Monday, August 17, 2009

Tak buru gelaran primadona

Tak buru gelaran primadona

Oleh Zubir Mohd Yunus




LIMA tahun dulu sebagai Phim, anak kehilangan kasih sayang ibu bapa, lalu terjebak di kancah sosial, dia mula memaparkan lakonan membanggakan menerusi Castello. Kini sebagai Amy, Liyana Jasmay, 21, akhirnya berjaya menampilkan lakonan cemerlang menerusi Papadom, sekali gus menobatkannya antara aktres termuda dalam sejarah penganjuran Festival Filem Malaysia untuk bergelar Pelakon Wanita Terbaik.

Pun begitu, Liyana tidak perlu menunggu terlalu lama untuk menggenggam trofi yang menjadi idaman setiap aktres itu, namun bagi Salina Saibi, selepas menjayakan hampir 100 judul drama kira-kira lapan tahun lalu, kini barulah bakatnya menjadi perhatian apabila filem pertamanya, Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam, berjaya melonjakkan bakat lakonannya, lalu merangkul gelaran Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, baru-baru ini.

Liyana mula mengenali dunia lakonan seawal usia sembilan tahun lagi, namun dia hanya bergiat aktif ketika umurnya melewati 16 tahun apabila diperkenalkan Rosyam Nor menerusi Castello dan sejak itu tawaran lakonannya tidak pernah sepi. Hari ini namanya sudah berjaya berada di puncak apabila industri perfileman negara mengiktiraf bakat seninya.

"Apa yang saya peroleh hari ini adalah rezeki dan berkat doa daripada keluarga. Selain itu, kerja berpasukan daripada krew Papadom memainkan peranan besar kejayaan yang saya peroleh ini. Sekalipun watak saya di dalam Papadom agak simple, tapi ia sarat dengan emosi. Justeru, kejayaan ini adalah kejayaan bersama seluruh warga kerja Papadom, khususnya Abang Afdlin (Shauki) yang banyak memberi tunjuk ajar," kata Liyana.



Selepas menggenggam kejayaan ini, layakkah Liyana bergelar primadona muda memandangkan kejayaan yang diperolehnya dalam waktu singkat?

"Kejayaan ini adalah antara matlamat atau 'goal' yang saya cita-citakan selama ini. Kini, ia sudah termakbul dan bukan bermakna saya berada di zon yang selesa, sebaliknya kerja keras harus dilipat gandakan. Saya tidak pernah terlintas untuk bergelar primadona, perjalanan seni saya masih jauh. Kehadiran saya dalam industri ini sekadar pelapis kepada industri filem, sekali gus menyambung legasi industri itu yang boleh kita banggakan hari ini. Sekurang-kurangnya saya bersyukur, lakonan saya mendapat tempat di hati juri dan mudah-mudahan peminat terus memberi sokongan kepada perjalanan seni saya.

"Namun, sebelum saya mengecapi kejayaan hari ini, saya sebenarnya sudah belajar daripada kegagalan. Orang kata gagal dulu, menang kemudian. Saya pernah gagal merebut gelaran Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada FFM19 menerusi Castello, hari ini kekecewaan saya sudah ditebus... alhamdulillah," katanya lagi.

Umum sedia maklum, Liyana dikatakan berkawan rapat dengan bintang Akademi Fantasia 5 (AF5), Aizat yang popular menerusi lagu Hanya Kau Yang Mampu. Justeru, sejauh mana perhubungan mereka setakat ini, sudahkah melewati fasa percintaan dan apa yang Aizat katakan kepada Liyana mengenai kejayaannya itu?

"Kami tetap berkawan baik seperti dulu, cinta ke, kahwin, tak pernah terlintas langsung. Lagipun kami masih muda, saya tak mampu meramal apa-apa mengenai persahabatan kami. Just go with the flow. Sekiranya perhubungan kami sebagai kawan baik mampu bertahan lama tanpa berdepan sebarang masalah dan akhirnya ditakdirkan bertemu jodoh dengannya, saya reda.

'Aizat tumpang bangga'

Liyana (kiri) dan Salina

"Mengenai kejayaan saya di FFM22 baru-baru ini, Aizat sangat gembira. Dia tahu saya suka berlakon, kini apabila trofi kebanggaan itu berada di genggaman saya, Aizat tumpang bangga," kata Liyana berterus terang.

Selain dikenali sebagai pelakon filem dan drama, Liyana juga semakin gah menyusuri bidang nyanyian apabila single pertamanya, Aku Tak Percaya Cinta, semakin hari terus mendapat tempat di hati pendengar. Album mini pertamanya yang berkonsepkan teen pop rock, selain memuatkan lagu seperti Aku Jatuh Cinta, Pelik, Penyelamat Cinta dan Kejar dijangka berada di pasaran selepas Aidilfitri ini.

Namun, belum ada sejarah yang membuktikan, benar-benar wujud seorang artis berjaya menguasai kedua-dua bidang - lakonan dan nyanyian, sekali gus. Setakat ini hanya Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang memonopoli pelbagai cabang seni dalam satu masa. Justeru, ada dakwaan yang meminta agar Liyana hanya beri tumpuan kepada lakonan semata-mata dan melupakan seni suara.

"Saya tak peduli apa orang kata! Saya akan terus mencuba dan berjaya sebagai penyanyi. Lebih sedekad lalu, orang pernah melabel Datuk Siti Nurhaliza sebagai penyanyi kampung, dia tak boleh menyanyi dan macam-macam lagi. Lihat hari ini kedudukan Datuk Siti, dia adalah satu-satunya penyanyi terbaik, belum ada yang mampu menandingi kehebatannya di pentas nyanyian! Datuk Siti tidak mempedulikan cakap-cakap orang, dia berjaya," kata Liyana tegas mempertahankan pendiriannya.

