Saturday, August 15, 2009

Industri nasyid hilang seri

Industri nasyid hilang seri

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

INSAN yang baik, membuatkan kita selalu terkenangkannya. Biarpun jasadnya sudah tiada, namanya terus menjadi sebutan dan kebaikannya menjadi sanjungan.

Begitulah diibaratkan dengan pemergian vokalis utama kumpulan nasyid popular negara, Rabbani, Mohd Asri Ibrahim, 40, yang kembali ke rahmatullah, pagi kelmarin kerana serangan jantung.

Ketiadaannya amat dirasai rakan dan mereka yang pernah bekerja dengannya. Dikurniakan sekeping hati yang tulus ikhlas, bapa kepada enam cahaya mata itu akan terus subur dalam kenangan.

Bekas penyanyi kumpulan Raihan, Nazrey Johani, berkata, dia mengenali Allahyarham lebih 16 tahun lalu dan begitu senang bergaul dengannya.

"Kematian Asri amat mengejutkan kerana ia datang tiba-tiba. Sebelum ini pernah saya terfikir macam mana dengan Rabbani andainya Asri tiada. Tidak sangka pula waktu itu datang begitu pantas pada hari ini (Khamis).

"Cara kematian Asri mengingatkan saya kepada Allahyarham Azahari Ahmad (Zairie) yang juga rebah sebelum meninggal dunia di Genting Highlands ketika menghadiri majlis Anugerah Era.

"Bagaimanapun, sebagaimana kumpulan Raihan pernah melalui zaman gerhana itu, saya yakin kumpulan Rabbani dapat melaluinya. Cuma mereka perlu menjadi lebih kuat daripada dulu. Pemergian Asri yang tiba-tiba itu juga mengingatkan kita mengenai kematian yang akan datang pada bila-bila masa dan sebagai hamba-Nya, adakah kita cukup bersedia untuk kembali menemui-Nya.

"Asri dianugerahkan sifat yang amat baik, lemah lembut dalam pergaulan, tidak pernah marah dan selalu berbaik sangka. Kehilangan Asri tiada pengganti kerana Allah SWT mencipta manusia itu satu saja. Asri memang tiada duanya. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan mereka yang soleh," katanya.

Anggota kumpulan Raihan, Che Amran Idris, hanya mampu menitiskan air mata tatkala menerima perkhabaran Asri sudah tiada. Bagaikan tidak percaya insan yang menjadi ikon kepada semua kumpulan nasyid tanah air pergi dulu menghadap Ilahi.

"Sukar terima kenyataan Asri sudah tiada. Kami kenal lama. Saya membesar bersama lagu nyanyiannya. Ketiadaan Asri membuatkan industri nasyid tiada seri. Allahyarham nadi utama kepada lagu nasyid tanah air.

"Benar seperti kata pepatah, yang patah akan tumbuh dan hilang akan berganti, namun bagi saya Asri tiada galang gantinya. Meskipun Asri tiada lagi bersama kita, saya yakin masyarakat akan terus mengingatinya sebagai pejuang Islam menerusi lagunya.

"Semua kumpulan nasyid pun turut didakwahkan dengan lagu yang disampaikannya. Malah Asri sendiri seorang ikon tulen, tidak pernah sombong dan bangga diri.

"Beliau tidak kisah berkongsi makan di pinggan yang sama. Pernah saya makan rojak, Asri menghirup kuahnya. Antara kenangan terakhir bersamanya, Raihan dan Hijjaz berkongsi pentas dengan Rabbani menjayakan Konsert Antara Dunia di Stadium Malawati, Shah Alam, 1 Ogos lalu selepas lebih lima tahun kami tidak berkolaborasi pada persembahan yang besar seperti itu," katanya.

Asri pengsan ketika hendak memulakan latihan sebelum sidang media dan pelancaran program Syahadah di Angkasapuri, jam 10.30 pagi dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Pantai, Bangsar dan disahkan meninggal dunia jam 11 pagi ketika usia 40 tahun.

Ramai rakan-rakan kumpulan nasyid menziarah jenazahnya seawal jam 11 pagi di hospital itu. Asri yang meninggalkan balu, Noor Jannah Shahadan, 39, dan enam anak, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lancong, Seksyen 28, Shah Alam, selepas solat Maghrib.

Sementara itu, pemuzik terkenal, Ramli MS menganggap Asri sebagai 'tidak tahu' hendak marah orang. Jika diminta menegur artis yang sedang merakamkan lagu, dia beristighfar dan tersenyum.

"Asri mempunyai suara yang sangat sedap yang saya ibaratkan datang dari langit. Allahyarham kawan yang baik. Saya biasa mendengar orang menyanyi, tetapi saya boleh terus mendengar Asri menyanyi sampai habis. Beliau ibarat sebutir bintang yang menerangi semesta alam.

"Pernah saya minta kopiah tarbus yang dipakainya. Dia hendak berikan saya yang baru, tetapi saya mahukan kopiah di atas kepalanya itu. Saya akan terus mengingati insan yang bernama Mohd Asri Ibrahim kerana kehilangannya tiada pengganti," katanya.

No comments: