Monday, August 17, 2009

MLTR mahu terus hidup!

MLTR mahu terus hidup!


JASCHA mempunyai vokal merdu yang memukau hati banyak peminatnya.



LAGU 25 Minutes dan Sleeping Child antara lagu yang melonjakkan nama MLTR.


MASIH ingat lagi kali terakhir kumpulan popular Micheal Learns To Rock mengadakan konsert di Malaysia pada tahun 2007. Ia bagaikan sebuah pusat karaoke besar apabila setiap bait-bait lagu yang dialunkan mereka disambut dengan nyanyian bersama peminat-peminat.

Apatah lagi, saat membawakan lagu kegilaan ramai antaranya Sleeping Child, 25 Minutes dan Out of the Blue, suara vokalisnya, Jascha Richter terus tenggelam bila peminat-peminat semakin kuat bernyanyi bersama.

Mungkin 'konsert karaoke' seperti itu akan berulang sekali lagi apabila MLTR bakal menggegarkan pentas Arena of Stars, Genting Highlands pada 5 September ini menerusi konsert jelajah Micheal Learns To Rock Eternity Tour 2009 Live In Malaysia.

Ya, MLTR bakal kembali dengan konsert jelajah dunia bermula dengan negara kelahiran mereka Denmark, Singapura, diikuti pula dengan Malaysia, di bawah penganjuran Star Planet.

Menurut Jascha, dia dan teman-temannya tidak sabar untuk berjumpa dengan peminat Malaysia yang banyak menyokong mereka selama ini.

"Bukan itu sahaja, kami juga tidak sabar untuk melihat negara yang penuh dengan kehijauan. Paling seronok bila dapat menjamu selera dengan makanan pedas.

"Pada konsert itu nanti, kami akan memainkan lagu-lagu daripada album Eternity serta lagu-lagu hit yang lain seperti Paint My Love, Out of the Blue dan Goodbye Kiss.

"Saya yakin, untuk persembahan ini, kami tidak akan mengecewakan peminat kami yang masih lagi setia dengan MLTR," tuturnya dalam satu temu bual menerusi telefon bersama Kosmo!.

Selepas Malaysia, MLTR bakal mengadakan konsert di enam buah negara lagi.

Kekal imej bersih

Selama 22 tahun MLTR mengukir nama dengan membawakan muzik slow rock, mereka tetap disayangi peminat lebih-lebih lagi pencinta muzik Asia.

Kejayaan demi kejayaan dikecapi mereka dalam tempoh itu. Namun, belum pernah lagi MLTR dikecam dengan berita-berita yang kurang enak seperti skandal, penceraian mahupun pengambilan dadah.

Vokalisnya dan juga pemain keyboard, Jascha Richter, Kare Wanscher (drum) dan Mikkel Lentz (gitar), masing-masing mahu menonjolkan bakat dan mencipta sebuah karya muzik yang akan diingati ramai.

Jascha mengakui, ahli-ahli MLTR masih lagi bersosial tetapi tidaklah di tahap yang mampu menjejaskan karier serta keluarga mereka.

"Kehadiran MLTR cuma mahu berkarya dan meluaskan muzik ke pentas dunia. Walaupun kehidupan penyanyi jenis kami mempunyai cara hidup rock n roll, MLTR lebih selesa untuk pulang ke rumah ataupun hotel sejurus selepas tamat kerja kami.


ARENA OF STARS GENTING akan menjadi saksi kepada persembahan hangat kumpulan MLTR pada 5 September ini.


"Benar, saya mahu menjadi seperti Elvis yang penuh dengan jeritan peminat wanita. Tetapi cukup sekadar itu, dan tidak mungkin lebih daripada yang disangkakan,

"Lagipun kehidupan kami sangat mudah, iaitu lelaki berkeluarga yang mencari rezeki untuk isteri dan anak-anak. Hidup kami seperti orang biasa. MLTR merupakan penyanyi yang hanya fokus pada muzik tanpa membabitkan perkara-perkara lain," katanya.

Selain tampil dengan imej bersih, MLTR tetap berdiri kukuh sungguhpun mereka dikelilingi dengan penyanyi-penyanyi baru.

Rahsianya? Mencipta karya muzik dengan hati yang ikhlas serta bekerja keras. Namun, kejayaan yang diperoleh tidak pernah membuatkan diri mereka menjadi lebih bongkak.

"Sebenarnya, kekal selama 22 tahun bukanlah satu perkara yang mudah. Banyak cabaran yang perlu dilalui. Saya tahu, MLTR tidaklah sehebat penyanyi berkumpulan di Hollywood, tetapi kami memastikan agar MLTR sentiasa hidup dan diingati peminat.

"Sebab itulah setiap karya yang dihasilkan dalam album, daripada membuat persembahan kecil-kecilan sehinggalah konsert jelajah dunia, kami akan buat yang terbaik untuk peminat kami.

"Mungkin kerana muzik kami yang banyak menyentuh perasaan membuatkan kami masih diminati. Jika dilihat semula, bermula album pertama kami pada tahun 1991 hinggalah kini iaitu album Eternity, tiada yang banyak berubah mengenai konsep muzik yang kami tonjolkan. Muzik MLTR lebih banyak menunjukkan diri kami yang sebenar," katanya.

Beritahu Jascha lagi, kehadiran penyanyi-penyanyi baru tidak langsung menjejaskan MLTR. Sebaliknya perjalanan karier mereka terasa lebih mudah.

Kerana itu, tidak pernah pun terlintas di fikiran yang mungkin satu hari nanti MLTR akan dibubarkan.

Peraduan Konsert MLTR

JADILAH lima pembaca bertuah pertama menjawab soalan yang dihantar melalui warnermusiccontest@gmail.com dan anda berpeluang menyaksikan konsert MLTR secara langsung bersama teman anda.

Pemenang bakal membawa pulang:

Hadiah Pertama: Dua tiket konsert yang bernilai RM160 setiap satu + Album MLTR Eternity & Beyond

Hadiah kedua: Tiga tiket konsert yang bernilai RM80 setiap satu + Album MLTR Eternity & Beyond

Selain itu, album MLTR Eternity & Beyond yang mempunyai dua cakera padat di dalamnya turut akan dijual pada harga RM40.90.

No comments: