Monday, August 17, 2009

Astro tawan penonton Melayu

Astro tawan penonton Melayu


SEBAHAGIAN bekas pelajar Akademi Fantasia menghiburkan tetamu yang hadir.


STESEN berbayar terulung negara, Astro sentiasa hadir dengan pembaharuan yang kreatif dalam menjaga hati pelanggan setianya. Baru-baru ini, Astro hadir dengan pakej baru iaitu pakej Mustika demi memenuhi permintaan pelanggan Melayu yang kian bertambah.

Langkah ini ternyata memberi impak positif apabila melalui penyelidikan yang dibuat oleh AGB Nielsen Media Research baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan, Astro baru-baru ini mencapai kenaikan peratusan mendadak dimana kini sebanyak 46 peratus daripada jumlah kediaman di Malaysia yang memiliki televisyen melanggan Astro sehingga Jun 2009.

Pelanggan Astro juga terus berkembang menjadi 2.73 juta langganan dan lebih 12.3 juta jumlah penonton.

"Penonton Melayu kini tidak lagi hanya menonton kepada satu siaran sahaja dimana sekarang mereka bertukar ke pelbagai saluran yang lebih khusus untuk genre kegemaran masing-masing.

"Kurang dari dua bulan selepas Astro melancarkan Pakej Mustika yang mengandungi saluran Astro Citra, Astro Warna dan B4U, sebanyak 200 ribu buah rumah telah melanggan pakej itu.

"Pada asalnya, kami menyasarkan sebanyak 300 ribu buah rumah mengambil Pakej Mustika sebelum akhir tahun ini tetapi kini kami percaya mampu mencapainya sebelum Hari Raya Aidilfitri," ujar Henry ketika majlis Pratonton Gempak Universe di Royale Chulan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, kajian AGB Nielsen Media Research mendapati lapan buah saluran-saluran Melayu Astro telah mendominasi jumlah penonton di kalangan penonton-penonton TV Melayu.

"Perkembangan ini membawa berita baik buat kami semua apabila mendapati sebahagian besar daripada statistik itu disumbang oleh penonton-penonton drama dan program realiti terbitan sendiri yang ditayangkan di Astro." ujar Khairul.

Menurut Khairul, rancangan Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7)baru-baru ini meraih purata lebih dari 1 juta penonton pada setiap konsert mingguan.

Program realiti mencari bakat pelawak pula iaitu Raja Lawak meraih jumlah penonton seramai 1.3 juta orang pada episod akhir musim ketiga.

Program Jangan Lupa Lirik pula meraih penonton seramai 3.5 juta orang dan Sehati Berdansa pula berjaya meraih lebih daripada 2 juta penonton daripada kalangan penonton Melayu.

"Bukan itu sahaja, slot tayangan drama iaitu Primawara di Astro Prima, Mertua vs Menantu, berjaya meraih purata 2.7 juta penonton pada setiap minggu dan episod akhir drama ini merupakan program yang paling banyak ditonton di platform Astro," tambah Khairul.

Untuk penggal yang akan datang lebih banyak program-program baru disusun di saluran-saluran Melayu Astro terpilih yang bakal menawan hati setiap pelanggan.

Di antara program-program baru itu yang dijangka memberi impak kepada statistik dan kenaikan jumlah penonton ialah sebuah drama bersiri muzikal ala High School Musical iaitu Kau Dan Aku.

Drama bersiri yang disasarkan kepada penonton remaja ini bakal menyaksikan sekumpulan anak-anak remaja mempersembahkan lagu dan tarian hebat.

Ia dibintangi oleh Mila AF5 dan Akim AF7 serta beberapa orang bintang AF yang lain dan bakal menemui penonton pada September nanti.

Selain itu, tajuk-tajuk baru seperti Belalang, Segunung Harapan, Cinta Sempurna, Senja Heights dan siri animasi baru, Mat Kacau, adalah di antara tajuk-tajuk yang akan berselang-seli menyinari saluran-saluran Melayu terpilih tidak lama lagi.

Tambah Khairul, dia berharap dengan program-program baru sempena bulan Ramadan dan Syawal yang telah disusun akan terus menarik minat penonton untuk terus setia dengan Astro.

No comments: