Saturday, August 15, 2009

Hayden tidak kisah berbogel

Hayden tidak kisah berbogel




CANTIK dan berkeyakinan tinggi, Hayden Panettiere dengan cepat telah mengukuhkan dirinya sebagai salah seorang pendatang baru yang cemerlang di Hollywood. Terima kasih kepada siri Heroes yang bertanggungjawab memulakan tapak karier Hayden.

Dilahirkan di Palisades, New York pada 21 Ogos 1989, Hayden Leslie Panettiere mula menceburi dunia hiburan dengan penglibatan dalam iklan ketika berusia 11 bulan. Kemudian pada usia empat tahun setengah, dia melibatkan diri dalam siri One Life to Live sehingga tahun 1997.

Sejak itu, dia telah muncul berulang kali dalam filem dan TV. Namun, apa yang membuatkan dia dikenali dunia barangkali adalah wataknya sebagai Claire untuk siri popular, Heroes (2006), manakala filem yang membantu komersialkan Hayden termasuk Remember the Titans (2000) bersama Denzel Washington dan Joe Somebody (2001) dengan Tim Allen.

Terbaru, Hayden terlibat dalam filem komedi, I Love You Beth Cooper yang diadaptasi daripada novel popular. Filem itu menceritakan mengenai dua pelajar dari Sekolah Tinggi Buffalo Grove, Dennis Cooverman (Paul Rust) dan Beth Cooper (Hayden). Dennis memiliki masa depan yang cerah tetapi keadaan berlainan berlaku kepada Beth.

Namun, situasi mula berubah pada hari graduasi apabila Dennis secara lantang memberitahu kepada khalayak ramai, 'Saya cintakan kamu, Beth Cooper.' Sementara Dennis merupakan pelajar naif yang tidak pernah merasai keseronokan institut pengajian tinggi, Beth merupakan pelajar popular.

Maka, disebabkan teruja dengan apa yang diluahkan oleh Dennis, Beth membuat keputusan untuk membawa Dennis menjalani kehidupan yang dia tidak pernah lalui. Melanggar peraturan, memusnahkan harta benda, mengambil alkohol secara berlebihan, bergaduh, memandu secara laju dan bergaul dengan wanita. Itu semua belum pernah dilakukan oleh Dennis.

Pengarahnya, Chris Columbus amat bertuah kerana berjaya mendapat pelakon yang sempurna untuk watak Beth Cooper, Hayden. Walaupun sibuk dengan siri Heroes musim keempat, Hayden meluangkan masa untuk mengambil watak itu. Apa yang menarik perhatian Hayden adalah lapisan perbezaan watak Beth yang membolehkan dia berlari seketika daripada imej Heroes.

Ikuti petikan temu bual bagi mendalami filem, kehidupan dan prinsip hidup Hayden.

Adakah watak anda itu, Beth Cooper, boleh dikaitkan dengan diri anda?

HAYDEN: Rasanya. Ia adalah seperti metafora walaupun secara spesifik saya tidak pernah melalui kehidupan sepertinya. Dia tidak mempunyai keyakinan diri dan tidak mempercayai dirinya. Saya tahu diri saya juga tidak mempunyai keyakinan diri. Itu mungkin persamaan saya dengan watak itu.

Seperti apa?

Seperti kurang keyakinan terhadap imej badan saya. Apabila usia bertambah, saya menjadi lebih selesa dengan badan saya. Tetapi ada kalanya, saya tidak rasa badan saya hebat. Saya merasa gemuk dan perlu memakai pakaian besar untuk menutup badan saya.

Tapi anda kelihatan menarik. Ia adalah sukar untuk percaya hanya anda juga kurang keyakinan diri. Anda banyak bersenam?

Sebenarnya saya bukannya salah seorang daripada mereka yang terlalu obses bersenam untuk menjadi kurus. Itu bukan cara saya tetapi saya sentiasa cuba untuk kekal sihat. Namun, ia bukan mudah apabila ada orang berdiri di belakang anda dengan kamera di kawasan pantai dan merakamkan gambar anda.

Mereka akan menunjukkan bahagian gemuk atau cuba untuk menambahkan kegemukan anda. Maksud saya, anda akan menjadi lebih kritikal terhadap diri anda kerana berada dalam posisi yang dinilai dan diteliti. Itulah cara hidup selebriti.


PERCINTAAN pada alam persekolahan yang penuh dengan kelam-kabut menjadi mesej filem terbaru Hayden.


Ceritakan sedikit mengenai tatu anda telah salah dieja. Bagaimana ia boleh berlaku?

Ya. ia salah dieja tapi siapa yang peduli? Apa yang boleh saya lakukan? Saya hanya boleh ketawa apabila melihatnya. Saya boleh membuangnya tetapi belum terfikir untuk melakukannya. Berkemungkinan besar saya akan memperbaikinya. Nasib baik, saya mencacah tatu itu di bahagian belakang dan kini saya tidak perlu melihatnya sepanjang masa.

Apa yang menarik perhatian untuk terlibat dalam filem itu selain bekerja dengan Chris Columbus? Apa yang menarik mengenai watak anda? Adakah anda perlu melakukan banyak aksi?

Saya lakukan seberapa banyak yang mereka benarkan. Membesar sebagai atlet, saya sukakan sukan tetapi tidak lagi boleh aktif seperti zaman persekolahan. Jadi melakukan aksi adalah seperti sukan bagi saya.

Bagaimana dengan babak mandi dalam bilik lokar? Adakah anda betul-betul berbogel?

Ya. Tapi ia sedikit pun tidak mengganggu saya. Rasanya apabila orang yang melakukannya (bogel) berasa tidak selesa dan malu, orang di sekeliling akan menjadi lebih malu dan tidak selesa. Namun, saya selesa dan para krew amat profesional.

Rasanya ramai peminat dan lelaki yang sering meluahkan perasaan cinta terhadap anda. Bagaimana anda tahu jika seseorang itu jujur atau jika seseorang itu menyukai anda kerana populariti sebagai selebriti?

Selepas beberapa pengalaman, saya sudah bagus dalam membaca pemikiran orang. Namun, bagaimana anda boleh begitu pasti? Apa yang penting adalah saya mempercayai naluri saya.

Ciri-ciri lelaki yang anda suka?

Dia perlu menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi untuk bersama saya kerana karier saya. Kami perlu keluar dan bersosial dengan orang dan dia perlu mengetahui batasan karier dan kehidupan peribadi saya. Selain daripada itu, saya juga sukakan seseorang yang boleh memahami sifat humor saya kerana ada kalanya saya suka merapu.




Semasa muda, siapakah idola anda tidak kira dalam industri lakonan atau muzik?

Saya mengagumi ramai orang sebagai pelakon. Contohnya seperti Meryl Streep. Dia seorang aktres yang hebat, bijak dan yakin. Saya mahu menjadi seperti dia, menjadi seorang pelakon berkaliber.

Dalam filem itu, percintaan pada zaman sekolah tinggi kelihatan huru-hara dan sukar. Adakah anda lebih rela untuk bercinta pada zaman sekolah atau di Hollywood?

Saya tidak tahu. Kedua-duanya amat teruk. Di Hollywood, mereka tidak akan membenarkan anda bercinta dan berseronok seperti seorang remaja. Saya tidak boleh lepak dengan sesiapa sahaja kerana sejurus selepas itu, spekulasi akan timbul.

Bagaimana anda berdepan dengan impak yang diperoleh sejak siri Heroes ditayangkan? Adakah keadaannya lebih senang sekarang?

Saya tidak rasa anda boleh menyediakan diri untuk semua populariti itu. Saya sebenarnya amat bertuah kerana memiliki keluarga yang hebat serta berjaya berada di tahap ini. Menjadi tumpuan pada usia muda, saya mungkin akan terkandas jika bukan disebabkan perhatian yang diberikan oleh keluarga saya.

Ditambah dengan para pelakon lain yang banyak memberi sokongan, saya juga menjadikan pelakon lebih senior sebagai contoh. Saya lihat bagaimana mereka berdepan dengan populariti dan impak kejayaan Heroes.

Berapa banyak lagi siri Heroes yang akan diterbitkan?

Kini kami sedang merakamkan musim keempat. Saya tidak berapa pasti berapa banyak lagu tetapi kami telah menandatangani kontrak selama enam tahun.

Jadi apa akan terjadi kepada watak Claire dalam siri itu?

Dia berada di kolej sekarang dan mempunyai rakan sebilik. Saya tidak berapa mengenali dia pada mulanya. Terdapat sekumpulan orang baru yang dipanggil The Carnival dan mereka bertentangan dengan The Company.


HAYDEN percaya bahawa kasih sayang dan pemahaman keluarga banyak membantu perkembangan kerjayanya.


Adakah anda berasa penat dengan watak anda dalam Heroes? Sudah empat tahun anda memegang watak yang sama. Adakah anda ingin melepaskan watak itu sekarang?

Tidak kira dalam filem, TV atau teater, kesemuanya mempunyai aspek baik dan buruk. Filem amat menarik kerana anda berpeluang untuk mencuba pelbagai watak dan melancong banyak tempat. Jadi anda tidak akan berasa penat. Dengan TV, saya berpeluang untuk menghabiskan masa empat tahun untuk satu watak dan sudah mengenali 'dia' serta membesar dengan watak itu.

Ya, saya teruja untuk melakukan benda-benda lain tetapi juga gembira dengan apa yang saya lakukan sekarang. Jika berlakon dalam teater pula, ia memberikan ruang kepada anda untuk memperbaiki diri pada setiap persembahan. Semuanya adalah aspek berbeza dalam lakonan.

Projek akan datang?

Selain daripada filem itu, seperti yang saya katakan, saya sedang merakamkan Heroes musim keempat. Saya juga dalam proses mencari idea untuk projek baru di studio untuk program TV dan menerbitkannya.

Sebagai penerbit atau anda ingin mengarah?

Saya ingin cuba untuk mengarah jika berpeluang supaya dapat berehat dari dunia lakonan. Saya ingin menghabiskan sedikit masa dan tenaga untuk benda lain.

Adakah berlakon sesuatu yang menyeronokkan untuk anda?

Pastinya. Jika tidak mengapa saya perlu melalui semua benda itu? Maksud saya, ketiadaan masa peribadi adalah benda yang paling teruk dalam industri ini. Ramai yang berpendapat bahawa apa yang kami lakukan adalah senang. Ia cuma satu kerja. Tapi adakah saya ingin bangun setiap pagi dan pergi ke lokasi penggambaran? Tidak. Ada kalanya saya juga mempunyai perasaan malas. Namun, saya suka apa yang saya lakukan sekarang.

Apa yang anda paling suka mengenai kerjaya anda?

Bahagian yang paling menyeronokkan? Saya selalu suka mengembara, bekerja dengan orang baru serta mempelajari benda baru setiap hari. Setiap kali saya bekerja dengan seseorang dan mengembara ke tempat berlainan serta memegang watak berbeza, saya mendapat pengalaman baru.

No comments: