Monday, August 17, 2009

Anis nafi sengaja reka cerita

Anis nafi sengaja reka cerita

Oleh Zubir Mohd Yunus




Penyanyi remaja masih simpan SMS Jamal pelawa keluar makan, kahwin

ENTAH dari mana puncanya, tiba-tiba saja nama penyanyi remaja, Anis Aneesa, 23, diperkatakan dalam dunia hiburan apabila dituduh mendera bapa sendiri, Mushid Desa, hingga mendapat perhatian program hiburan sensasi TV3, Melodi. Khabarnya, antara penderaan yang dilakukan Anis kepada bapanya ialah membasuh coli dan seluar dalamnya sehingga bapanya jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital.

Tidak lama selepas itu, menerusi Melodi juga, pendedahan kononnya Anis bercinta dengan Raja Pop, Jamal Abdillah turut menjadi perhatian. Kononnya mereka kini tidak lagi berhubungan.

Pun begitu, ada beberapa laporan media menyebut, Anis sengaja mereka dua cerita sensasi itu untuk meraih perhatian pihak wartawan, seterusnya mencari publisiti murahan! Anis dikatakan mereka cerita dengan tujuan memperoleh populariti dalam sekelip mata. Dia juga didakwa sebagai artis yang sangat terdesak memasang strategi yang kurang bijak untuk melonjakkan namanya. Kini, makin ramai yang mula mengenali Anis.

Anis yang ditemui B*Pop minggu lalu mengakui, dia tiada tempat untuk mempertahankan dirinya apabila satu pihak saja melemparkan pelbagai tuduhan terhadapnya. Kehadirannya di Balai Berita, Anis turut membawa bersamanya Surat Pengesahan Masuk Wad dari Hospital Selayang bertarikh 11 Mei 2009 yang mengesahkan bapanya dimasukkan ke wad kerana penyakit gout dan tekanan darah tinggi, membuktikan dia tidak pernah mendera bapanya.

Mengenai hubungan Anis dengan Jamal sehingga Raja Pop itu dikaitkan 'berkasih' dengan seorang artis muda, ternyata Jamal yang kini berusia 50 tahun tenang memberikan jawapannya seperti disiarkan Harian Metro pada 3 Julai lalu. Difahamkan artis muda yang dimaksudkan itu ialah Anis Aneesa.

Dalam laporan itu, Jamal dilaporkan berkata, memang dia mengenali gadis itu dan keluarganya, tetapi tidak pula sampai mereka jatuh cinta.

"Malah, sebenarnya hubungan kami pun hanya sebagai rakan sesama artis saja. Sesuaikah dia (artis muda) untuk saya jadikan isteri? Dalam soal sekarang, saya mahu memberi tumpuan sepenuhnya pada karier nyanyian," kata Jamal seperti disiarkan menerusi Harian Metro.

Kenyataan Jamal menerusi sebuah majalah hiburan, turut melaporkan perkara hampir sama apabila dia menegaskan: "Saya memang kenal dia (difahamkan merujuk kepada Anis) dan biasa jumpa ibu bapanya. Tapi tak adalah pula kami nak bercinta. Dia bukan cita rasa saya. Takkanlah wanita sebegini saya nak buat isteri."

Justeru, apabila Anis pernah memberitahu pihak media massa mengenai dirinya berkawan baik dengan Jamal, memperlihatkan dia seolah-olah seorang saja bertepuk sebelah tangan, sebaliknya Jamal tidak pernah menganggapnya sebagai teman istimewa, apatah lagi untuk menjadi calon isteri!

Anis mendakwa masih menyimpan beberapa kiriman SMS daripada Jamal kepadanya dan mempamerkan kepada penulis. Antaranya, SMS Jamal bertarikh 27 Oktober 2008, jam 4.30 petang, Jamal pernah mempelawa Anis makan tengah hari bersamanya di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Jamal juga didakwa pernah mengirimkan SMS kepada Anis bertarikh 12 Februari lalu jam 12.41 tengah hari, mempelawa penyanyi itu berkahwin dengannya!

Tidak cukup dengan SMS, Anis yang pada hari itu turut ditemani ibunya, Sharifah Yunus, 44, sempat memperlihatkan kepada penulis rakaman kamera video, dia sedang berkaraoke dengan Jamal di pusat hiburan yang terletak di premis sebuah hotel di Kuala Lumpur. Anis mengakui rakaman itu dibuat pada 31 Oktober 2008, kira-kira jam 8.30 malam.

Bukan bertujuan membuka aib sesiapa, Anis mengakui, dia terkilan dengan kenyataan Jamal sebelum ini mengenai perhubungan mereka yang diibaratkan perigi mencari timba, walhal kedua-duanya pernah berkawan rapat sehingga Jamal dikatakan pernah melamarnya untuk berkahwin!

'Saya tak reka cerita'

"Kebanyakan media massa menuduh saya sengaja mereka cerita untuk mendapatkan perhatian daripada mereka apabila dua kali tersiar cerita perihal peribadi saya di Melodi, baru-baru ini. Pertamanya, saya didakwa mendera bapa sendiri. Tuduhan kedua apabila kisah saya bercinta dengan Jamal dikatakan suatu cerita rekaan.

Baru-baru ini, menerusi sebuah akhbar tabloid, tersiar gosip mendakwa saya sangat terdesak mencari publisiti. Kononnya kedua-dua cerita di Melodi itu sekadar ingin menaikkan nama saya semata-mata. Cerita itu dibuat kononnya bertujuan mencari publisiti murahan berdasarkan kisah yang direka-reka.

Rata-rata pihak wartawan mendakwa Anis menipu sedangkan mereka tidak pernah mendengar penjelasan daripada saya, sekadar mendengar cerita daripada satu pihak saja. Ayah saya dimasukkan ke Hospital Selayang kerana penyakit gout yang dideritai kira-kira tiga tahun lalu. Di sini saya melampirkan Surat Pengesahan Masuk Wad dari Hospital Selayang bertarikh 11 Mei 2009. Sebenarnya ayah saya masuk hospital bukan kerana dia jatuh sakit akibat penderaan yang saya lakukan. Cerita itu adalah fitnah daripada anggota keluarga saya sendiri yang mungkin bertujuan memburuk-burukkan nama saya."

Jamal pernah ajak Anis kahwin

"Sebenarnya hubungan saya dengan Jamal bermula apabila kami bertemu di sebuah majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Karyawan. Kami bertukar-tukar nombor telefon. Jamal mempelawa saya keluar dengannya dan sebagai artis baru saya menerima pelawaan itu kerana menghormati permintaannya sebagai penyanyi senior. Ketika itu kami berkenalan atas dasar artis sama artis, ingin mengenali antara satu sama lain.

Bagi saya sekadar nak berkawan, apa salahnya. Justeru, apabila kami sering bertemu, hubungan itu menjadi semakin rapat. Dari sehari ke sehari perkenalan kami, Jamal pernah meluahkan hasratnya untuk menjadikan saya lebih daripada seorang kawan. Dia juga pernah mengajak saya berkahwin, tapi minta saya tunggu sehingga kes perceraiannya di mahkamah selesai.

Saya bukannya sekadar mereka cerita, di sini saya mempamerkan beberapa kiriman SMS daripada Jamal menceritakan mengenai perhubungan kami selama ini. Antara SMS daripadanya ialah mempelawa saya makan tengah hari, ajak kahwin dan macam-macam lagi. Maknanya bukan saya yang terhegeh-hegeh. Saya bukannya bertepuk sebelah tangan, kami berkawan dan lama kelamaan perhubungan kami menjadi rapat.

Apabila Jamal meluahkan hasratnya untuk memperisterikan saya, saya sekadar memberitahunya, kalau ada jodoh tak ke mana. Namun, selepas berlakunya satu insiden, saya mengambil keputusan untuk menjauhkan diri daripadanya. Namun, yang paling mengecewakan saya apabila Jamal membuat kenyataan menerusi sebuah majalah hiburan mendakwa: 'Takkanlah wanita sebegini saya nak buat isteri.'

Bukan bertepuk sebelah tangan

Jamal juga pernah membuat kenyataan dalam Harian Metro bertarikh 3 Julai apabila dia berkata: 'Malah, sebenarnya hubungan kami pun hanya sebagai rakan sesama artis saja. Sesuaikah dia untuk saya jadikan isteri?' Bagi saya, kenyataan seperti ini mempersendakan diri saya, seolah-olah saya seorang saja terhegeh-hegeh dan seolah-olah dia tahu cerita luar dan dalam diri saya. Sepatutnya saya yang bertanya begitu.

Perhubungan kami memang tidak pernah berlaku situasi bertepuk sebelah tangan. Kedua-duanya memberi maklum balas yang baik. Justeru, apabila hubungan kami menjadi renggang, kami tidak pernah bergaduh. Maknanya kami tidak lagi bertemu dengan kerap seperti sebelum ini.

Kami juga pernah berkaraoke. Ini rakaman kamera videonya (sambil menunjukkan rakaman kamera video Jamal sedang berkaraoke). Ketika itu kami ditemani pembantu peribadi Jamal yang dikenali sebagai Ismail. Adakah situasi itu juga mengatakan saya hanya bertepuk sebelah tangan?

Ini membuktikan kami pernah berkawan baik. Beberapa kali Jamal pernah meluahkan hasrat untuk menjadikan saya sebagai kekasihnya, ajak kahwin, tapi saya kata tunggu masa yang sesuai.

Justeru, apabila segelintir pihak media menuduh saya hanya mereka cerita, kononnya saya bercinta dengan Jamal semata-mata untuk meraih publisiti, saya benar-benar terkilan. Ini bermakna, dua cerita peribadi saya yang pernah disiarkan menerusi Melodi sebelum ini, bukan rekaan semata-mata, sebaliknya ia kisah benar!"

INFO Anis

  • NAMA PENUH: Anis Aneesa Mushid.
  • TARIKH LAHIR: 14 Julai 1986.
  • ASAL: Kuala Lumpur.
  • KELUARGA: Sulung daripada dua beradik.
  • DARAH CAMPURAN: Ayah (Melayu) dan ibu (Siam Kelantan).
  • ALBUM: Dang Dang Dut 3 (2005), Anis Aneesa (2007), Anugerah (awal 2009) dan terbaru masih dalam pembikinan, terbitan Wake The Baby, dijangka berada di pasaran akhir 2009.
  • PENGACARA: Cuti-Cuti Famili, RTM1 (2007).
  • DUTA: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) 2008.
  • No comments: