Saturday, August 15, 2009

@Sinepleks: Filem Setem terus bertahan

@Sinepleks: Filem Setem terus bertahan

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff


POSTER yang pasti menggamit ramai penggemar filem Setem berkunjung ke pawagam.

Episod terbaru Final Destination kekal seram

SEJAK diperkenalkan kepada penonton dunia pada tahun 2000, siri filem mengerikan, Final Destination, mencipta popularitinya sendiri sehingga ia dihasilkan juga dalam bentuk komik dan buku. Bermula dengan siri pertama, Final Destination, ia kemudian disusuli siri kedua dan ketiga, masing-masing pada 2003 dan 2006.

Siri filem ini mengisahkan bagaimana sekumpulan anak muda menjadi mangsa kepada tragedi membawa maut yang pernah dielak secara tidak sengaja, apabila seorang daripada mereka terlihat tragedi itu dalam minda mereka.

Dari segi kutipan juga, ketiga-tiga filem yang masing-masing diarahkan James Wong (filem pertama dan ketiga) dan David R Ellis sudah memungut sekitar RM1.1 bilion. Terbukti sebagai francais yang amat menguntungkan, filem edaran New Line Cinema (Warner Bros) itu terus dihasilkan untuk kali keempatnya, The Final Destination atau Final Destination 4.

Diarahkan sekali lagi oleh Ellis, filem yang menelan belanja kira-kira RM150 juta ini dijadualkan tayangannya di Malaysia pada 27 Ogos. Selain siri kedua filem terbabit, pengarah berusia 56 tahun dari Santa Monica, California itu pernah menghasilkan judul popular seperti Cellular (2004) dan Snakes on a Plane (2006).

Sebagaimana biasa, siri filem Final Destination tidak mengharapkan bintang ternama untuk melariskan judulnya. Sekali lagi, filem terbaru turut mengetengahkan rata-rata nama yang belum biasa didengar untuk menghidupkan cerita, seperti Bobby Campo, Shantel VanSanten, Haley Webb, Nick Zano, Krista Allen, Andrew Fiscella dan Jessica Ritchie.


Daripada barisan pelakon siri filem ini, hanya Ali Larter yang cukup popular menerusi siri Heroes, pernah ditampilkan sebanyak dua kali, menerusi Final Destination 1 dan 2.

Dalam versi terbaru, kisahnya bermula dengan seorang pemuda, Nick O’Bannon (Campo) yang mendapat bayangan mengerikan mengenai perlumbaan kereta yang bertukar menjadi medan perlanggaran dahsyat.

Pada kecelakaan yang dibayangkannya itu, kereta lumba berlanggar antara mereka, menyebabkan serpihan berterbangan ke tempat duduk penonton yang seterusnya membunuh rakan-rakan lelaki itu. Kekacauan itu juga membuatkan tempat duduk atas roboh ke atas Nick.

Lalu, apabila dia tersedar daripada ‘mimpi ngerinya’, Nick memujuk teman wanitanya, Lori (VanSanten) dan kawan mereka, Janet (Webb) serta Hunt (Zano), untuk meninggalkan tempat terbabit, beberapa saat sebelum bayangan ngeri yang singgah di kepala Nick menjadi nyata.

Terfikir apakah mereka sudah berjaya mengelak maut, kumpulan itu menarik nafas lega dan cuba meneruskan hidup. Namun, nampaknya semua itu hanyalah permulaan yang menakutkan bagi Nick dan Lori. Pada ketika bayangan di mindanya berterusan dan mangsa kemalangan mati seorang demi seorang, dalam keadaan amat menakutkan, Nick mesti mencari jalan untuk menipu ajal yang cuba menjemputnya sebelum dia sendiri sampai ke destinasi terakhir.

Berbeza dengan siri terdahulu, The Final Destination pasti menjanjikan pengalaman menonton yang lebih hidup atau lebih mengerikan apabila filem terbabit dihasilkan dalam bentuk 3D.

Bersedia untuk mengalami ketakutan paling sensasi tahun ini? Tunggu saja kehadiran filem sepanjang 82 minit ini apabila siri keempat Final Destination menjengah pawagam berdekatan anda sedikit masa lagi. Bagi mereka yang lemah semangat atau mempunyai potensi untuk sakit jantung, mungkin judul lain lebih sesuai untuk anda.

Sementara itu, filem Setem terus mempertahankan kedudukannya dalam sepuluh filem paling mendapat sambutan penonton apabila berada pada posisi keempat carta filem pecah panggung tempatan. Filem terbabit mula ditayangkan pada 30 Julai lalu.

Menerima ulasan yang positif daripada pengkritik, filem terbabit muncul judul komedi aksi pertama arahan Kabir Bhatia, yang sebelum ini cukup sinonim dengan filem romantik mengusik jiwa seperti Cinta dan Sepi.

Menghiasi filem terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd itu ialah Afdlin Shauki, Rashidi Ishak, Vanidah Imran, Que Haidar, Bront Palarae, Datuk Aziz Sattar serta ramai lagi pelakon undangan.

Setem turut menerima pengiktirafan pada Festival Filem Malaysia Ke-22 yang baru berlalu apabila judul berkenaan dinobatkan paling cemerlang dalam kategori suntingan, penataan seni dan sinematografi. Tentu sekali sebuah persembahan yang tidak mahu anda lepaskan, sebagai hiburan ringan seisi keluarga.

Carta pecah panggung:

1 - GI Joe: Rise Of The Cobra

2 - On His Majesty's Secret Service

3 - The Proposal

4 - Setem

5 - Overheard

6 - The Ghosts Of Girlfriends Past

7 - Harry Potter And The Half-Blood Prince

8 - Land Of The Lost

9 - Tracing Shadow

10 - The Taking Of Pelham 123

No comments: