Saturday, August 15, 2009

Vanessa malu besar

Vanessa malu besar

Susunan Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

BINTANG High School Musical, Vanessa Hudgens, 20, sekali lagi berhadapan dengan episod memalukan dalam hidupnya apabila gambar separuh bogelnya tersebar meluas di Internet, awal minggu lalu.

Kejadian seumpama itu bukanlah yang pertama berlaku kerana dua tahun lalu, Vanessa pernah terjebak dengan masalah sama tetapi membabitkan foto berlainan.

Ramai yang bersimpati, tidak kurang juga mentertawakan Vannessa kerana tindakan bodohnya merakamkan foto dirinya dalam separuh bogel dengan menggunakan telefon bimbit.

Sehinggakan perbuatannya itu menyebabkan dia terpaksa menanggung malu yang teramat sewaktu menghadiri Anugerah Pilihan Remaja (Teen Choice Awards) yang berlangsung 9 Ogos lalu hingga Vanessa segera meninggalkan acara itu dengan wajah merah padam.

Dalam majlis itu, Vanessa dijadikan bahan persendaan pelawak Dane Cook yang berseloroh mengatakan: "Sebelum saya menyampaikan anugerah Choice Hotties ini, boleh tak saya memperkatakan sesuatu yang berlegar di fikiran setiap orang dalam dewan ini tetapi tidak ada siapa berani mengatakannya.

"Vanessa Hudgens dan semua gadis, jangan biarkan pakaian anda terbuka. Telefon bimbit hanya untuk membuat panggilan," katanya sambil memandang tepat pada Vanessa yang sudah tidak keruan duduk di kerusi penonton.

Dane Cook yang menukar saat akhir ucapannya dengan melafazkan kata-katanya itu sewaktu mengambil alih pentas untuk menyampaikan anugerah Choice Hotties kepada bintang seksi, Megan Fox dan Robert Pattinson.

Bagaimanapun, penganjur sempat menyunting ucapan Dane Cook sebelum terlepas kepada penonton yang menyaksikan siaran langsung anugerah itu di rumah mereka.

Tindakan pelawak itu ternyata tidak disenangi pelbagai pihak terutama peminat Vanessa yang mengutuk perbuatan Dane Cook mempersendakan pelakon remaja popular juga kekasih kepada Zac Efron.

Peminat dan penganjur acara mendesak Dane Cook memohon maaf secara terbuka. Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang inisiatif dilakukan.

Vanessa mengakui amat tertekan dan malu dengan apa yang berlaku. Katanya, sejak gambar itu tersebar, dia berasa amat tertekan kerana semua orang memperkatakannya sehingga membuatkan dirinya takut untuk keluar rumah.

"Belumpun reda dan saya sedang cuba bangkit mengumpul kekuatan untuk bertemu peminat, saya dimalukan pula dalam majlis yang ditonton ribuan peminat terutama kanak-kanak dan remaja.

"Saya tidak salahkan pelawak itu 100 peratus tetapi perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Penyebaran gambar itu di luar kawalan saya, namun apa yang boleh saya katakan ialah foto itu adalah peribadi dan saya tidak tahu bagaimana ia boleh terlepas," katanya dengan nada sebak.

Vanessa yang sebelum ini terkenal dengan watak Gabrielle Montez menerusi siri High School Musical, tidak mahu perkara itu terus membelenggu diri, sebaliknya tetap memberi tumpuan kepada kerjaya.

Katanya, selepas bertahun-tahun terikat dengan pembikinan filem box office berkenaan sehingga persembahan lakonannya sering dikatakan 'klise', Vanessa mahu mencabar dirinya dengan filem baru, Bandslam.

"Sudah agak lama saya terikat dengan watak yang sama dalam High School Musical tapi saya yakin filem baru ini bakal memberi persepsi berlainan daripada karakter pernah dibawakan sebelum ini.

"Perbicaraan filem ini lebih 'bersifat introvert' dan 'selamba' tetapi pada masa sama menarik selain menepati apa yang dicari selama ini.

"Ia masih berkisarkan soal muzik, namun yang membezakannya dengan High School Musical, pergolakan atau isu yang ditampilkan lebih dewasa. Jika di High School Musical dulu, saya perlu menari dan menyanyi tetapi dalam filem ini, saya sebagai Sa5m (sebutan Sam) mempunyai keinginan tinggi menjadi pemuzik.

"Untuk menjayakan watak ini menuntut saya belajar bermain gitar. Mujurlah ia tidak begitu sukar kerana saya sudah biasa bermain piano sejak kecil.

"Bahkan, kerja semakin mudah dan berjalan lancar kerana Todd Graff selaku pengarah sentiasa memberi bimbingan kepada kami. Dia juga pernah menjadi pelakon dan kelebihan itu membuatkan dia lebih memahami," katanya yang turut membintangi dua lagi filem baru, Beastly dan Sucker Punch.

Bakal menginjak 21 tahun pada 14 Disember nanti, gadis berbintang Sagitarius ini mengharapkan majlis kejutan daripada teman lelakinya, Zac Efron di sebuah destinasi percutian sempena meraikan ulang tahunnya itu.

"Saya mengharapkan ada seseorang sudi menganjurkan majlis kejutan untuk saya. Teringin sebenarnya kerana kalau tidak silap, kali terakhir saya diraikan secara besar-besaran pada usia 9 tahun.

"Jadi tahun ini alasannya lebih munasabah. Ketika 16 tahun saya mengharapkan sebuah majlis kejutan, namun ia tidak berlaku. Sewaktu meraikan ulang tahun ke-18 pun begitu juga tetap tidak menjadi kenyataan.

"Justeru, saya amat mengharapkan ada kejutan tahun ini. Saya yakin ia akan berlaku," kata gadis berdarah campuran Irish dan Amerika sebelah bapa serta Filipina, Cina dan Latin (sebelah ibu) itu.

>Profil

NAMA: Vanessa Anne Hudgens

NAMA KOMERSIL: Vanessa Hudgens

TARIKH LAHIR: 12 Disember 1988

UMUR: 21 tahun

TEMPAT LAHIR: Salinas, California

BINTANG: Sagitarius.

ANTARA DRAMA: Evita, Carousel, The Wizard of Oz, The King & I, The Music Man, Cinderella dan Damn Yankees. experience which gave ANTARA FILEM: Thirteen, Thunderbirds, The Suite Life of Zach & Cody, High School Musical, High School Musical 2 , High School Musical 3 dan Bandslam.

ALBUM: 'V' dan Identified

KERJAYA: Pelakon, penyanyi, model dan pengacara

No comments: