Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
bhnews@bharian.com.my
PASANGAN mempelai dikelilingi keluarga dan sanak saudara yang meraikan majlis pernikahan mereka. |
Ajai, Liza selamat diijab kabul Sabtu lalu di Masjid Negeri Pulau Pinang
DENGAN sekali lafaz saja, Mohd Faizal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai sah menjadi suami kepada bekas pengurus artis Maestro Talent, Norliza Mohd Ilias selepas menyemai cinta selama tiga tahun dan tarikh 15 Ogos 2009 akan menjadi tarikh keramat percintaan merpati dua sejoli yang dibina atas dasar kasih dan sayang.
Sungguhpun Ajai sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi kelahiran Pulau Mutiara, Nurul Huda Abd Wahab (Nurul) dan dikurniakan seorang anak perempuan yang comel, Ayu Nazirah yang kini sudah berusia 11 tahun namun mahligai yang dibina akhirnya runtuh di tengah jalan pada 2007.
Selepas hampir tiga tahun menduda akhirnya komposer, penulis lirik dan penyanyi, Ajai terbuka hati untuk berkahwin buat kali kedua sungguhpun suatu ketika dulu pernah kecewa dan putus asa untuk tidak berumahtangga sehingga ramai yang ingin mengetahui selama mana komposer muda akan menduda.
Ajai ketika ditemui Hip sempat berkata mengimpikan anak kembar lelaki saat ditanya mengenai soal anak sebaik saja dia asyik bercerita mengenai bibit pertemuannya dengan isteri barunya yang terjalin sejak tiga tahun lalu.
“Pada mulanya sekadar berkawan biasa sebelum bibit-bibit cinta tersemai dan akhirnya sepakat untuk membina istana cinta bersama-sama sungguhpun ketika itu kedua-duanya sibuk dengan tugas masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, selepas menyulam cinta dan akhirnya pada awal tahun ini, perancangan untuk berkahwin diatur dengan sebaik mungkin dan alhamdulillah segala-galanya ternokhtah di Dewan Syarahan, Masjid Negeri Pulau Pinang apabila disahkan menjadi suami kepada Liza dengan sekali lafaz saja.
Majlis akad nikah disempurnakan Naib Kadi merangkap Penolong Pendaftar Nikah Bandaraya, Mansor Taib sambil disaksikan Ali Hussin dan Abdul Rahim Aziz sebagai saksi dengan mas kahwin RM1,001 dengan sebentuk cincin berlian disamping hantaran perkahwinan RM15,000 dengan pihak lelaki membawa tujuh dulang dan dibalas sembilan dulang daripada pihak perempuan.
Katanya, jika dilihat sifat kewanitaan dan lemah lembut yang ada di dalam diri Liza sememangnya dia seorang yang sempurna biarpun hanya 98 peratus namun pemilihan Liza turut direstui anaknya, Ayu Nazirah.
No comments:
Post a Comment