Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila penceramah bebas dan hos saluran Oasis, Akhil Hayy akhirnya bernikah dengan penyanyi dan pelakon Waheeda atau nama sebenarnya Nor Wahidah Abdul Wahab.
Hubungan mereka sudah lama dihidu media dan khalayak. Apa lagi gosip cinta mereka tidak pernah surut sejak setahun lalu. Mereka bukan sekadar dikatakan bercinta malah sempat didakwa sudah berkahwin. Namun, kedua-duanya tegas menafikan khabar angin tersebut.
Sehinggalah bekas isteri Akhil, Maizawati Zainal, 33, tampil ke hadapan bercerita tentang kepincangan rumah tangganya pada tanggal 16 Julai, perkahwinan Akhil dan Waheeda adalah berita yang ditunggu-tunggu banyak pihak yang mahu melihat kesudahan telenovela mereka.
Ironinya, Akhil berkahwin baru dalam tempoh genap sebulan bergelar duda. Perkahwinan dia dan Waheeda juga seperti mengesahkan bahawa mereka memang punya hubungan luar biasa sebelum ini. Jika tidak, masakan Akhil boleh terus memilih Waheeda untuk berkahwin semula dalam jangka waktu yang singkat.
"Ini soal jodoh. Kita tidak boleh hendak cakap singkat atau lambat jangka waktu saya menduda. Ada juga orang yang baru bercerai hari ini, sudah berkahwin baru pada keesokan harinya," katanya yang turut memberitahu perkahwinan mereka adalah doa daripada semua pihak yang selama ini mengikuti kontroversi mereka.
Tambah Akhil, penyatuan mereka hanya berpandukan senaskhah al-Quran sebagai pegangan hidup yang menutup spekulasi yang menjalar sejak lebih setahun lalu. Ia juga bukti mereka tidak pernah berkahwin.
Akhil yang hanya membuat perancangan seminggu untuk bernikah berkata: "Hari ini adalah bukti kami tidak pernah berkahwin. Saya harap ia juga penutup spekulasi hubungan kami yang digembar-gemburkan banyak pihak selama ini."
Tidak lagi berdolak-dalik seperti sebelum ini, Akhil yang segak berbaju Melayu putih juga membuka kisah cinta mereka secara kiasan.
Pertama sekali, tegas Akhil, sejak dahulu, dia memang tidak pernah menafikan mempunyai hubungan yang baik dengan penyanyi yang hit dengan lagu Wassini itu sebaliknya dia menafikan bercinta dengan gadis itu.
Beritahu Akhil, dia mula rapat dengan Waheeda sejak dua tahun lalu. Sejak itu mereka berkawan baik.
Jelasnya: "Selama ini pun saya tidak pernah menafikan saya selesa berkawan dengan Waheeda tetapi saya nafikan kami bercinta. Allah yang menggerakkan perasaan kasih saya ke arah ini (perkahwinan) dan saya mengikut petunjuk Allah untuk mengambil Waheeda sebagai isteri saya."
Dijolok soalan tentang bibit cinta antara mereka, Akhil hanya mengulas ringkas. Katanya, mustahil dia berkahwin dengan Waheeda tanpa ada bibit cinta.
"Ia didorong perasaan cinta kepada wanita ini selepas Allah membuka pintu hati untuk menerima anugerah yang besar daripada Allah.
"Saya akan mencuba sedaya upaya untuk membimbing keluarga saya," katanya yang menerima ketentuan Ilahi itu dengan tangan terbuka.
Sementara bagi Waheeda yang kelihatan gembira dengan perkahwinan itu berkata, penyatuan mereka adalah hikmah terbesar dalam dugaan yang mereka tempuhi selama ini.
Malah, dia juga tidak peduli dengan nista yang sudah dan bakal melanda lagi selepas dia akhirnya berkahwin dengan bekas suami orang ini.
"Lantaklah orang hendak kata apa. Banyak benda yang lebih penting harus kita fikirkan daripada memikirkan tentang cakap-cakap orang.
"Apa yang penting saya memegang kata-kata daripada Dr. Fadzilah Kamsah bahawa ada hikmah yang besar menanti di sebalik dugaan yang saya lalui. Alhamdulillah, hari ini saya mendapat ganjaran tersebut," katanya.
Kejar rahmat Ramadan
Dinikahkan oleh Pendaftar Nikah Rujuk dan Cerai Hulu Selangor, Ustaz Zulkhairi Jaid di Masjid Jamek Al-Rahimah, Kuala Kubu Baharu, Selangor, dengan hanya sekali lafaz, Akhil memberitahu pernikahan yang dijalankan di kawasan desa itu bukan diadakan dengan tujuan untuk mengelak daripada media. Sebaliknya dia bersetuju untuk dinikahkan oleh Zulkhairi yang merupakan teman baiknya di masjid itu.
Ditanya tentang pemilihan tarikh nikah, kata Akhil, tiada signifikan pada tarikh 16 Ogos sebagai tarikh ijab kabul mereka. Tarikh tersebut dipilih kerana mereka mengejar rahmat Ramadan dan mahu menikmati rahmat tersebut sebagai pasangan suami isteri.
"Pada mulanya kami merancang untuk bernikah pada 21 Ogos iaitu sehari sebelum Ramadan. Saya mahu mengambil keberkatan malam Ramadan pertama.
"Bagaimanapun, selepas berbincang, kami awalkan seminggu pernikahan ini. Apa yang penting adalah kami mengejar rahmat Ramadan dalam sebuah keluarga baru," ujar Akhil.
Pernyataan tersebut disokong Waheeda dengan mengatakan: "Ia juga untuk anak-anak kami. Kami mahu anak-anak kami menyambut Ramadan dengan sebuah keluarga sempurna."
Ditanya tentang destinasi bulan madu, Waheeda memberitahu, tiada perancangan untuk meraikan cinta mereka yang akhirnya bersatu. Namun, katanya, cukup dengan kunjungan keluarga antara dia dan Akhil.
Kata Waheeda: "Kami akan mengeratkan hubungan antara dua keluarga dengan kunjungan kami nanti."
Pernikahan ini juga, kata Waheeda, menjadi penutup kepada kerjayanya. Dia mahu cuci tangan daripada bidang hiburan serta memberi komitmen sepenuh masa kepada anak-anak tirinya selain bersedia membina keluarga sendiri.
"Dengan pernikahan ini, saya sudah berhenti menjadi anak seni secara rasmi. Saya tidak mahu anak-anak dan keluarga saya terabai," katanya yang mahu membuka buku baru kehidupannya.
Semoga berbahagia
|
|
Dari hujung corong telefon, bicaranya kedengaran bersahaja dan tenang. Tidak terlalu perlahan kesedihan dan tidak juga terlalu berdolak-dalik, meskipun wanita itu sudah boleh meneka soalan yang bakal diajukan kepadanya.
“Saya tahu kenapa. Tidak apalah, teruskan dengan soalan anda,” ujar Maizawati Zainal, 33, bekas isteri pendakwah selebriti dan penyanyi nasyid, Akhil Hayy ketika dihubungi Kosmo! petang semalam.
Mengakui hanya mengetahui mengenai majlis pernikahan Akhil dengan penyanyi Waheeda selepas dihujani beberapa panggilan telefon daripada wartawan pada sebelah pagi, Maizawati bersikap profesional tanpa mengelak pertanyaan media.
“Seperti yang saya katakan dahulu, peminat lebih tahu. Peminat sekarang sudah pandai, jadi tidak perlulah dinafikan sebelum ini,” ujarnya mengakui tetap mendoakan kebahagiaan Akhil dan Waheeda.
Tambah Maizawati, kalau boleh dia enggan lagi mengambil tahu tentang perjalanan bekas suaminya memandangkan mereka kini sudah berpisah.
“Biarlah, rasanya saya tidak perlu lagi mengambil tahu tentang dia (Akhil). Sejak awal tahun lagi memang dia sudah tidak memberitahu saya apa-apa,” ujarnya.
Menganggap apa yang dilaluinya hari ini sebagai takdir, Maizawati menjelaskan yang dia reda dengan ketentuan dan dugaan Yang Maha Esa.
“Saya percaya setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Tidak ada manusia yang sempurna. Mungkin dia (Akhil) ada kebenaran dan kesalahannya dan begitu juga saya.
“Kehidupan terpaksa diteruskan. Sebagai ibu tunggal dan anak kepada orang tua yang memerlukan sokongan saya, maka saya perlu berusaha gigih.
“Sebab itu saya perlu mencari rezeki untuk teruskan hidup,” katanya sambil memberitahu baru-baru ini dia dilantik Yayasan Pembangunan Nur Hikmah sebagai Duta Tudung Myza.
Enggan lagi bersedih mengenang keperitan hidup yang pernah dilaluinya, Maizawati juga berusaha membuat bisnes kek coklat bersama seorang kawan. Tidak ketinggalan wanita itu turut terlibat dengan bisnes jualan jubah Abaya yang dibawakan eksklusif dari Dubai.
Kepada yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang produk yang diusahakan Maizawati sila hubungi talian faks 05-547 2235.
No comments:
Post a Comment