Monday, August 17, 2009

Kenangan pahit manis FFM22

Kenangan pahit manis FFM22



JINS Shamsudin menurunkan tandatangan di belakang penari kanak-kanak ketika melawat Kampung Budaya Linangkit Tuaran.

MEMANG letih tak habis lagi sejak Kak Pora balik dari Kota Kinabalu. Tetapi penat di sana rasa berbaloi juga kerana sernok dapat bersama orang filem, yang lama dan baru, yang tua dan muda. Kak Pora ucapkan tahniah kepada penganjur Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) di Sabah kerana berjaya mengemudi dan memastikan acara selama lima hari dan malam kemuncak anugerahnya berjalan lancar, meriah dan rata-ratanya ramai yang gembira. Mereka yang kalah dan tak puas hati, pedulikan.

Sehingga hari ini, Kak Pora tidak dengar sebarang rungutan besar mengenai pemenang yang dipilih juri FFM22 kali ini. Maknanya masing-masing berpuas hati. Kalau ada sdua tiga orang yang bising kat belakang, itu biasalah. Kak Pora faham bukan senang nak memuaskan hati semua orang sepenuhnya.

Seperti mana lazimnya, banyak acara diatur oleh penganjur tetapi tidak semua artis yang hadir atau turut serta kerana masing-masing lebih selesa memerap dalam bilik hotel. Iyalah, masing-masing sudah perasan jadi bintang besar, macam hilang status pula kalau hendak berpanas atau beramah mesra dengan anak yatim, orang tua dan sebagainya.

Bagi Kak Pora bukan saja di festival tetapi dalam mana-mana aktiviti bercorak kebajikan, selalunya artis yang sedang popular dan muda ini, memang jarang dan langsung tak minat hendak terbabit sama walaupun mereka mempunyai banyak masa terluang. Memang banyak perkara yang Kak Pora perhatikan mengenai gelagat artis kita sepanjang FFM22 berlangsung. Masih ada artis yang suka meninggi diri, sombong tak bertempat, berpuak-puak dan berlagak semacam saja. Ada yang jenis asyik nak melaram dengan pakaian dan gaya bintang filem, macamlah dia hebat sangat.

Tetapi memang ada juga yang bersikap positif apabila tidak keberatan untuk menyertai apa saja program yang diatur penganjur. Kak Pora tidak salahkan penganjur sebab sudah mengatur apa yang terbaik untuk semua delegasi. Setiap acara itu membabitkan ramai orang. Tak bolehlah penganjur nak buat acara secara khusus untuk orang tertentu saja. Itu sudah tidak adil kepada pihak lain pula.

Malam kemuncak FFM22 diadakan di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terletak di Teluk Sepanggar tidak berapa jauh dari bandaraya Kota Kinabalu. Kak Pora hadir dengan berpakaian gaun hijau gelap. Kak Pora bersama dua anak turut hadir malam itu. Walaupun kawan setugas kak Pora, Suzan dan Zainuri hadir sama, tetapi apabila dah masuk dewan yang luas dan ramai orang itu, ityu, kelibat mereka pun dah tak nampak. Lagipun, apabila berada di UMS, memang luas dan indah pemandangan UMS. Pemandangan laut dan hutan menjadikan persekitaran universiti ini sangat mendamaikan. Dewan Canselor saja boleh memuatkan lebih 5,000 orang. Cukup besar!.

Namun, dalam pujian mengenai acara FFM22, ada juga beberapa perkara yang tak kena. Bagi Kak Pora, entah kenapa atur cara keseluruhannya agak hambar. Gandingan pengacaranya, Fahrin Ahmad dan Vanidah Imran bagaikan tiada keserasian. Mereka nampak kaku, mendatar. Ternyata Fahrin seperti hilang punca, mungkin kurang pengalaman mengendalikan acara besar seperti FFM22. FFM22 adalah acara nasional. Kak Pora faham RTM cuba hendak menaikkan bintang atau bakat baru yang dilahirkan menerusi program terbitannya.

Malangnya, kehadiran bintang baru yang langsung tidak dikenali itu menyebabkan penonton, baik di luar dan dalam dewan menjadi terpinga-pinga. Bagi Kak Pora, kalau pun RTM nak mempopularkan mereka, tengoklah dulu acara yang macam mana. Kata orang tengoklah tempat dulu. Janganlah sampai memakan diri. Macam FFM22, dek keghairahan memperkenalkan muka baru, akhirnya persembahan pada malam festival itu menjadi hambar dan mengundang kebosanan.

Mujurlah ada persembahan daripada Ito yang menyanyikan lagu tema filem Geng: Pengembaraan Bermula, atau Pacai bersama Afdlin Shauki serta Rashidi Ishak bergandingan menyanyikan lagu dari filem Setem. Kemuncaknya dimeriahkan persembahan daripada barisan pelakon filem Estet arahan Mamat Khalid.

Kak Pora difahamkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim pun ada luahkan rasa kurang berpuas hati dengan persembahan pada malam itu. Kak Pora tak tahulah beliau tidak berpuas hati dari sudut mana, tetapi apa yang Kak Pora tahu memang ramai yang merungut dengan corak persembahan malam itu. Biasalah. Tahun lalu, perkara seperti ini timbul juga apabila Astro sebagai penyiar rasmi terlalu ghairah hendak menonjolkan bintang realiti mereka pada acara kemuncak FFM21. Akibatnya, ada yang buat persembahan tunggang langgang dan jadi macam Konsert AF.

Selain dari acara pada malam persembahan, Kak Pora terdengar juga cerita daripada beberapa wartawan, kenapa penganjur tidak menyediakan kategori khas kepada media? Apakah peranan media tidak penting dalam industri perfileman tanah air? Dulu ada kategori Pengkritik Filem, sekarang ke mana menghilang kategori itu?

Satu hal lagi, ketika menghadiri simposium, hati Kak Pora jadi berdebar-debar apabila bekas Ketua Pengarah Finas 'membelasah' Ketua Pengarah Finas sekarang. Bekas Ketua Pengarah ini mempersoalkan tindakan dan tugas yang dilakukan Ketua Pengarah Finas sekarang.

Hampir panas juga sampai nada suara Ketua Pengarah Finas sekarang menjadi tinggi. Ada pemerhati dan penggiat industri filem yang hadir tertanya-tanya apa motif sebenar bekas Ketua Pengarah Finas itu? Mungkin dia teringin untuk balik semula ke jawatan itu? Apa yang dia sudah buat sepanjang tempoh dia menjadi Ketua Pengarah Finas selama sedekad dulu?

KAK PORA: Tidak dapat melupai pengalaman bersumpit ketika melawat Monsopiad yang menjadi kebanggaan keluarga kaum Kadazan-Murut.

No comments: