BELASUNGKAWA PARAM (1953 - 2009): Bujang ke akhir hayat
Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my
BUKAN mudah buat orang ketawa, tetapi sebagai pelawak itulah kerja mereka untuk menghiburkan orang dengan lawak jenaka hingga membuatkan orang pecah perut.
Tidak hairanlah pada zaman 50-an dan 60-an serta 70-an dan 80-an, kehadiran pelawak cukup penting sama ada di filem, pentas dan televisyen hingga muncul pelawak hebat seperti Datuk Aziz Sattar, S Shamsuddin, AR Tompel, Wahid Satay, Mat Sentul, AR Badul, R Jaafar, Param, Datuk Jamali Shadat, Yahaya Sulong, Yusni Jaafar, Hamid Gurkha, Piee, Accapan, Salih Yaccob, Jalil Hamid, Harun Salim Bachik, Ali Mamak, Norlia Ghani, Os, Sabri Yunus dan Imuda.
Bagaimanapun, zaman berubah apabila era 90-an, kehadiran pelawak dianggap kurang penting malah kurang mendapat peluang menjayakan persembahan pentas. Zaman kehebatan pelawak tidak seperti dulu apatah lagi dengan kehilangan seorang demi seorang pelawak seperti R Jaafar, AR Ayappan dan Yusni Jaafar.
Semalam, kita kehilangan seorang lagi bintang lawak apabila Param atau nama sebenarnya, P Paramasivam meninggal dunia jam 5.45 pagi semalam kerana sesak nafas ketika usia 56 tahun.
Param yang pernah menjalani pembedahan pintasan jantung (bypass) di Institut Jantung Negara (IJN) pada 10 Februari 2007, dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 5 pagi semalam apabila mengadu sesak nafas dan meninggal dunia dalam perjalanan.
Anak bongsu daripada lima beradik dan mempunyai saudara kembar, Parameswara, hidup membujang sampai akhir hayat.
Param antara pelawak bukan Melayu yang menjadi perhatian selain Ayappan, Accapan dan Sathiya. Pelawak kelahiran Bukit Baru, Melaka pada 25 November 1953 mula dikenali selepas menyertai Bakat TV anjuran RTM pada 1974.
Ketika itu Param membuat persembahan lawak diselang-selikan nyanyian bahasa Tamil. Ramai orang ketawa melihat aksinya, tetapi tidak berjaya dalam pertandingan itu. Bagaimanapun, RTM memberi peluang kepadanya mengasah bakat melalui rancangan hiburan terbitannya.
Mulai saat itu, Param sering muncul di televisyen bersama barisan pelawak seangkatan dengannya seperti A R Badul, R Jaafar, Yahaya Sulong, Ayappan, Hamid Gurkha dan Jamali Sadat.
Param juga sering digandingkan dengan R Jaafar. Panggilan manja Param untuk R Jaafar, 'Paaa' bagaikan panggilan buat kekasih, cukup disinonim dengannya. Mereka juga seperti adik-beradik apabila di pentas dan setiap lawak mereka pasti menjadi.
Selepas ditinggalkan kawan baiknya, R Jaafar yang meninggal dunia pada 15 September 1995, Param terpaksa berehat selepas menjalani pembedahan bagi memulihkan urat sarafnya yang tersepit antara tulang belakang kerana terjatuh ketika menyaksikan perlawanan hoki di Stadium Hoki Tun Razak pada 1992.
Pada 10 Februari 2007, Param dimasukkan ke IJN selepas mengadu semput dan sesak nafas. Dalam keadaan dirinya tidak mampu bekerja, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) membantunya sebagai antara penerima Skim Bantuan Artis Veteran dengan RM500 sebulan.
Dalam artikel 'Jenaka Param dalam sakit' yang disiarkan Harian Metro pada 22 Februari 2007, Param mengakui tetap mengikuti perkembangan dunia hiburan tempatan terutama bidang komedi.
Katanya, program televisyen yang tidak pernah ketinggalan ditontonnya ialah Raja Lawak yang diperkenalkan Astro tahun itu.
"Saya tak suka Raja Lawak. Cakap pun tak betul, macam mana nak jadi Raja Lawak. Raja Lawak tu gelaran untuk orang-orang macam AR Badul, Datuk Jamali Shadat, Aziz Sattar dan Ahmad Nesfu.
"Orang baru ni mana boleh jadi Raja Lawak. Takkanlah buat beberapa episod program tu sudah dapat title macam tu. Tak sesuai tajuk Raja Lawak tu. Entahlah, nanti Astro marah saya pulak. Tapi tak apa saya tegur saja, jangan ambil hati," katanya.
Pada 6 Mac lalu, Param berpeluang muncul dalam Raja Lawak musim ketiga apabila finalisnya, Mohd Amirullah Azmi, 20, (Amir) yang popular dengan tagline I'm Sorry, berkunjung ke rumahnya untuk berkenalan lebih dekat sebagai pelawak idolanya itu sekali gus mendapatkan tip untuk berentap di peringkat akhir.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment