Takdir satukan kami
Oleh Muhd Izawan Baharin dan Md Fuzi Abd Lateh
am@hmetro.com.my
SELEPAS hampir empat bulan dibelenggu pelbagai kontroversi serta tanda tanya mengenai status hubungan mereka, akhirnya penyanyi, pengacara dan penceramah bebas, Akhil Hayy mengambil langkah menutup mulut semua pihak dengan memilih penyanyi Waheeda sebagai teman hidupnya.
Bertempat di Majlis Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu, kelmarin dengan sekali lafaz, Waheeda atau nama sebenar Norwahidah Abdul Wahab, 31, sah sebagai isteri penyanyi yang mendapat gelaran Ustaz Rock itu.
Tiada wang hantaran diberikan sebaliknya keluarga Waheeda hanya meminta senaskhah al-Quran dan ia dilengkapi hantaran tujuh dulang dan dibalas 11 dulang oleh pihak pengantin perempuan manakala mas kahwin pula sebanyak RM80.
Pasangan itu memilih tarikh 31 Oktober ini untuk majlis persandingan masing-masing di Dewan Orang Ramai Bukit Jelutong, Shah Alam dan di tempat asal Akhil di Gopeng, Perak seminggu kemudian.
Tidak dapat tidak, soalan sama ada pernikahan itu disebabkan 'desakan' gosip, Akhil atau nama sebenar, Akhil Abdul Hai, 40, lebih selesa menganggap semuanya adalah takdir Allah.
"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun banyak perkara sudah berlaku...ana harap semua kemelut dan gosip ditamatkan dengan majlis ijab kabul ini.
"Ana mengakui senang dengan sikap Waheeda dan mustahillah jika pernikahan tiada rasa cinta...ini bukan satu kebetulan, tetapi perancangan yang sudah ditentukan Allah," katanya.
Kehadiran pasangan yang memakai pakaian putih sedondon itu juga menarik perhatian penduduk setempat yang kebetulan berada berhampiran sehingga menyebabkan ruang masjid dipenuhi orang ramai selain anggota terdekat pasangan mempelai.
Akhil menjelaskan pada mulanya pihaknya merancang untuk mengadakan majlis secara kecil-kecilan dan tidak sangka ramai yang hadir termasuk wartawan serta jurugambar.
"Rancangan awal kami mahu melangsungkan majlis pernikahan pada 21 Ogos bagi mendapat keberkatan Ramadan, tetapi keluarga mahu ia diawalkan. Seorang rakan yang mencadangkan supaya diadakan di masjid ini," katanya.
Turut hadir pada majlis itu bapa Waheeda, Abdul Wahab Yusuf, 58, ibunya, Asri Othman, 58, ibu Akhil, Azizah Daud, 72, dua anak Akhil, Siti Nur Maisarah, 12, Mohd Syarif Idayatullah, 11 dan kira-kira 100 ahli keluarga terdekat.
Seperti Akhil, Waheeda juga enggan memberi sebarang komen panjang mengenai kontroversi yang melanda mereka selama ini sebaliknya mahu memulakan hidup baru bersama keluarga.
"Biarlah apa orang hendak cakap kerana banyak perkara lebih penting dalam hidup ini. Selepas ini, saya mahu bersara dari bidang seni atas kehendak saya sendiri dan menumpukan kepada keluarga.
"Apa yang berlaku kepada kami umpama ribut dan kami mahu membina semula rumah yang rosak akibat ribut itu," katanya.
Penyanyi yang terkenal dengan genre lagu 'world music' itu turut menafikan cuba merahsiakan hari bahagia berkenaan sebaliknya dimaklumkan kepada kenalan terdekat.
"Kami menjemput ahli keluarga dan kenalan terdekat, tetapi tidak sangka ramai yang hadir pada hari ini," katanya.
Pada majlis itu, suasana hiba turut terasa apabila ibu Waheeda menyampaikan pesan kepada anaknya sehingga anak beranak itu dilihat menitiskan air mata selepas selamat diijabkabulkan.
Ibunya, Asri berkata, dia sebenarnya sudah lali dengan semua tohmahan serta gosip dilemparkan terhadap anaknya selama ini.
"Apa yang saya harap sekarang, dia akan menjadi isteri yang solehah dan taat kepada suami.
"Saya mahu dia menjadi isteri yang terbaik dan mudah-mudahan kedatangan Ramadan nanti akan memberi keberkatan kepada mereka," katanya.
Anak Akhil, Siti Nur Maisarah juga menyatakan rasa gembira apabila bapanya selamat diijab kabul dengan Waheeda yang lebih mesra dengan panggilan Auntie Wawa.
"Saya sebenarnya sudah lama mengenali Auntie Wawa dan berharap dia dapat menjaga dan melayan kami dengan baik seperti sebelum ini," katanya.
Kronologi gosip Akhil dan Waheeda sehingga diijab kabul
# 6 Mei 2008
WAHEEDA memberi kenyataan untuk meninggalkan dunia hiburan walaupun baru memenangi Anugerah Industri Muzik Malaysia ke15 (AIM15) menerusi kategori Album Pop Etnik Terbaik menyebabkan spekulasi perkahwinannya dengan Akhil Hayy semakin kuat. Waheeda bagaimanapun tegas menafikannya.
# 11 Januari 2009
WALAUPUN masing-masing menafikan mempunyai sebarang hubungan, laporan Akhil Hayy dan Waheeda dilihat menonton wayang bersama pada lewat malam di Petaling Jaya mencetuskan semula gosip mereka.
# 5 Mac 2009
WAHEEDA mengakui suka bersama Akhil Hayy, tetapi menafikan mereka bercinta.
# 1 Mei 2009
AKHIL menafikan sudah berkahwin dengan Waheeda sebaliknya penyanyi itu hanya 'isteri' dalam program Cafe Akhil Hayy musim kedua saja.
# 9 Mei 2009
AKHIL enggan mengulas mengenai penyebaran gambarnya di Internet bersama Waheeda ketika berada di pantai Port Dickson.
# 24 Mei 2009
BEKAS isteri Akhil, Maizawati Zainal muncul buat kali pertama di dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9 mendedahkan kemelut rumah tangganya.
# 27 Mei 2009
MAIZAWATI sekali lagi muncul di dalam rancangan Wanita Hari Ini (WHI) terbitan TV3 dengan mengibaratkan dirinya seperti 'bom jangka' berhubung gosip suaminya dengan Waheeda.
# 31 Mei 2009
AKHIL mengakui terkilan dengan tindakan Maizawati yang menghebahkan masalah rumah tangga mereka kepada media massa.
# 3 Jun 2009
MAHKAMAH Rendah Syariah Ipoh, Perak membenarkan penangguhan kes Akhil dan Maizawati selepas kedua-dua pihak bersetuju berunding dan menyelesaikan kes tuntutan cerai secara baik dalam tempoh hingga 15 Julai.
# 16 Julai 2009
AKHIL sah bercerai talak satu dengan Maizawati di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh.
# 23 Julai 2009
AKHIL memberi kenyataan jika mempunyai jodoh, dia menerima sesiapa saja.
# 16 Ogos 2009
AKHIL selamat diijabkabulkan dengan Waheeda di Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu.
Tuesday, August 18, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment