jika arwah bersuara, keputusan yang lahir selalunya bernas dan tidak terjangkau pada pemikiran anggota yang lain.

    "Arwah ustaz lebih suka mendengar daripada bercakap sehinggakan bila masa dia marah pun kita tak tahu. Cuma saya perasaan, dua tiga hari sebelum dia meninggal dunia, arwah nampak tidak begitu aktif serta lebih banyak berdiam diri," kata Azadan.

    AJAI : Impikan anak kembar lelaki

    Impikan anak kembar lelaki

    Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
    bhnews@bharian.com.my


    PASANGAN mempelai dikelilingi keluarga dan sanak saudara yang meraikan majlis pernikahan mereka.

    Ajai, Liza selamat diijab kabul Sabtu lalu di Masjid Negeri Pulau Pinang

    DENGAN sekali lafaz saja, Mohd Faizal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai sah menjadi suami kepada bekas pengurus artis Maestro Talent, Norliza Mohd Ilias selepas menyemai cinta selama tiga tahun dan tarikh 15 Ogos 2009 akan menjadi tarikh keramat percintaan merpati dua sejoli yang dibina atas dasar kasih dan sayang.

    Sungguhpun Ajai sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi kelahiran Pulau Mutiara, Nurul Huda Abd Wahab (Nurul) dan dikurniakan seorang anak perempuan yang comel, Ayu Nazirah yang kini sudah berusia 11 tahun namun mahligai yang dibina akhirnya runtuh di tengah jalan pada 2007.

    Selepas hampir tiga tahun menduda akhirnya komposer, penulis lirik dan penyanyi, Ajai terbuka hati untuk berkahwin buat kali kedua sungguhpun suatu ketika dulu pernah kecewa dan putus asa untuk tidak berumahtangga sehingga ramai yang ingin mengetahui selama mana komposer muda akan menduda.

    Ajai ketika ditemui Hip sempat berkata mengimpikan anak kembar lelaki saat ditanya mengenai soal anak sebaik saja dia asyik bercerita mengenai bibit pertemuannya dengan isteri barunya yang terjalin sejak tiga tahun lalu.

    “Pada mulanya sekadar berkawan biasa sebelum bibit-bibit cinta tersemai dan akhirnya sepakat untuk membina istana cinta bersama-sama sungguhpun ketika itu kedua-duanya sibuk dengan tugas masing-masing,” katanya.

    Beliau berkata, selepas menyulam cinta dan akhirnya pada awal tahun ini, perancangan untuk berkahwin diatur dengan sebaik mungkin dan alhamdulillah segala-galanya ternokhtah di Dewan Syarahan, Masjid Negeri Pulau Pinang apabila disahkan menjadi suami kepada Liza dengan sekali lafaz saja.

    Majlis akad nikah disempurnakan Naib Kadi merangkap Penolong Pendaftar Nikah Bandaraya, Mansor Taib sambil disaksikan Ali Hussin dan Abdul Rahim Aziz sebagai saksi dengan mas kahwin RM1,001 dengan sebentuk cincin berlian disamping hantaran perkahwinan RM15,000 dengan pihak lelaki membawa tujuh dulang dan dibalas sembilan dulang daripada pihak perempuan.

    Katanya, jika dilihat sifat kewanitaan dan lemah lembut yang ada di dalam diri Liza sememangnya dia seorang yang sempurna biarpun hanya 98 peratus namun pemilihan Liza turut direstui anaknya, Ayu Nazirah.