Bukan setakat itu saja, Liyana juga pernah dituduh Ratu Plagiat dalam laman web hiburan popular kerana lagu nyanyian dan cara penampilannya dikatakan meniru penyanyi remaja terkenal dunia, Avril Lavigne! Liyana juga didakwa penyanyi tiada identiti sendiri.

"Penggubah muzik saya, AG Coco adalah peminat Avril, justeru dia menghasilkan 'bunyi' seperti Avril dan mahu saya jadi seperti Avril, tapi bukan bermaksud meniru 100 peratus seperti bintang dunia itu. Orang kata saya tak ada identiti, saya tak peduli cakap-cakap orang! Avril adalah bench mark saya. Saya menyanyi dengan cara saya sendiri, keaslian itu hadir dari dalam hati, cuma pengaruh artis berkenaan saja yang diperkatakan orang," tegasnya.

Salina sukar percayai kemenangan

Sementara itu, bagi Salina, sebalik diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, dia mengakui terlalu sukar mempercayai keputusan itu. Katanya lagi, selama bergelar pelakon, dia berasakan dirinya jarang mendapat pendedahan media massa, jauh sekali memperoleh populariti, justeru apabila dia mendapat tempat di hati juri, dia ingin berkongsi kejayaan itu dengan seluruh produksi Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam, lebih-lebih lagi Datuk Yusof Haslam dan pengarahnya, Syamsul Yusof.

"Alhamdulillah, trofi kemenangan ini adalah rezeki anak saya yang baru lahir, sokongan suami, keluarga dan warga kerja Skop Productions. Saya tak pernah bermimpi memperoleh kejayaan sebesar ini. Saya juga jarang berpeluang mendekati pihak wartawan atas faktor kesibukan kerja menghalang saya mendapatkan perhatian media massa," katanya.

Salina lambat popular, apa komen anda?

"Saya akui perkara itu. Saya tidak pernah menganggap diri saya popular. Justeru, apabila nama saya dibacakan antara lima terbaik dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, tepukan dan sorakan yang saya dengar daripada penonton, perlahan saja, saya tak terkejut. Tapi, apabila nama saya diumumkan sebagai pemenangnya, nak tercabut rasanya jantung ini!

"Bagi saya, apabila saya sudah mendirikan rumah tangga, mempunyai anak, baru saya dapat rasakan, ada juga publisiti. Tapi, sekalipun saya jarang mendapat perhatian media massa, alhamdulillah tawaran berlakon tak pernah putus. Namun, saya akui sokongan daripada pihak wartawan, publisiti daripada mereka, adalah antara tulang belakang kejayaan seseorang artis, itu saya tidak boleh menafikannya," kata Salina lagi.

Katanya lagi, selepas menggenggam kejayaan ini, dia akan terus bekerja keras kerana kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha berterusan.

"Liyana sudah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik, insya-Allah suatu hari nanti saya juga bercita-cita untuk berjaya seperti dirinya," kata Salina yang begitu teruja apabila kali pertama diberi peluang menjadi gadis penghias muka depan B*Pop sekalipun dia sudah lama bergelar pelakon.

INFO: Liyana

  • NAMA PENUH: Liyana Jasmay
  • TARIKH LAHIR: 28 Mac 1988
  • ASAL: Kuantan, Pahang
  • KELUARGA: Bongsu daripada empat beradik
  • PENDIDIKAN: Diploma Seni Persembahan & Media di Sunway University College, Bandar Sunway, Selangor (sambung belajar Mac 2010)
  • FILEM: Castello, Syaitan, Maut, Histeria, Kami The Movie, Papadom, Pisau Cukur, Duhai Si Pari Pari dan Niang Rapik The Movie
  • DRAMA: Laila Sari, Zeti & Mawas, Ponti Anak Remaja, Niang Rapik The Series, Najwa dan Sari Maya
  • ALBUM MINI: Liyana Jasmay - Aku Tak Percaya Cinta
  • DUTA: Maybelline
  • PENCAPAIAN: Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) di Kota Kinabalu, Sabah.

    INFO: Salina

  • NAMA PENUH: Salina Saibi
  • TARIKH LAHIR: 10 Januari 1982
  • ASAL: Kuala Lumpur
  • KELUARGA: Anak kedua daripada lima beradik
  • FILEM: Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam
  • DRAMA: Gerak Khas, CID, Pasrah, Air Mata Maria, Kembali Bertaut, Dari Mata Arissa, Bila Guruh Bergempita, Pintu Ke Syurga dan Spy Man
  • KOMERSIAL: Kayla Beverly Hills
  • PENCAPAIAN: Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) di Kota Kinabalu, Sabah.
  • NAMA SUAMI: Azmir Osman
  • NAMA ANAK: Farah Syakira, lima bulan.

  • Lokasi & kemudahan golf: Tropicana Golf & Country Resort Bhd, Jalan Kelab Tropicana, Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, Selangor (03 7804 8888).
  • Terima kasih: Setiausaha eksekutif, Norazita Shahlasun (rita@tropicanagolf.com).
  • Solekan & dandanan Liyana: Tiar Zainal (013 628 4835)
  • Solekan & dandanan Salina: Bunge (019 669 7701).
  • Kasut Salina: Figos.
  • No comments: