Tuesday, August 18, 2009

Hollywood: Tak tumpang nama isteri

Hollywood: Tak tumpang nama isteri

Susunan Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

BUKAN suatu masalah bagi bintang Hollywood untuk melakonkan babak ranjang dengan pasangan mereka di depan kamera. Bagaimanapun, apabila perkara itu dilakukan aktor Ryan Reynolds, 32, bersama Sandra Bullock dalam The Proposal, tentunya mengundang kejutan buat peminat.

Ini kerana Reynolds baru saja melangsungkan perkahwinan dengan Scarlett Johannson, 24, pada 27 September tahun lalu. Sudah pasti pengakuan Reynolds mengatakan seronok melakukan babak panas itu dengan Sandra mengejutkan.

Kata Reynolds, Scarlett seorang yang bersikap terbuka, malah tidak bimbang untuk membawa isterinya itu menyaksikan The Proposal ketika tayangan perdananya.

“Scarlett hanya tersenyum dan seperti tidak percaya saya mampu melakukan seperti itu. Saya juga pernah berbincang dengannya mengenai babak itu tetapi dia enggan mengulas lanjut.

“Tapi kata Scarlett, dia tetap yakin pada cinta saya. Terus terang, memang Scarlett satu-satunya wanita yang saya cintai dan gembira dapat memilikinya.

“Sepanjang perkahwinan kami, dia juga tidak mengongkong saya. Barangkali karier sebagai bintang filem membuatkan kami begitu memahami antara satu sama lain. Malah, jika diikutkan pun, Scarlett sudah lebih cemerlang daripada saya,” katanya.

Reynolds sebelum ini pernah dikaitkan dengan aktres Rachael Leigh Cook awal 2001, kemudian bertunang dengan penyanyi Alanis Morissette pada Jun 2004 selepas bercinta dua tahun dan berpisah Jun 2006.

Mula membina nama menerusi sitkom televisyen popular, Two Guys And A Girl sejak 1998 hingga 2001, Ryan menolak sepenuhnya kejayaan diraih kini bersandarkan nama isteri. Katanya, antara mereka masing-masing memiliki bakat tersendiri.

“Setakat ini pun, Scarlett tidak pernah mendabik dada. Sebagai suami dan isteri, kami saling menghormati satu sama lain. Disebabkan itu, kami juga tidak pernah bertengkar soal kerja. Jauh sekali, membandingkan siapa antara kami yang lebih hebat.

“Oleh itu, saya harap pujian saya pada tubuh Bullock tidak di salah erti. Bagi saya, ia sekadar pandangan rakan sesama pelakon dan tidak sedikit pun terpalit perasaan istimewa. Yang jelasnya, saya sudah temui cinta sejati bersama Scarlett,” katanya.

Menyentuh mengenai perancangan keluarga, Reynolds berkata, dia dan Scarlett mengimpikan memiliki zuriat sendiri. Bagaimanapun, hingga kini mereka masih belum berpeluang. Menurutnya, kesibukan pada karier menyebabkan masa mereka terhad.

“Kami masih intim seperti ketika hangat bercinta dulu. Namun, kami masih belum berjaya memiliki anak sampai sekarang. Apapun, antara kami tidak pernah merancang, apatah lagi menolak kerana usia Scarlett yang masih muda.

“Dalam hubungan perkahwinan, kami percaya kehadiran cahaya mata sangat penting. Lebih-lebih lagi, apabila mendapati senario keretakan rumah tangga yang berlaku di kalangan selebriti terkenal Hollywood berpunca daripada ketiadaan anak,” katanya.

Turut beraksi hebat dalam filem X-Men Origins: Wolverine yang ditayangkan di pawagam seluruh dunia tahun ini, Ryan mengakui semakin yakin dengan tahap kemampuan lakonannya.

Kata Reynolds, dia tidak gentar untuk melakonkan apa saja watak.

No comments: