Tuesday, August 18, 2009

PILIH KASIH : 'Sejauh Kuala Lumpur - New York'

'Sejauh Kuala Lumpur - New York'

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

JANGKAAN penonton untuk menentukan juara program realiti Pilih Kasih menerusi undian SMS bukanlah keputusan muktamad. Sebaliknya, Muhammad Iqbal Mazlan yang menduduki tangga ke-10 dengan jumlah SMS 0.36 peratus membuktikan dia pelakon pilihan pelakon popular, Rosyam Nor yang dicari sejak 11 minggu program itu berlangsung.

Kemenangan Iqbal yang diumumkan juara musim pertama program itu memberi kejutan dan saingan sengit kepada sembilan peserta lain yang turut bertanding di peringkat akhir di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban, Negeri Sembilan.

Ketika peringkat akhir itu berlangsung malam kelmarin, setiap peserta diminta membuat persembahan menerusi tiga segmen berbeza iaitu drama, monolog dan pementasan teater muzikal.

Biarpun, persembahan peserta ini dilakukan secara berkumpulan, penilaian Rosyam bersama dua pengkritik undangan, pengarah Mamat Khalid dan Pensyarah Kanan, Jabatan Komunikasi, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah tetap menjurus pada persembahan individu.

Bagi persembahan Iqbal, Dr Abu Hassan menilai peserta berusia 20 tahun berasal dari Bagio, Filipina itu sebagai pelakon sempurna ketika beraksi depan khalayak.

Begitu juga dengan Mamat turut memuji persembahan Iqbal yang berjaya menyampaikan lakonan menerusi skrip dengan berkesan. Malah, Iqbal mempunyai penghayatan yang baik dalam membawa karakter dipersembahkan.

Iqbal yang ditemui selepas program itu berakhir berkata, dia bersyukur dengan kemenangan yang diraih, tetapi belum berpuas hati dengan mutu lakonan sendiri.

Katanya, pengalaman yang ditimba hampir tiga bulan terbabit dalam program terbitan bersama Suhan Movies & Trading Sdn Bhd dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu belum cukup untuk melayakkan dirinya menjadi pelakon yang baik.

"Memang banyak perkara yang saya belajar seperti aspek lakonan sepanjang menyertai program ini. Namun, pada saya tempoh pembelajaran itu belum cukup untuk saya menimba ilmu sebanyak mungkin.

"Saya percaya masih banyak perkara baru untuk menjadi pelakon terbaik perlu saya belajar. Selepas menjadi juara, buat masa ini saya bergantung dulu kepada keputusan Rosyam untuk menentukan perjalanan karier lakonan saya seterusnya.

"Jika berkesempatan, saya ingin belajar lebih banyak daripada Rosyam yang mempunyai pengalaman luas dalam lakonan filem dan drama. Mungkin apabila tiba masanya nanti, saya akan berdikari sendiri," katanya.

Juara Pilih Kasih menerima hadiah kereta Naza Suria dan wang tunai RM10,000. Turut memberikan perangsang, Iqbal menerima biasiswa tajaan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Iqbal yang menjadikan Rosyam, Abu Bakar Omar dan Jay Chow sebagai idola berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang lakonan dengan biasiswa yang diterima. Mungkin tidak ramai yang tahu, Iqbal sebelum ini pernah berlakon dengan watak pembantu menerusi beberapa drama seperti Sofia Zahra.

"Saya tidak ambil pengalaman lakonan sebelum ini sebagai kelebihan untuk menjadi juara. Saya baru berlakon sejak setahun lalu dan menyifatkan perjalanan karier seni masih jauh seperti jarak antara Kuala Lumpur dengan New York .

"Sebenarnya, pada minggu awal saya menyertai program ini, saya tidak berpuas hati dengan mutu lakonan sendiri. Saya berasakan pergerakan terhad dan teragak-agak untuk berlakon.

"Sehinggalah mendapat tunjuk ajar daripada Erma Fatima selaku guru pementasan teater muzikal, Rohani Yusoff (guru seni lakon) dan Rosminah Tahir (guru monolog), lakonan saya menunjukkan peningkatan," katanya.

Berkongsi kegembiraan di tempat kedua, Mohamad Ridzuan Hasbullah atau Reza Hasbi dengan undian keseluruhan 36.27 peratus diikuti pemenang ketiga, Abdul Hafiz Abdul Alim atau Indera Hafiz (31.59 peratus), Nabilah Ali Dally atau Nabila Dally (28.45 peratus) dan Nur Raihan Mat Zaki atau Wanina Zaki (26.67 peratus).

Lima lagi finalis Pilih Kasih ialah Zulin Aziz, Bea Rameshan, Diwan Nawi, Sofian Bujang dan Fiona Benard. Wanina turut menang Pelakon Wanita Terbaik manakala kategori lelaki diberikan kepada Sofian. Setiap peserta dinilai menerusi 50 peratus keputusan SMS penonton dan selebihnya diputuskan Rosyam selaku penerbit eksekutif.

Bagi Rosyam, dia tidak melihat faktor undian SMS penonton mempengaruhi keputusan peribadinya untuk memilih juara hingga pemenang kelima. Dalam membuat keputusan, dia turut mengambil kira pandangan pengkritik dalam membantu menilai lakonan setiap peserta.

Namun, ketika keputusan diumumkan, pengacara Raja Azura bersama Reza Mohamad terlebih dulu menyatakan keputusan SMS peserta yang ingin diumumkan sebagai pemenang dan tindakan itu dianggap tidak lagi memberi kejutan pada penonton.

"Saya akui itu kesilapan program ini kerana mengumumkan keputusan SMS terlebih dulu. Bagaimanapun, keputusan yang saya buat berdasarkan lakonan dari segmen berbeza iaitu drama, monolog dan pementasan teater muzikal.

"Secara keseluruhan, pencarian pelakon yang saya cari adalah mengikut pengalaman saya sebagai pelakon sejak lebih 25 tahun lalu. Perancangan selepas ini, semua pemenang akan terbabit dengan beberapa projek drama baru seperti drama khas Aidilfitri dan drama 26 episod iaitu Inspirasi Variasi yang menampilkan konsep seperti drama High School Musical.

"Untuk pemenang Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik, mereka juga akan berlakon dibawah Erma dalam satu drama baru yang akan diumumkan nanti. Saya juga bercadang mengambil semua 20 peserta akhir ini berlakon dalam satu filem terbitan bersama produksi saya dengan RTM.

"Perkara itu akan dibincang kemudian. Mengikut jumlah SMS penonton, saya beranggapan peserta program ini belum capai tahap 'kegilaan' ramai peminat.

"Sebelum ini, saya pernah lepaskan mereka pergi membeli-belah sendirian, tetapi khalayak belum cukup mengenali mereka. Mereka belum mendapat publisiti meluas di akhbar dan belum memenangi hati wartawan.

"Apa yang saya harapkan, mereka lebih utamakan disiplin untuk berjaya berbanding paras rupa. Mereka juga perlu bijak berdikari selepas ini untuk membina karier seni sendiri," katanya.

Ketika program ini berlangsung, Rosyam turut menyatakan program itu akan disambung dalam musim kedua pada masa akan datang.

Reza pula berkata, dia tidak kecewa dengan kekalahan di tangan Iqbal untuk bergelar juara walaupun menduduki tangga pertama ketika undian SMS penonton diumumkan terlebih dulu. Peserta berasal dari Taiping, Perak ini berazam membaiki diri dari aspek lakonan pada masa datang.

"Walaupun undi SMS saya tinggi, tetapi itu adalah pilihan peminat. Saya terbuka dalam menerima keputusan ini.

"Bagi saya, cabaran paling sukar adalah untuk segmen monolog. Sejak menyertai program ini, saya tidak mempunyai sebarang pengalaman berlakon, tetapi kini saya gembira dengan ilmu yang saya terima.

"Selepas ini, saya tidak mahu terburu-buru dalam mengejar impian menjadi pelakon berjaya. Sebaliknya, saya akan pertimbangkan tawaran yang hadir dan buat keputusan dengan bijak," katanya.

Keputusan:

Juara: Muhammad Iqbal Mazlan

Kedua: Mohamad Ridzuan Hasbullah (Reza Hasbi)

Ketiga: Abdul Hafiz Abdul Alim (Indera Hafiz)

Keempat: Nabilah Ali Dally (Nabila Dally)

Kelima: Nur Raihan Mat Zaki (Wanina Zaki)

Pelakon Lelaki Terbaik: Mohamad Sofian Bujang

Pelakon Wanita Terbaik: Nur Raihan Mat Zaki (Wanina Zaki)

No comments: