Tuesday, August 18, 2009

Yasmin inspirasi Aizat

Yasmin inspirasi Aizat

Oleh Esme Johari Wahab
esme@hmetro.com.my


MANA-mana artis atau selebriti pernah bekerjasama dengan seseorang pengarah filem memiliki reputasi tinggi dan meraih pelbagai anugerah perfileman pasti membuatkan mereka bersemangat untuk terus maju.

Bagi penyanyi dan komposer muda, Aizat, menimba ilmu bersama Yasmin Ahmad pada usia muda adalah pengalaman terbaik dan jarang dimiliki.

Bagaimanapun, Aizat tidak menyangka filem Talentime adalah kali terakhir dia menimba pengalaman bersama pengarah kreatif itu yang popular melalui iklan komersil dan filem mengenengahkan mesej perpaduan kaum dan masyarakat majmuk di Malaysia.

Sumbangan dua lagu runut nyanyian Aizat, 'Just One Boy' dan 'I Go' hasil ciptaan dan penulis lirik, Pete Teo dalam filem keenam Yasmin itu, begitu membanggakan penyanyi dan komposer muda itu berikutan kejayaan dipilih selaku Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM 22) di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Penyanyi kelahiran Raub, Pahang atau nama sebenar, Muhammad Aizat Amdan, bekas pelajar Akademi Fantasia 5 itu menyifatkan banyak perkara boleh dipelajari untuk mengembangkan bakatnya, sejak lagu itu digunakan dalam filem Talentime.

Hingga ke saat ini, Aizat harap dapat mengikut jejak Yasmin kerana filemnya pernah ditayangkan di pentas antarabangsa seperti di Berlin, San Francisco, Singapura dan Cannes, membuktikan kerja-kerasnya mendapat pengiktirafan.

Sumbangan dua lagu itu membuat Aizat terharu kerana arwah sentiasa ada mesej tertentu dalam filem arahannya. Semangat dedikasi dan keikhlasan Yasmin dapat dilihat kerana beliau berminat tinggi terhadap sesuatu dilakukannya.

"Sebaik menerima tawaran lagu saya akan digunakan, saya sangat gembira kerana arwah mahu saya menyumbang nyanyian saya dalam filem Talentime. Hingga sekarang, saya masih dapat merasai sentuhan tersendiri dimiliki oleh Yasmin dan beliau menjadi rujukan inspirasi dan banyak filem dihasilkan membuktikan bakat beliau sebagai seorang insan seni yang kreatif.

"Berada di lokasi filem bersama Yasmin membuatkan saya yakin. Saya mahu mengikut jejaknya mencapai tahap terbaik dalam bidang saya ceburi sekarang. Kini saya faham perangai, perwatakan dan semangat dimilikinya.

"Paling menyeronokkan, arwah mudah didekati, tidak rumit, tidak mengikut emosi, berfikiran terbuka dan suka berbincang mengatasi masalah wujud bagi mendapatkan keputusan terbaik.


"Bagaimanapun, saya terharu kerana ia kerjasama pertama dan terakhir dan kelibat beliau tiada lagi dalam industri filem kita sekarang," kata Aizat sewaktu rakaman Akustika Raya di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, baru-baru ini.

Filem Talentime memaparkan kejayaan dan kepayahan, harapan dan putus asa dan mengandungi beberapa lagu yang mempunyai skor serta lirik ditulis dengan baik serta menampilkan banyak perwatakan berkualiti tinggi dan warna-warni.

Aizat, popular melalui lagu ciptaan sendiri, 'Lagu Kita' tidak mahu pernah putus asa dengan apa mahu dilakukannya.

Penyanyi memiliki syarikat produksi sendiri, Kasi Gegar Entertainment Sdn Bhd berkata: "Filem arahan Yasmin sentiasa menarik ditonton dan diketahui kerana sentiasa berbeza dengan yang lain. Ia mengajar erti kemanusiaan dan realiti persekitaran kita."

"Saya harap dapat terus meningkatkan aksi dan pencapaian dalam bidang saya seperti Yasmin. Lebih membanggakan, beliau tidak mencipta kejayaan bagi tujuan menjadikannya diri popular sebaliknya mahu memberi sumbangan kepada masyarakat. Perkara seperti ini patut dicontohi.

"Beliau tidak lokek ilmu dan sentiasa mencari pembaharuan terhadap sesuatu mahu diketengahkan," kata Aizat.

No comments: