Saturday, August 15, 2009

Perit jerih Nizam berbalas

Perit jerih Nizam berbalas


NIZAM (tengah) bersama penerbit albumnya, Othman Mohamed (kanan) dan Adam Ahmad yang menyumbang dua buah lagu dalam album sulungnya.


SUDAH lama dia mendambakan sebuah album bagi memperkasakan namanya di persada seni tanah air.

Namun, peluang itu tidak pernah hadir kepadanya, apatah lagi diberikan platform yang lebih besar untuk menonjolkan bakatnya.

Dia memiliki pengalaman berpuluh-puluh tahun menyanyi di kelab-kelab malam dan juga hotel yang banyak membantunya membentuk diri sebagai seorang penyanyi.

Dia juga pernah berbaris panjang bersama peserta lain semata-mata mahu mencuba nasib dalam rancangan realiti, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7).

Dalam masa yang sama, dia juga menerima tawaran daripada syarikat rakaman FGM Sdn. Bhd., yang sebelum ini dibarisi oleh artis-artis popular tempatan antaranya Zaiton Sameon, M. Rizal, Raisuddin Hamzah dan Zariha Yusof.

"Biarpun nasib tidak berpihak kepada saya untuk menyertai AF7 walaupun lulus di semua peringkat, mungkin rezeki saya adalah untuk bersama FGM.

"Alhamdulillah, inilah peluang yang saya nantikan sekian lama kerana sebelum ini amat sukar sekali untuk saya menyakinkan beberapa pihak tertentu menerusi bakat yang ada dalam diri saya ini," luah Nizam penuh perasaan sewaktu ditemui di majlis pelancaran album sulungnya, Nizam di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, Rabu lalu.

Turut hadir ialah Othman Mohamed selaku penerbit album Nizam serta adiknya, Adam Ahmad yang menyumbangkan dua buah lagu dalam album tersebut.

Menyambung bicara, penghasilan album pertamanya itu mengambil masa empat bulan untuk disiapkan sebaik sahaja dia menandatangani kontrak bersama FGM pada bulan Mac lalu.

Kata Nizam lagi, dia bertuah kerana mendapat Othman sebagai penerbit albumnya kerana komposer itu tahu dan bijak memilih lagu yang terbaik sesuai dengan suaranya.

"Jujurnya, saya memang berpuas hati dengan album pertama ini kerana ia melambangkan diri saya yang sebenar serta identiti muzik yang saya bawakan.

"Tiada lain yang saya harapkan selepas ini hanyalah peluang untuk beraksi di pentas yang lebih besar untuk menonjolkan bakat saya kepada masyarakat," ujar pemilik nama penuh Mohd. Nizam Mohd. Din ini.

Nizam turut ditebak dengan pertanyaan tentang keyakinan dirinya dalam memikat hati masyarakat dengan album perdananya itu memandangkan usianya yang mencecah 40 tahun itu.

Dengan penuh optimis, dia yakin album berkenaan mampu diterima dengan baik oleh pendengar memandangkan variasi lagu yang terkandung dalam albumnya sesuai untuk semua golongan.

Dalam hal ini, dia memberikan contoh sahabatnya, Adibah Noor yang berjaya mengubah pandangan skeptikal masyarakat apabila bakat lebih diutamakan berbanding bentuk fizikal mahupun paras rupa.

"Adibah banyak memberikan sokongan dan dorongan kepada saya untuk meneruskan perjuangan dan cita-cita saya.

"Apabila kerap bersamanya untuk persembahan, banyak yang saya belajar daripadanya. Lebih membuatkan saya terharu apabila dia menyatakan kesudian untuk berduet dengan saya menerusi lagi Kerana Cinta.

"Sebagai balasan, saya turut menyelitkan sebuah lagu solo nyanyian Adibah berjudul Kecurigaan dalam album ini," tutur anak jati Kuala Lumpur ini penuh berhemah.

Nizam juga meraih pengalaman menerusi beberapa pertandingan nyanyian terbitan TV3 seperti Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 dan Komposer 97/98.

Biarpun sudah memiliki album sendiri, Nizam tidak akan melupakan kumpulannya, R.N.D. yang banyak menyelusuri kehidupan bersamanya baik sewaktu susah dan senang.

Single pertamanya, Biar sudah pun mendapat perhatian di stesen radio milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan kini sedang mendaki carta popular.

Selain Biar, enam lagu lain dimuatkan dalam album berkenaan termasuklah Kepastian, Bunga, Kesamaran Kian Nyata, Lagu Pantun Berlapik serta sebuah lagu medley, Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta dan Di Hari Persandingan Mu.

Sebagai penerbit album, Othman memberitahu dia cukup berpuas hati dan bangga kerana dapat bekerjasama dengan seorang yang berbakat besar seperti Nizam.

Jelasnya, Nizam memiliki kualiti vokal yang boleh dibanggakan dan ditambah pula dengan kemampuannya dalam melagukan pelbagai genre lagu.

"Kalau didengar album ini, saya yakin ia mampu menarik perhatian ramai kerana terdapat pelbagai jenis genre lagu di dalamnya.

"Sepanjang rakaman juga, saya tidak berdepan dengan masalah kerana dia bijak untuk mewarnakan setiap lagu yang dinyanyikannya," ujar Othman yang karyanya pernah dinyanyikan oleh penyanyi terkenal seperti Aishah dan Jaclyn Victor.

No comments: