Wednesday, August 19, 2009

Dulu kayu, sekarang aktor

Dulu kayu, sekarang aktor

Iqbal Mazlan membuktikan jika minat datang dengan tekad dan disiplin yang tinggi, ia mampu membuahkan hasil.




PROGRAM realiti pencarian bakat pelakon, Pilih Kasih melabuhkan tirainya malam Ahad lalu dengan menobatkan Iqbal Mazlan, sebagai juara.

Menariknya jika dilihat daripada undian peminat, Iqbal sepatutnya berada di tangga terbawah namun, ternyata pelakon dan juga penerbit, Rosyam Nor bukan sahaja menyelamatkan pelakon muda itu, bahkan meletakkan dia di kedudukan teratas.

Rosyam Nor telah memberikan 39 peratus markah kepada Iqbal yang menjadikan keseluruhan jumlah markahnya 39.36 peratus. Tidak timbul isu ketidakadilan di sini kerana umum sudah mengetahui bahawa format pemarkahan diberikan secara seimbang antara Rosyam dan undian penonton di rumah.

Mengambil kira lakonan peserta menerusi drama, Memburu Mangsa yang telah dirakamkan sebelum itu serta persembahan kesemua 10 finalis termasuk monolog dan teater muzikal, Inspirasi Pilih Kasih, Rosyam berpendapat Iqbal paling menonjol bukan pada malam itu sahaja.

Disebabkan Iqbal menunjukkan peningkatan dari hari pertama dan mempunyai disiplin, dia menjadi pilihan utama aktor itu. "Disiplin Iqbal lebih baik. Dari hari pertama, saya sudah menegaskan bahawa disiplin amat penting. Kami bukannya hanya mahukan pelakon berbakat tetapi juga berdisiplin.

"Dia menunjukkan peningkatan pada permulaan pertandingan tetapi agak perlahan pada pertengahan pertandingan. Namun, ketika itu dia tidak berada di tangga bawah. Jika tidak, dia mungkin sudah disingkirkan. Sejak kebelakangan ini, dia menunjukkan prestasi baik," kata Rosyam ketika ditemui selepas pertandingan.


BERBEZA dengan program realiti lain, Pilih Kasih masih belum berjaya menjadi satu fenomena di kalangan peminat seni tanah air.


Bersiaran secara langsung di TV2 dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammmad, Seremban, Iqbal membawa pulang wang tunai RM10,000, kereta Naza Suria, trofi, pakej percutian ke Perth bernilai RM5,000, cenderamata Alfo Lighting bernilai RM2,000 dan biasiswa pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Selain daripada hadiah itu, Iqbal bersama empat pemenang lain, Reza Hasbi (kedua), Indera Hafiz (ketiga), Nabila Dally (keempat) dan Wanina Zaki (kelima) akan berlakon dalam drama muzikal sebanyak 26 episod arahan Erma Fatima, Inspirasi Variasi dengan menyaksikan Iqbal sebagai pelakon utama.

Kesemua 20 peserta sebelum itu juga akan terlibat dalam rakaman drama raya dan projek ketiga mereka adalah drama sebanyak 13 episod yang turut diarahkan oleh Erma Fatimah.

Bermula seperti semut

Tidak lekang dengan senyuman Iqbal yang pernah dikaitkan mempunyai wajah seiras penyanyi comel Dafi tidak menyangka dirinya akan menjadi pemenang.

"Saya tidak pernah rasa diri saya akan menang. Apa yang ada dalam kepala saya adalah untuk menghabiskan persembahan pada malam itu. Maka, apabila diumumkan sebagai pemenang, saya tidak mampu berkata apa-apa.

"Asalnya saya rasa berada dalam tangga kelima pun sudah cukup baik bagi saya. Jadi saya tidak kisah jika undian SMS saya adalah terendah. Sekurang-kurangnya kini saya telah membuka mata penonton," kata Iqbal, 20.


IQBAL (lima dari kanan) menunjukkan prestasi cemerlang sehingga dinobatkan sebagai juara Pilih Kasih.


Memiliki sedikit pengalaman dalam dunia lakonan, ramai yang tertanya-tanya sama ada latar belakang itu memberikan kelebihan Iqbal berbanding peserta lain yang tidak pernah berlakon.

"Tidak. Saya meletakkan diri saya sebagai semut semula sama seperti peserta lain. Bermula dari bawah, saya menimba banyak pengalaman dan tahu bahawa saya tidak sehebat mana pun berbanding peserta lain," ujar Iqbal.

Rosyam yang berada di sebelahnya mencelah, "Dulu lakonan dia sangat kayu. Tidak ada kelebihan dan saya tidak kenal dia langsung. Tapi tengoklah lakonan dia sekarang terutama dalam drama. Dia telah berjaya memikat penulis skrip dan pengarah sehingga mendapat watak utama."


PENYOKONG Iqbal bersungguh-sungguh membawa pelbagai bentuk sepanduk untuk meningkatkan undian pelakon itu.


Bagaimanapun Rosyam menegaskan, ini merupakan sebuah program realiti dan dia beranggapan bahawa pemenangnya tidak semestinya berjaya dan mereka yang tersingkir atau tidak menang sebenarnya masih boleh berjaya jika berusaha.

Maka, naib juaranya, Reza sedikit pun tidak berasa sedih apabila kalah kepada Iqbal.

"Memang saya berada di kedudukan teratas dalam undian peminat. Ini kerana ramai penonton sukakan saya. Tetapi ini adalah program realiti. Lagipun saya banyak belajar di sini dan pengalaman yang dikumpul sebenarnya cukup bernilai," katanya yang berasal dari Taiping, Perak.




Undian SMS sedikit

Walaupun mengikut perancangan awal, semua peserta bakal muncul dalam sebuah filem arahan Bade Azmi Rosyam bagaimanapun membuat keputusan untuk menangguhkan projek itu.


IQBAL menjulang trofi kemenangannya dalam pertandingan Pilih Kasih.


Katanya kesemua pesertanya termasuk pemenang masih kurang popular. "Saya kena mencipta populariti mereka dahulu sebelum buat filem. Mereka sekarang belum cukup popular lagi jadi tidak perlu terburu-buru.

"Jika dilihat dari segi jumlah undian, tidak banyak yang mengundi sebenarnya. Dekat surat khabar pun tidak banyak liputan mengenai mereka. Maka, tidak hairanlah jika mereka tidak dikenali lagi.

"Saya pernah membiarkan mereka membeli-belah di Mid Valley sebagai kajian sama ada orang mengenali mereka. Malangnya, tiada siapa yang menegur mereka dan ini membuktikan mereka belum cukup menarik perhatian lagi. Jadi tunggu mereka popular dahulu baru memulakan penggambaran filem Kekasih," tambah Rosyam.

Kesemua 20 peserta kini merupakan artis milik RTM dan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. tetapi mereka boleh menyertai mana-mana syarikat produksi yang mahu mengambil mereka sebagai pelakon.


IQBAL (tiga dari kiri) bersama pemenang lain (dari kiri) Wanina, Reza Hasbi, Sofian Bujang, Indera Hafiz dan Nabila Dally.


Rosyam memberitahu syarikatnya tidak akan mengikat perjalanan karier mereka tetapi hanya memberikan tunjuk ajar supaya mereka belajar berdikari.

Diserikan dengan dua pengkritik pada malam itu, iaitu juri tetap, Pensyarah Kanan Jabatan Media, Universiti Malaya, Dr. Abu Hassan dan juri jemputan, Mamat Khalid.

Alamak komedi sinikal Astro Ria Rabu 9.30 malam.

Alamak komedi sinikal


ALAMAK menampilkan 10 hingga 15 sketsa lucu dalam setiap episod.


SUDAH ditayangkan di saluran Astro Ria sejak 5 Ogos lalu, kelainan siri komedi terbaru Alamak mula mendapat perhatian penonton.

Rancangan komedi sketsa ala spoof yang unik seperti Jangan Ketawa dan juga Scary Movie itu mengandungi 10 hingga 15 sketsa lucu dalam setiap episod.

Menurut Pengarah Alamak, Zaid Zahari, siri komedi itu mempunyai stail lawak yang universal, daripada silent comedy (ala Charlie Chaplin) sehingga ke dialog pelbagai bahasa.

"Alamak mempunyai segmen-segmen yang unik seperti cowboy, superman, chef selebriti, lanun, drakula, segmen berita, spiderman, mamak dan banyak lagi yang pasti membuatkan penonton tidak kering gusi," katanya.

Dibintangi oleh pelakon baru seperti Jeff Omar, Shamsunder Binwani , Badrol Shah, John Wayne dan Zaid sendiri Alamak turut menampilkan pelakon jemputan Radhi Khalid, Ellie Suriaty, Pian Cecupak dan Azura Zainal.

Siri komedi itu diterbitkan Ritz Channel dan turut diarahkan Woo Ming Jin dengan menggunakan kamera Sony EX-5 High Definition (HD) yang mempunyai kualiti penggambaran filem.

Alamak ke udara di Astro Ria, setiap Rabu pukul 9.30 malam.

Katy berdoa payu dara besar

Katy berdoa payu dara besar




PENYANYI Katy Perry, mendedahkan yang dia pernah berdoa berjam-jam lamanya supaya Tuhan memberikan dia payu dara yang lebih besar.

Bintang jelita yang popular dengan I Kissed a Girl itu memberitahu dia berbuat demikian pada zaman kanak-kanaknya kerana payu daranya ketika itu sangat kecil.

Katy, 24, yang kini mempunyai saiz payu dara yang sesuai dengan usia dan bentuk tubuhnya memberitahu: "Saya masih ingat dengan jelas, sewaktu berusia 9 tahun, saya berlutut di atas katil dan berdoa agar Tuhan memberikan saya payu dara yang besar. Saya katakan pada Tuhan biar payu dara itu besar sehinggakan kalau saya berbaring saya tidak nampak kaki saya."

"Nampaknya doa saya termakbul!" ujar Katy.

Tetapi dengan payu dara yang besar Katy memikul satu tanggungjawab tambahan. Katy perlu menjalani latihan senaman yang intensif sebelum meninggalkan rumah bagi memastikan payu daranya sentiasa terbentuk cantik.

Katy membuat pendedahan itu kepada akhbar Britain The Sun. "Setiap kali sebelum saya ke atas pentas atau keluar untuk sesi fotografi saya akan melakukan senaman tali skip selama 10 minit."

Mayat Jacko ditanam dalam keadaan beku

Mayat Jacko ditanam dalam keadaan beku


MICHAEL JACKSON


LOS ANGELES – Ibu Michael Jackson dilapor membuat keputusan luar biasa supaya jenazah anaknya dibekukan kerana bimbang kubur Raja Pop berisiko dirompak atau dirosakkan oleh peminat-peminatnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Beberapa sumber yang rapat dengan keluarga Michael turut mendedahkan ibunya, Katherine Jackson masih tidak dapat menerima hakikat bahawa penyanyi tersohor itu telah pergi buat selama-lamanya.

Menurut mereka, wanita berusia 79 tahun itu membekukan Raja Pop berkenaan supaya dia dapat menatap wajah anaknya.

Jenazah Michael didakwa diletak di belakang lapisan gentian kaca bagi mengelakkannya diseliputi ais.

Sejak kematian bintang yang terkenal dengan lagi Beat It tersebut pada 25 Jun lalu, lokasi pengebumian Michael secara berterusan menjadi perbalahan di kalangan anggota keluarganya.

Katherine berangan-angan mahu mengebumikan anaknya di sebuah kubur persendirian manakala ayahnya, Joe Jackson pula mahu Michael disemadi seperti yang dilakukan kepada legenda Rock& Roll, Elvis Presley.

Bagaimanapun, pertelingkahan keluarga itu akhirnya reda apabila beberapa laporan semalam menyatakan Joe, 80, akhirnya bersetuju agar Michael dikebumikan pada hari lahirnya yang ke-51 di Tanah Perkuburan Forest Lawn di sini pada pukul 10 pagi waktu tempatan, 29 Ogos ini. – Agensi

Spears pamer tiga bikini

Spears pamer tiga bikini


BRITNEY SPEARS bersama dua anaknya, Sean Preston (tengah) dan Jayden James di Los Angeles baru-baru ini.


LOS ANGELES – Selepas dikritik kerana kuat makan, bintang pop Britney Spears tampil langsing memakai bikini kecil ketika bersantai bersama dua anaknya, Sean Preston dan Jayden James, lapor sebuah akhbar semalam.

Penyanyi lagu Womanizer itu bercuti bersama dua anaknya di Hotel Ritz Carlton di sini sebelum menyambung konsert jelajah dunia album terbarunya, Circus esok.

Sepanjang menginap di hotel berkenaan, Spears turut dirakam menggunakan tiga bikini berbeza warna dan rekaan.

Waktu terluang itu digunakan sepenuhnya oleh Spears untuk melayan kerenah Sean dan Jayden yang masing-masing berusia empat dan tiga tahun.

Laporan terbaru media Amerika Syarikat menyebut Spears telah berpisah dengan teman lelakinya, Jason Trawick yang juga merupakan ejennya.

Perpisahan tersebut diramal menyukarkan urusan perniagaan mereka kerana lelaki itu masih menjadi ejen ratu pop tersebut. – Agensi

Bilionair India biayai filem Spielberg

Bilionair India biayai filem Spielberg



Spielberg

LOS ANGELES – Lelaki terkaya India, Anil Ambani memuktamadkan pembiayaan secara perkongsian dengan DreamWorks Studios di sini kelmarin bagi menerbitkan enam buah filem bernilai AS$875 juta (RM3.1 bilion) setahun.

Perjanjian digelar sebagai ‘Bollywood membeli Hollywood’ itu membolehkan sutradara terkenal Steven Spielberg dan rakannya Stacey Snider mendapat bajet menghasilkan filem selepas menamatkan persefahaman dengan syarikat Paramount Pictures.

Ambani menerusi firma hiburan terbesar India, Reliance BIG Entertainment pernah melabur untuk filem lakonan Nicolas Cage, Tom Hanks, George Clooney dan Jim Carrey.

Agihan dan pemasaran global enam filem keluaran DreamWorks pula akan dikendalikan syarikat Disney kecuali di India di mana hak tersebut diberikan kepada Reliance. – Agensi

Ratu Solo Wangi

Ratu Solo Wangi

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


SOFIA JANE sebagai Ratu Solo Wangi.

Berikan apa saja watak kepada Sofia Jane, dia tidak pernah menghampakan

SOFIA Jane Hisham bukan nama asing di persada seni. Malah sejak 90-an lagi, aktres jelita kepada tiga orang anak ini antara penyeri di layar perak. Siapa boleh lupa watak panas sebagai Zaleha yang pernah dipegangnya menerusi filem penuh kontroversi, Perempuan, Isteri dan ......

Begitu juga wataknya sebagai gadis kasar dalam filem Cinta Kita di sisi aktor, Arman Graseka. Paling tidak pun sebagai Tun Teja dengan pesona wajah yang cukup jelita dengan warna bibir merah menyala di dalam Puteri Gunung Ledang.

Tak dilupakan watak Mona, wanita yang cukup taksub dengan kecantikan di dalam filem Susuk yang ditayangkan tahun lalu.

Memulakan kerjaya lakonan seawal usia belasan tahun hingga kini hampir ke ambang 40-an, isteri kepada Meor Zain Azman ini pernah melakar kejayaan dalam Anugerah Skrin 2007.

Ketika itu, Sofia dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik selepas melakonkan watak isteri yang teraniaya dalam drama terbitan JS Pictures (milik Sheila Rusly dan suaminya, Jinggo) berjudul Sebuah Ijtihad. Ternyata percaturan Sofia melakukan come back membuahkan hasil apabila pelawaan Sheila Rusly diterimanya.

SOFIA JANE merasmikan pembukaan butik Bahari Asyek di Plaza Shah Alam, baru-baru ini.

Bagaimanapun, hakikatnya selepas mendirikan rumah tangga pada 1995 dan memikul tugas sebagai suri rumah, dalam setahun kemunculannya di kaca TV dan filem agak terbatas dan boleh dikira dengan jari saja kemunculannya sebagai pelakon. Bukan kerana terlalu selektif atau mewujudkan nilai eksklusif, sebaliknya Sofia mempunyai alasannya sendiri.

"Bukan tiada tawaran berlakon yang datang, cuma faktor masa yang tidak bersesuaian. Bayangkan tawaran yang diterima datang dalam tempoh yang dekat seperti contoh penggambaran akan dilakukan minggu depan tanpa memberikan skrip terlebih dulu sedangkan saya lebih suka benda yang teratur.

"Sebagai contoh, dulu, skrip filem akan dapat dua bulan sebelum memulakan penggambaran. Berbeza sekarang, skrip itu boleh datang pada saat akhir. Saya akui bukan jenis kategori pelakon yang spontan, hari ini dapat skrip, esok lusa juga boleh terus berlakon. Saya lebih suka mengkaji watak dan mendalami dulu tuntutan skrip.

"Tapi ada juga pelakon yang dalam kategori spontan. Sebab itu, saya senang bekerjasama dengan mereka yang memahami cara bagaimana saya bekerja. Setidak-tidaknya apabila sebati dengan karakter, ia akan memudahkan saya memulakan tanggungjawab sebagai pelakon di lokasi," katanya yang ditemui Hip sewaktu melancarkan butik Bahari Asyek di Plaza Shah Alam baru-baru ini.


Sesekali muncul di kaca TV atau skrin lebar, lalu tanggungjawab lebih besar untuk memastikan hasil dan mutu lakonannya pada tahap yang mampu memuaskan hati pengarah di samping menunggu reaksi penonton yakni penggemar bakat lakonannya.

"Kalau saya meletakkan diri saya sebagai peminat pun, nescaya saya mengharapkan pelakon kegemaran akan memberikan prestasi yang baik dan kelainan dalam setiap watak yang diamanahkan. Sebagaimana saya mengharapkan kejutan terhadap lakonan pelakon kegemaran, saya sendiri pun mahu menampilkan sisi watak lain yang boleh ditonjolkan kepada penonton.

"Saya sendiri sukakan kejutan dan ingin melihat sejauh mana mampu saya tawarkan variasi lakonan yang ada. Ia seperti menguji diri sendiri sama ada saya dapat menuju ke arah yang diharapkan. Kita sendiri sebagai pelakon tidak akan tahu jangkaan penonton. Bimbang juga penonton akan muak dengan lakonan saya atau terus menyukai persembahan saya," katanya..

Tahun ini, sekali lagi Sofia menerima tawaran Sheila Rusly membintangi drama 20 episod arahan Azman Yahaya atau Jinggo berjudul Cucu Betong yang dijangka siarannya di TV3 pada hujung tahun ini. Tidak sia-sia usaha Sheila menawarkan watak bunian kepadanya hingga membuka hati Sofia lagi.

Cucu Betong adalah sambungan kepada Anak Betong yang pernah disiarkan di TV3 sebelum ini. Memegang watak sebagai Ratu Solo Wangi, Sofia berkata, watak fantasi sebegitu memang cukup diminatinya. Apatah lagi sejak kecil, golongan sepertinya cukup menggemari ceritera dongeng seperti Cinderella, Snow White atau apa saja watak seperti bergelar puteri. Watak itu seperti membawanya ke zaman kanak-kanak.

"Gara-gara solekan yang dikenakan untuk watak itu, anak-anak saya pun terkejut dan melihat saya bukan seperti Mama mereka. Selalunya, saya pulang ke rumah tanpa menanggalkan solekan dan lebih selesa mencucinya di rumah. Sampai di rumah, secara tidak langsung mereka berpeluang melihat wajah saya dengan solekan di wajah.

"Di sini, saya melihat aspek solekan dan kostum memainkan peranan penting untuk mengubah mood dan karakter pelakon. Ia secara tidak langsung memberi perasaan berbeza kepada saya. Untuk watak ini juga saya berbahasa baku. Saya senang bekerja dengan produksi Sheila dan sebab itu saya menerima tawaran ini," katanya.

Terpikat cara Kabir Bhatia

IBU kepada Arissa (13), Khadija (9) dan Soraya (6) ini tanpa berselindung memberitahu drama yang sedang ditontonnya kini ialah Nur Kasih. Sambil berseloroh, Sofia memberitahu jangan sesekali mengganggunya pada Jumaat jam 9 malam kerana ketika itu tumpuan penuh diluangkan untuk menonton drama terbabit.

Menurut Sofia, dia turut akan menonton drama atau filem yang membabitkan lakonan rakannya seperti Vanidah Imran. Malah menerusi drama Nur Kasih arahan Kabir Bhatia itu juga pelakon kegemarannya, Liza Othman turut berlakon.

"Bagi saya drama itu mempunyai jalan cerita yang bagus dan Kabir berjaya mengubah sisi lain yang ada pada pelakonnya. Sebagai contoh, saya melihat lakonan Abang Jalal (merujuk kepada Datuk Jalaluddin Hassan) seperti sewaktu awal kemunculannya hingga berjaya membuatkan saya menitiskan air mata.

"Begitu juga dengan kemunculan beberapa pelakon lain termasuk Remy Ishak. Sebelum ini sewaktu dia berlakon filem Anak Halal, saya tidak melihat impak kehadirannya. Tetapi ia berbeza dengan lakonannya dalam drama ini. Sinematografi sentuhan Kabir juga berjaya menggamit perhatian penonton.

"Kabir termasuk pengarah fotografinya bijak menangkap emosi penonton dengan warna dan objek yang indah dalam setiap karyanya. Kita seolah-olah boleh merasai apa yang ingin ditonjolkan. Setakat ini, saya baru saja ketinggalan menonton tiga episod drama ini kerana mengikut suami bercuti ke Hawaii," katanya yang secara kebetulan kerap berlakon dengan pelakon yang seangkatan dengannya berbanding generasi baru.

PROFIL: Sofia Jane

  • NAMA SEBENAR: Sofia Jane Hisham
  • TARIKH LAHIR: 14 Februari 1972
  • TEMPAT LAHIR: London, England
  • ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada tiga beradik
  • STATUS: Berkahwin (9 September 1995)
  • SUAMI: Meor Zain Azman Datuk Meor Mohamed Taib
  • ANAK: Arissa, Khadija dan Soraya
  • FILEM: Mira Idora, Harry Boy, Kekasih Awal & Akhir, Cinta Kita, Perempuan, Isteri dan ..., Jimi Asmara, Suratan Kasih, Puteri Gunung Ledang, Susuk

Setem dapat lebih RM1 juta

Setem dapat lebih RM1 juta

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

PERTARUHAN pertama sutradara terkenal Kabir Bhatia mengarahkan filem komedi membuahkan hasil apabila filem Setem yang ditayangkan dua minggu lalu mencecah kutipan lebih RM1 juta.

Biarpun angka itu tidak semeriah kutipan filem lain namun bagi Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai ia sudah cukup membuatkan mereka menarik nafas lega.

“Ketika filem ini ditayangkan, ia terpaksa bersaing dengan filem Hollywood. Persaingan itu sedikit sebanyak menjejaskan jumlah kutipan. Namun, kami percaya, sambutan penonton lebih rancak memandangkan Setem adalah satu-satunya filem yang ditayangkan ketika ini. Sepanjang Ogos ini saya rasa tidak ada filem tempatan ditayangkan, begitu juga pada bulan puasa nanti.

“Mungkin selepas itu barulah kutipan filem ini meningkat. Seperti biasa, kami tidak mensasarkan berapa banyak kutipan kerana kami tak mahu apa yang diharapkan tidak kesampaian. Apa yang penting peminat datang memberi sokongan dan mereka itu nanti mampu memartabatkan filem tempatan,” jelas Gayatri sambil memberitahu Lembah Klang adalah lokasi yang mempunyai jumlah penonton tertinggi yang menonton filem Setem.

Mengulas hasil kerja Kabir yang sebelum ini memang terkenal dengan genre drama seperti Cinta dan Sepi, Gayatri berkata walaupun Setem filem komedi pertama arahannya, namun hasilnya sama seperti filem lain yang pernah dihasilkannya.

“Kabir punya komedi selamba, tidak membosankan dan saya percaya ramai akan terhibur apabila menonton Setem. Walaupun ada orang kata gaya pengarahan Kabir lebih kepada urban tetapi pada masa yang sama ia juga sesuai untuk pasaran komersial semasa,” katanya.

Sebagai penerbit filem yang pernah bekerja dengan pelbagai pengarah berbeza pendekatannya, Gayatri berkata Kabir mempunyai cara yang tersendiri menyebabkan dia begitu selesa untuk terus bekerjasama dengan pengarah itu pada masa akan datang.

“Pertama kali berjumpa, saya memang dapat rasakan Kabir ada aura tersendiri sebagai seorang pengarah. Tak dinafikan setiap pengarah masing-masing ada cara mereka, begitu juga dengan Kabir. Dia juga tidak kisah berkongsi idea dan yang penting, walaupun nampak serius tapi siapa sangka dia boleh tampil dengan hasil karya seperti Setem,” kata Gayatri lagi.

Biarpun Setem masih lagi ditayangkan namun ada ura-ura mengatakan filem ini akan disambung dan judulnya adalah Syiling. Difahamkan penggambaran filem ini akan dibuat di luar negara.

“Dia sudah memberikan jalan cerita mengenai sambungan filem Setem yang diberi judul Syiling. Kalau mengikut apa yang dibayangkan Kabir, dia mahu lokasi filem Syiling ini dilakukan di Jordan. Dia pernah berkunjung ke sana sebelum ini dan menyifatkan Jordan mempunyai panorama menarik serta bersesuaian dengan jalan cerita filem itu nanti.

Jawablah!: 'Tak mungkin tutup periuk nasi sendiri'

Jawablah!: 'Tak mungkin tutup periuk nasi sendiri'

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


FAHRIN terkilan dengan dakwaan dia seorang pelakon yang tidak berdisiplin.

SEBELUM ini, Fahrin Ahmad pernah dilabelkan sebagai pelakon tidak berdisiplin. Kononnya dia pernah menghadapi masalah dengan produksi program Gadis Melayu musim pertama di TV9 sehingga tersebar cerita terpaksa disingkirkan disebabkan masalah disiplinnya itu.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Fahrin. Senyap sekejap cerita panas mengenai Fahrin. Kalau ada pun, hanyalah berkisar mengenai kisah putus cinta atau bertemu teman baru yang boleh dikatakan menjadi sebahagian dari kehidupannya.

Terbaru, cerita yang sama dibangkitkan kembali. Fahrin dikatakan kembali ke perangai lamanya iaitu tidak berdisiplin apabila sering menyusahkan petugas dan pelakon di lokasi penggambaran apabila dikatakan sering datang lewat.

Sudahlah datang lambat sehingga menyebabkan jadual penggambaran terpaksa ditangguh atau bercelaru, kemudian nak pulang awal pula kerana terikat dengan tugasan lain. Pendek kata sikap suka menyusahkan orang ini menyebabkan ada produksi yang sudah serik untuk bekerjasama dengan pelakon ini. Iyalah, disebabkan nila setitik, rosak sebelanga. Hanya kerana seorang pelakon buat hal, satu produksi dilanda masalah.

Namub begitu, benarkah Fahrin pelakon bermasalah? Adakah ini khabar angin yang sengaja disebarkan oleh mereka yang kurang senang melihat kejayaannya? Hip mendapatkan penjelasan daripada Fahrin apakah benar dia pelakon tidak berdisiplin seperti yang digembar-gemburkan. Reaksi yang diterima sebaik saja diajukan pertanyaan berhubung perkara ini, Fahrin berkata, dia cukup terkilan kerana cerita yang dipaparkan dalam artikel itu adalah tidak benar.

Hip: Adakah benar Fahrin bersikap seperti yang digambarkan dalam artikel itu?

Fahrin: Terlebih dulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi memberi peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar. Sebaik saja membaca artikel itu, saya sudah dapat mengagak produksi mana yang diceritakan. Saya masih ingat peristiwa itu berlaku pada 9 Ogos dan ia terjadi kira-kira jam 2 hingga 5 petang di lokasi filem Andartu Terlampau. Saya akui, memang datang lewat dan nak balik cepat pada masa itu. Untuk pengetahuan semua, saya berbuat begitu kerana saya mendapat keizinan daripada penolong pengarah dan juga pengurus produksi. Sejak awal lagi saya sudah berunding dengan mereka mengenai hal ini dan mereka memang mengizinkannya. Jadi apabila cerita seperti ini timbul, saya jadi hairan kerana apa yang ditulis dalam artikel itu kebanyakannya tidak benar.

Hip: Fahrin ada bersemuka dengan pihak produksi untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu ini?

Fahrin: Sebaik saja saya membaca artikel itu, memang saya ada bertemu dengan penolong pengarah dan pengurus produksi untuk membincangkan hal ini. Sebenarnya saya rasa terkilan dengan artikel itu kerana cara penulisannya seolah-olah menggambarkan yang saya memang seorang yang tidak berdisiplin. Walhal hakikatnya tidak sebegitu. Apabila kami lihat kembali artikel itu, rasa lucu juga kerana memikirkan macam mana cerita seperti itu boleh tersebar dan yang lebih penting, apa yang ditulis tidak benar sama sekali. Bagaimanapun, saya anggap setiap orang mempunyai sudut pandangan tersendiri dalam hal ini. Mungkin orang yang menyampaikan cerita itu kepada wartawan berkenaan tidak mengetahui perkara sebenar.

Hip: Mungkin orang yang menyebarkan fitnah itu bertujuan untuk mensabotaj kerjaya lakonan Fahrin?

Fahrin: Saya tidak mahu menuduh. Cuma seperti saya katakan setiap orang sudut pandangan berbeza dalam hal ini. Namun saya tak nafikan, dakwaan itu boleh mencalarkan imej dan reputasi saya sebagai pelakon. Mana mungkin saya hendak melakukan perkara yang boleh menutup periuk nasi sendiri. Saya rasa sudah matang untuk menyusun jadual sendiri dan tak perlu hendak terkejar-kejar kerana itu bukan saja menyusahkan banyak pihak tetapi juga diri sendiri. Lagipun sebelum ini bukan saya tidak pernah berada di situasi yang berbeza iaitu menjadi pelakon yang terpaksa menunggu artis lain. Tapi, saya tidak merungut kerana saya tahu mereka ada alasan sendiri mengapa lewat. Bagi saya, dalam hal ini kita kena bertolak ansur dan jangan terlalu mementingkan diri sendiri.

Hip: Dari segi tawaran macam mana? Apakah Fahrin masih lagi mengambil banyak tawaran dalam satu masa?

Fahrin: Setakat ini alhamdulillah, rezeki itu ada. Malah menjelang puasa, semakin banyak tawaran yang datang. Saya bercadang untuk rehat seketika pada bulan puasa ini tetapi nampaknya rancangan terpaksa difikirkan semula. Dulu, mungkin saya baru dalam bidang ini. Jadi selagi ada tawaran, selagi itulah saya terima. Tapi kini saya sudah tahu bagaimana hendak menguruskan jadual dan berurusan dengan mereka yang terbabit di bidang ini. Saya banyak belajar dan tidak mungkin saya ulangi kesilapan yang sama.

Hip: Kalau kita lihat, nama Fahrin sering dikaitkan dengan dua perkara ini. Masalah disiplin dan juga teman wanita. Komen sikit?

Fahrin: Itulah! Saya perasan juga perkara ini. Tapi nak buat macam mana. Itu adalah asam garam mereka yang bergelar artis. Bagi saya sendiri, setiap kali cerita seperti ini timbul, saya lihat dari sudut positif. Biarlah orang hendak kata apa pun kerana yang penting, kita tahu apa yang kita lakukan. Tak perlu nak pening memikirkan hal seperti ini. Kita kena cool sentiasa.

Hip: Pertanyaan ini tak ada kena mengena dengan cerita tadi. Bila Fahrin dan Scha nak ada ikatan?

Fahrin: Kalau ikutkan, saya sendiri memang sudah bersedia tetapi tunggulah, saya serahkan semua ini kepada Tuhan. Kalau ada jodoh, adalah.

Panas, tegang

Panas, tegang

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Ahli Papita tidak puas hati dengan laporan kewangan persatuan yang tidak kemas

MENGAPA banyak program tidak diketahui oleh AJK dan ahli biasa? Mengapa dalam laporan kewangan mengatakan persatuan mengalami kerugian besar?

Itulah antara isu yang dibangkitkan oleh ahli dalam Mesyuarat Agung Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lirik Tanah Air (Papita) kali ke-12 di Pawagam Mini P Ramlee, Finas pada Sabtu lalu.

Selain berkaitan soal aktiviti dan kedudukan kewangan persatuan, isu lain yang turut ditimbulkan ialah berkaitan dengan status keahlian. Semuanya itu menyebabkan mesyuarat agung berlangsung dalam suasana tegang dan panas terutama selepas Presidennya, Datuk M Daud Wahid membentangkan laporan kewangan 2006 persatuan ini.

Ahli persatuan ini mempersoalkan kenapa Presiden tidak memaklumkan kepada barisan AJK atau ahli persatuan mengenai wujudnya program atau aktiviti seperti Senandung Budaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Malam Anugerah Kecapi, perolehan daripada slot siaran RTM; pendapatan daripada program Ogy Salih Yacob, baki Jam slot RTM, Majlis Makan Malam Malaysiaku Gemilang, Buka Autograf, Projek Tanah di Melaka dan Sijil yang ditandatangani oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Bekas AJK Papita, Othman Mahmood menuntut penjelasan daripada M Daud mengapa lapan program anjuran Papita tidak diketahui.

Katanya, merujuk kepada laporan kewangan yang diedarkan kepada ahli, semua program itu bukan saja tidak diketahui exco yang dilantik namun turut mengalami kerugian yang besar.

“Sebagai AJK, banyak program yang diadakan tidak diketahui oleh kami mahupun ahli biasa dan laporan yang ditulis melaporkan persatuan mengalami kerugian yang besar.

“Sebelum ini pun apa-apa program yang dirancang oleh persatuan tidak diketahui barisan exco lain dan tidak melampirkan minit mesyuarat yang diadakan. Mengikut buku perlembagaan, sekiranya mesyuarat yang diadakan tanpa pengetahuan exco lain dan tiada minit direkodkan, mesyuarat itu dianggap tidak sah kerana tidak mematuhi syarat perlembagaan.

“Saya dilantik sebagai AJK bagi sesi 2007/2009. Sebagai AJK, saya mahu laporan kewangan 2006 diselesaikan sebelum membentangkan laporan kewangan seterusnya kerana bimbang kalau berlaku penyelewengan ia tidak membabitkan saya,” katanya.

Turut melahirkan perasaan tidak puas hati ialah Shamsuddin PA Moidutty atau lebih dikenali Din Maidin apabila keahliannya selama ini tidak direkodkan bermula 2007 hingga 2009.

“Pada Mesyuarat Agung Papita ke-11, saya mendaftar keahlian dengan membayar yuran sebanyak RM220. RM120 untuk keahlian seumur hidup dan RM100 untuk perkampungan Artis di Melaka.

“Baru-baru ini saya menyemak nama saya di Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan nama saya sah sebagai ahli. Tetapi sebulan lalu, saya dimaklumkan, saya bukan ahli Papita. Keahlian saya dilucutkan. Perlucutan keahlian itu ada dilaporkan di dalam laporan mesyuarat agung hari ini dengan alasan keahlian saya tidak sah kerana tidak berdaftar.

“Sebenarnya, selepas mendaftar keahlian pada tahun 2007, saya dilantik sebagai salah seorang AJK. Tiba-tiba sebulan sebelum mesyuarat agung hari ini diadakan, saya dikhabarkan yang saya bukan ahli dan nama saya tidak ada di dalam keahlian. Jika benar nama saya tidak didaftarkan, mengikut syarat perlembagaan, bermakna mesyuarat sebelum ini tidak sah,” katanya.

Kedudukan kewangan Papita yang tidak kemas turut dimuatkan dalam laporan juru audit luar. Menurut laporan yang dibuat oleh Azmi Ismail & Co., antara lain mengakui buku dan rekod kewangan persatuan tidak disimpan dengan memuaskan dan sistem kawalan dalaman tidak mencukupi.

Laporan itu turut menyatakan walaupun beberapa pelarasan dibuat ke atas penyata kewangan berdasarkan rekod dan dokumen yang sedia ada, maklumat daripada pihak exco persatuan dan penemuan semasa pengesahan ke atas transaksi terpilih, tidak dapat menyatakan transaksi kedudukan urusan persatuan pada 31 Disember 2006.

Selepas agak lama bertegang leher, bertikam lidah antara ahli dan barisan AJK mengenai Laporan Kewangan Persatuan 2006, Pengerusi mesyuarat, Datuk Malek Radzuan kemudian mencelah dan menyuraikan pertelingkahan yang tidak mendapat apa-apa kata putus.

Perdebatan mengenai agenda kedudukan kewangan persatuan 2006 hingga 2008, menyebabkan mesyuarat bersetuju untuk menangguh ke satu tarikh yang akan ditetapkan pada Oktober depan.

M Daud kekal Presiden Papita penggal ketiga

WALAUPUN berjaya mengekalkan jawatan sebagai Presiden penggal ketiga berturut-turut, tugas berat pastinya menanti M Daud untuk memberi penjelasan beberapa isu tertunggak dalam Mesyuarat Agung Papita Ke-12, seperti soal kedudukan kewangan, aktiviti persatuan dan keahlian.

M Daud sebagai pemimpin selepas menerima 29 undi berbanding pencabarnya, Nasir Datuk Ahmad Nawab yang memperolehi sembilan undi.

Mengulas kemenangan mengekalkan jawatan Presiden, beliau berkata mesyuarat agung yang diadakan kali ini adalah satu lagi ilmu yang diperoleh sekali gus mematangkan dirinya untuk memimpin persatuan dengan lebih adil dan berkarisma.

“Seperti yang sudah saya ramalkan, Mesyuarat Agung Papita ke-12 panas dengan pihak yang tidak faham dengan apa yang sudah persatuan lalui selama ini. Tapi ketidakpuasan hati itu adalah biasa.

“Pada majlis inilah mereka selama ini mereka berhak luahkan perasaan tidak puas hati itu, dan saya sebagai pemimpin tetap mendengar. Mereka sedang marah dan kita harus mendengar kerana sekiranya kita juga marah, majlis ini akan berakhir dengan perkara tidak baik.

“Mana yang saya boleh jawab saya akan jawab, mana yang tidak boleh dijawab disebabkan kesuntukan masa kita akan tangguhkan. Saya juga bersedia memperjelaskan mana-mana yang tidak jelas pada mesyuarat agung khas yang bakal pada Oktober nanti,” katanya.

Bagaimanapun, M Daud berkata, isu tidak puas hati di kalangan ahli tidak menghalangnya untuk meneruskan beberapa agenda penting yang dirancang untuk tahun depan.

“Antara agenda penting iaitu ialah menganjurkan Festival Muzik Etnik bertaraf antarabangsa dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah. “Selain itu juga, kita akan bekerjasama dengan RTM untuk menghidupkan kembali Pertandingan Kugiran bagi mengisi tabung persatuan. Kita juga merancang untuk memiliki bangunan sendiri dalam masa terdekat ini.

“Saya yakin untuk melaksanakan agenda itu dalam masa dua tahun dari sekarang dan selepas itu sekiranya saya sudah tidak diperlukan dalam persatuan saya akan mengundur diri,” katanya.

INFO: Exco Papita sesi 2009/2011

* Presiden: Datuk M Daud Wahid
* Timbalan Presiden: Datuk Malek Radzuan
* Naib Presiden 1: Johari Mat Rozekhi
* Naib Presiden 2: Nasir Ahmad Nawab
* Setiausaha: -Belum Dilantik
* Penolong Setiausaha -Belum Dilantik
* Bendahari: -Belum Dilantik

Fragmen: Ustaz Asri, Rabbani, nasyid dari kaca mata stesen TV dan radio

Fragmen: Ustaz Asri, Rabbani, nasyid dari kaca mata stesen TV dan radio

zainuri@bharian.com.my


GAMBAR kenangan Asri bersama anggota Rabbani.

ARTIKEL berjudul Benarkah filem Yasmin karya tanah air paling hebat? yang disiarkan dalam ruangan ini pada minggu lalu menerima reaksi yang pelbagai daripada pembaca.

Ada yang bersetuju, tetapi ramai juga yang kurang senang dengan artikel itu kerana mempersoalkan kredibiliti Yasmin sebagai pengarah filem. Dari aspek personaliti, kita tidak sentuh sama sekali siapa Yasmin Ahmad. Namun, dari sudut karya, adalah lumrah kalau terus diperdebatkan walaupun pengkaryanya sudah meninggal dunia. Ini berlaku di mana, hatta dalam karya penulisan sastera tanah air.

Oleh itu, kita semua pihak yang memberi maklum balas terhadap artikel itu. Seperti kita katakan, idea Yasmin memang bagus. Niatnya baik. Namun begitu kita tidak membaca, menilai, mengamati aspek sub-teks dalam karya atau persembahan filem Yasmin secara selapis saja, iaitu dengan sekali pandang saja.

Dalam banyak isu dan persoalan, kita melihat karya Yasmin sebagai berat sebelah, tidak realistik, menyindir orang Melayu, mengajak orang Melayu dan Islam supaya berfikiran liberal. Semasa hayatnya beliau terbuka dengan kritikan dan teguran. Allahyarham Yasmin tidak mudah melatah berbanding peminatnya.

Apa sekalipun, kita tetap berpendirian karya Yasmin memang baik tetapi bukanlah yang terbaik, jauh sekali hendak dikatakan hebat atau agung. Dalam menilai karyanya, kita tetap mengambil kira citra dan budaya bangsa, khususnya sebagai orang Melayu dan agama Islam.

Kita tidak mempersoalkan niat stesen TV menyiarkan slot khas mengenang jasa dan sumbangan Yasmin. Cuma daripada maklum balas umum, apa sebenarnya sumbangan Yasmin terhadap dunia perfileman tanah air secara keseluruhannya?

Kita tidak pasti stesen TV melihatnya sebagai pengkarya filem yang hebat atau pembikin iklan komersial handalan? Kalau sebagai pembikin iklan komersial atau iklan awam, memang betul, dan kita akui Allahyarham Yasmin seorang yang handal dan mengagumkan.

Tapi adakah kerana itu stesen TV menyiarkan slot khas mengenang kembali Yasmin Ahmad? Kalau itu ukurannya, kenapa tiada stesen TV yang dengan serta merta akan membuat siaran khas mengenang jasa dan sumbangan Ustaz Asri atau Mohd Asri Ibrahim, pemimpin dan vokalis kumpulan Rabbani yang meninggal dunia, Khamis lalu?

Kita mengalu-alukan inisiatif stesen TV menyiarkan slot mengimbas semula karyawan seni yang sudah meninggal dunia. Tetapi ia mestilah dilakukan dengan adil. Bukan hanya orang tertentu saja. Genre muzik nasyid tidak mendapat layanan sewajarnya oleh stesen radio. Muzik nasyid disifatkan sebagai tidak ada kelas atau dalam istilah sekarang tidak ‘urban’. Malahan mungkin beranggapan muzik nasyid macam muzik kampung.

Muzik atau lagu nasyid sekadar menjadi penghias untuk slot masuk waktu solat dan selepasnya. Pengendali stesen radio tidak menilai muzik nasyid secara keseluruhannya iaitu bukan saja muzik tetapi inti pati pada seni kata lagu-lagunya.

Disebabkan layanan tidak adil ini, pergerakan kumpulan nasyid tidak ubah sebagai kumpulan indie. Tapi sekurang-kurangnya sekarang muzik dari kumpulan indie ini sudah mendapat tempat yang lebih baik di stesen radio mahupun TV berbanding dengan muzik nasyid.

Realitinya pemergian Ustaz Asri sebenarnya turut menyedarkan kita di mana sebenarnya kedudukan penyanyi atau kumpulan nasyid. Ia jelas menunjukkan mereka tidak dianggap sebagai sebahagian daripada karyawan muzik yang sepatutnya diberi peluang, layanan dan tempat sama seperti pemuzik dan penyanyi lain.

Sebaliknya, genre nasyid seperti kena diskriminasi, terpinggir atau dipinggirkan, hanya diberi peluang muncul musim tertentu saja seperti Aidilfitri, Aidiadha, Ma’al Hijrah, nuzul al-Quran, Maulidur Rasul, persembahan di musabaqah al-Quran dan tidak lama lagi sempena Ramadan. Mungkin tidak dinafikan muzik nasyid agak stereotaip. Ini kita tidak nafikan. Inilah kelemahan yang perlu diperbaiki oleh penggiat nasyid. Namun, Asri bersama-sama Rabbani sudah mengambil langkah jauh ke depan. Beliau membawa genre nasyid ke dimensi baru dengan menjadi lebih segar, dinamik dan bergaya tersendiri. Walaupun masih mengekalkan irama nasyid konvensional - yang memberi penekanan kepada percussion atau muzik bergendang - Asri dari semasa ke semasa terus mengetengahkan perubahan baru sekurang-kurangnya dalam satu atau lagu terbaru nyanyiannya. Lagu Pergi Tak Kembali dan Intifada, misalnya, diketengahkan dengan muzik techno dengan teknologi komputer dan gelombang bunyi (synthesizer).

Namun begitu, lagu-lagu Rabbani masih menghadapi kesukaran untuk menembusi tembok halangan stesen radio. Kalau kumpulan nasyid seperti Rabbani pun menghadapi masalah untuk penyiaran di radio, apatah lagi dengan kumpulan nasyid lain.

Jadi, apakah kerana kekurangan maklumat atau ketiadaan dokumentasi mengenai aliran muzik nasyid, terutama mengenai personaliti bernama Mohd Asri Ibrahim menyebabkan stesen TV atau radio mengambil masa untuk membuat program terbitan mengenang kembali Ustaz Asri?

3 tahun penuh makna

3 tahun penuh makna

Warga Klasik Nasional rai ulang tahun secara sederhana

TANGGAL 12 Ogos lalu, Radio Malaysia Klasik Nasional menyambut ulang tahunnya yang ketiga. Walaupun sambutan diadakan secara sederhana dengan jamuan kek dan pulut kuning di kalangan kakitangan Klasik Nasional sendiri, namun semangat jati diri dan ukhwah warganya sungguh membanggakan hingga menjadikan stesen ini popular dan diminati segenap lapisan pendengar seluruh negara.

Mengimbas kembali sejarah penubuhannya, Klasik Nasional adalah gabungan dua stesen yang sedia ada di RTM iaitu Nasionalfm dan Klasikfm di mana majlis pelancaran penggabungan Klasik Nasional disempurnakan oleh Menteri Penerangan pada 12 Ogos 2006.

Tujuan utama penubuhan Klasik Nasional ialah untuk memperluaskan liputan siaran Klasikfm ke peringkat seluruh negara bukan hanya di Lembah Klang saja. Selain itu, Klasik Nasional juga diwujudkan untuk menerapkan nilai cintakan irama Melayu yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan serta mengekalkan keunggulan Irama Melayu yang juga nadi dan jantung bahasa Melayu.

Meskipun majlis meraikan ulang tahun ketiga Klasik Nasional diadakan di studio Klasik Nasional, Wisma Radio, Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini dengan dihadiri Pengarah Bahagian Program Radio, Datuk Jumat Engson selain warga Klasik Nasional sendiri, namun ia diharap mampu menyuntik semangat seluruh kakitangan Klasik Nasional dalam menggiatkan lagi usaha menghiburkan pendengar setia saluran mereka yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Menariknya, tiga peserta bertuah dipilih sebagai pemenang soalan kuiz yang disiarkan secara langsung serentak ketika majlis itu berlangsung menerusi stesen Klasik Nasional. Tiga pemenang bertuah yang diberikan soalan berkaitan stesen iaitu Mat Isa Osman dari Jerantut, Pahang, Mariam Podong dari (Setapak, Kuala Lumpur) dan Fatimah Harun (Pulau Pinang) berjaya membuktikan mereka adalah pendengar setia saluran popular di kalangan pendengar ini dengan menerima hadiah berupa cincin emas tajaan TZ Emas.

Pengarah Bahagian Program Radio, Datuk Jumat Engson berkata, Klasik Nasional sejak tiga tahun penubuhannya, berjaya memikat pendengar setianya bukan saja golongan veteran malah menarik minat generasi muda untuk terbabit sama dalam penganjuran aktiviti stesen ini.

Antaranya Pertandingan Bintang Klasik Nasional, Pertandingan Bintang Nostalgia Klasik Nasional dan Pertandingan Bintang Klasik Nusantara yang membabitkan tiga negara serumpun iaitu Brunei Darussalam, Singapura dan Malaysia selaku tuan rumah.

Stesen Klasik Nasional juga menerima Anugerah Pendokong Seni Negara 2006 (KeKKWA) iaitu selepas tiga bulan penubuhannya, selain Anugerah khas ketua Pengarah Penyiaran pada tahun 2008, Anugerah DJ terbaik 2006 daripada Papita, Anugerah Penerbitan Rancangan Terbaik 2008 (Gafim).

Hubungan muhibah antara Klasik Nasional dan stesen radio negara jiran amat erat. Ini dibuktikan dengan adanya Program Pertukaran Penyiar dan Rancangan iaitu antara RTM dan RTB (Brunei Darussalam), RTM dan RRI (Radio Republik Indonesia) serta pertukaran Rancangan Khas bersama Radio Warna Singapura. Terkini terjalin hubungan mesra Pertukaran Penyiar dan Program bersama Radio Antarabangsa China dan CRI (Bahagian Bahasa Melayu).

Dengarnya...: Sibuk nafi tapi nikah juga

Dengarnya...: Sibuk nafi tapi nikah juga

DULU beriya-iya menafikan, sekarang sudah jadi suami isteri. Inilah realiti dan penyakit di kalangan segelintir artis atau personaliti dalam dunia hiburan. Hakikatnya hubungan cinta rahsia Akhil Hayy dan Waheeda berakhir di jenjang pelamin.

Kalau Cik Normah nak sebut bukan Waheeda dan Akhil Hayy saja contoh yang ada. Banyak, tapi tak payah nak sebut semuanya. Yang pasti di kalangan artis, baik personaliti, pelakon atau penyanyi, mereka akan buat drama dulu sebelum akhirnya dilihat di atas pelamin.

Dalam hal Akhil Hayy dan Waheeda pula, dulu tak nak mengaku, sekarang sudah terang lagi bersuluh. Lalu tidak hairanlah jika buka laman sesawang atau portal hiburan, termasuk SMS yang disiarkan di akhbar ada yang menempelak pasangan ini. Memang pedih, tapi itulah hakikat yang harus diterima setiap mereka yang selalu menjadi perhatian masyarakat.

Teman Cik Normah ada menghantar SMS berkata, memanglah perkahwinan mereka itu sudah tertulis. Cik Normah akur soal jodoh ini bukan kuasa kita. Cuma apakan daya apabila hati sudah suka, dunia ibarat ‘ana yang punyalah’.

Teringat Cik Normah kepada cerita rakan baik Akhil yang juga seorang jurugambar termasuk beberapa orang lagi rakan wartawan yang dikatakan baik dengan Waheeda. Kononnya, demi menjaga hati dan permintaan mereka supaya pernikahan itu dilaporkan selepas majlis selesai. Akhirnya, mereka reda juga biarpun majlis itu dihidu ramai lagi rakan wartawan.

Lucunya, salah seorang daripada mereka itu berseloroh akhirnya ‘ana juga yang tertipu’. Ini kerana pada mulanya majlis itu hanya mengundang wartawan tertentu saja. Tapi apa boleh buat, benda yang tak dijangka ini bukan kehendak kita. Ikutkan memang boleh teman wartawan terbabit tulis saja berita awal mengenai majlis pernikahan mereka pada hari itu.

Tak apalah perkara sudah berlalu. Waheeda pun sudah rasmi bersara dari bidang seni. Cuma Cik Normah tak tahu sampai bila ‘dendam’ orang terhadap penafian mereka itu berlanjutan. Tapi sebaik-baiknya, kita lupakan perkara itu. Seperti kata Akhil, tutup buku lama, buka buku baru. Macam mana pun, luka itu memang boleh disembuhkan, tapi parutnya susah nak hilang.

Cik Normah yakin ada manusia yang tidak mudah memaafkan orang lain dan terus-terusan akan mencari kesalahan pasangan itu. Ini perkara biasa. Ketika ini, Cik Normah tunggu juga kesudahan cinta Norman Hakim dan Memey Suhaiza. Abby pula macam mana agaknya kesudahan cintanya dengan pelakon baru bernama Zul. Diam saja kebelakangan ini.

Dengarnya...: Mungkin belum masa bercinta

Dengarnya...: Mungkin belum masa bercinta

CIK Normah kadang-kadang simpati juga dengan rakan artis kita ini. Apabila bercinta dan selalu bersama dibenci orang. Sebaliknya, apabila jarang bersama dikatakan hubungan mereka sudah berantakan pula. Lihat saja cerita mengenai hubungan Liyana Jasmay dan Aizat, jika dulu mereka kerap dilihat bersama dan diundang ke sesi fotografi bersama.

Tapi apabila mereka cuba mengurangkan jarak hubungan itu di depan masyarakat, dikatakan pula mereka sudah berpisah. Cik Normah lihat apa yang dilakukan mereka itu sebagai langkah awal supaya masyarakat tidak terus jelak disajikan dengan kisah sama. Ia satu strategi bagus, tapi biasalah bukan senang nak memuaskan hati orang.

Ibaratnya seperti diluah mati emak, ditelan mati bapa. Semuanya serba tak kena. Demikian juga halnya dengan Diana Danielle yang mana kisah hubungan rapatnya dengan Farid Kamil mula menjadi perhatian. Daripada nak bersikap berdiam diri mengenai perkara itu, akhirnya mahu atau tidak, ia terus mengundang rasa ingin tahu ramai orang.

Cik Normah mengerti perasaan mereka sebab Cik Normah pun seperti orang lain apabila melalui zaman bercinta. Bagi Diana, biarpun usianya masih muda, bukan satu kesalahan jika ada insan mahu menyayanginya. Setiap manusia di dunia ini pastinya mahukan disayangi.

Tapi Cik Normah yakin tumpuan yang patut diutamakan anak kesayangan Norsiah Ramli itu sekarang ialah pengajiannya dalam bidang biosains di Universiti Nottingham di kampus cawangan Semenyih, Selangor. Dalam masa yang sama, cinta Diana dalam bidang lakonan masih utuh.

Cik Normah diberitahu mulai 20 Ogos ini beberapa hari sebelum menjelang Ramadan, Diana akan ke set penggambaran telefilem kisah seram. Tapi bukan pelakon itu yang akan jadi hantu. Sebaliknya dia akan jadi teraju utama di sisi seorang hero tampan yang semakin menjadi perhatian ketika ini. Jangan salah teka pula, hero itu bukan Farid Kamil tau!

Diana juga akan mula sibuk dengan pementasan teater Natrah arahan Erma Fatimah November depan. Tak silap Cik Normah, Remy Ishak pun berlakon juga dalam teater itu. Untuk Diana, semoga terus berjaya dengan cemerlang dalam bidang pelajaran yang diambil itu.

RM50,000 kempen Lagu Berduit Suria FM milik Ida

RM50,000 kempen Lagu Berduit Suria FM milik Ida

KEMPEN Lagu Berduit Suria FM yang ditaja One Drop Perfumes telah pun tiba ke kemuncaknya, Jumaat lalu, apabila RM50 ribu berjaya menjadi milik ibu tunggal dari Kota Bharu, Kelantan, Ida Sharihanim Shaari, 33 tahun.

Pemilihannya dibuat secara rambang daripada lebih 20,000 SMS yang diterima 14 Ogos 2009 untuk kempen itu menerusi segmen Breakfast@Suria. Sebaik saja diumumkan sebagai pemenang pada jam 9.50 pagi, Ketua Pegawai Operasinya, Engku Emran Engku Zainal Abidin bersama kru Breakfast@Suria, Tuah & Zizi serta Kak V, membuat kejutan dengan terus menuju ke rumah pemenang berkenaan di Taman Mesra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu Kelantan untuk menyerahkan replika cek itu.

“Kemenangan ini umpama keajaiban dan pastinya mengubah kualiti hidup saya. Jutaan terima kasih kepada Suria FM dan duit ini akan saya gunakan untuk menampung perbelanjaan pendidikan dua anak lelaki saya yang berumur 13 dan 7 tahun. Saya akan terus dengarkan Suria FM dan juga akan pastikan semua teman dan keluarga saya turut dengarkan stesen yang dikenali dengan Muzik Terbaik Tanpa Henti ini,” katanya.

Kempen Lagu Berduit Suria FM yang bermula 20 Julai lalu, ternyata berjaya mendapat perhatian dan sambutan paling hebat jika dibandingkan dengan kempen yang pernah dianjurkan Suria FM sebelum ini. Seramai 66 orang telah berjaya menjadi pemenang dan jumlah keseluruhan wang yang ditawarkan bernilai RM100,000.

Daripada jumlah itu, 30 orang berjaya memenangi RM500, 35 orang pula membawa pulang RM1,000 dan Ida adalah pemenang bertuah yang memenangi RM50,000.

Selain itu, satu majlis penyerahan cek telahpun diadakan di Pejabat Suria FM yang menyaksikan 12 pemenang Lagu Berduit dari sekitar Lembah Klang menerima cek masing masing yang bernilai RM500. Manakala bagi pemenang yang lain cek akan dikirimkan menerusi khidmat kurier dan yang pasti mereka akan menerimanya sebelum Aidilfitri ini. Untuk keterangan lanjut, layari www.suriafm.com.my.

Bujang Haliza Misbun ada 'harga'

Bujang Liza ada 'harga'

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

TIDAK kisah terus membujang meskipun usia Haliza Misbun sudah mencecah 36 tahun. Banyak perkara yang perlu dilakukannya daripada asyik memikirkan jodoh yang entah bila akan kunjung tiba.

Pun begitu kata Haliza, dia sedikit pun tidak tertekan dengan keadaan itu tetapi orang di sekeliling pula sibuk bertanya bila dia hendak naik pelamin.

"Saya ok je. Bukan tak mahu berkahwin tetapi belum ada jodoh tetapi saya tak kisah kerana saya percaya ajal, maut dan jodoh semuanya ketentuan Allah SWT. Tetapi saya tengok orang di sekeliling pula nampak lebih tertekan daripada saya dan tak jemu bertanya bila hendak makan nasi minyak.

"Apa yang saya alami ini pasti turut dirasai wanita yang berusia lanjut macam saya di luar sana. Selalu dihimpit persoalan sama saban waktu. Walaupun saya tidak kisah mengenai status diri yang masih membujang tetapi adakala rimas juga.

"Selain belum ada jodoh, saya belum bersedia untuk menamatkan zaman solo kerana banyak perkara sedang dirancang terutama membabitkan kerjaya. Saya percaya wanita di luar sana juga ada sebab tersendiri mengapa mereka lebih senang hidup sendiri," katanya.

Sebagai meluahkan isi hati mewakili mereka yang sudah termasuk dalam golongan andartu, syarikat produksinya, Big Productions Sdn Bhd menerbitkan filem Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami arahan Din CJ.

Filem sulung Big Productions itu dijayakan Haliza yang memegang watak utama bersama Ari Wibowo, Abby Abadi, Erra Fazira, Fizo Omar, Abon, Maimun Talib, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali dan Fahrin Ahmad.

Kata Haliza, filem ini mengisahkan masalah andartu yang selalu dipandang rendah masyarakat. Haliza mahu masyarakat lebih bersikap terbuka selepas menonton filem ini dan tidak mahu lagi golongan andartu berasa rendah diri dan malu kerana masih solo pada usia agak lewat.

"Pada saya tidak ada malunya hidup solo kerana kebahagiaan itu terletak pada hati kita sendiri, bukannya daripada orang di sekeliling kita. Ada kawan sanggup berkahwin tanpa rela kerana 'termakan' cakap orang. Akhirnya usia perkahwinan baru setahun jagung sudah bercerai-berai.

"Keluarga dan masyarakat perlu menghormati hak orang lain, jangan dipaksa jika tidak suka. Tentu seseorang itu ada sebab sendiri kenapa dia tidak mahu berkahwin. Tidak semestinya kebahagiaan hanya boleh dimiliki apabila bersuami.

"Jika dipertemukan dengan lelaki yang baik, syukur ke hadrat Allah SWT, Jika sebaliknya lebih baik membujang sampai tua, apatah lagi wanita yang sudah mempunyai kerjaya bagus," katanya.

Untuk filem ini, sekali lagi Haliza mempelawa Ari berlakon dengannya memegang watak Dr Ryan Diprojo kerana baginya, pelakon terkenal Indonesia itu sangat memahami cita-citanya dalam dunia seni. Mereka pernah bekerjasama dalam VCD Rohaya Roy, lima tahun lalu terbitan Halle Pictures Sdn Bhd, juga milik Haliza.

"Selepas siap pembikinan Rohaya Roy, saya terus terfikir hendak menerbitkan filem dan Ari sentiasa memberikan sokongan serta percaya saya boleh melakukannya. Meskipun dia jauh di seberang, kami selalu berhubung antara satu sama lain.

"Saya tahu ramai mentertawakan saya apabila menyuarakan hasrat hati menerbitkan filem tetapi impian itu menjadi kenyataan juga akhirnya.

"Senang bekerja dengan Ari kerana dia pelakon yang bagus, saling memberi dan menerima. Sifat Ari yang berdiplomasi dan menggunakan pendekatan psikologi apabila bercakap juga membuatkan saya yang keras kepala ini boleh mendengar cakapnya. Dia juga tidak pernah memperlekehkan cita-cita saya," katanya.

Haliza akui agak gementar kembali ke lokasi filem kerana kali terakhir beraksi di layar perak melalui filem Scoop arahan Aziz M Osman yang diterbitkan 13 tahun lalu.

"Untuk berlakon filem semula membuatkan saya gementar. Tetapi Ari menyakinkan saya boleh melakukannya. Bagaimanapun, sebelum melangkah semula ke layar lebar, saya banyak berlakon drama kerana menganggap ia kolej terbaik untuk belajar menjadi pelakon filem berkarisma.

"Berlakon filem untuk tayangan di skrin besar lebih sukar berbanding drama kerana segala kecacatan dalam lakonan akan terserlah," katanya.

Dalam satu babak filem itu, Haliza mandi bunga untuk mencari jodoh yang diatur ibunya, lakonan Maimon. Lokasi diadakan di Kem Isi Rimba Ulu Kemensah, baru-baru ini. Haliza juga tidak kisah tampil berkemban untuk babak itu.

Mengenai pemilihan Din CJ sebagai pengarah, kata Haliza, pengarah filem Mr Cinderella 2 itu antara pengarah yang serasi bekerja dengannya sejak bekerjasama menjayakan drama Cinderella. Disebabkan persefahaman itu juga, Din CJ dipilih mengarahkan Rohaya Roy.

"Abang Din banyak menyokong perjuangan saya dalam bidang seni dan memahami siapa sebenarnya Haliza Misbun. Dia tahu angin saya macam mana dan tahu hendak 'menghentikan' ribut taufan yang datang," katanya.

Menyentuh sikapnya yang baran itu, ramai dikatakan tidak suka bekerja dengannya. Haliza mengakui agak baran tetapi katanya, marahnya mesti bersebab.

"Orang yang marah tanpa tujuan, gila namanya. Takkan orang buat perkara betul, saya hendak marah. Apatah lagi ia membabitkan syarikat sendiri. Bukan murah hendak hasilkan drama atau filem, jadi kerja mesti serius. Sebelum datang ke lokasi, buat persediaan terlebih dulu.

"Buktinya, saya tiada masalah bekerja dengan Erra dan Abby. Ini kerana mereka sangat profesional. Tak adalah pula berlaku kejadian bertarik rambut di lokasi. Buat kerja apa pun kita mesti bersedia supaya tidak membazirkan masa, wang dan tenaga.

"Jika tiba di lokasi, baru hendak hafal skrip dan memahami watak, siapa yang tak marah. Pengarah pun naik hantu. Saya perlu tegas ketika bekerja bagi memastikan segalanya berjalan lancar. Seperti juga dalam hubungan suami isteri, jika si suami tidak mencetuskan onar dalam rumah tangga, takkan isteri hendak marah membuta tuli.

"Apatah ini adalah filem sulung saya yang diterbit menggunakan wang yang disimpan sekian lama tentu saya mengharapkan segalanya berjalan lancar.

"Demi kepuasan peribadi juga, lebih baik saya terbitkan drama dan filem sendiri. Boleh buat cerita yang saya suka dan pilih hendak pegang watak apa serta mengambil pengarah kesukaan.

"Insya-Allah jika filem ini mendapat sambutan, saya merancang untuk menghasilkan filem seterusnya. Untuk menjadi ahli perniagaan berjaya, saya perlu bersedia dengan pelbagai projek," katanya.

Dalam filem itu, Erra pegang watak Markonah dan pasti peminatnya tidak sabar hendak menonton kelainan lakonannya kali ini. Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami juga lakonan filem pertama Erra selepas bergelar isteri dan ibu.

"Filem ini akan ditayangkan tahun depan, namun saya percaya ramai tak sabar hendak menyaksikan penampilan Erra. Oleh itu, saya bercadang selepas filem ini siap, saya akan mengadakan tiga tayangan perdana istimewa di KL (Kuala Lumpur) dan Brunei.

"Kepada mereka yang ingin menjadi penonton pertama filem itu, kena beli meja dan sebahagian daripada wang kutipan itu nanti akan disalurkan kepada tabung amal Pernim (Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/Aids Nurul Iman Malaysia).

"Oleh kerana Ari berlakon sama, saya juga berhasrat menayangkan filem ini di Indonesia dan saya harap Ari boleh bantu memasarkan filem ini di negaranya. Ari juga sudah tiga tahun tidak berlakon, pasti peminat merindui kelibatnya di pawagam," katanya.

>Profil

NAMA: Haliza Misbun

USIA: 36 tahun

TARIKH LAHIR: 14 Mei 1973

TEMPAT LAHIR: Kuala Lipis, Pahang tetapi dibesarkan di Bangsar, Kuala Lumpur

KELUARGA: Anak kedua daripada enam beradik

STATUS: Solo

KERJAYA: Pelakon, produser dan pengarah (dokumentari)

DRAMA:

MAKANAN KEGEMARAN: Masakan ibu dan makanan Barat

MINUMAN KEGEMARAN: Air kosong

DRAMA: Cinderella, Rohaya Roy, Gris & Gucci, Karmila, Jernih Kasih Myra, Kembalikan Amanda, Roy... Catatan Andartu

FILEM: Abang 92, Scoop, Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Cinta

ANUGERAH: Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Skrin (ASK) 1997/1998 menerusi drama Cinderalla; Pelakon Pembantu Wanita Terbaik ASK 1997/1998 (Air Mata Ibu) dan Pelakon Wanita Terbaik ASK 1997/1998 (Odisi), Pelakon wanita Terbaik Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2004 menerusi drama Sumayah dan trofi Aktres Telefilem Pilihan Juri (telefilem Schizoid) Anugerah Oskar

INTERAKSI: 'Presiden mesti jujur'

INTERAKSI: 'Presiden mesti jujur'

Oleh ESME JOHARI WAHAB
esme@hmetro.com.my

WALAUPUN kepemimpinannya menerajui Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita) dikatakan lebih kepada mencari populariti dan mementingkan diri, ahli masih mahu Datuk M Daud Wahid terus mengetuai Papita sebagai presiden bagi penggal keempat.

M Daud menang majoriti pertandingan tiga penjuru mengatasi Malik Ridzuan dan Nasir Datuk Ahmad Nawab pada pemilihan Mesyuarat Agung Papita kali ke-12 di Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang, Sabtu lalu. M Daud menerajui Papita sejak sembilan tahun lalu.

Keputusan itu meletakkan Malik menjadi Timbalan Presiden dan Naib Presiden I disandang Johari Mat Rozekhi atau Joey BPR sementara Nasir memikul jawatan Naib Presiden II.

Antara matlamat M Daud, 66 tahun ialah meneruskan impian mewujudkan Festival Muzik Etnik Antarabangsa dan mencari bakat baru melalui pertandingan kugiran dan mahu artis memiliki imej lebih berkualiti dan masa depan lebih terjamin.

Ketika dihubungi kelmarin, M Daud mengatakan dia berada di Kota Kinabalu, Sabah untuk berbincang dengan kerajaan Sabah mengenai penganjuran festival yang bakal membabitkan penyertaan rantau Asia Tenggara, Asia Pasifik dan Afrika.

Ikuti temu ramah serta pandangan beliau untuk terus meningkatkan reputasi dan imej Papita melalui pelbagai program jangka panjang bersama wartawan Harian Metro, ESME JOHARI WAHAB (esme@hmetro.com.my).

SOALAN (S): Tahniah atas kejayaan Datuk mempertahankan jawatan Presiden. Bagaimana Datuk melihat kejayaan meneruskan perjuangan untuk penggal keempat?

JAWAPAN (J): Syukur ke hadrat Allah SWT kerana ahli Papita masih mahukan kepemimpinan saya. Sebenarnya saya tidak takut jawatan itu diambil orang lain. Malah saya bangga apabila ada calon lain turut berminat bertanding jawatan itu. Malah, Mesyuarat Agung ke-12 untuk memilih ahli jawatankuasa baru Papita tidak menghadapi masalah. Hanya sedikit panas apabila isu peribadi dan masalah tidak faham dibangkitkan.

Bagi saya, sedikit cabaran dalam mesyuarat bagus kerana dapat memperbaiki kelemahan. Saya jelaskan matlamat dan perjuangan masa depan Papita. Saya mahu Papita lebih cemerlang dan lega jika dapat mengurangkan beban jika pengganti mengambil tugas saya pada masa depan. Orang mengatakan saya berkepentingan tetapi ia tidak mengatasi bidang tugas diamanahkan. Orang lain turut berpeluang mencari pendapatan dan saya ikhlas mahu menaikkan martabat Papita.

S: Apakah ada pihak mahu menjatuhkan Datuk dengan tuduhan penyelewengan wang dalam Papita?

J: Setakat ini tiada rasanya. Jawatan Presiden Papita kerdil berbanding Perdana Menteri yang lebih ramai musuh. Saya fokus, komited dan serius terhadap tugas. 400 ahli Papita dan artis mendapat manfaat melalui persembahan tarian dan solo hasil kerjasama Papita dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dua tahun lalu. Saya selalu memikirkan bagaimana meningkatkan kemajuan Papita walaupun pulangan kewangan tidak lumayan. Setiap bahagian dapat insentif dan ganjaran. Saya menggunakan budi bicara dan pendapatan disalurkan untuk banyak pihak. Saya rancang tetapi Tuhan menentukannya.

S: Apakah rancangan terdekat Papita?

J: Saya hantar kertas cadangan penganjuran Festival Muzik Etnik Antarabangsa kepada kerajaan Sabah, membabitkan penyertaan rantau Asia Tenggara, Asia Pasifik dan Afrika. Saya lobi sebelum Festival Filem Malaysia (FFM22) di Kota Kinabalu, baru-baru ini. Jika menjadi realiti, ia acara tahunan di Sabah. Saya mahu ketengahkan gabungan tarian dan muzik, dua elemen ini tidak boleh dipisahkan.

Bajet program RM3 juta, malah Ketua Menteri Sabah, Datuk Sri Musa Aman turut berminat. Sabah memiliki 32 etnik dan unik tetapi negeri lain boleh mengetengahkan keunikan negeri masing-masing bagi menggambarkan 1Malaysia. Kita kaya budaya, jadi turut menarik pelancong dan pembangunan bakat baru.

S: Mengapa mahu pertandingan kugiran diadakan dan mengapa ia keutamaan?

J: Saya mahu kreativiti asli. Kugiran intelek, boleh cipta lirik dan dendang lagu sendiri dan bukan main hasil kerja orang lain. Setakat ini, 60 kugiran serata Malaysia berminat. Format kugiran bebas pilih jenis muzik dan pilih lagu. Ia kesinambungan Rentak Juara RTM sebelum ini.

Cara itu, anak muda beriadah dan atasi gejala tidak sihat. Prasyarat agak ketat dan salah satu cara meningkatkan semula industri muzik kita yang suram. Papita cadang wujudkan kursus kugiran berbakat mendalami mzik dan faham nota muzik. Jadi, masa depan, karier kugiran terjamin. Mereka ada permintaan buat persembahan di hotel dan atau tempat eksklusif kerana muzik universal. Jika boleh, serapkan mereka ke dalam Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

S: Apakah kebajikan dilakukan Papita dan sikap profesional masih perlu diperbaiki?

J: Masalah tiada persefahaman sewaktu mesyuarat dan kelancaran mesyuarat terganggu kerana ada ahli bertanya perkara remeh dan peribadi. Saya jelaskan, setiap pertanyaan jika tidak puas hati. Wang digunakan bagi kebajikan hari raya, ahli sakit, khairat kematian dan elaun. Papita sedia kenderaan bagi kegunaan ahli hadiri mesyuarat dan program tertentu. Kita tidak boleh buat keputusan dalam keadaan emosi tidak stabil. Asal rasa tak puas hati luah tetapi tidak nampak apa tersirat. Saya sentiasa memegang kata-kata amanah Pengerusi Majlis Muzik Malaysia, Datuk A Rahman Hassan. Presiden mesti jujur dan ada inisiatif. Ada ahli berminat datang mesyuarat ambil elaun saja.

S: Apakah pengalaman memalukan Datuk sebagai presiden Papita?

J: Ditegur Sultan Perak dan Sultan Perlis sewaktu Program Malaysia Ku Gemilang. Salah seorang jawatankuasa Papita diberi amanah mengendalikan sistem bunyi memainkan lagu politik. Sultan Perak dan Sultan Perlis menegur kerana lagu dipaparkan bukan lagu Negaraku.

Ada pihak tidak puas hati apabila ditegur atas kesilapan itu. Jika kita hendak bagus, perlu boleh ditegur kerana perasaan pandai sentiasa berada dalam diri kita dan sukar mengakui kesilapan. Apakah kita mahu diberi tanggungjawab tetapi tidak peka?

S: Bagaimana perkembangan mewujudkan perkampungan artis di Melaka? Apakah sudah mencapai matlamat?

J: Ya, saya mahu wujudkan perumahan artis sejak tiga tahun lalu di Melaka. Sekarang permohonan tanah 25 hektar diluluskan awal tahun ini oleh kerajaan negeri Melaka melalui Yayasan Melaka membabitkan 212 unit banglo. Papita mahu memperkayakan sejarah Melaka, konsep itu ada di Bollywood dan Hollywood sebagai karya seni. Impian itu bukan untuk jangka masa pendek. Artis boleh membina rumah konsep tradisional Minang, Bandung, Melaka, Portugis atau Perancis, malah boleh dijadikan lokasi penggambaran pada masa depan.

S: Apakah kekuatan Papita sekarang?

J: Kekuatan? Semua ada, semua cukup cuma kita tak pandai bersatu padu, masing-masing bertelingkah dan jika begini, Papita tidak boleh kekal. Papita mendapat gambaran tidak baik, tiada hemah jika berpecah-belah. Perjuangan perlu sokongan, jangan buat tuduhan kerana boleh menghilangkan keyakinan orang terhadap kita. Pelapis mesti ada mentaliti betul, bukan berwawasan menjatuhkan orang atau wawasan selalu tidak puas hati jika tidak dapat seperti orang lain. Saya tidak nampak siapa pengganti, saya bimbang tiada pengganti. Saya harap orang mengambil alih cinta dan sayang kepada persatuan. Ada sifat tanggungjawab, boleh tegur dan tidak buat komplot.

S: Apakah Papita mendapat sokongan padu artis baru?

J: Ya, begitu menggalakkan. Mereka mahu rakam lagu dan cipta lagu baru. Rakaman baru boleh mengimbangi kemasukan artis luar seperti Indonesia. Peminat dapat pilihan dan artis dapat peluang rakam album dan masa depan lebih baik. Saya cari penggubah lagu, kugiran baru dan cuba rakam lagu baru terbaik sebanyak mungkin. Disiplin penting mendidik artis. Apa pandangan penonton atau peminat jika artis buat persembahan pakai singlet dan seluar bertampal ketika atas pentas? Jika hendak dihormati, mereka perlu ada contoh baik.

S: Harapan masa depan Papita? Mengapa masih belum pilih setiausaha dan bendahari?

J: Bangunan sendiri kerana Papita tiada bangunan sendiri sejak 1977. Sekarang menyewa di Stadium Bola Sepak KL dengan sewa berpatutan. DBKL banyak membantu menjayakan program Senandung Budaya sejak sembilan tahun lalu. Saya tidak mahu terburu-buru individu pilih, tangkap muat isi jawatan setiausaha dan bendahari.

Saya waspada kerana saya mahu orang berpengetahuan. Jika boleh, lelaki dan wanita muda menduduki exco. Mengikut perlembagaan, jawatan setiausaha kehormat dan bendahari dilantik Presiden mengikut Fasal 8 Undang-Undang Papita.

Noriezuana Syed Shafudin ( Juara My Starz LG 2 ) 'Saya mahu jadi contoh'

'Saya mahu jadi contoh'

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my


BERTITIK tolak dari tarikh 22 Februari lalu yang menjulang namanya sebagai juara My Starz LG musim kedua, Noriezuana Syed Shafudin, 22, atau Wana sedar mahu atau tidak, dia harus bersedia menghadapi cabaran sebagai anak seni.

Kejayaan itu baginya adalah kepercayaan semua pihak yang menyokong dirinya selama ini terutama keluarga dan peminat.

"Justeru, payah ataupun sukar sekalipun perjalanan anak seni itu, saya perlu tabah dan cekal menghadapi cabaran yang bakal mendatang.

"Berbekalkan semangat mereka juga, buat saya semakin kuat berusaha membina nama sebagai penyanyi dan penghibur yang dihormati, mudah-mudahan dapat menjadi contoh kepada remaja lain," katanya.

Pada 11 Ogos lalu, Wana selamat melancarkan album sulungnya berjudul Siapa yang mula berada di pasaran sejak semalam (18 Ogos).

Bersesuaian dengan usia tuan empunya diri, Siapa menjurus ke arah konsep segar dan bertenaga, sesuai untuk semua peringkat terutama golongan muda.

Menampilkan komposer seperti Zaf VE dan Audi Mok, album memuatkan lima lagu berkonsepkan pop itu diadun elemen balada serta raggae, cuma mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

"Kalau ikutkan perancangan asal, album ini sepatutnya keluar tiga bulan selepas kemenangan saya di My Starz LG. Namun, disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, misalnya kesukaran mencari lagu bersesuaian vokal saya termasuk hal lain menyebabkan proses rakaman terpaksa dilewatkan.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana album ini dapat juga dilancarkan. Terasa seperti sedang bermimpi pula, meskipun sejak dari kecil saya memang suka menyanyi tetapi tidaklah pula terfikir suatu hari nanti akan memiliki album sendiri.

"Apapun, saya berharap peminat menyukai lagu dalam album ini kerana ia cukup istimewa dan mampu memenuhi kehendak semua pendengar, tidak kira yang muda mahupun tua," katanya.

Untuk single pertama, Wana memilih lagu Orang Biasa berentak pop reggae manakala lagu yang dijangka menjadi tumpuan pendengar, Siapa Orangnya dan Ingin Bersama Kembali, sebuah lagu duet bersama teman seperjuangan menerusi MyStarz LG yang juga pemenang tempat kedua, Nashrin.

Mengenai pemilihan Nashrin sebagai pasangan duet, Wana berkata, keserasian menyatukan mereka untuk bekerjasama dalam album ini.

"Syarikat rakaman Warner Music Malaysia mahu mencipta pasangan duet daripada artis baru. Lagipun, kami terbabit dalam program sama dan sudah lama kenal. Justeru, antara saya dan Nashrin sebenarnya ada keserasian dalam nyanyian," katanya.

Mengakui Gerhana, satu-satunya lagu paling sukar untuk disampaikan kerana ia berentak balada, namun Wana akur untuk mengatakan lagu itulah yang paling disukainya.

"Sejak dulu lagi saya memang jarang menyampaikan lagu balada dan kerana itu, saat merakamkan Gerhana terasa begitu payah sekali. Namun, kesukaran itulah membuatkan saya begitu menyukai Gerhana dan saya sendiri percaya akhirnya berjaya juga menyempurnakan lagu itu," katanya.

Dengan lambakan ramai penyanyi berbakat besar termasuk saingan daripada bintang realiti, Wana sedar dia perlu mempertingkatkan kebolehan dari semasa ke semasa dan tidak boleh berasa selesa dengan apa yang dimilikinya sekarang.

Gadis yang sentiasa tersenyum ini juga berharap, dia tidak leka dengan pujian dan mahu menjadi artis yang dikenali dengan sikap merendah diri.

"Dekat sekolah dulu orang menggelarkan saya 'kerang busuk' kerana suka tersenyum tidak kira dengan siapapun dan disebabkan sikap itu, saya memperoleh ramai kawan. Saya harap setinggi manapun kejayaan saya nanti, saya tetap kekal dengan sifat bersederhana dan merendah diri," katanya.

Sentuhan terakhir Yasmin

Sentuhan terakhir Yasmin

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

TANGGAL 25 Julai lalu, negara kehilangan pengarah filem dan iklan terkenal, Allahyarham Yasmin Ahmad. Namun, siapa sangka hingga ke akhir hayatnya sutradara kreatif itu tetap 'tegar' berkarya. Ia nyata terbukti menerusi projek 15Malaysia yang disertainya.

Setia bekerjasama dengan penyanyi dan pencipta lagu yang mengilhamkan projek itu, Pete Teo, sentuhan filem pendek Yasmin, Chocolate meninggalkan kenangan yang begitu mendalam. Tentunya, di kalangan peminat dan kenalan rapat yang mengenali Yasmin.

Menerusi Chocolate yang menggunakan dua bahasa, Melayu dan Mandarin, Yasmin juga setia mempertaruhkan bakat bintang ciptaannya, Sharifah Amani di samping Tan Mei Ling dan Howard Hon Kahoe. Chocolate ditayangkan mulai hari ini di www.15malaysia.com.

Pete Teo berkata, walaupun Yasmin sudah tiada di dunia ini, karyanya tetap diminati. Justeru, saksikan garapan terakhirnya, Chocolate menerusi projek 15Malaysia dijayakan. Ia pasti akan mengingatkan kita semua pada memori yang ditinggalkannya.

"Apa yang pasti, Yasmin memiliki inspirasi yang besar dan semua orang tahu mengenainya. Tetapi, dia sekarang sudah tiada lagi serta inilah karya yang ditinggalkan. Saya harap sesiapa yang menonton Chocolate akan terhibur dengan mesej yang dibawa.

"Bagaimanapun, saya yakin Yasmin tentu bangga dengan projek ini. Maklum saja, sebagai pembikin filem bebas bukan mudah untuk dapatkan bantuan kewangan. Justeru, terima kasih kepada syarikat perkhidmatan Internet tempatan, Packet One Networks (P1) kerana menjadi penaja," katanya.

Selaku penerbit, Pete berkata pihaknya mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan projek itu. Menurutnya lagi, lebih 100 terbabit secara langsung dalam projek 15Malaysia yang mengetengahkan jalan cerita merangkumi budaya, politik, seni dan isu sosial masyarakat.

"Segala yang dipaparkan berkisar kepada apa yang berlaku di negara ini. Oleh itu, tidak hairanlah apabila gabungan pelakon menjayakannya terdiri daripada pengarah, pemuzik dan ahli politik tanah air. Bahkan, kemunculan mereka atas kesanggupan dan kesesuaian watak.

"Bagaimanapun, filem pendek pertama ditayangkan pada 17 Ogos lalu, Potong Saga arahan Ho Yuhang berjaya mendapat sambutan menggalakkan. Sejak penayangannya, kira-kira 15,000 orang sudah melayari laman web kami termasuk 3,000 mendaftar di Facebook," katanya.

Menurut Pete lagi, satu demi satu filem pendek berdurasi antara 5 hingga 7 minit akan dilancarkan selama 30 hari sehingga 16 September depan. Antaranya, The Tree diarahkan Amir Muhammad pada 21 Ogos, House (Linus Chung -24 Ogos) dan Halal (Liew Seng Tat -26 Ogos).

Diikuti, The Son arahan Desmond Ng ditayang pada 28 Ogos, Lumpur (Kamal Sabran - 31Ogos) One Future (Tan Chui Mui- 2 September), Slovak Sling (Woo Ming Jin - 4 September), Gerhana (James Lee - 7 September), Meter (Benji & Bahir - 9 September), Duit Kecil (Johan John - 11 September), Healthy Paranoia (Khairil Bahar - 14 September), Lollipop (Nam Ron - 15 September) dan Rojak! (Suleiman Brothers - 16 September).

Selain menontonnya di laman sesawang disediakan, filem pendek diminati juga boleh dipindah turun menerusi MP4. Apapun, antara ahli politik terbabit dalam projek ini ialah Khairy Jamaluddin, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Datuk Zaid Ibrahim dan Tian Chua.

Memandangkan ada pembabitan ahli politik, projek 15Malaysia juga diperjelaskan bukan pernyataan politik mana parti politik di negara ini dan bukan juga video promosi mana-mana kementerian. Ia sekadar menyuarakan hasrat hati.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif P1, Michael Lai berkata pihaknya berminat menaja projek 15Malaysia kerana melihat negara ini memiliki ramai pengarah bebas berbakat yang perlukan platform betul untuk ketengahkan idea masing-masing.

"Sebaik Pete menunjukkan kertas kerja projek ini, saya tertarik untuk merealisasikannya kerana berpendapat bakat yang ada itu wajar ditonjolkan. Justeru, selaku penaja, P1 mengeluarkan dana untuk menerbitkan setiap filem pendek sudah dipilih itu.

"Hasilnya cukup membanggakan dan P1 rasa berbaloi menjayakan projek ini. Diharapkan semua yang dipaparkan dapat menyampaikan mesej masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum. Ini kerana, filem pendek dihasilkan terdiri daripada pelbagai genre," katanya.

Sehubungan itu, antara barisan pelakon tanah air yang menjayakan projek istimewa ini ialah Namewee, Atilia, Ida Nerina, HarithIskander, Amber Chia, Jay Menon, Namron, Ciplak, Jason Lo, Patrick Teo, Daphne Iking, Bront Palarae dan Adibah Noor.

Legasi Tun Razak di Istana Budaya

Legasi Tun Razak di Istana Budaya

Oleh Sani Kamarudzaman
ianz@hmetro.com.my

Darah bangsawan yang diwarisi oleh mu tuan,
Tidak pernah walau setitik kau simpan dalam tempayan emas,
Di mahligai kebesaran seorang negarawan,
Tetapi darah suci itu kau relakan mengalir ke kolam kasih,
Milik marhaen payah di pedalaman jauh serta tumpah di tengah riuh kota yang teguh.
- Seharum Namamu Tuan, Sahrunizam Abdul Talib, Puisi Khas Penyair Pahang.

ALLAHYARHAM Tun Abdul Razak antara contoh terbaik seorang tokoh yang mewariskan legasi kepemimpinan terbaik, bukan saja untuk negara, malah jasa dan bakti beliau menjulang dan meletakkan hak serta martabat bangsa Melayu ke tempat yang tinggi harus sentiasa direnungkan dan diteladani.

Karisma Tun Razak sebagai pemimpin Melayu berjiwa besar, bersemangat waja, gigih berusaha, bijak dan berilmu, berpandangan jauh, berfikiran strategik, ikhlas, setia serta bersungguh-sungguh dalam setiap tindakan khususnya dalam perjuangannya membela bangsa, agama dan negara.

Dua perkara yang tidak dapat dipisahkan malah amat sinonim dengan Tun Abdul Razak iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Felda. DEB adalah cetusan idea Tun Abdul Razak merangka agenda membela bangsa Melayu dalam usaha menstabilkan politik dan keamanan negara manakala Felda agenda membela masyarakat luar bandar.

DEB membuktikan Allahyarham Tun Abdul Razak individu yang amat memahami latar belakang masyarakat majmuk di negara ini serta seorang yang amat prihatin, mengambil berat mengenai untung nasib dan masa depan bangsa Melayu.

Allahyarham Tun Abdul Razak menzahirkan keinsafan dalam diri semua pihak, khususnya masyarakat Melayu pada waktu itu, bahawa orang Melayu pada saat kepimpinan beliau terlalu jauh ketinggalan dalam arus pembangunan negara dan DEB bukanlah bertujuan merompak hak dan keistimewaan bangsa lain, tetapi sekadar memberi keadilan kepada bangsa Melayu yang sudah lama berkongsi tanah mereka.

Allahyarham Tun Abdul Razak memperkenalkan DEB bagi membasmi kemiskinan di kalangan semua kaum dan menyusun semula aktiviti ekonomi ke arah pembahagian kekayaan negara yang lebih saksama.

Sesungguhnya terlalu banyak nilai dan jasa yang boleh dipelajari dan diteladani generasi muda hari ini menerusi legasi Tun Abdul Razak dalam membela nasib rakyat serta membangunkan negara ini.

Allahyarham Tun Abdul Razak mewariskan sebuah sistem kerajaan yang menjadi tunggak utama menentukan jatuh bangun dan maju mundurnya bangsa dan negara yang terus kekal menjadi asas kepada rakyat Malaysia hari ini.

Teater Muzikal Tun Abdul Razak (TMTAR) di Istana Budaya dipentaskan selama lima hari yang berakhir esok menjelmakan kembali legasi yang ditinggalkan Tun Razak.

TMTAR arahan Datuk Rahim Razali mula dipentaskan Ahad lalu menghidupkan kembali perjuangan Tun Abdul Razak selama enam tahun mentadbir Malaysia .

Watak Tun Abdul Razak dilakonkan dengan baik oleh pelakon terkenal, Rashidi Ishak dan Fauziah Latiff melakonkan watak sebagai isteri, beliau Tun Rahah Mohd Noah.

Skrip teater muzikal itu ditulis Mohd Izuddin Ismail, Che Kem, Rosdeen Suboh manakala A Aris Kadir, Shafrul Azim Suhaimi dan Hafiz Untong bertindak sebagai koreografer.

TMTAR turut menjadi kemuncak kepada segala pengalaman penuntut Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang sebelum ini cuma beraksi dalam pementasan kecil.

Pementasan itu memberikan cabaran hebat kepada mereka apatah lagi ia mengangkat perjalanan hidup seorang tokoh yang memberi impak besar kepada masyarakat Malaysia.

Menyentuh mengenai persembahan TMTAR secara keseluruhan, kelihatan interpretasi watak Tun Abdul Razak di tangan Rashidi agak berjaya.

Karisma Bapa Pembangunan Negara itu ditangani dengan begitu berhati-hati oleh Rashidi, namun keupayaan Fauziah menangani watak sebagai Tun Rahah memancarkan keanggunan dan ketokohan beliau sebagai Wanita Pertama Malaysia suatu ketika dulu.

Gandingan vokal Rashidi dan Fauziah juga tidak menghampakan malah keupayaan vokal Fauziah dalam teater muzikal ini amat menonjol.

Perjalanan persembahan TMTAR yang dipentaskan sebagai satu daripada pengisian sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-52 secara keseluruhan dijalin dengan begitu kemas.

Pilihan segmen persembahan muzikal TMTAR lebih memfokuskan jasa dan pengorbanan Allahyarham Tun Abdul Razak mengemudi pembangunan Negara dan turut ditonjolkan peranan Tun Rahah sebagai sayap kiri beliau sebagai penasihat tidak rasmi dan isteri yang setia,

TMTAR bermula daripada pementasan kecil yang dijayakan penuntut institusi itu di Panggung Eksperimen Aswara dari 20 Oktober hingga 23 Oktober, tahun lalu.

Bagaimanapun, idea kecil itu dikembangkan dengan kajian lebih intensif dilakukan oleh barisan panel penulis skrip untuk disesuaikan dengan skala pementasan bertaraf profesional.

Muzikal yang menyatukan gabungan idea Mohd Izzuddin Ismail, Rosdeen Suboh dan Che Kem sebagai penulis skrip mengungkap tiga persoalan utama iaitu perjuangan, perpaduan dan kekeluargaan.

Dibahagikan kepada empat segmen, persembahan selama dua jam itu akan membawa khalayak mengimbau detik awal perjuangan Allahyarham hingga detik terakhir kepimpinannya yang meninggalkan kesan besar kepada seluruh warga Malaysia.