SETELAH sepuluh minggu menghadapi pelbagai kesukaran mempelajari teknik lakonan, akhirnya 10 peserta program realiti Pilih Kasih disatukan dan bakal berentap di Pentas Akhir Pilih Kasih.
Misinya, tidak lain hanyalah untuk merebut gelaran juara sulung pertandingan itu yang akan berlangsung esok (Ahad, 16 Ogos) di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban, Negeri Sembilan.
Pertandingan itu akan disiarkan secara langsung di TV2 pada pukul 8.30 malam.
Sepuluh peserta yang akan memperlihatkan bakat mereka ialah Muhammad Iqbal Mazlan, 20 (Iqbal Mazlan); Farah Azleenda Abdul Aziz, 20 (Zulin Aziz); Nabila Ali Dally, 18 (Nabila Dally); Abdul Hafiz Abdul Alim, 25 (Indera Hafiz)dan Rabiatul Balqis Rameshan, 21 (Rea Rameshan).
Mohamad Redzuan Rosli, 19 (Diwan Nawi); Mohamad Sofian Bujang, 24 (Sifian Bujang); Nur Raihan Mat Zaki, 21 (Wanina Zaki); Mohamad Ridzuan Hasbullah, 20 (Reza Hasbi) dan Laurendia Fiona Bernard, 21 (Fiona Benard).
Juara pertandingan itu bakal memenangi hadiah utama berupa sebuah kereta Naza Suria, wang tunai RM10,000 beserta trofi.
Hadiah turut diberikan kepada pelakon lelaki dan wanita terbaik Pilih Kasih.
Konsep pemarkahan
Ketika ditemui pada sidang media Pentas Akhir Pilih Kasih di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini, Rosyam mengakui bahawa dia tiada sebarang prejudis mahupun bersikap kompromi dalam menilai bakat peserta pilih kasih.
"Saya melihat kepada kesungguhan dan persembahan mereka pada malam tersebut. Hanya yang terbaik layak bergelar juara.
"Saya tiada sebarang kompromi mahupun bersikap pilih kasih sebab apa yang saya mahukan, ialah pelakon-pelakon yang dilahirkan menerusi program ini mestilah berbakat.
"Apa yang boleh saya katakan, malam akhir nanti adalah malam penentuan buat mereka. Jika gagal membuat persembahan dengan baik pada malam tersebut, sukar bagi mereka bergelar juara," katanya.
Kata Rosyam lagi, format pemarkahan 50-50 itu sebagai memberi keadilan kepada kesemua peserta Pilih Kasih di peringkat akhir nanti.
"Undian SMS belum boleh menentukan kecenderungan bakat yang dimiliki oleh mereka sebab itu saya rasa bakat perlu seiring dan menyerlah.
"Sehingga malam akhir itu nanti, saya harap tidak ada di antara mereka yang berasa selamat. Apa yang dinilai oleh saya bukan hanya bakat dan kualiti tetapi keseluruhan termasuk penampilan dan juga budi bahasa," kata pelakon filem Castello itu lagi.
Menurut Rosyam, kesemua finalis Pilih Kasih bakal diberi peluang dalam beberapa drama malah bakal diberi bimbingan lakonan untuk tempoh setahun.
Selama tiga bulan, kata Rosyam, dia melihat peningkatan demi peningkatan dan kebolehan para peserta sehingga berjaya tersenarai sebagai 10 peserta akhir.
"Saya lihat kesemua mereka ini ada kebolehan dan masa depan yang cerah dalam bidang lakonan. Selama tiga bulan saya melihat mereka diasuh dengan pelbagai teknik lakonan.
"Siapa yang tidak sedih ketika terpaksa memilih dan menyingkirkan peserta-peserta Pilih Kasih. Mungkin apabila keluar nanti hanya beberapa peserta sahaja yang berjaya menyerlah. Itu memang sudah menjadi adat pertandingan realiti.
"Sebab itu kalau boleh saya mahu mereka cuba mencuri sebanyak mana peluang yang ada dan kekalkan sikap sederhana dalam membina nama serta populariti.
"Buat tempoh terdekat mereka perlu menjadi pelakon untuk rancangan-rancangan serta drama terbitan RTM. Selepas setahun, mereka berhak memilih mana-mana jalan untuk mereka terus berjaya dalam lakonan," katanya.
Pada 19 Ogos nanti, 10 finalis Pilih Kasih bakal memulakan rakaman untuk sebuah muzikal hari raya yang bakal disiarkan di RTM Syawal nanti.
Malah, bagi pemenang pelakon lelaki dan wanita terbaik pula, akan diberi peluang memegang watak utama dalam drama 26 episod arahan Erma Fatima.
No comments:
Post a Comment