Saturday, August 15, 2009

'Saya pilih peserta berdasar bakat'

'Saya pilih peserta berdasar bakat'

Oleh Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com.my

DEBARAN Anak Wayang sudah melabuh tirainya akhir Julai lalu dan menyaksikan Hairi bergelar juara, kini saingan hebat program realiti lakonan itu, Pilih Kasih berada di ambang kemuncak selepas beberapa minggu bersiaran.

Bermula dengan 20 peserta dan beberapa proses penyingkiran dilakukan, hanya 10 finalis layak ke peringkat akhir program realiti berkenaan untuk merebut gelaran juara.

Bakal berlangsung esok Ahad, pertandingan akhir Pilih Kasih disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM 2 dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban, Negeri Sembilan.

Peserta yang layak ialah Iqbal Mazlan, Zulin Aziz, Nabila Dally, Indera Hafiz dan Bea Rameshan.

Turut tidak ketinggalan Diwan Nawi, Sofian Bujang, Wanina Zaki, Reza Hasbi dan satu-satunya peserta bukan Islam, Fiona Benard.

Sudah tentu bukan mudah menentukan juara pertama program realiti julung kali terbitan syarikat Rosyam, Suhan Movies & Trading itu.

Berdasarkan kepada corak penjurian, 50 peratus adalah kuasa penonton menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan selebihnya bergantung kepada keputusan Rosyam Nor sendiri.

Justeru, biarpun peserta itu mendapat undian tinggi namun jika tidak terpahat kesukaan di hati Rosyam, dia akan terkeluar daripada terus beraksi.

Merujuk kepada kuasa veto Rosyam, akhirnya ramai membuat spekulasi pelakon ini mengamalkan sikap ‘favouritism’ dalam soal penyingkiran peserta.

Program yang sentiasa dihambat kontroversi ini turut merungkai kepada persoalan sinis di mana Rosyam akan terus mengamal sikap berat sebelah di malam akhir pertandingan.

Semuanya bermula apabila salah seorang finalis Pilih Kasih, Zulin selalu terselamat dari disingkirkan biarpun markahnya berada di kedudukan terendah.

Mengulas lanjut mengenai komen itu, Rosyam menafikan sekeras-kerasnya yang dia mengamal sikap '’favouritism’ dalam penyingkiran peserta.

Baginya, keputusan yang dibuat merangkumi semua aspek dan bukan hanya tertumpu pada bakat lakonan.

“Saya tahu perkara ini akan terus diungkit dan diperkatakan. Pemilihan Zulin sebagai finalis akhir Pilih Kasih adalah berdasarkan persembahan dia yang berbakat untuk diketengahkan sebagai pelakon.

“Kalau dikatakan saya berat sebelah dalam proses penyingkiran, kamu semua boleh lihat yang Zulin bukannya lawa sangat pun, malah badan dia juga berisi.

“Dari sistem penjurian SMS, kesalahan memilih mereka berbakat boleh terjadi kerana penonton akan mengundi peserta yang menjadi kesukaan.

“Saya tidak mahu perkara itu berlaku dalam Pilih Kasih dan ingin mereka yang layak saja mara ke peringkat akhir.

“Biarpun Zulin tidaklah lawa sangat tetapi dia berupaya menjiwai watak dengan baik. Disebabkan itulah, saya selalu selamatkan dia kerana yakin boleh pergi jauh,” kata Rosyam ketika sidang media di majlis makan malam finalis akhir Pilih Kasih di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, baru-baru ini.

Pada malam akhir pertandingan Pilih Kasih, keperibadian peserta merangkumi aspek budi bahasa, kesopanan dan bagaimana mereka membawa diri akan dititikberatkan selain dari bakat lakonan.

Sekiranya sebelum ini, Rosyam menguarkan Pilih Kasih diadakan untuk mencari lima pelakon untuk lima watak utama dalam filem Kekasih, kini ditukar pula kepada pemberian hadiah.

“Mereka tidak terkenal lagi jadi susahlah sekiranya terus berlakon ke layar perak.

“Lagipun, salah satu faktor utama yang menarik orang ramai berkunjung ke pawagam adalah faktor populariti. “Jadi, lima terpilih bakal membawa pulang hadiah lain. Namun, saya tidak mahu umumkannya lagi.

“Bagi anugerah Pelakon Lelaki/Wanita Terbaik akan dinilai oleh lima juri iaitu Along Kamaruddin, Amie Maziah, Rohani Yusuff dan Rosmina Tahir. Mereka yang memenangi anugerah ini berpeluang membintangi drama 26 episod arahan pelakon dan pengarah, Erma Fatimah,” katanya.

Mengenai ramalan siapa bakal mengungguli juara Pilih Kasih, Rosyam enggan berbicara lanjut berkaitan perkara itu. Baginya, setiap dari 10 finalis itu berpotensi besar untuk merebut gelaran juara malah dia sendiri sukar menidakkan bakat mereka.

“Saya tidak mahu meneka siapa terbaik atau siapa juaranya. Kalau hendak tahu keputusan, tunggulah Ahad nanti,” beritahu Rosyam.

Peserta yang sentiasa mendapat undian tertinggi setiap minggu, Diwan Nawi atau nama sebenarnya Mohammad Redzuan Rosli, 19, dijangka memberi saingan sengit kepada rakan seperjuangannya di malam akhir pertandingan itu nanti. Peserta berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini berkata, dia mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugasan akhir yang akan dipersembahkan pada malam final nanti.

“Saya menyertai program ini bukan saja kerana minat tetapi yang penting ingin membantu keluarga serta tidak ada niat meraih populariti. Sebagai persediaan ke final, saya akan cuba untuk hindarkan diri daripada terlalu tertekan. Bagi saya, kalau tertekan sangat boleh buat orang hilang fokus. Jadi, saya cuba untuk hadapi semuanya dengan tenang,” kata Diwan.

Sekiranya Diwan sentiasa meraih undian tertinggi, Wanina Zaki, 21, pula dilihat sebagai pencabar utama kerana persembahannya sering mendapat pujian juri. Walaupun tidak mendapat undian memuaskan, namun itu tidak menghalang peserta dari Kuala Kemaman, Terengganu ini berputus asa berjuang untuk bergelar juara Pilih Kasih.

“Saya tahu bukan saja saingan semakin sengit malah tugas diberikan pun cukup mencabar. Tidur pun tidak cukup dan keadaan semakin tertekan. Tetapi, inilah yang saya pilih dan ingin jadikan sebagai karier. Perihal undian rendah, akan saya jadikan ia sebagai semangat untuk membaiki kelemahan diri.

“Dalam masa suntuk ini, saya amat menekankan penjiwaan watak. Tanpa penjiwaan watak berkesan, penonton serta juri tidak akan gembira atau seronok menonton lakonan saya nanti. Jadi, berbekalkan pengetahuan yang ada akan saya gunakan di malam final nanti,” katanya.

No comments: