Tuesday, August 18, 2009

Belasungkawa (1954 -2009): Sepi seorang pelawak

Belasungkawa (1954 -2009): Sepi seorang pelawak

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Param

Param meninggal Jumaat lalu akibat serangan sakit jantung

PERTEMUANNYA dengan pelawak R Jaafar di pekan Tampin mengubah kehidupan seorang insan bernama Param. Daripada seorang pekerja biasa di Pejabat Belia di Negeri Sembilan, Param mula dikenali sebagai pelawak dan pelakon yang sentiasa saja menceriakan kehidupan kita di sekitar tahun 80-an.

Bersama pelawak lain seperti AR Badul, Yahya Sulong, Allahyarham Yusni Jaafar dan Allahyarham R Jaafar, Param sentiasa saja memenuhi jemputan membuat persembahan sama ada di pentas kecil atau di skrin TV.

Tetapi itu cerita 33 tahun lalu. R Jaafar dan Yusni sudah tiada kerana terlebih dulu menyahut panggilan Ilahi. Jumaat lalu pula, Param pun pergi jua akibat sakit jantung di Hospital Kuala Lumpur ketika khalayak hiburan masih lagi menangisi pemergian Allahyarham Yasmin Ahmad dan vokalis kumpulan Rabbani, Ustaz Asri.

Penderitaannya berdepan dengan penyakit itu sejak 1992 lagi. Namun sakitnya itu tidak pernah menghalang Param memenuhi majlis hiburan walaupun terpaksa berkerusi roda. Baginya hidup mesti diteruskan dan penat lelah rakan dalam hiburan perlu diberi sokongan biarpun dirinya sendiri serba kekurangan.

Mengimbas kembali sisi kerjaya seni, anak kelahiran Negeri Sembilan ini mula meredah liga seni pada 1976 sewaktu bekerja di Pejabat Belia, Tampin. Radio Televisyen Malaysia (RTM) Melaka yang memanggilnya untuk diuji bakat sebelum muncul di kaca TV.

“Mereka tanya saya, kau nak masuk TV tak. Siapa yang tak nak masuk TV? Saya pun pergilah ke uji bakat terbabit. Namun, hanya selepas dua tahun barulah bakat saya benar-benar diuji. Itu pun secara tak sengaja apabila Allahyarham R Jaafar terjumpa saya di Pekan Tampin,” katanya.

Kali terakhir beliau muncul di layar perak ialah menerusi filem Salah Bapak yang diarahkan AR Badul pada tahun 2006. Filem itu menampilkan deretan pelakon baru dan lama seperti Hamid Gurkha, AR Badul, Latiff Ibrahim, Umie Aida, Saiful Apek, Ilya, Aida Rahim dan Jaafar Onn.

Antara filem lain yang pernah dibintanginya ialah Penyamun Tarbus, Si Luncai, Si Badul dan Anak Tunggal. Mendiang turut dikenali menerusi siri Hang Setia yang pernah disiarkan di RTM sekitar 80-an. Ketika masih hidup selain terkenal dengan sikap humor, beliau seorang pelakon yang sangat menyenangkan.

Senyuman manis sentiasa terukir di bibirnya dan membuatkan sesiapa pun yang dekat dengannya akan berasa senang hati. Beliau juga cukup ringan tangan menghulurkan bantuan. Sakit yang dialaminya bukan alasan untuk beliau terus berduka, bahkan semangatnya cukup kuat.

Rasa bangga sebagai anak seni memang menebal dalam dirinya. Malah Hip difahamkan Param mengumpul keratan akhbar dan majalah yang pernah memberi ruang kepadanya. Kata kakaknya, Sarah, dia berbuat demikian kerana mahu memudahkan rakan wartawan yang datang membuat liputan jika dia sudah tiada.

Begitulah Param sehinggalah minggu lalu, keadaan kesihatan pelawak yang cukup fasih berbahasa Melayu serta mampu bertutur loghat Negeri Sembilan ini berada dalam keadaan tidak stabil.

Difahamkan Param mengadu mengalami kesukaran untuk bernafas sejak jam 5 pagi lagi dan dikejarkan ke hospital terbabit. Selang sejam, anak bongsu daripada lima beradik dan tidak pernah berkahwin itu gagal diselamatkan. Begitulah sepi seorang pelawak! Akhirnya, Ahad lalu Param disemadikan di Hindu Krematorium, Cheras. Selamat tinggal Param!

No comments: