Saturday, August 15, 2009

Ikon gitaris Les Paul meninggal dunia

Ikon gitaris Les Paul meninggal dunia

NEW YORK 14 Ogos - Ahli-ahli muzik seluruh dunia memberikan penghormatan terakhir kepada Les Paul (gambar), ikon muzik yang menjadi perintis gitar elektrik di era rock 'n' roll yang dilaporkan meninggal dunia semalam ketika berusia 94 tahun.

Paul merupakan pemain gitar terhebat yang pernah membuat persembahan bersama beberapa bintang terkenal di awal era pop rock dan turut menerbitkan sebuah album popular. Malah beberapa kali digandingkan dengan isterinya, Mary Ford.

Namun, atas daya usahanya itu, beliau kini disanjungi di seluruh dunia dan terpilih dalam senarai Rock and Roll Hall of Fame sebagai satu daripada kuasa paling penting dalam industri muzik.

"Sebenarnya dia turut mempelajari sendiri cara bermain gitar untuk menunjukkan teori-teori elektroniknya," kata pemain gitar Rolling Stones, Keith Richards.

"Kami semua rasa terhutang budi dengan hasil kerja dan bakat yang dimilikinya," tambahnya.

Paul dilaporkan meninggal dunia semalam di White Plains, New York kerana mengalami komplikasi berikutan penyakit pneumonia yang dihidapinya setelah bersara daripada bidang itu yang banyak mendorongnya untuk mencipta gitar elektrik pertamanya.

Segala hasil karyanya berada setaraf dengan pemain gitar legenda seperti Pete Townshend dan Jimmy Page.

"Nama Les Paul menjadi ikon malah turut dikenali dengan inspirasinya dan merupakan pemain gitar terhebat di seluruh dunia," kata penyanyi kedua Kiss, Paul Stanley.

"Gitar merupakan asas utama bagi kebanyakan muzik terhebat yang mula dihasilkan sejak 50 tahun lalu," katanya.

Paul juga banyak membangunkan teknologi yang menjadi lambang penerbitan lagu pop rock, bermula dari pelbagai track rakaman yang dibenarkan untuk lapisan berganda "alih suara" kepada alunan gitar dan kesan bunyi lain. - AP

No comments: