Tuesday, August 18, 2009

Belasungkawa (1954 -2009): Sepi seorang pelawak

Belasungkawa (1954 -2009): Sepi seorang pelawak

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Param

Param meninggal Jumaat lalu akibat serangan sakit jantung

PERTEMUANNYA dengan pelawak R Jaafar di pekan Tampin mengubah kehidupan seorang insan bernama Param. Daripada seorang pekerja biasa di Pejabat Belia di Negeri Sembilan, Param mula dikenali sebagai pelawak dan pelakon yang sentiasa saja menceriakan kehidupan kita di sekitar tahun 80-an.

Bersama pelawak lain seperti AR Badul, Yahya Sulong, Allahyarham Yusni Jaafar dan Allahyarham R Jaafar, Param sentiasa saja memenuhi jemputan membuat persembahan sama ada di pentas kecil atau di skrin TV.

Tetapi itu cerita 33 tahun lalu. R Jaafar dan Yusni sudah tiada kerana terlebih dulu menyahut panggilan Ilahi. Jumaat lalu pula, Param pun pergi jua akibat sakit jantung di Hospital Kuala Lumpur ketika khalayak hiburan masih lagi menangisi pemergian Allahyarham Yasmin Ahmad dan vokalis kumpulan Rabbani, Ustaz Asri.

Penderitaannya berdepan dengan penyakit itu sejak 1992 lagi. Namun sakitnya itu tidak pernah menghalang Param memenuhi majlis hiburan walaupun terpaksa berkerusi roda. Baginya hidup mesti diteruskan dan penat lelah rakan dalam hiburan perlu diberi sokongan biarpun dirinya sendiri serba kekurangan.

Mengimbas kembali sisi kerjaya seni, anak kelahiran Negeri Sembilan ini mula meredah liga seni pada 1976 sewaktu bekerja di Pejabat Belia, Tampin. Radio Televisyen Malaysia (RTM) Melaka yang memanggilnya untuk diuji bakat sebelum muncul di kaca TV.

“Mereka tanya saya, kau nak masuk TV tak. Siapa yang tak nak masuk TV? Saya pun pergilah ke uji bakat terbabit. Namun, hanya selepas dua tahun barulah bakat saya benar-benar diuji. Itu pun secara tak sengaja apabila Allahyarham R Jaafar terjumpa saya di Pekan Tampin,” katanya.

Kali terakhir beliau muncul di layar perak ialah menerusi filem Salah Bapak yang diarahkan AR Badul pada tahun 2006. Filem itu menampilkan deretan pelakon baru dan lama seperti Hamid Gurkha, AR Badul, Latiff Ibrahim, Umie Aida, Saiful Apek, Ilya, Aida Rahim dan Jaafar Onn.

Antara filem lain yang pernah dibintanginya ialah Penyamun Tarbus, Si Luncai, Si Badul dan Anak Tunggal. Mendiang turut dikenali menerusi siri Hang Setia yang pernah disiarkan di RTM sekitar 80-an. Ketika masih hidup selain terkenal dengan sikap humor, beliau seorang pelakon yang sangat menyenangkan.

Senyuman manis sentiasa terukir di bibirnya dan membuatkan sesiapa pun yang dekat dengannya akan berasa senang hati. Beliau juga cukup ringan tangan menghulurkan bantuan. Sakit yang dialaminya bukan alasan untuk beliau terus berduka, bahkan semangatnya cukup kuat.

Rasa bangga sebagai anak seni memang menebal dalam dirinya. Malah Hip difahamkan Param mengumpul keratan akhbar dan majalah yang pernah memberi ruang kepadanya. Kata kakaknya, Sarah, dia berbuat demikian kerana mahu memudahkan rakan wartawan yang datang membuat liputan jika dia sudah tiada.

Begitulah Param sehinggalah minggu lalu, keadaan kesihatan pelawak yang cukup fasih berbahasa Melayu serta mampu bertutur loghat Negeri Sembilan ini berada dalam keadaan tidak stabil.

Difahamkan Param mengadu mengalami kesukaran untuk bernafas sejak jam 5 pagi lagi dan dikejarkan ke hospital terbabit. Selang sejam, anak bongsu daripada lima beradik dan tidak pernah berkahwin itu gagal diselamatkan. Begitulah sepi seorang pelawak! Akhirnya, Ahad lalu Param disemadikan di Hindu Krematorium, Cheras. Selamat tinggal Param!

Takdir satukan kami

Takdir satukan kami

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Md Fuzi Abd Lateh
am@hmetro.com.my

SELEPAS hampir empat bulan dibelenggu pelbagai kontroversi serta tanda tanya mengenai status hubungan mereka, akhirnya penyanyi, pengacara dan penceramah bebas, Akhil Hayy mengambil langkah menutup mulut semua pihak dengan memilih penyanyi Waheeda sebagai teman hidupnya.

Bertempat di Majlis Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu, kelmarin dengan sekali lafaz, Waheeda atau nama sebenar Norwahidah Abdul Wahab, 31, sah sebagai isteri penyanyi yang mendapat gelaran Ustaz Rock itu.

Tiada wang hantaran diberikan sebaliknya keluarga Waheeda hanya meminta senaskhah al-Quran dan ia dilengkapi hantaran tujuh dulang dan dibalas 11 dulang oleh pihak pengantin perempuan manakala mas kahwin pula sebanyak RM80.

Pasangan itu memilih tarikh 31 Oktober ini untuk majlis persandingan masing-masing di Dewan Orang Ramai Bukit Jelutong, Shah Alam dan di tempat asal Akhil di Gopeng, Perak seminggu kemudian.

Tidak dapat tidak, soalan sama ada pernikahan itu disebabkan 'desakan' gosip, Akhil atau nama sebenar, Akhil Abdul Hai, 40, lebih selesa menganggap semuanya adalah takdir Allah.

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun banyak perkara sudah berlaku...ana harap semua kemelut dan gosip ditamatkan dengan majlis ijab kabul ini.

"Ana mengakui senang dengan sikap Waheeda dan mustahillah jika pernikahan tiada rasa cinta...ini bukan satu kebetulan, tetapi perancangan yang sudah ditentukan Allah," katanya.

Kehadiran pasangan yang memakai pakaian putih sedondon itu juga menarik perhatian penduduk setempat yang kebetulan berada berhampiran sehingga menyebabkan ruang masjid dipenuhi orang ramai selain anggota terdekat pasangan mempelai.

Akhil menjelaskan pada mulanya pihaknya merancang untuk mengadakan majlis secara kecil-kecilan dan tidak sangka ramai yang hadir termasuk wartawan serta jurugambar.

"Rancangan awal kami mahu melangsungkan majlis pernikahan pada 21 Ogos bagi mendapat keberkatan Ramadan, tetapi keluarga mahu ia diawalkan. Seorang rakan yang mencadangkan supaya diadakan di masjid ini," katanya.

Turut hadir pada majlis itu bapa Waheeda, Abdul Wahab Yusuf, 58, ibunya, Asri Othman, 58, ibu Akhil, Azizah Daud, 72, dua anak Akhil, Siti Nur Maisarah, 12, Mohd Syarif Idayatullah, 11 dan kira-kira 100 ahli keluarga terdekat.

Seperti Akhil, Waheeda juga enggan memberi sebarang komen panjang mengenai kontroversi yang melanda mereka selama ini sebaliknya mahu memulakan hidup baru bersama keluarga.

"Biarlah apa orang hendak cakap kerana banyak perkara lebih penting dalam hidup ini. Selepas ini, saya mahu bersara dari bidang seni atas kehendak saya sendiri dan menumpukan kepada keluarga.

"Apa yang berlaku kepada kami umpama ribut dan kami mahu membina semula rumah yang rosak akibat ribut itu," katanya.

Penyanyi yang terkenal dengan genre lagu 'world music' itu turut menafikan cuba merahsiakan hari bahagia berkenaan sebaliknya dimaklumkan kepada kenalan terdekat.

"Kami menjemput ahli keluarga dan kenalan terdekat, tetapi tidak sangka ramai yang hadir pada hari ini," katanya.

Pada majlis itu, suasana hiba turut terasa apabila ibu Waheeda menyampaikan pesan kepada anaknya sehingga anak beranak itu dilihat menitiskan air mata selepas selamat diijabkabulkan.

Ibunya, Asri berkata, dia sebenarnya sudah lali dengan semua tohmahan serta gosip dilemparkan terhadap anaknya selama ini.

"Apa yang saya harap sekarang, dia akan menjadi isteri yang solehah dan taat kepada suami.

"Saya mahu dia menjadi isteri yang terbaik dan mudah-mudahan kedatangan Ramadan nanti akan memberi keberkatan kepada mereka," katanya.

Anak Akhil, Siti Nur Maisarah juga menyatakan rasa gembira apabila bapanya selamat diijab kabul dengan Waheeda yang lebih mesra dengan panggilan Auntie Wawa.

"Saya sebenarnya sudah lama mengenali Auntie Wawa dan berharap dia dapat menjaga dan melayan kami dengan baik seperti sebelum ini," katanya.

Kronologi gosip Akhil dan Waheeda sehingga diijab kabul

# 6 Mei 2008

WAHEEDA memberi kenyataan untuk meninggalkan dunia hiburan walaupun baru memenangi Anugerah Industri Muzik Malaysia ke15 (AIM15) menerusi kategori Album Pop Etnik Terbaik menyebabkan spekulasi perkahwinannya dengan Akhil Hayy semakin kuat. Waheeda bagaimanapun tegas menafikannya.

# 11 Januari 2009

WALAUPUN masing-masing menafikan mempunyai sebarang hubungan, laporan Akhil Hayy dan Waheeda dilihat menonton wayang bersama pada lewat malam di Petaling Jaya mencetuskan semula gosip mereka.

# 5 Mac 2009

WAHEEDA mengakui suka bersama Akhil Hayy, tetapi menafikan mereka bercinta.

# 1 Mei 2009

AKHIL menafikan sudah berkahwin dengan Waheeda sebaliknya penyanyi itu hanya 'isteri' dalam program Cafe Akhil Hayy musim kedua saja.

# 9 Mei 2009

AKHIL enggan mengulas mengenai penyebaran gambarnya di Internet bersama Waheeda ketika berada di pantai Port Dickson.

# 24 Mei 2009

BEKAS isteri Akhil, Maizawati Zainal muncul buat kali pertama di dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9 mendedahkan kemelut rumah tangganya.

# 27 Mei 2009

MAIZAWATI sekali lagi muncul di dalam rancangan Wanita Hari Ini (WHI) terbitan TV3 dengan mengibaratkan dirinya seperti 'bom jangka' berhubung gosip suaminya dengan Waheeda.

# 31 Mei 2009

AKHIL mengakui terkilan dengan tindakan Maizawati yang menghebahkan masalah rumah tangga mereka kepada media massa.

# 3 Jun 2009

MAHKAMAH Rendah Syariah Ipoh, Perak membenarkan penangguhan kes Akhil dan Maizawati selepas kedua-dua pihak bersetuju berunding dan menyelesaikan kes tuntutan cerai secara baik dalam tempoh hingga 15 Julai.

# 16 Julai 2009

AKHIL sah bercerai talak satu dengan Maizawati di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh.

# 23 Julai 2009

AKHIL memberi kenyataan jika mempunyai jodoh, dia menerima sesiapa saja.

# 16 Ogos 2009

AKHIL selamat diijabkabulkan dengan Waheeda di Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu.

Jualan amal tetap meriah

Jualan amal tetap meriah

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

WALAUPUN sambutan terhadap Karya1 Malaysia Bazar Amal yang dianjurkan Persatuan Karyawan di Kompleks Amcorp Mall, Petaling Jaya, kelmarin berlangsung sederhana disebabkan mungkin ramai yang takut keluar rumah kerana penularan wabak H1N1, ia tetap meriah dengan kehadiran artis menjual barangan peribadi.

Lebih 25 artis menjayakan jualan amal itu menjual barang peribadi seperti pakaian, kasut dan aksesori yang pernah dipakai ketika membuat persembahan dan ada juga yang menjual kuih dan kek seperti Aizat (AF).

Bagi Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, pihaknya menganjurkan majlis amal untuk mengisi tabung Yayasan Aids Malaysia (YAM) itu sebagai membalas sokongan masyarakat terhadap penggiat seni tanah air.

Katanya, biarpun sambutan pada hari itu sederhana, pihaknya tetap berpuas hati dengan pembabitan artis dan juga sambutan orang ramai.

"Meskipun kedatangan orang ramai tidak seperti dijangkakan, saya bangga sokongan padu mereka dengan membeli barangan artis yang mereka minati. Saya yakin jika tidak kerana wabak H1N1 yang semakin menunjukkan peningkatan serius dan setiap hari ada kematian, jualan bazar ini akan lebih meriah.

"Semua wang hasil jualan akan diserahkan kepada YAM. Bagaimanapunm, saya belum terima jumlah kutipan yang kita dapat pada hari itu. Paling membanggakan, bazar itu dianjurkan Biro Karyawan Muda diketuai Dayang Nurfaizah. Saya lihat Dayang dan pasukannya bertungkus-lumus untuk memastikan acara ini berjaya.

"Karyawan menerusi Biro Karyawan Muda selepas ini akan mengadakan lebih banyak aktiviti amal seperti ini untuk membantu meningkatkan kesedaran di kalangan artis muda mengurangkan beban mereka yang kurang bernasib baik.

"Kumpulan indie pun turut serta dalam acara itu. Aktiviti ini juga secara tidak langsung menyatukan semua artis dalam pelbagai cabaran hiburan.

"Pada masa sama, aktiviti seperti ini dapat meningkatkan imej artis tempatan di mata masyarakat yang selama ini menyokong kerjaya seni mereka. Inilah masa terbaik untuk membalas semula sokongan peminat. Ia juga secara tidak langsung menaikkan imej Karyawan," katanya.

Tambahnya, acara amal itu akan terus diadakan dari semasa ke semasa dengan pembabitan ramai artis muda.


"Pada Ramadan ini, kami akan melawat rumah anak yatim dan mengharapkan penyertaan ramai artis muda. Artis veteran sudah lama melakukan kerja amal dan sekarang giliran artis muda mula.

"Biasanya artis muda kurang begitu berminat turun padang untuk mendekati masyarakat. Oleh itu saya rasa bertanggungjawab memupuk kesedaran itu di kalangan artis muda kerana tanpa sokongan masyarakat siapalah mereka.

"Mereka juga generasi yang bertanggungjawab untuk memainkan peranan penting dalam Karyawan kerana mereka bakal memimpin dan menjadi tonggak utama persatuan ini suatu hari nanti," katanya.

Dayang Nurfaizah pula berkata, kerja amal sudah sebati dengan dirinya sejak dia mula menjadi artis lagi.

"Sebagai Ketua Biro Karyawan Muda, lagi mudah untuk saya aktif melakukan kerja amal dan harap apa saja aktiviti yang bakal diadakan selepas ini mendapat sokongan artis muda lain.

"Hari ini (kelmarin), saya melelong koleksi kesayangan termasuk pakaian yang dipakai ketika persembahan, fotografi dan pakaian harian saya. Selain itu, saya juga melelong barangan lain seperti aksesori, kaca mata Levis, kasut, novel dan yang paling mahal adalah diri saya untuk makan malam bersama ditaja Hard Rock Cafe.

"Menerusi lelongan itu, saya berjaya mengumpul lebih RM1,000 yang semuanya akan diserahkan kepada YAM. Biasanya orang menjemput saya menyertai aktiviti amal yang mereka lakukan tetapi kali ini, saya pula bertindak selaku penganjur.

"Memang penat tetapi seronok kerana dapat membantu orang lain. Sebenarnya, ini aktiviti keempat anjuran Biro Karyawan Muda selepas mengadakan Let's Jammed di Planet Hollywood dan Orange Club serta Let's Chat," katanya.

Dayang berterima kasih kepada artis yang datang memeriahkan acara lelong itu termasuk Amelia (AF), Ifa Raziah, Aizat, Faizal AF, Ikhwal, Stacy, Dafi, Angeline Wong, Andrew Tan, Sivakumar, Boy Iman, Syahrul, Ratu Cantik Malaysia/Universe 2009, Joannabelle Ng dan ramai lagi.

Pada 3 September ini, Dayang akan menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak yatim di Bangsar Seafood. Diikuti majlis berbuka bersama anak yatim di pusat beli-belah Mid Valley.

"Pada hari itu nanti, mereka akan dibawa menggunting rambut dan membeli-belah di sana serta berbuka puasa. Ia diadakan pada 9 September dan satu lagi majlis meraikan anak yatim di Hotel Crown Plaza. Bagaimanapun, saya belum dapat tarikhnya.

"Kerja amal itu bukan saja dilakukan pada bulan Ramadan, malah pada hari lain pun. Untuk sambutan Aidilfitri pula, saya bercadang menjual biskut raya diberi nama Dayang Sayang Kamu. Ia diadun dengan resipi istimewa perisa strawberi dan cornflakes dibuat kakak pengurus saya.

"Saya akan mula menjualnya mulai satu Ramadan ini. Hendak cuba jadi usahawan jual biskut raya pula," katanya.

Aizat atau Mohd Aizat Amdan pula menjual kek cawan yang dibuat sepupunya.

"Setiap sen yang dikumpul pada acara lelong ini diserahkan kepada YAM, tetapi saya tak tahu lagi berapa jumlah hasil jualan kek cawan itu.

"Seronok dapat melakukan kerja amal ini, tambahan Ramadan akan menjelma hanya beberapa hari saja lagi. Saya gembira tengok orang lain bahagia. Sebagai artis, kita tidak boleh melupakan sokongan masyarakat kepada kita. Tambahan pula, seperti saya yang bermula daripada program realiti AF (Akademi Fantasia).

"Entah berapa banyak mereka berhabis duit mengundi ketika saya di AF dulu. Tidak terbalas dengan wang ringgit. Jadi ini sajalah yang dapat saya buat untuk membalas jasa peminat dan penyokong saya," katanya yang akan mengadakan kenduri kesyukuran menyambut kedatangan Ramadan.

Yasmin inspirasi Aizat

Yasmin inspirasi Aizat

Oleh Esme Johari Wahab
esme@hmetro.com.my


MANA-mana artis atau selebriti pernah bekerjasama dengan seseorang pengarah filem memiliki reputasi tinggi dan meraih pelbagai anugerah perfileman pasti membuatkan mereka bersemangat untuk terus maju.

Bagi penyanyi dan komposer muda, Aizat, menimba ilmu bersama Yasmin Ahmad pada usia muda adalah pengalaman terbaik dan jarang dimiliki.

Bagaimanapun, Aizat tidak menyangka filem Talentime adalah kali terakhir dia menimba pengalaman bersama pengarah kreatif itu yang popular melalui iklan komersil dan filem mengenengahkan mesej perpaduan kaum dan masyarakat majmuk di Malaysia.

Sumbangan dua lagu runut nyanyian Aizat, 'Just One Boy' dan 'I Go' hasil ciptaan dan penulis lirik, Pete Teo dalam filem keenam Yasmin itu, begitu membanggakan penyanyi dan komposer muda itu berikutan kejayaan dipilih selaku Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM 22) di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Penyanyi kelahiran Raub, Pahang atau nama sebenar, Muhammad Aizat Amdan, bekas pelajar Akademi Fantasia 5 itu menyifatkan banyak perkara boleh dipelajari untuk mengembangkan bakatnya, sejak lagu itu digunakan dalam filem Talentime.

Hingga ke saat ini, Aizat harap dapat mengikut jejak Yasmin kerana filemnya pernah ditayangkan di pentas antarabangsa seperti di Berlin, San Francisco, Singapura dan Cannes, membuktikan kerja-kerasnya mendapat pengiktirafan.

Sumbangan dua lagu itu membuat Aizat terharu kerana arwah sentiasa ada mesej tertentu dalam filem arahannya. Semangat dedikasi dan keikhlasan Yasmin dapat dilihat kerana beliau berminat tinggi terhadap sesuatu dilakukannya.

"Sebaik menerima tawaran lagu saya akan digunakan, saya sangat gembira kerana arwah mahu saya menyumbang nyanyian saya dalam filem Talentime. Hingga sekarang, saya masih dapat merasai sentuhan tersendiri dimiliki oleh Yasmin dan beliau menjadi rujukan inspirasi dan banyak filem dihasilkan membuktikan bakat beliau sebagai seorang insan seni yang kreatif.

"Berada di lokasi filem bersama Yasmin membuatkan saya yakin. Saya mahu mengikut jejaknya mencapai tahap terbaik dalam bidang saya ceburi sekarang. Kini saya faham perangai, perwatakan dan semangat dimilikinya.

"Paling menyeronokkan, arwah mudah didekati, tidak rumit, tidak mengikut emosi, berfikiran terbuka dan suka berbincang mengatasi masalah wujud bagi mendapatkan keputusan terbaik.


"Bagaimanapun, saya terharu kerana ia kerjasama pertama dan terakhir dan kelibat beliau tiada lagi dalam industri filem kita sekarang," kata Aizat sewaktu rakaman Akustika Raya di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, baru-baru ini.

Filem Talentime memaparkan kejayaan dan kepayahan, harapan dan putus asa dan mengandungi beberapa lagu yang mempunyai skor serta lirik ditulis dengan baik serta menampilkan banyak perwatakan berkualiti tinggi dan warna-warni.

Aizat, popular melalui lagu ciptaan sendiri, 'Lagu Kita' tidak mahu pernah putus asa dengan apa mahu dilakukannya.

Penyanyi memiliki syarikat produksi sendiri, Kasi Gegar Entertainment Sdn Bhd berkata: "Filem arahan Yasmin sentiasa menarik ditonton dan diketahui kerana sentiasa berbeza dengan yang lain. Ia mengajar erti kemanusiaan dan realiti persekitaran kita."

"Saya harap dapat terus meningkatkan aksi dan pencapaian dalam bidang saya seperti Yasmin. Lebih membanggakan, beliau tidak mencipta kejayaan bagi tujuan menjadikannya diri popular sebaliknya mahu memberi sumbangan kepada masyarakat. Perkara seperti ini patut dicontohi.

"Beliau tidak lokek ilmu dan sentiasa mencari pembaharuan terhadap sesuatu mahu diketengahkan," kata Aizat.

Yasmin inspirasi Aizat

Yasmin inspirasi Aizat

Oleh Esme Johari Wahab
esme@hmetro.com.my


MANA-mana artis atau selebriti pernah bekerjasama dengan seseorang pengarah filem memiliki reputasi tinggi dan meraih pelbagai anugerah perfileman pasti membuatkan mereka bersemangat untuk terus maju.

Bagi penyanyi dan komposer muda, Aizat, menimba ilmu bersama Yasmin Ahmad pada usia muda adalah pengalaman terbaik dan jarang dimiliki.

Bagaimanapun, Aizat tidak menyangka filem Talentime adalah kali terakhir dia menimba pengalaman bersama pengarah kreatif itu yang popular melalui iklan komersil dan filem mengenengahkan mesej perpaduan kaum dan masyarakat majmuk di Malaysia.

Sumbangan dua lagu runut nyanyian Aizat, 'Just One Boy' dan 'I Go' hasil ciptaan dan penulis lirik, Pete Teo dalam filem keenam Yasmin itu, begitu membanggakan penyanyi dan komposer muda itu berikutan kejayaan dipilih selaku Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM 22) di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Penyanyi kelahiran Raub, Pahang atau nama sebenar, Muhammad Aizat Amdan, bekas pelajar Akademi Fantasia 5 itu menyifatkan banyak perkara boleh dipelajari untuk mengembangkan bakatnya, sejak lagu itu digunakan dalam filem Talentime.

Hingga ke saat ini, Aizat harap dapat mengikut jejak Yasmin kerana filemnya pernah ditayangkan di pentas antarabangsa seperti di Berlin, San Francisco, Singapura dan Cannes, membuktikan kerja-kerasnya mendapat pengiktirafan.

Sumbangan dua lagu itu membuat Aizat terharu kerana arwah sentiasa ada mesej tertentu dalam filem arahannya. Semangat dedikasi dan keikhlasan Yasmin dapat dilihat kerana beliau berminat tinggi terhadap sesuatu dilakukannya.

"Sebaik menerima tawaran lagu saya akan digunakan, saya sangat gembira kerana arwah mahu saya menyumbang nyanyian saya dalam filem Talentime. Hingga sekarang, saya masih dapat merasai sentuhan tersendiri dimiliki oleh Yasmin dan beliau menjadi rujukan inspirasi dan banyak filem dihasilkan membuktikan bakat beliau sebagai seorang insan seni yang kreatif.

"Berada di lokasi filem bersama Yasmin membuatkan saya yakin. Saya mahu mengikut jejaknya mencapai tahap terbaik dalam bidang saya ceburi sekarang. Kini saya faham perangai, perwatakan dan semangat dimilikinya.

"Paling menyeronokkan, arwah mudah didekati, tidak rumit, tidak mengikut emosi, berfikiran terbuka dan suka berbincang mengatasi masalah wujud bagi mendapatkan keputusan terbaik.


"Bagaimanapun, saya terharu kerana ia kerjasama pertama dan terakhir dan kelibat beliau tiada lagi dalam industri filem kita sekarang," kata Aizat sewaktu rakaman Akustika Raya di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, baru-baru ini.

Filem Talentime memaparkan kejayaan dan kepayahan, harapan dan putus asa dan mengandungi beberapa lagu yang mempunyai skor serta lirik ditulis dengan baik serta menampilkan banyak perwatakan berkualiti tinggi dan warna-warni.

Aizat, popular melalui lagu ciptaan sendiri, 'Lagu Kita' tidak mahu pernah putus asa dengan apa mahu dilakukannya.

Penyanyi memiliki syarikat produksi sendiri, Kasi Gegar Entertainment Sdn Bhd berkata: "Filem arahan Yasmin sentiasa menarik ditonton dan diketahui kerana sentiasa berbeza dengan yang lain. Ia mengajar erti kemanusiaan dan realiti persekitaran kita."

"Saya harap dapat terus meningkatkan aksi dan pencapaian dalam bidang saya seperti Yasmin. Lebih membanggakan, beliau tidak mencipta kejayaan bagi tujuan menjadikannya diri popular sebaliknya mahu memberi sumbangan kepada masyarakat. Perkara seperti ini patut dicontohi.

"Beliau tidak lokek ilmu dan sentiasa mencari pembaharuan terhadap sesuatu mahu diketengahkan," kata Aizat.

'Param rakan istimewa'

'Param rakan istimewa'

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
JUMAAT lalu dunia seni kehilangan seorang lagi permata yang tidak ternilai. Kebolehan sebagai pelakon dan pelawak P Paramasivam, 55, atau lebih dikenali sebagai Param sememangnya sukar dicari ganti.

Pelakon yang popular menerusi siri Hang Setia itu meninggal dunia akibat sakit jantung ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Setia ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 6 pagi, Jumaat lalu.

Kebolehan dan penampilan istimewanya sering menghiburkan ramai. Kemunculannya di televisyen memberi tarikan tersendiri. Malah peribadinya cukup disenangi rakan artis tidak terkecuali pelakon dan pelawak, Hamid Gurkha, Norlia Ghani dan Datuk Yahaya Sulong.

Bagi Hamid Gurkha, berita kematian Param yang juga disifatkan rakan rapatnya itu adalah kehilangan besar buat dunia seni malah tiada galang ganti.

"Dia antara individu yang berbakat. Bukan hanya dalam lakonan atau melawak, dia juga berkebolehan menyanyi. Saya cukup kagum dengan kebolehannya bertutur bahasa Melayu dan loghat Negeri Sembilan dengan baik walaupun berketurunan India. Memang jarang kita dapat lihat individu yang mempunyai perwatakan sepertinya.

"Saya masih ingat ketika pertama kali bertemu dengannya apabila menjayakan persembahan di Tampin, Negeri Sembilan. Pada waktu itu, dia belum bergelar artis. Bagaimanapun, ketika persembahan saya bersama Datuk Jamali Shadat, kami memanggil beberapa penonton. Ketika itu kami lihat bakat seni Param," katanya.

Hamid yang berpeluang berlakon bersama Param menerusi beberapa filem dan drama RTM seperti Hang Setia mengakui, mendiang seorang yang baik hati dan pandai menghormati orang.

"Setiap kali bertemu dengannya, dia sentiasa memanggil saya abang. Kali terakhir kami bertemu ketika menghadiri satu majlis anjuran Persatuan Karyawan di Finas, Hulu Klang awal tahun ini. Ketika itu, saya masih boleh bergurau dan menasihatkannya supaya makan ubat untuk kembali sihat.

"Begitupun, dia yang ketika itu sudah menggunakan kerusi roda memaklumkan menghidap penyakit jantung dan memerlukan bantuan untuk bergerak. Dia pernah memaklumkan untuk kembali berlakon, namun disebabkan keadaannya itu dia terpaksa memendamkan hasratnya itu," katanya.

Pelakon dan pelawak veteran, Yahaya Sulong sedikit terkilan kerana tidak dapat bertemu dan menatap wajah rakannya sebelum dikebumikan. Baginya, mendiang seorang individu istimewa dan suka melawak.

"Dia memang istimewa dengan fizikal dan gayanya tersendiri. Saya terkilan juga kerana tidak dapat melawat sebelum dia dikebumikan disebabkan sibuk dengan beberapa perkara. Begitupun, saya tetap akan menziarah waris atau saudara-maranya selepas ini," katanya.

Sepanjang mengenali Param, antara pengalaman manis dilalui bersama ialah ketika menjayakan persembahan di fun fair suatu ketika dulu. Walaupun menjayakan persembahan di fun fair, kadangkala mereka tidak diberikan bayaran.

"Memang kelakar kalau diingatkan balik peristiwa itu. Kami ke fun fair untuk melakukan persembahan dan membuat lawak. Begitupun, persembahan kami itu tidak dibayar tauke fun fair. Perkara itu menyebabkan Param antara artis yang naik angin dan marah. Reaksinya ketika itu membuatkan ramai rakan ketawa melihat gelagatnya.

"Bukan sehari dua saya mengenalinya malah puluhan tahun kami berkawan dan sering bergandingan dalam beberapa program. Kematiannya satu kehilangan besar dalam dunia seni," kata Yahaya yang kali terakhir bertemu Param ketika menjadi tetamu episod akhir Gelanggang Raja Lawak musim ketiga, Mac lalu.

Sementara itu, Norlia Ghani yang memanggil Param dengan gelaran 'budak' turut bersedih dengan kematian seorang rakan seangkatannya itu. Sejak mengenalinya sekitar 80-an, akui Norlia, mereka ibarat adik-beradik dan keluarga baginya.

"Dulu kami dan kru yang terbabit dalam siri Hang Setia memang akrab bagai satu keluarga disebabkan tempoh penggambaran yang agak panjang. Hampir semua aktiviti dilakukan bersama. Bukan hanya babak lakonan malah kami juga melakukan latihan bersama setiap kali sebelum penggambaran.

"Kami memang kerap bertemu dulu. Begitupun, selepas jatuh sakit kami jarang bertemu. Awal tahun ini saya ada bertemu dengannya dan mendapati ketika itu dia sudah menggunakan kerusi roda.

"Kalau dia ada, pasti riuh dibuatnya. Sama ada ketika atau di luar penggambaran, dia memang baik serta cepat mesra dengan orang ramai. Saya seronok dan bangga dapat bekerjasama dengannya," katanya.

Malah Norlia turut meluahkan perasaan terkilannya kerana sejak kebelakangan ini dunia seni ibarat melupakan jasa orang lama. Malah golongan itu juga jarang diberi peluang untuk tampil di pentas persembahan, festival dan lakonan.

Mendiang Param menghidap sakit jantung sejak 1992 dan pernah mengalami kecederaan tulang belakang akibat terjatuh dalam kemalangan lebih dua tahun lalu. Bagaimanapun, Param tidak aktif berlakon sejak mengalami masalah kesihatan dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Param memulakan karier seni bersama RTM Melaka pada 1976, ketika masih berkhidmat dengan Pejabat Belia di Tampin.

Sepanjang terbabit dalam lakonan, Param membintangi lebih 25 filem dan 40 drama antaranya filem Si Badul, Penagih Dadah, Panglima Badul, Si Luncai, Anak Tunggal dan Penyamun Tarbus. Drama Hang Setia yang ditayangkan di RTM sejak 1988 selama empat tahun antara drama yang melonjak namanya.

PILIH KASIH : 'Sejauh Kuala Lumpur - New York'

'Sejauh Kuala Lumpur - New York'

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

JANGKAAN penonton untuk menentukan juara program realiti Pilih Kasih menerusi undian SMS bukanlah keputusan muktamad. Sebaliknya, Muhammad Iqbal Mazlan yang menduduki tangga ke-10 dengan jumlah SMS 0.36 peratus membuktikan dia pelakon pilihan pelakon popular, Rosyam Nor yang dicari sejak 11 minggu program itu berlangsung.

Kemenangan Iqbal yang diumumkan juara musim pertama program itu memberi kejutan dan saingan sengit kepada sembilan peserta lain yang turut bertanding di peringkat akhir di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban, Negeri Sembilan.

Ketika peringkat akhir itu berlangsung malam kelmarin, setiap peserta diminta membuat persembahan menerusi tiga segmen berbeza iaitu drama, monolog dan pementasan teater muzikal.

Biarpun, persembahan peserta ini dilakukan secara berkumpulan, penilaian Rosyam bersama dua pengkritik undangan, pengarah Mamat Khalid dan Pensyarah Kanan, Jabatan Komunikasi, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah tetap menjurus pada persembahan individu.

Bagi persembahan Iqbal, Dr Abu Hassan menilai peserta berusia 20 tahun berasal dari Bagio, Filipina itu sebagai pelakon sempurna ketika beraksi depan khalayak.

Begitu juga dengan Mamat turut memuji persembahan Iqbal yang berjaya menyampaikan lakonan menerusi skrip dengan berkesan. Malah, Iqbal mempunyai penghayatan yang baik dalam membawa karakter dipersembahkan.

Iqbal yang ditemui selepas program itu berakhir berkata, dia bersyukur dengan kemenangan yang diraih, tetapi belum berpuas hati dengan mutu lakonan sendiri.

Katanya, pengalaman yang ditimba hampir tiga bulan terbabit dalam program terbitan bersama Suhan Movies & Trading Sdn Bhd dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu belum cukup untuk melayakkan dirinya menjadi pelakon yang baik.

"Memang banyak perkara yang saya belajar seperti aspek lakonan sepanjang menyertai program ini. Namun, pada saya tempoh pembelajaran itu belum cukup untuk saya menimba ilmu sebanyak mungkin.

"Saya percaya masih banyak perkara baru untuk menjadi pelakon terbaik perlu saya belajar. Selepas menjadi juara, buat masa ini saya bergantung dulu kepada keputusan Rosyam untuk menentukan perjalanan karier lakonan saya seterusnya.

"Jika berkesempatan, saya ingin belajar lebih banyak daripada Rosyam yang mempunyai pengalaman luas dalam lakonan filem dan drama. Mungkin apabila tiba masanya nanti, saya akan berdikari sendiri," katanya.

Juara Pilih Kasih menerima hadiah kereta Naza Suria dan wang tunai RM10,000. Turut memberikan perangsang, Iqbal menerima biasiswa tajaan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Iqbal yang menjadikan Rosyam, Abu Bakar Omar dan Jay Chow sebagai idola berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang lakonan dengan biasiswa yang diterima. Mungkin tidak ramai yang tahu, Iqbal sebelum ini pernah berlakon dengan watak pembantu menerusi beberapa drama seperti Sofia Zahra.

"Saya tidak ambil pengalaman lakonan sebelum ini sebagai kelebihan untuk menjadi juara. Saya baru berlakon sejak setahun lalu dan menyifatkan perjalanan karier seni masih jauh seperti jarak antara Kuala Lumpur dengan New York .

"Sebenarnya, pada minggu awal saya menyertai program ini, saya tidak berpuas hati dengan mutu lakonan sendiri. Saya berasakan pergerakan terhad dan teragak-agak untuk berlakon.

"Sehinggalah mendapat tunjuk ajar daripada Erma Fatima selaku guru pementasan teater muzikal, Rohani Yusoff (guru seni lakon) dan Rosminah Tahir (guru monolog), lakonan saya menunjukkan peningkatan," katanya.

Berkongsi kegembiraan di tempat kedua, Mohamad Ridzuan Hasbullah atau Reza Hasbi dengan undian keseluruhan 36.27 peratus diikuti pemenang ketiga, Abdul Hafiz Abdul Alim atau Indera Hafiz (31.59 peratus), Nabilah Ali Dally atau Nabila Dally (28.45 peratus) dan Nur Raihan Mat Zaki atau Wanina Zaki (26.67 peratus).

Lima lagi finalis Pilih Kasih ialah Zulin Aziz, Bea Rameshan, Diwan Nawi, Sofian Bujang dan Fiona Benard. Wanina turut menang Pelakon Wanita Terbaik manakala kategori lelaki diberikan kepada Sofian. Setiap peserta dinilai menerusi 50 peratus keputusan SMS penonton dan selebihnya diputuskan Rosyam selaku penerbit eksekutif.

Bagi Rosyam, dia tidak melihat faktor undian SMS penonton mempengaruhi keputusan peribadinya untuk memilih juara hingga pemenang kelima. Dalam membuat keputusan, dia turut mengambil kira pandangan pengkritik dalam membantu menilai lakonan setiap peserta.

Namun, ketika keputusan diumumkan, pengacara Raja Azura bersama Reza Mohamad terlebih dulu menyatakan keputusan SMS peserta yang ingin diumumkan sebagai pemenang dan tindakan itu dianggap tidak lagi memberi kejutan pada penonton.

"Saya akui itu kesilapan program ini kerana mengumumkan keputusan SMS terlebih dulu. Bagaimanapun, keputusan yang saya buat berdasarkan lakonan dari segmen berbeza iaitu drama, monolog dan pementasan teater muzikal.

"Secara keseluruhan, pencarian pelakon yang saya cari adalah mengikut pengalaman saya sebagai pelakon sejak lebih 25 tahun lalu. Perancangan selepas ini, semua pemenang akan terbabit dengan beberapa projek drama baru seperti drama khas Aidilfitri dan drama 26 episod iaitu Inspirasi Variasi yang menampilkan konsep seperti drama High School Musical.

"Untuk pemenang Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik, mereka juga akan berlakon dibawah Erma dalam satu drama baru yang akan diumumkan nanti. Saya juga bercadang mengambil semua 20 peserta akhir ini berlakon dalam satu filem terbitan bersama produksi saya dengan RTM.

"Perkara itu akan dibincang kemudian. Mengikut jumlah SMS penonton, saya beranggapan peserta program ini belum capai tahap 'kegilaan' ramai peminat.

"Sebelum ini, saya pernah lepaskan mereka pergi membeli-belah sendirian, tetapi khalayak belum cukup mengenali mereka. Mereka belum mendapat publisiti meluas di akhbar dan belum memenangi hati wartawan.

"Apa yang saya harapkan, mereka lebih utamakan disiplin untuk berjaya berbanding paras rupa. Mereka juga perlu bijak berdikari selepas ini untuk membina karier seni sendiri," katanya.

Ketika program ini berlangsung, Rosyam turut menyatakan program itu akan disambung dalam musim kedua pada masa akan datang.

Reza pula berkata, dia tidak kecewa dengan kekalahan di tangan Iqbal untuk bergelar juara walaupun menduduki tangga pertama ketika undian SMS penonton diumumkan terlebih dulu. Peserta berasal dari Taiping, Perak ini berazam membaiki diri dari aspek lakonan pada masa datang.

"Walaupun undi SMS saya tinggi, tetapi itu adalah pilihan peminat. Saya terbuka dalam menerima keputusan ini.

"Bagi saya, cabaran paling sukar adalah untuk segmen monolog. Sejak menyertai program ini, saya tidak mempunyai sebarang pengalaman berlakon, tetapi kini saya gembira dengan ilmu yang saya terima.

"Selepas ini, saya tidak mahu terburu-buru dalam mengejar impian menjadi pelakon berjaya. Sebaliknya, saya akan pertimbangkan tawaran yang hadir dan buat keputusan dengan bijak," katanya.

Keputusan:

Juara: Muhammad Iqbal Mazlan

Kedua: Mohamad Ridzuan Hasbullah (Reza Hasbi)

Ketiga: Abdul Hafiz Abdul Alim (Indera Hafiz)

Keempat: Nabilah Ali Dally (Nabila Dally)

Kelima: Nur Raihan Mat Zaki (Wanina Zaki)

Pelakon Lelaki Terbaik: Mohamad Sofian Bujang

Pelakon Wanita Terbaik: Nur Raihan Mat Zaki (Wanina Zaki)

Hollywood: Tak tumpang nama isteri

Hollywood: Tak tumpang nama isteri

Susunan Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

BUKAN suatu masalah bagi bintang Hollywood untuk melakonkan babak ranjang dengan pasangan mereka di depan kamera. Bagaimanapun, apabila perkara itu dilakukan aktor Ryan Reynolds, 32, bersama Sandra Bullock dalam The Proposal, tentunya mengundang kejutan buat peminat.

Ini kerana Reynolds baru saja melangsungkan perkahwinan dengan Scarlett Johannson, 24, pada 27 September tahun lalu. Sudah pasti pengakuan Reynolds mengatakan seronok melakukan babak panas itu dengan Sandra mengejutkan.

Kata Reynolds, Scarlett seorang yang bersikap terbuka, malah tidak bimbang untuk membawa isterinya itu menyaksikan The Proposal ketika tayangan perdananya.

“Scarlett hanya tersenyum dan seperti tidak percaya saya mampu melakukan seperti itu. Saya juga pernah berbincang dengannya mengenai babak itu tetapi dia enggan mengulas lanjut.

“Tapi kata Scarlett, dia tetap yakin pada cinta saya. Terus terang, memang Scarlett satu-satunya wanita yang saya cintai dan gembira dapat memilikinya.

“Sepanjang perkahwinan kami, dia juga tidak mengongkong saya. Barangkali karier sebagai bintang filem membuatkan kami begitu memahami antara satu sama lain. Malah, jika diikutkan pun, Scarlett sudah lebih cemerlang daripada saya,” katanya.

Reynolds sebelum ini pernah dikaitkan dengan aktres Rachael Leigh Cook awal 2001, kemudian bertunang dengan penyanyi Alanis Morissette pada Jun 2004 selepas bercinta dua tahun dan berpisah Jun 2006.

Mula membina nama menerusi sitkom televisyen popular, Two Guys And A Girl sejak 1998 hingga 2001, Ryan menolak sepenuhnya kejayaan diraih kini bersandarkan nama isteri. Katanya, antara mereka masing-masing memiliki bakat tersendiri.

“Setakat ini pun, Scarlett tidak pernah mendabik dada. Sebagai suami dan isteri, kami saling menghormati satu sama lain. Disebabkan itu, kami juga tidak pernah bertengkar soal kerja. Jauh sekali, membandingkan siapa antara kami yang lebih hebat.

“Oleh itu, saya harap pujian saya pada tubuh Bullock tidak di salah erti. Bagi saya, ia sekadar pandangan rakan sesama pelakon dan tidak sedikit pun terpalit perasaan istimewa. Yang jelasnya, saya sudah temui cinta sejati bersama Scarlett,” katanya.

Menyentuh mengenai perancangan keluarga, Reynolds berkata, dia dan Scarlett mengimpikan memiliki zuriat sendiri. Bagaimanapun, hingga kini mereka masih belum berpeluang. Menurutnya, kesibukan pada karier menyebabkan masa mereka terhad.

“Kami masih intim seperti ketika hangat bercinta dulu. Namun, kami masih belum berjaya memiliki anak sampai sekarang. Apapun, antara kami tidak pernah merancang, apatah lagi menolak kerana usia Scarlett yang masih muda.

“Dalam hubungan perkahwinan, kami percaya kehadiran cahaya mata sangat penting. Lebih-lebih lagi, apabila mendapati senario keretakan rumah tangga yang berlaku di kalangan selebriti terkenal Hollywood berpunca daripada ketiadaan anak,” katanya.

Turut beraksi hebat dalam filem X-Men Origins: Wolverine yang ditayangkan di pawagam seluruh dunia tahun ini, Ryan mengakui semakin yakin dengan tahap kemampuan lakonannya.

Kata Reynolds, dia tidak gentar untuk melakonkan apa saja watak.

Ryan Reynolds 'panas'

Reynolds 'panas'

BERBEKALKAN susuk tubuh sasa dan wajah kacak, wanita mana yang tidak menyimpan perasaan terhadapnya. Namun, apa yang pasti 'cinta' aktor popular Hollywood, Ryan Reynolds, 32, sudah sah menjadi milik aktres, Scarlett Johannson, 24, sejak tahun lalu.

Berkahwin dalam satu majlis tertutup dihadiri keluarga dan kenalan rapat pada 27 September 2008, nyata keputusan tepat buat pasangan sejoli ini. Waktu sama, Reynolds mahu membina kerjaya lakonan dan kini semakin dikenali menerusi filem lakonannya bersama Sandra Bullock, The Proposal.

Malah, dengan berani aktor kelahiran Kanada itu mengeluarkan kenyataan sangat menyukai babak ranjangnya bersama Sandra dalam filem itu. Katanya, dia sangat seronok dan sudah membuat yang terbaik untuk watak sebagai Andrew Paxton.

"Pengalaman berlakon dengan Bullock memang hebat. Bahkan, dia wanita yang sangat berani pernah saya temui. Tidak dinafikan, saya begitu kagum dengannya dan sebagai lelaki, diakui juga bentuk tubuhnya sungguh menawan dan mengiurkan.

"Saya berkata begini kerana pengalaman berlakon dengan Bullock dalam The Proposal cukup merapatkan hubungan kami. Lebih-lebih lagi apabila melakonkan babak 'panas' di ranjang itu membuatkan saya sedar betapa dia (Sandra) sangat berpengalaman.

"Dalam soal ini, saya beranggapan Bullock seorang rakan artis yang senang didampingi. Malah, dia juga boleh bekerjasama dengan semua orang dengan baik serta suka berbincang. Jadi, gandingan kami dalam The Proposal memang tepat," katanya.

>Profil

NAMA SEBENAR: Ryan Rodney Reynolds

PANGGILAN KOMERSIAL: Ryan Reynolds

TARIKH LAHIR: 23 Oktober 1976

TEMPAT LAHIR: Vancouver, Kanada

TINGGI: 188 sm

ADIK-BERADIK: Anak bongsu daripada empat beradik lelaki

STATUS: Berkahwin (27 September 2008)

ISTERI: Scarlett Johansson

KARIER: Pelakon

SIRI TV POPULAR: Antaranya Fifteen, The Odyssey, The Outer Limits, The X-Files, The John Larroquette Show, Two Guys And A Girl, Scrubs & My Boys.

FILEM: Antaranya School Of Life, The Amityville Horror, Waiting..., Just Friends, Smokin' Aces, The Nine, Chaos Theory, Definitely, Maybe, Fireflies In The Garden, Adventure, X-Men Origins: Wolverine, The Proposal & Paper Man.

PENCAPAIAN: Anugerah Young Hollywood (2003), Anugerah Teen Choice (2005)

Monday, August 17, 2009

HIBURAN : ISNIN 17 OGOS 2009


Hentikan spekulasi negatif tentang kami – Akhil Hayy
KUALA LUMPUR 16 Ogos – Penceramah bebas dan penyanyi nasyid terkenal,Akhil Hayy, 40, yang menikahi penyanyi dan pelakon, Waheeda, 30, mahusegala spekulasi negatif tentang mereka segera dihentikan.


Iqbal Mazlan juara program realiti Pilih Kasih
SEREMBAN 16 Ogos - Muhammad Iqbal Mazlan muncul juara sulung programrealiti televisyen Pilih Kasih yang berlangsung di Kompleks PenyiaranTuanku Muhammad, Sungai Gadut di sini malam ini.

Akhil Hayy, Waheeda akhiri kontroversi
KUALAKUBU BARU: Selepas melalui beberapa episod penafian mengenai hubungancinta rahsia, pengacara Akhil Hayy, 40, dan pasangannya, penyanyiWaheeda, 30, selamat diijabkabulkan di Masjid Jamek Ar-Rahimah, disini, semalam.






Farid, Lisa ikon romantik?
DAHULUNYA, dua insan popular ini pernah dikaitkan sebagai pasangan yangsedang mengait buih-buih cinta. Sering dilihat bersama ketikamenghadiri majlis-majlis tertentu, ia seakan menguatkan andaianpelbagai pihak yang mereka sebenarnya punyai perasaan cinta antara satusama lain.


Perginya seorang pejuang nasyid
SETIAPpagi, seperti biasa sebelum melangkah keluar dari rumah untuk kepejabat, Mohamad Asri Ibrahim dibekalkan erat pelukan isteri yangmengiringinya hingga ke pintu sambil mengucup tangan sebagai doa agarperjalanan suami selamat pergi dan kembali.


Astro tawan penonton Melayu
STESEN berbayar terulung negara, Astro sentiasa hadir denganpembaharuan yang kreatif dalam menjaga hati pelanggan setianya.Baru-baru ini, Astro hadir dengan pakej baru iaitu pakej Mustika demimemenuhi permintaan pelanggan Melayu yang kian bertambah.


Kak Yong kecewa tiada rancangan kanak-kanak
BAGI kanak-kanak yang pernah membesar dengan rancangan Permintaan ApaItu? yang ke udara di Rangkaian Nasional (RTM) setiap Sabtu pukul 9.30pagi suatu ketika dahulu, nama Kak Yong tentu tidak asing lagi bagimereka.








India minta penjelasan AS
BIKANER - Pemerintah India akan menuntut jawapan berhubung isupenahanan pelakon terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan (gambar) di sebuahlapangan terbang di Newark, Amerika Syarikat (AS) kepada pentadbiranAS, kata Menteri Penerbangan Awam, Praful Patel semalam.


Cinta Akhil, Waheeda datang sendiri
Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila penceramah bebas dan hos saluranOasis, Akhil Hayy akhirnya bernikah dengan penyanyi dan pelakon Waheedaatau nama sebenarnya Nor Wahidah Abdul Wahab.

Rahsia langsing Jennifer
Betulkah sampai macam itu sekali untuk kurus? Pelakon jelita yang jugabekas bintang siri komedi Friends, Jennifer Aniston mendedahkan yangrutin senamannya dilakukan pada pukul 3 pagi setiap hari.

Tarantula cari Leona
Penyanyi Leona Lewis nyaris menjadi mangsa gigitan tarantula baru-baruini dalam satu sesi penggambaran di Malibu, Amerika Syarikat.


MLTR mahu terus hidup!
MASIHingat lagi kali terakhir kumpulan popular Micheal Learns To Rockmengadakan konsert di Malaysia pada tahun 2007. Ia bagaikan sebuahpusat karaoke besar apabila setiap bait-bait lagu yang dialunkan merekadisambut dengan nyanyian bersama peminat-peminat.


Jessica Simpson jadi geisha di Jepun
TOKYO - Penyanyi dan pelakon terkenal, Jessica Simpson memakai kostumgeisha ketika dia berada di Jepun, lapor sebuah akhbar kelmarin.


Pelakon ditangkap kerana kokain
LONDON - Pelakon terkenal di Britain, Holly McGuire (gambar) ditangkapselepas polis menemui kokain bernilai lebih £150,000 (RM872,540) dansejumlah pokok kanabis di sebuah rumah, lapor sebuah akhbar semalam.

Brad Pitt tidak lagi hisap ganja
LOS ANGELES - Pelakon terkenal, Brad Pitt mengaku dia tidak lagimenghisap ganja selepas dia menjadi bapa beberapa tahun lalu, laporsebuah akhbar semalam.


Timberlake bergaya dengan Harley Davidson
LOSANGELES - Tidak disangkal lagi bahawa penyanyi Justin Timberlake akanmenyebabkan ramai gadis tertawan dengannya setelah dia memakai jaketkulit dan menunggang motosikal, lapor sebuah akhbar semalam.








Penangan Nur Kasih
JODOHRemy Ishak dan Tiz Zaqyah dalam skrin memang kuat. Setelah digandingkandalam telefilem Bernafas Dalam Lumpur arahan Pengarah Harapan FestivalFilem Malaysia ke-22, James Lee pada 2007, mereka kembali disatukandalam drama penuh emosi dan meruntun jiwa, Nur Kasih.

16 skrip teater pendek bersaing
SEBANYAK16 karya skrip teater pendek akan bersaing dalam Festival Teater PendekAnugerah Merdeka anjuran Merdeka Award dengan kerjasama Dewan Bahasadan Pustaka (DBP) bermula malam ini.

Semangat Asri tidak mati
"BERDOALAHbanyak-banyak seolah-olah kita tidak akan berjumpa Ramadan tahun ini,"tazkirah yang disampaikan Allahyarham Mohd Asri Ibrahim, vokalis utamakumpulan nasyid Rabbani ketika menghadiri majlis sidang media RendaRamadan TV3 di Masjid Al-Bukhary, Jalan Hang Tuah, hampir dua minggulalu itu seakan-akan satu kiasan bahawa dia akan pergi buatselama-lamanya.

Impikan anak kembar lelaki
DENGANsekali lafaz saja, Mohd Faizal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajaisah menjadi suami kepada bekas pengurus artis Maestro Talent, NorlizaMohd Ilias selepas menyemai cinta selama tiga tahun dan tarikh 15 Ogos2009 akan menjadi tarikh keramat percintaan merpati dua sejoli yangdibina atas dasar kasih dan sayang.

Dengarnya...: Stesen TV tak hargai sumbangan Ustaz Asri?
TAKZIAHkepada keluarga pemimpin dan vokalis utama kumpulan Rabbani, Mohd AsriIbrahim di atas kepulangannya ke Rahmatullah pada pagi Khamis lalu.

Dengarnya...: Awan Dania kembali untuk musim kedua
BERITAbaik buat penggemar Awan Dania yang bersiaran di Astro Ria, drama iniakan menemui penonton tak lama lagi untuk sambungannya. Ketika inipenggambaran sedang rancak dijalankan hingga ke bulan puasa nanti.Azizi 'Chunk' yang akan memikul tugas sebagai pengarah seperti musimlalu.

Dengarnya...: Cara UNIC pikat remaja berpuasa
INSYA-Allahpada 22 hingga 23 Ogos ketika kita sedang menyambut Ramadan al-Mubarak,kumpulan nasyid UNIC akan menganjurkan sebuah aktiviti dipanggil KemSyoknya Puasa Bersama UNIC. Kem ini akan dijalankan di Teratak HijjazCountry Resort, Sungai Merab, Bangi.

1 ..2 Jus! musim ketiga kembali ceriakan ntv7
PERMAINANzaman kanak-kanak semua, 1..2.. Jus! kembali menemui penonton denganmusim baru yang lebih menyengat. Saksikan aksi nakal dan sifatkeanak-anakan terpendam selebriti ini di 1..2.. Jus! musim ketiga,setiap Jumaat pada 8.31 malam mulai 14 Ogos 2009 hanya di Saluran CeriaAnda.







Bintang bersinar semula
KETIKA nama berada di puncak, Siti Sarah Raisuddin, 25, dirundungkontroversi lalu bintang yang bersinar terang itu pudar dan langsunghilang dari penglihatan. Pun begitu mereka yang tidak pernah berputusasa, pasti Allah SWT membuka jalan kepadanya untuk membina semula hidupbaru.

Penangan badan besi
"MANA badan besi," ujar seorang kakitangan New Straits Times Press(Malaysia) Berhad kepada pelakon kacak, Kamal Adli, 23, sewaktu merekabertembung di dalam lif.

Ajai mahu kembar lelaki
SIFAT lemah lembut dalam diri seorang gadis yang dikenali sejak tigatahun lalu menambat hati komposer, penulis lirik dan penyanyi, MohdFaizal Maas (Ajai), 35, untuk memilihnya sebagai isteri.

Syahadah jelajah 5 negara
NAMA pelik seperti Popostan dan Gohead Gostan pernah didengarpenonton melalui filem komedi, Tiga Abdul arahan Allahyarham Tan Sri PRamlee.

Taruhan kedua Chandra
KEHADIRAN ramai penyanyi Indonesia ke negara ini memberikan pelbagaipersepsi pada masyarakat. Ada yang menganggap senario ini 'membunuh'artis tempatan yang masih sukar menjual album mereka. Bagaimanapun,secara positif perkembangan ini memberi pilihan pada peminat tempatanmendapatkan muzik dari luar negara yang berpotensi meraih sambutan disini.

Depan Mata: Ramah Asri masih terbayang
CUMA berselang tiga minggu, dunia seni kehilangan dua insan yanggigih memperjuangkan impian dan harapan mereka dalam bidang berbeza.Kematian mereka cukup mengejutkan tetapi tersebar dengan cepatnyasebaik pengsan di lokasi strategik di stesen televisyen.

Soseh Soseh: Nieyl dapat cahaya mata perempuan
BELUMPUN 2009 melabuhkan tirainya, SS dapati 2009 ini penuhwarna-warni. Cerita suka dan duka silih berganti. Berita bahagiamembuatkan kita ketawa dan yang sedih tentulah berjurai air mata.

Soseh Soseh: Pelakon saudara baru jaga solat
SEBAGAI umat Islam, menjadi kewajipan kita untuk saling mengingatiterutama solat lima waktu. Dapat juga kita berkongsi pahala sesamamanusia.

Rezeki dua anak
KEMPEN Lagu Berduit Suria FM yang mendapat kerjasama One DropPerfumes sudahpun tiba ke kemuncaknya Jumaat lalu apabila hadiahRM50,000 menjadi milik ibu tunggal dari Kota Bharu, Kelantan, IdaSharihanim Shaari, 33.

Shah Rukh Khan : India minta penjelasan AS

India minta penjelasan AS


Shah Rukh Khan


BIKANER - Pemerintah India akan menuntut jawapan berhubung isu penahanan pelakon terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan (gambar) di sebuah lapangan terbang di Newark, Amerika Syarikat (AS) kepada pentadbiran AS, kata Menteri Penerbangan Awam, Praful Patel semalam.

Menurutnya, insiden penahanan Shah Rukh oleh pegawai-pegawai imigresen AS untuk disoal siasat kerana mempunyai nama bercirikan Islam itu tidak wajar berlaku.

"Kami akan mengemukakan isu itu kepada pemerintah AS.

"Insiden yang melibatkan rakyat India berhubung agama atau kewarganegaraan mereka tidak sepatutnya berlaku.


SEORANG peminat Shah Rukh menjerit slogan anti-Amerika Syarikat di Allahabad, India semalam.


"Kami tidak dapat menerimanya," katanya.

Campur tangan menteri itu berlaku selepas beberapa buah akhbar di India memprotes layanan yang diberikan terhadap Shah Rukh di AS.

Sebuah akhbar berbahasa Hindi, Dainik Jagran menyiarkan tajuk muka depan yang menyatakan kemarahan kerana Shah Rukh diaibkan.

Sebuah akhbar di negara itu, Mail Today turut mengisytiharkan penghinaan agama yang dialami bintang Bollywood tersebut sebagai mengejutkan India.

Bagaimanapun, beberapa pegawai AS menyatakan Shah Rukh menjalani pemeriksaan rutin ketika dia tiba di AS pada Jumaat lalu.


BEBERAPA peminat Shah Rukh membakar bendera Amerika Syarikat di Allahabad, India semalam.


Pelakon terkenal yang mempunyai ramai peminat itu ditahan selama dua jam di lapangan terbang itu kerana nama Khan yang digunakannya terdapat dalam senarai orang yang perlu diperiksa.

Agensi berita Press Trust of India melaporkan patung Presiden AS, Barack Obama dibakar di bandar raya Allahabad bagi membantah penahanan Shah Rukh.

Dua AS ke India, Timothy Roemer bertindak menenangkan keadaan apabila mengeluarkan satu kenyataan kelmarin dengan menganggap Shah Rukh sebagai ikon global dan kedatangannya dialu-alukan di AS. - Agensi

Cinta Akhil, Waheeda datang sendiri

Cinta Akhil, Waheeda datang sendiri


Akhil dan Waheeda berharap pernikahan mereka mampu menoktahkan nista khalayak sebelum ini.



PASANGAN pengantin baru tersenyum manis selepas sah bergelar suami isteri.


Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila penceramah bebas dan hos saluran Oasis, Akhil Hayy akhirnya bernikah dengan penyanyi dan pelakon Waheeda atau nama sebenarnya Nor Wahidah Abdul Wahab.

Hubungan mereka sudah lama dihidu media dan khalayak. Apa lagi gosip cinta mereka tidak pernah surut sejak setahun lalu. Mereka bukan sekadar dikatakan bercinta malah sempat didakwa sudah berkahwin. Namun, kedua-duanya tegas menafikan khabar angin tersebut.

Sehinggalah bekas isteri Akhil, Maizawati Zainal, 33, tampil ke hadapan bercerita tentang kepincangan rumah tangganya pada tanggal 16 Julai, perkahwinan Akhil dan Waheeda adalah berita yang ditunggu-tunggu banyak pihak yang mahu melihat kesudahan telenovela mereka.

Ironinya, Akhil berkahwin baru dalam tempoh genap sebulan bergelar duda. Perkahwinan dia dan Waheeda juga seperti mengesahkan bahawa mereka memang punya hubungan luar biasa sebelum ini. Jika tidak, masakan Akhil boleh terus memilih Waheeda untuk berkahwin semula dalam jangka waktu yang singkat.

"Ini soal jodoh. Kita tidak boleh hendak cakap singkat atau lambat jangka waktu saya menduda. Ada juga orang yang baru bercerai hari ini, sudah berkahwin baru pada keesokan harinya," katanya yang turut memberitahu perkahwinan mereka adalah doa daripada semua pihak yang selama ini mengikuti kontroversi mereka.

Tambah Akhil, penyatuan mereka hanya berpandukan senaskhah al-Quran sebagai pegangan hidup yang menutup spekulasi yang menjalar sejak lebih setahun lalu. Ia juga bukti mereka tidak pernah berkahwin.

Akhil yang hanya membuat perancangan seminggu untuk bernikah berkata: "Hari ini adalah bukti kami tidak pernah berkahwin. Saya harap ia juga penutup spekulasi hubungan kami yang digembar-gemburkan banyak pihak selama ini."

Tidak lagi berdolak-dalik seperti sebelum ini, Akhil yang segak berbaju Melayu putih juga membuka kisah cinta mereka secara kiasan.

Pertama sekali, tegas Akhil, sejak dahulu, dia memang tidak pernah menafikan mempunyai hubungan yang baik dengan penyanyi yang hit dengan lagu Wassini itu sebaliknya dia menafikan bercinta dengan gadis itu.

Beritahu Akhil, dia mula rapat dengan Waheeda sejak dua tahun lalu. Sejak itu mereka berkawan baik.

Jelasnya: "Selama ini pun saya tidak pernah menafikan saya selesa berkawan dengan Waheeda tetapi saya nafikan kami bercinta. Allah yang menggerakkan perasaan kasih saya ke arah ini (perkahwinan) dan saya mengikut petunjuk Allah untuk mengambil Waheeda sebagai isteri saya."

Dijolok soalan tentang bibit cinta antara mereka, Akhil hanya mengulas ringkas. Katanya, mustahil dia berkahwin dengan Waheeda tanpa ada bibit cinta.

"Ia didorong perasaan cinta kepada wanita ini selepas Allah membuka pintu hati untuk menerima anugerah yang besar daripada Allah.

"Saya akan mencuba sedaya upaya untuk membimbing keluarga saya," katanya yang menerima ketentuan Ilahi itu dengan tangan terbuka.

Sementara bagi Waheeda yang kelihatan gembira dengan perkahwinan itu berkata, penyatuan mereka adalah hikmah terbesar dalam dugaan yang mereka tempuhi selama ini.

Malah, dia juga tidak peduli dengan nista yang sudah dan bakal melanda lagi selepas dia akhirnya berkahwin dengan bekas suami orang ini.

"Lantaklah orang hendak kata apa. Banyak benda yang lebih penting harus kita fikirkan daripada memikirkan tentang cakap-cakap orang.

"Apa yang penting saya memegang kata-kata daripada Dr. Fadzilah Kamsah bahawa ada hikmah yang besar menanti di sebalik dugaan yang saya lalui. Alhamdulillah, hari ini saya mendapat ganjaran tersebut," katanya.

Kejar rahmat Ramadan

Dinikahkan oleh Pendaftar Nikah Rujuk dan Cerai Hulu Selangor, Ustaz Zulkhairi Jaid di Masjid Jamek Al-Rahimah, Kuala Kubu Baharu, Selangor, dengan hanya sekali lafaz, Akhil memberitahu pernikahan yang dijalankan di kawasan desa itu bukan diadakan dengan tujuan untuk mengelak daripada media. Sebaliknya dia bersetuju untuk dinikahkan oleh Zulkhairi yang merupakan teman baiknya di masjid itu.

Ditanya tentang pemilihan tarikh nikah, kata Akhil, tiada signifikan pada tarikh 16 Ogos sebagai tarikh ijab kabul mereka. Tarikh tersebut dipilih kerana mereka mengejar rahmat Ramadan dan mahu menikmati rahmat tersebut sebagai pasangan suami isteri.

"Pada mulanya kami merancang untuk bernikah pada 21 Ogos iaitu sehari sebelum Ramadan. Saya mahu mengambil keberkatan malam Ramadan pertama.

"Bagaimanapun, selepas berbincang, kami awalkan seminggu pernikahan ini. Apa yang penting adalah kami mengejar rahmat Ramadan dalam sebuah keluarga baru," ujar Akhil.

Pernyataan tersebut disokong Waheeda dengan mengatakan: "Ia juga untuk anak-anak kami. Kami mahu anak-anak kami menyambut Ramadan dengan sebuah keluarga sempurna."

Ditanya tentang destinasi bulan madu, Waheeda memberitahu, tiada perancangan untuk meraikan cinta mereka yang akhirnya bersatu. Namun, katanya, cukup dengan kunjungan keluarga antara dia dan Akhil.

Kata Waheeda: "Kami akan mengeratkan hubungan antara dua keluarga dengan kunjungan kami nanti."

Pernikahan ini juga, kata Waheeda, menjadi penutup kepada kerjayanya. Dia mahu cuci tangan daripada bidang hiburan serta memberi komitmen sepenuh masa kepada anak-anak tirinya selain bersedia membina keluarga sendiri.

"Dengan pernikahan ini, saya sudah berhenti menjadi anak seni secara rasmi. Saya tidak mahu anak-anak dan keluarga saya terabai," katanya yang mahu membuka buku baru kehidupannya.

Semoga berbahagia


MAIZAWATI doakan kebahagiaan Akhil dan Waheeda.


Dari hujung corong telefon, bicaranya kedengaran bersahaja dan tenang. Tidak terlalu perlahan kesedihan dan tidak juga terlalu berdolak-dalik, meskipun wanita itu sudah boleh meneka soalan yang bakal diajukan kepadanya.

“Saya tahu kenapa. Tidak apalah, teruskan dengan soalan anda,” ujar Maizawati Zainal, 33, bekas isteri pendakwah selebriti dan penyanyi nasyid, Akhil Hayy ketika dihubungi Kosmo! petang semalam.

Mengakui hanya mengetahui mengenai majlis pernikahan Akhil dengan penyanyi Waheeda selepas dihujani beberapa panggilan telefon daripada wartawan pada sebelah pagi, Maizawati bersikap profesional tanpa mengelak pertanyaan media.

“Seperti yang saya katakan dahulu, peminat lebih tahu. Peminat sekarang sudah pandai, jadi tidak perlulah dinafikan sebelum ini,” ujarnya mengakui tetap mendoakan kebahagiaan Akhil dan Waheeda.

Tambah Maizawati, kalau boleh dia enggan lagi mengambil tahu tentang perjalanan bekas suaminya memandangkan mereka kini sudah berpisah.

“Biarlah, rasanya saya tidak perlu lagi mengambil tahu tentang dia (Akhil). Sejak awal tahun lagi memang dia sudah tidak memberitahu saya apa-apa,” ujarnya.

Menganggap apa yang dilaluinya hari ini sebagai takdir, Maizawati menjelaskan yang dia reda dengan ketentuan dan dugaan Yang Maha Esa.

“Saya percaya setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Tidak ada manusia yang sempurna. Mungkin dia (Akhil) ada kebenaran dan kesalahannya dan begitu juga saya.

“Kehidupan terpaksa diteruskan. Sebagai ibu tunggal dan anak kepada orang tua yang memerlukan sokongan saya, maka saya perlu berusaha gigih.

“Sebab itu saya perlu mencari rezeki untuk teruskan hidup,” katanya sambil memberitahu baru-baru ini dia dilantik Yayasan Pembangunan Nur Hikmah sebagai Duta Tudung Myza.

Enggan lagi bersedih mengenang keperitan hidup yang pernah dilaluinya, Maizawati juga berusaha membuat bisnes kek coklat bersama seorang kawan. Tidak ketinggalan wanita itu turut terlibat dengan bisnes jualan jubah Abaya yang dibawakan eksklusif dari Dubai.

Kepada yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang produk yang diusahakan Maizawati sila hubungi talian faks 05-547 2235.

Farid, Lisa ikon romantik?

Farid, Lisa ikon romantik?


Pernah dikaitkan bercinta, Lisa dan Farid menafikan bahawa mereka punyai perasaan cinta antara satu sama lain.


DAHULUNYA, dua insan popular ini pernah dikaitkan sebagai pasangan yang sedang mengait buih-buih cinta. Sering dilihat bersama ketika menghadiri majlis-majlis tertentu, ia seakan menguatkan andaian pelbagai pihak yang mereka sebenarnya punyai perasaan cinta antara satu sama lain.

Meski pernah menafikan dakwaan demi dakwaan yang muncul, masih ada yang tidak percaya akan penafian yang dilakukan.

Sehingga pada satu ketika, dakwaan itu semakin meluas. Secara tiba-tiba, terbit cerita yang mengatakan mereka sudah putus cinta.

Begitulah tanggapan yang dilakukan terhadap pelakon Lisa Surihani dan Farid Kamil.

Masakan tidak, mereka sebelum ini pernah digandingkan dalam tiga buah filem yang sedikit sebanyak menguatkan lagi ‘fitnah cinta’ dua anak seni ini.

Tiga filem berkenaan ialah I’m Not Single dan Rempit V3, terbitan MIG Production Sdn. Bhd. (MIG) serta Lagenda Budak Setan (terbitan Tarantella Pictures).

Malah, mereka berdua juga pernah berlakon bersama menerusi drama bersiri Tiga Janda.

Terbaru, Lisa dan Farid sekali lagi digandingkan dalam filem ke-37 terbitan MIG berjudul Semerah Cinta Stileto.

Diarahkan oleh Ahmad Idham Ahmad Nadzri, menerusi filem komedi romantik itu, Farid yang memegang watak Leto manakala Lisa (Stila) terjebak dalam cinta antara dua darjat.

Gandingan ini pantas ditafsirkan oleh orang nombor satu dalam MIG iaitu David Teo sebagai gandingan yang cukup secocok.

Mahu menjadikan Lisa dan Farid sebagai ikon pasangan romantik, David menjelaskan bahawa mereka sememangnya serasi tatkala dilihat dalam filem.

Bak Ali Setan yang sehingga kini masih diingati dengan gandingan mantap Fauziah Ahmad Daud dan Azmil Mustapha, Lisa serta Farid bagaimanapun punyai alasan tersendiri mengapa mereka cukup serasi ketika beraksi di pentas lakonan.

Saya serasi dengan Lisa

Menurut Farid, seperkara positif yang dapat dilihatnya tatkala digandingkan dengan Lisa adalah antara kedua-dua mereka memang sudah ada keserasian.

Jelasnya, keserasian itu telah wujud sejak dia dan Lisa berlakon menerusi filem I’m Not Single lagi.

“Apa yang dilihat oleh David Teo adalah satu perkara yang biasa. Untuk filem komedi romantik, pemilihan pelakon adalah cukup penting.

“Pemilihan yang tepat akan memudahkan sesiapa sahaja mencapai matlamat yang diinginkan.

“Bagi saya, keserasian yang wujud dengan Lisa mampu memudahkan kerja dan saya tidak perlu bersusah payah untuk mencari keserasian. Hanya menggunakan

keserasian sedia ada,’’

katanya ketika ditemui sejurus selepas majlis pelancaran Semerah Cinta Stileto yang diadakan di Restoran Lemon, Seri Kembangan, baru-baru ini.

Semerah Cinta Stileto yang memulakan pengambaran 12 Ogos menampilkan pelakon ternama seperti Nanu Baharudin, Cat Farish, Shaharudin Thamby, Datuk Jamali Shadat, Maimon Muttalib, Angah (Raja Lawak), Mie (Raja Lawak), Rama serta Kenchana Dewi.

Menyambung bicara, Farid berkata, Lisa juga telah menampakkan kematangan serta peningkatan dalam lakonan.

“Ia juga menjadi faktor yang mampu memudahkan kerja dan mewujudkan keserasian antara kami. Lisa telah banyak terlibat dengan pelakon-pelakon lain. Seperkara lagi, kami telah didik supaya bersikap profesional dan soal peribadi harus diketepikan,’’ katanya.

Ditanya mengenai wataknya dalam Semerah Cinta Stileto, Farid menjelaskan, bahawa filem itu meletakkannya sebagai seorang pemuda yang hidup dalam keadaan serba sederhana.

Bekerja sebagai penjual ikan di pasar borong dan tinggal di rumah flat, pelbagai kejadian yang berlaku telah memberi kesempatan untuknya bertemu dengan Stila, seorang anak orang kaya yang tinggal di banglo berhadapan dengan rumah flatnya.

Namun, hubungan Stila dan Leto mendapat tentang daripada keluarga Stila.

“Saya masih belum membuat kajian mengenai watak sebagai penjual ikan kerana terikat dengan projek di Astro.

“Insya-Allah, berdasarkan pembacaan skrip, saya yakin akan mampu membawa watak ini dengan berkesan,’’ kata Farid penuh yakin.

Lisa tidak kekok

Sementara itu, berbalik kepada persoalan mengenai ikon pasangan romantik paling ideal, di pihak Lisa pula, dia mengakui, tidak merasa kekok untuk bercinta dengan Farid.

Bukannya cinta seperti yang ditafsirkan oleh ramai pihak tetapi cinta tersebut jelas Lisa, adalah cinta di lokasi pengambaran membabitkan filem-filem atau drama berkaitan romantik.

“Kami pernah bekerja secara bersama lebih daripada sekali. Watak-watak sebelum ini pun ada kaitan dengan cinta.

“Justeru, perasaan kekok untuk bercinta dengan Farid di set lokasi sudah tidak ada. Kami cukup komited dengan kerja bagi menjayakan watak yang diberikan,’’ katanya.

Mengenai usaha David Teo yang mahu menjadikannya dan Farid sebagai ikon pasangan romantik, Lisa memberitahu, bahawa sebagai pelakon, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menjayakan apa sahaja perwatakan dalam lakonan.

“Saya pun masih lagi baru dan ada banyak lagi perkara yang harus dipelajari,’’ tambahnya.

Kepada soalan tentang rezekinya dalam lakonan, Lisa tidak lupa memanjatkan kesyukuran atas apa yang dinikmatinya sepanjang beberapa tahun bergelar pelakon ini.

Selain Semerah Cinta Stileto, ujar Lisa, dia terlibat dengan filem Zoo serta Kapoww.

Perginya seorang pejuang nasyid

Perginya seorang pejuang nasyid


SENTIASA ceria, Allahyarham dikenali sebagai seorang yang berhemah dan lemah lembut dalam pergaulan.


SETIAP pagi, seperti biasa sebelum melangkah keluar dari rumah untuk ke pejabat, Mohamad Asri Ibrahim dibekalkan erat pelukan isteri yang mengiringinya hingga ke pintu sambil mengucup tangan sebagai doa agar perjalanan suami selamat pergi dan kembali.

Namun pagi 13 Ogos lalu, entah kenapa Mohd. Asri atau lebih mesra disapa Ustaz Asri, ayah kepada enam orang anak itu begitu tergesa-gesa untuk pergi, hingga tidak berpeluang isteri tercinta Haliza Shahadan, 39, memeluk erat suami seperti biasa.

Walaupun tindakan Ustaz Asri berlainan daripada biasa, namun Haliza atau lebih mesra dipanggil Noor Jannah tidak menyangka apa. Cuma yang terfikir, suami tersayang tergesa-gesa kerana ada tugas sudah menanti pada 10.30 pagi itu.

Pagi itu, Ustaz Asri dan Rabbani dijadualkan menyanyikan lagu tema Syahadah musim kelima sebuah rancangan terbitan RTM yang akan disiarkan sepanjang bulan Ramadan, di Auditorium P.Ramlee, Angkasapuri.

Namun suratan takdir telah menentukan. Kelainan sikap Ustaz Asri pagi itu rupa-rupanya petanda beliau akan pergi buat selama-lamanya meninggalkan isteri, anak-anak dan dunia yang fana ini.

Tidak siapa menduga, ketika Noor Jannah sibuk di rumah mengurus anak-anak, ahli anggota Rabbani berusaha membantu memulihkan Ustaz Asri yang rebah tiba-tiba ketika mahu memulakan latihan menyanyikan lagu tema tersebut.

Dan... dalam suasana tenang dan sepi, ketika syahadah dibisikkan di telinganya, Ustaz Asri yang rebah dan pucat wajahnya, longlai di pangkuan sahabat-sahabatnya.

Meski hati mereka digayut rasa sedih, namun tidak mahu mengaku kalah. Dengan semangat setia kawan dan dipanjatkan beribu doa, dengan menaiki van milik mereka, Ustaz Asri dibawa ke Pusat Perubatan Pantai.

Namun takdir menentukan segala-galanya. Allah lebih menyayanginya dan tepat pada pukul 11.45 pagi, doktor mengesahkan Ustaz Asri yang dikenali sebagai pejuang lagu-lagu nasyid meninggal dunia kerana sakit jantung.

Dilahirkan pada 3 Ogos 1969, pemergian Allahyarham amat mengejutkan ramai pihak terutama kepada mereka yang meminati koleksi lagu-lagu dakwah nyanyiannya bersama kumpulan Rabbani.

Selama 12 tahun memperjuangkan irama nasyid, kini, segalanya hanya tinggal kenangan dan akan terus terpahat di sanubari setiap daripada kita semua.

Dan, sememangnya, kita semua perlu menerima takdir dan hakikat bahawa Ustaz Asri kini sudah tiada lagi untuk mengingatkan semua dengan lagu-lagu berbentuk dakwah dan nasihat.

Semuanya sudah termaktub sebagai mana janji Allah SWT dalam al-Quran bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati.

Rebah ketika menjalani sesi latihan sempena pelancaran program Syahadah, rintihan dan tangis sendu mengiringi saat jenazah Allahyarham dimandi, dikapan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Selain seorang balu, Haliza Shahadan@Noor Jannah, Allahyarham meninggalkan enam anak iaitu Mohd. Nasimudin, 15; Mohd. Fathi, 14; Nur Afikah, 12; Mohd. Ilham, 10; Sufiyah Munawarh, 6 dan Hamdi Rabbani, 4.

Dua hari sebelum itu, penulis berkesempatan menemui Allahyarham ketika majlis menandatangani perjanjian persembahan Rabbani di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya sempena Ramadan tahun ini.

Ia merupakan kerjasama ke-18 tahun berturut-turut Rabbani bersama hotel itu.

Allahyarham yang sentiasa ceria pada majlis itu berkata : "Kadang-kadang terdetik di hati saya, jika Singgahsana tidak mengundang kami pada tahun ini, tidak mengapalah.

"Tetapi, jika tidak ada tawaran daripada Singgahsana, ibadah kami sempena Ramadan tahun ini bagaikan tidak lengkap kerana ini merupakan salah satu cabang ibadah Rabbani."

Dalam pertemuan itu, penulis sempat mengajukan soalan dan bertanyakan pendapat Allahyarham mengenai Rabbani yang boleh dilabel sebagai kumpulan nasyid nombor satu negara berdasarkan undangan menyanyi di pentas yang tidak pernah lekang.

Allahyarham dengan rendah diri berkata : "Alhamdulillah, Rabbani masih aktif. Bukan hanya konsert, Rabbani sering kali bersama dengan masyarakat. Komitmen setiap ahli kumpulan juga menjadi penentu kepada kejayaan Rabbani.

"Menjaga hati rakan-rakan juga penting. Contohnya, jika saya seorang dipanggil dalam sesebuah majlis, saya akan katakan tidak boleh kerana semua ahli Rabbani perlu diundang sama. Kita perlu utamakan rakan-rakan."

Begitulah setia dan kasihnya Allahyarham terhadap ahli anggota Rabbani yang dianggap bagaikan saudara sendiri.

Bercakap mengenai Allahyarham, dengan berita pemergiannya itu, bait-bait lagu dakwah dan zikir munajat yang sering bermain di bibirnya tatkala aktif bersama Rabbani dan juga Nada Murni mungkin sukar untuk dilupakan.

Perginya Allahyarham merupakan satu kehilangan yang besar kepada lapangan nasyid tanah air.

Dalam waktu ini juga, pastinya kita akan mengingati lagu berjudul Pergi Tak Kembali, ciptaan KRU dengan lirik oleh Allahyarham yang pernah dipopularkan Rabbani sekitar 2000.

Lagu itu cukup menginsafkan dan mengingatkan kita semua betapa kematian itu adalah sesuatu yang benar dan pasti berlaku.

Hayatilah lirik karya lagu tersebut :

Setiap insan pasti merasa,

Saat perpisahan terakhir,

Dunia yang fana akan ditinggalkan,

Hanya amalan yang dibawa.

Terdengar sayup surah dibaca,

Sayunya alunan suara,

Cemas di dada...lemah tak bermaya,

Terbuka hijab di depan mata.

Selamat tinggal pada semua,

Berpisah kita selamanya,

Kita tak sama nasib di sana,

Baikkah atau sebaliknya.

Amalan dan takwa jadi bekalan,

Sejahtera bahagia pulang...ke sana.

Sekujur badan berselimut putih,

Rebah bersemadi sendiri,

Mengharap kasih anak dan isteri,

Apa mungkin pahala dikirim.

Terbaring sempit seluas pusara,

Soal-bicara terus bermula,

Sesal dan insaf tak berguna lagi,

Hancurlah jasad dimamah bumi.

Berpisah sudah segalanya,

Yang tinggal hanyalah kenangan,

Diiring doa dan air mata,

Yang pergi takkan kembali lagi.

Astro tawan penonton Melayu

Astro tawan penonton Melayu


SEBAHAGIAN bekas pelajar Akademi Fantasia menghiburkan tetamu yang hadir.


STESEN berbayar terulung negara, Astro sentiasa hadir dengan pembaharuan yang kreatif dalam menjaga hati pelanggan setianya. Baru-baru ini, Astro hadir dengan pakej baru iaitu pakej Mustika demi memenuhi permintaan pelanggan Melayu yang kian bertambah.

Langkah ini ternyata memberi impak positif apabila melalui penyelidikan yang dibuat oleh AGB Nielsen Media Research baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan, Astro baru-baru ini mencapai kenaikan peratusan mendadak dimana kini sebanyak 46 peratus daripada jumlah kediaman di Malaysia yang memiliki televisyen melanggan Astro sehingga Jun 2009.

Pelanggan Astro juga terus berkembang menjadi 2.73 juta langganan dan lebih 12.3 juta jumlah penonton.

"Penonton Melayu kini tidak lagi hanya menonton kepada satu siaran sahaja dimana sekarang mereka bertukar ke pelbagai saluran yang lebih khusus untuk genre kegemaran masing-masing.

"Kurang dari dua bulan selepas Astro melancarkan Pakej Mustika yang mengandungi saluran Astro Citra, Astro Warna dan B4U, sebanyak 200 ribu buah rumah telah melanggan pakej itu.

"Pada asalnya, kami menyasarkan sebanyak 300 ribu buah rumah mengambil Pakej Mustika sebelum akhir tahun ini tetapi kini kami percaya mampu mencapainya sebelum Hari Raya Aidilfitri," ujar Henry ketika majlis Pratonton Gempak Universe di Royale Chulan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, kajian AGB Nielsen Media Research mendapati lapan buah saluran-saluran Melayu Astro telah mendominasi jumlah penonton di kalangan penonton-penonton TV Melayu.

"Perkembangan ini membawa berita baik buat kami semua apabila mendapati sebahagian besar daripada statistik itu disumbang oleh penonton-penonton drama dan program realiti terbitan sendiri yang ditayangkan di Astro." ujar Khairul.

Menurut Khairul, rancangan Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7)baru-baru ini meraih purata lebih dari 1 juta penonton pada setiap konsert mingguan.

Program realiti mencari bakat pelawak pula iaitu Raja Lawak meraih jumlah penonton seramai 1.3 juta orang pada episod akhir musim ketiga.

Program Jangan Lupa Lirik pula meraih penonton seramai 3.5 juta orang dan Sehati Berdansa pula berjaya meraih lebih daripada 2 juta penonton daripada kalangan penonton Melayu.

"Bukan itu sahaja, slot tayangan drama iaitu Primawara di Astro Prima, Mertua vs Menantu, berjaya meraih purata 2.7 juta penonton pada setiap minggu dan episod akhir drama ini merupakan program yang paling banyak ditonton di platform Astro," tambah Khairul.

Untuk penggal yang akan datang lebih banyak program-program baru disusun di saluran-saluran Melayu Astro terpilih yang bakal menawan hati setiap pelanggan.

Di antara program-program baru itu yang dijangka memberi impak kepada statistik dan kenaikan jumlah penonton ialah sebuah drama bersiri muzikal ala High School Musical iaitu Kau Dan Aku.

Drama bersiri yang disasarkan kepada penonton remaja ini bakal menyaksikan sekumpulan anak-anak remaja mempersembahkan lagu dan tarian hebat.

Ia dibintangi oleh Mila AF5 dan Akim AF7 serta beberapa orang bintang AF yang lain dan bakal menemui penonton pada September nanti.

Selain itu, tajuk-tajuk baru seperti Belalang, Segunung Harapan, Cinta Sempurna, Senja Heights dan siri animasi baru, Mat Kacau, adalah di antara tajuk-tajuk yang akan berselang-seli menyinari saluran-saluran Melayu terpilih tidak lama lagi.

Tambah Khairul, dia berharap dengan program-program baru sempena bulan Ramadan dan Syawal yang telah disusun akan terus menarik minat penonton untuk terus setia dengan Astro.

Kak Yong kecewa tiada rancangan kanak-kanak

Kak Yong kecewa tiada rancangan kanak-kanak


Kak Yong


BAGI kanak-kanak yang pernah membesar dengan rancangan Permintaan Apa Itu? yang ke udara di Rangkaian Nasional (RTM) setiap Sabtu pukul 9.30 pagi suatu ketika dahulu, nama Kak Yong tentu tidak asing lagi bagi mereka.

Rancangan yang mula ke udara sejak tahun 1977 hingga 2002 itu begitu sinonim dengan Kak Yong dan kanak-kanak, biarpun pasangannya sering berubah namun Kak Yong tetap teguh berdiri di situ.

Kini meskipun rancangan itu sudah 'dimatikan' tanpa kuburnya sejak tujuh tahun lalu, namun hingga saat ini ke mana sahaja juruhebah kecil molek ini pergi, nama Kak Yong menjadi panggilan.

Sebab itu tidak hairanlah ketika temuramah dan sesi fotografi ini dilakukan di sebuah hotel lima bintang baru-baru ini, gadis menjual mutiara berusia awal 20-an tanpa ragu-ragu memanggil nama Kak Yong tatkala mendengar suara bekas juruhebah popular ini.

Sesuatu yang amat memeranjatkan penulis tatkala ditanya kepada si gadis mutiara itu, jawapannya memang mudah; "Saya kenal suara Kak Yong, dulu selalu dengar Permintaan Apa Itu? di radio."

Begitulah kuatnya pengaruh rancangan itu. Bukan sahaja ia mewarnai hidup Kak Yong atau nama sebenarnya Tengku Mariam Tengku Laksamana Nasir, 54, malah program ini juga banyak memberi informasi kepada kanak-kanak.

"Sebenarnya Kak Yong pun tidak menduga kesan daripada rancangan yang diilhamkan oleh Noramin, sampai ke hari ini. Tetapi apa yang penting ketika mengendalikan rancangan itu, walaupun khas untuk kanak-kanak tetapi Kak Yong dan pasangan sentiasa membuat homework.

"Kak Yong akan baca akhbar dan cuba mendapat bahan-bahan yang sesuai untuk program setengah jam itu. Sebabnya apa juga informasi yang diberikan akan menjadi panduan kepada kanak-kanak," cerita Kak Yong yang kini memenuhi masa lapang melayan anak adik-adiknya dan cucu kepada adik-adiknya.

Kak Yong, anak sulung daripada empat beradik dan merupakan kerabat diraja Negeri Sembilan mula menjadi ahli keluarga RTM pada tahun 1977 sebagai pekerja sementara dan tetap sebelum mengambil keputusan berhenti pada tahun 2002.

Permintaan Apa Itu? yang mulanya dikendalikan bersama Busu Noramin selama empat tahun sehingga 1980 merupakan satu-satunya rancangan radio yang dikhaskan untuk kanak-kanak.

Ketika bersama Busu Noramin, Permintaan Apa Itu? yang bersiaran selama setengah jam akan menunaikan lagu-lagu permintaan yang bertemakan kanak-kanak ataupun dinyanyikan kanak-kanak sambil membaca surat yang dikirim.

Ketika itu, lagu-lagu yang sentiasa memenuhi program itu ialah Sakit Gigi nyanyian Indra Shahril, Kain Pelikat (Anuar Zain dan Ellina) dan lagu-lagu nyanyian Andrian, Siti Musliha serta Gadis Melayu nyanyian Othman Hamzah.

Bagaimanapun apabila Noramin ke Jepun kerana bekerja di NHK selama empat tahun, Kak Yong dipasangkan dengan Abang Chik@Zainal Abas.

Ketika bersama Abang Chik, rancangan berkenaan ke udara selama 45 minit dengan mengekalkan konsep dan segmen yang sama.

Tetapi pada tahun 1985, apabila Kak Yong bertukar 'pasangan' dan mengendalikan rancangan itu dengan Abang Bull@ Hasbullah Awang, konsepnya diubah sedikit.

"Bersama Abang Bull, konsepnya lebih ceria dan very friendly. Selain surat menyurat, kami mengundang tetamu ke studio terdiri daripada personaliti untuk segmen soal jawab.

"Selalunya kanak-kanak mengambil inisiatif menelefon personaliti untuk bertanya kemusykilan mereka. Jika doktor, mereka akan bertanya mengenai kesihatan begitu juga sukan.

"Kak Yong memang berbangga kerana kanak-kanak turut mengambil bahagian dalam rancangan ini dan mereka tahu apa yang mereka mahukan daripada setiap personaliti yang kami bawa ke studio," cerita Kak Yong.

Menurut Kak Yong, walaupun mulanya beliau berharap Abang Bull akan kekal dengannya tetapi selepas tiga tahun, Kak Yong terpaksa menerima kenyataan bahawa dia terpaksa berpasangan dengan juruhebah lain pula.

Bersama Abang Salleh Abdul Rahman selama tiga tahun mulai 1989, Kak Yong terus mengendalikan rancangan yang diminati kanak-kanak itu. Namun masa berubah pada tahun 1992, Kak Yong ditugaskan sendirian mengendalikan program berkenaan.

Lapan tahun lamanya Kak Yong mengendalikan Permintaan Apa Itu? sendirian dengan mengundang personaliti terdiri daripada ahli sukan seperti pemain boling negara, Shazlin dan artis seperti Syafinaz dan Kristal.

Biarpun rancangan itu sudah lama, namun kepelbagaian segmen yang dibawakan memberi nafas baru kepada program khas untuk kanak-kanak itu.

"Apabila kendalikan program ini secara solo Kak Yong cuba memberi nafas baru kerana selama sejam, macam-macam segmen diselitkan.

"Sebab itu rancangan berinformasi dan memberi didikan kepada kanak-kanak ini selain tetamu yang merupakan personaliti, Kak Yong turut mengundang kanak-kanak sebagai hos bersama," cerita Kak Yong.

Ketika itu, dua kanak-kanak yang menjadi hos bersama ialah Adibah Ali Rahman,9, dan Melissa Nurul Ashikin, 9, dengan Kak Yong sebagai anchor.

"Sebagai anchor, Kak Yong membimbing mereka untuk mengendalikan bersama rancangan ini. Memang seronok bersama mereka sebab celoteh budak-budak, tapi yang penting mereka tidak tersasar jauh daripada konsep program ini," cerita Kak Yong yang pernah juga mengendalikan program Permintaan Wanita dan bertugas di konti.

Menurut Kak Yong, sebagai pengendali program permintaan dan informasi untuk kanak-kanak yang paling lama, beliau tidak pernah merasa bosan atau jemu.

Sebaliknya 25 tahun bersama Permintaan Apa Itu? membuatkan Kak Yong semakin dekat di hati kanak-kanak.

"Cuma Kak Yong kesal, apabila Kak Yong tinggalkan RTM, tiada lagi rancangan khas untuk kanak-kanak di radio," kata Kak Yong.

Menyentuh mengenai kehidupannya. Kak Yong yang pernah mendirikan rumah tangga bersama Sherkawi Jirim pada September 1978 hingga 1996 berkata: "Entahlah selepas rumah tangga Kak Yong runtuh, hati ini bagaikan tertutup untuk berkahwin lagi. Walaupun ada desas-desus mendakwa punca perceraian kami kerana anak, tetapi itu bukanlah sebabnya.

"Bagi Kak Yong, apa juga yang terjadi sudah ditentukan oleh Allah. Kak Yong terima dengan reda. Walaupun kini Kak Yong lebih suka hidup di samping adik-adik dan anak saudara, tetapi jika suatu hari jodoh menemukan Kak Yong dengan seseorang, Kak Yong akan terima.

"Buat masa ini Kak Yong bahagia begini, dan insya-Allah jika semuanya berjalan lancar, Kak Yong akan terlibat dalam bidang penerbitan bersama dengan adik Kak Yong.

"Kak Yong dan adik kini sedang mencari peluang menerbitkan iklan komersial untuk televisyen," cerita Kak Yong yang pernah mengendalikan rancangan kanak-kanak untuk TV3.