Tuesday, August 18, 2009

'Param rakan istimewa'

'Param rakan istimewa'

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
JUMAAT lalu dunia seni kehilangan seorang lagi permata yang tidak ternilai. Kebolehan sebagai pelakon dan pelawak P Paramasivam, 55, atau lebih dikenali sebagai Param sememangnya sukar dicari ganti.

Pelakon yang popular menerusi siri Hang Setia itu meninggal dunia akibat sakit jantung ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Setia ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 6 pagi, Jumaat lalu.

Kebolehan dan penampilan istimewanya sering menghiburkan ramai. Kemunculannya di televisyen memberi tarikan tersendiri. Malah peribadinya cukup disenangi rakan artis tidak terkecuali pelakon dan pelawak, Hamid Gurkha, Norlia Ghani dan Datuk Yahaya Sulong.

Bagi Hamid Gurkha, berita kematian Param yang juga disifatkan rakan rapatnya itu adalah kehilangan besar buat dunia seni malah tiada galang ganti.

"Dia antara individu yang berbakat. Bukan hanya dalam lakonan atau melawak, dia juga berkebolehan menyanyi. Saya cukup kagum dengan kebolehannya bertutur bahasa Melayu dan loghat Negeri Sembilan dengan baik walaupun berketurunan India. Memang jarang kita dapat lihat individu yang mempunyai perwatakan sepertinya.

"Saya masih ingat ketika pertama kali bertemu dengannya apabila menjayakan persembahan di Tampin, Negeri Sembilan. Pada waktu itu, dia belum bergelar artis. Bagaimanapun, ketika persembahan saya bersama Datuk Jamali Shadat, kami memanggil beberapa penonton. Ketika itu kami lihat bakat seni Param," katanya.

Hamid yang berpeluang berlakon bersama Param menerusi beberapa filem dan drama RTM seperti Hang Setia mengakui, mendiang seorang yang baik hati dan pandai menghormati orang.

"Setiap kali bertemu dengannya, dia sentiasa memanggil saya abang. Kali terakhir kami bertemu ketika menghadiri satu majlis anjuran Persatuan Karyawan di Finas, Hulu Klang awal tahun ini. Ketika itu, saya masih boleh bergurau dan menasihatkannya supaya makan ubat untuk kembali sihat.

"Begitupun, dia yang ketika itu sudah menggunakan kerusi roda memaklumkan menghidap penyakit jantung dan memerlukan bantuan untuk bergerak. Dia pernah memaklumkan untuk kembali berlakon, namun disebabkan keadaannya itu dia terpaksa memendamkan hasratnya itu," katanya.

Pelakon dan pelawak veteran, Yahaya Sulong sedikit terkilan kerana tidak dapat bertemu dan menatap wajah rakannya sebelum dikebumikan. Baginya, mendiang seorang individu istimewa dan suka melawak.

"Dia memang istimewa dengan fizikal dan gayanya tersendiri. Saya terkilan juga kerana tidak dapat melawat sebelum dia dikebumikan disebabkan sibuk dengan beberapa perkara. Begitupun, saya tetap akan menziarah waris atau saudara-maranya selepas ini," katanya.

Sepanjang mengenali Param, antara pengalaman manis dilalui bersama ialah ketika menjayakan persembahan di fun fair suatu ketika dulu. Walaupun menjayakan persembahan di fun fair, kadangkala mereka tidak diberikan bayaran.

"Memang kelakar kalau diingatkan balik peristiwa itu. Kami ke fun fair untuk melakukan persembahan dan membuat lawak. Begitupun, persembahan kami itu tidak dibayar tauke fun fair. Perkara itu menyebabkan Param antara artis yang naik angin dan marah. Reaksinya ketika itu membuatkan ramai rakan ketawa melihat gelagatnya.

"Bukan sehari dua saya mengenalinya malah puluhan tahun kami berkawan dan sering bergandingan dalam beberapa program. Kematiannya satu kehilangan besar dalam dunia seni," kata Yahaya yang kali terakhir bertemu Param ketika menjadi tetamu episod akhir Gelanggang Raja Lawak musim ketiga, Mac lalu.

Sementara itu, Norlia Ghani yang memanggil Param dengan gelaran 'budak' turut bersedih dengan kematian seorang rakan seangkatannya itu. Sejak mengenalinya sekitar 80-an, akui Norlia, mereka ibarat adik-beradik dan keluarga baginya.

"Dulu kami dan kru yang terbabit dalam siri Hang Setia memang akrab bagai satu keluarga disebabkan tempoh penggambaran yang agak panjang. Hampir semua aktiviti dilakukan bersama. Bukan hanya babak lakonan malah kami juga melakukan latihan bersama setiap kali sebelum penggambaran.

"Kami memang kerap bertemu dulu. Begitupun, selepas jatuh sakit kami jarang bertemu. Awal tahun ini saya ada bertemu dengannya dan mendapati ketika itu dia sudah menggunakan kerusi roda.

"Kalau dia ada, pasti riuh dibuatnya. Sama ada ketika atau di luar penggambaran, dia memang baik serta cepat mesra dengan orang ramai. Saya seronok dan bangga dapat bekerjasama dengannya," katanya.

Malah Norlia turut meluahkan perasaan terkilannya kerana sejak kebelakangan ini dunia seni ibarat melupakan jasa orang lama. Malah golongan itu juga jarang diberi peluang untuk tampil di pentas persembahan, festival dan lakonan.

Mendiang Param menghidap sakit jantung sejak 1992 dan pernah mengalami kecederaan tulang belakang akibat terjatuh dalam kemalangan lebih dua tahun lalu. Bagaimanapun, Param tidak aktif berlakon sejak mengalami masalah kesihatan dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Param memulakan karier seni bersama RTM Melaka pada 1976, ketika masih berkhidmat dengan Pejabat Belia di Tampin.

Sepanjang terbabit dalam lakonan, Param membintangi lebih 25 filem dan 40 drama antaranya filem Si Badul, Penagih Dadah, Panglima Badul, Si Luncai, Anak Tunggal dan Penyamun Tarbus. Drama Hang Setia yang ditayangkan di RTM sejak 1988 selama empat tahun antara drama yang melonjak namanya.

No comments: