Monday, August 17, 2009

Perginya idola nasyid negara

Perginya idola nasyid negara

Oleh Rozdan Mazalan


Mohd Asri (kiri). Isteri Allahyarham, Nor Jannah (kanan) bersama anak-anak.

Asri Rabbani meninggalkan legasi lagu berkonsep ketuhanan dan kemanusiaan

AIR mukanya sentiasa tersenyum manis apabila menerima sesiapa saja tetamu. Senyuman manis yang dilemparkan seolah menarik sesiapa saja untuk mendampinginya. Itulah tarikan dan kelebihan dikurniakan kepada Mohd Asri Ibrahim, 40, yang pergi meninggalkan keluarga, sahabat handai dan peminatnya pada 13 Ogos lalu.

Tiada lagi alunan merdu suaranya ketika menyampaikan lagu nasyid selepas ini, tiada lagi azan yang sentiasa berkumandang setiap tahun berbuka puasa di Hotel Singgahsana Petaling Jaya sepanjang 17 tahun lalu. Lebih mengharukan tidak akan ada lagi rakaman terbaru untuk takbir raya sempena Aidilfitri daripada Asri. Pemergian beliau amat dirasai. Ia suatu kehilangan besar dalam industri nasyid negara kerana selepas Raihan kehadiran Rabbani bersama Asri adalah satu fenomena yang cukup menarik. Bermula menganggotai kumpulan nasyid Nada Murni pada 1987 lagi, arwah cukup dikagumi kerana membawakan pembaharuan dalam nasyid kontemporari dan kekuatan vokalnya juga nyata menyerlah dan unik, meruntun jiwa sesiapa saja pendengar untuk menghayati sehingga habis lagu yang dinyanyikan terutama lagu Pergi Tak Kembali.

Kini, Asri juga pergi jauh dan tak akan kembali lagi. Sebelum tertubuhnya Rabbani pada 1 Mac 1997, arwah adalah orang yang bertanggungjawab menubuhkan Nada Murni pada 1987. Bermula dari situ semakin hari semakin banyak kumpulan nasyid tertubuh kerana merasai sesuatu yang berbeza disuntik dalam industri nasyid kontemporari.

Ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham pada pengebumian di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam.

Pemimpin yang juga vokalis kumpulan Raihan, Che Amran Idris berkata, suara unik arwah ketika memimpin Nada Suara menarik ramai pencinta nasyid untuk menjadikan diri beliau sebagai idola.

"Sebelum Raihan ditubuhkan lagi, saya sudah mendengar rangkaian lagu yang dinyanyikan arwah ketika bersama Nada Murni. Memang lagu yang dinyanyikan seolah memberi semangat kepada semua kumpulan nasyid untuk mengikutinya berdakwah melalui hiburan nasyid kontemporari," katanya.

'Selamat tinggal pada semua, berpisahlah kita selamanya, kita tak sama nasib di sana, baikkah atau sebaliknya. Berpisah sudah segalanya, yang tinggal hanyalah kenangan, diiring doa dan air mata yang pergi takkan kembali lagi'... Demikian bait lirik lagu Pergi Tak Kembali yang pernah mengangkat kumpulan nasyid popular itu memenangi kategori Penyanyi Nasyid Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama lapan tahun berturut-turut.

Sesungguhnya bait lirik yang mampu mengalirkan air mata sesiapa saja mendengarnya tidak akan dilupakan buat selamanya. Sejak 1991, arwah bersama anggota Rabbani lain juga popular menerusi lagu Assalamualaikum, Subhanallah, Ingat 5 Sebelum 5, Di Ambang Syawal, Iqrar dan banyak lagu yang sentiasa mengundang rakan media untuk meraikan majlis berbuka puasa bersama mereka di Hotel Singgahsana.

Allahyarham rebah kira-kira jam 10.30 pagi Khamis lalu ketika mengadakan raptai pelancaran program Syahadah musim kelima untuk RTM di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Allahyarham yang berasal dari Klang, Selangor, meninggalkan balu, Nor Jannah Shahdan, 38, dan enam anak yang berusia antara 15 hingga empat tahun. Jenazahnya selamat disemadikan selepas solat Maghrib di Perkuburan Islam Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam, pada hari yang sama.

Apa kata rakan artis

Dari kiri, Yasin Sulaiman, Ramli MS dan Amy Search.

Yasin Sulaiman


"Saya membesar dengan lagu-lagunya sejak dia menganggotai kumpulan Nada Murni lagi sehingga dia bersama Rabbani. Siapa yang tidak terkejut dengan khabar berita menyedihkan ini kerana ramai tidak menyangka beliau akan pergi meninggalkan kita tanpa apa-apa petanda dan penyakit dihidapinya. Isnin lalu, saya ada berjumpanya dan bersembang seperti biasa, namun tidak adapun apa-apa tanda atau perkara ganjil berlaku kepadanya. Pemergiannya satu kejutan. Secara peribadi, arwah adalah sahabat yang sangat baik dan jika ditanya kepada sesiapa saja yang mengenalinya tak ada seorang pun yang tidak suka berkawan dengannya."

Ramli MS


"Saya sangat rapat dengan dia sejak dia mula-mula berada dalam industri muzik. Ada kalanya apabila berjumpa kami akan bergurau sehingga melampau-lampau, namun dia tidak endah malah membalasnya dengan gurauan juga. Secara gurau, dulu dia ada berhutang kopiah dengan saya, dia hendak memberi saya kopiah baru tetapi saya tak nak sebab saya mahukan kopiah yang sedang dia pakai kerana kopiah itu lebih bermakna bagi saya sebagai seorang kawan. Saya seolah-olah tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku di mana dia sudah tidak ada lagi bersama kita hari ini."

Amy Search


"Saya mengenali arwah beberapa tahun lalu dan sejak akhir-akhir ini hubungan kami semakin rapat, lebih-lebih lagi kami bersama merakam kembali lagu Mentari Merah di Ufuk Timur secara duet. Arwah sangat serius ketika bekerja tetapi secara peribadinya dia seorang yang kelakar dan periang di luar. Kenangan bekerjasama dengannya sesuatu yang indah dan tidak akan saya lupakan sampai bila-bila."

Mas Omar


"Dulu saya pernah berkerja bersamanya dengan membuat promosi kumpulan Rabbani. Apabila ada apa-apa majlis kesyukuran saya selalu mengundang arwah untuk memimpin majlis keagamaan dan dia tidak pernah minta bayaran. Peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ketika saya dan Rabbani membuat video klip untuk lagu Assalamualaikum. Kami menjalani penggambaran dengan menaiki helikopter. Seminggu selepas itu helikopter dan juruterbang yang sama kami pernah naiki itu mengalami kemalangan udara di Kepong. Saya dan arwah cukup terkejut. Arwah bersimpati dan mengadakan majlis tahlil tujuh hari berturut-turut. Katanya ini adalah kerja amal untuk juruterbang itu."

No comments: