Setem dapat lebih RM1 juta
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
PERTARUHAN pertama sutradara terkenal Kabir Bhatia mengarahkan filem komedi membuahkan hasil apabila filem Setem yang ditayangkan dua minggu lalu mencecah kutipan lebih RM1 juta.
Biarpun angka itu tidak semeriah kutipan filem lain namun bagi Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai ia sudah cukup membuatkan mereka menarik nafas lega.
“Ketika filem ini ditayangkan, ia terpaksa bersaing dengan filem Hollywood. Persaingan itu sedikit sebanyak menjejaskan jumlah kutipan. Namun, kami percaya, sambutan penonton lebih rancak memandangkan Setem adalah satu-satunya filem yang ditayangkan ketika ini. Sepanjang Ogos ini saya rasa tidak ada filem tempatan ditayangkan, begitu juga pada bulan puasa nanti.
“Mungkin selepas itu barulah kutipan filem ini meningkat. Seperti biasa, kami tidak mensasarkan berapa banyak kutipan kerana kami tak mahu apa yang diharapkan tidak kesampaian. Apa yang penting peminat datang memberi sokongan dan mereka itu nanti mampu memartabatkan filem tempatan,” jelas Gayatri sambil memberitahu Lembah Klang adalah lokasi yang mempunyai jumlah penonton tertinggi yang menonton filem Setem.
Mengulas hasil kerja Kabir yang sebelum ini memang terkenal dengan genre drama seperti Cinta dan Sepi, Gayatri berkata walaupun Setem filem komedi pertama arahannya, namun hasilnya sama seperti filem lain yang pernah dihasilkannya.
“Kabir punya komedi selamba, tidak membosankan dan saya percaya ramai akan terhibur apabila menonton Setem. Walaupun ada orang kata gaya pengarahan Kabir lebih kepada urban tetapi pada masa yang sama ia juga sesuai untuk pasaran komersial semasa,” katanya.
Sebagai penerbit filem yang pernah bekerja dengan pelbagai pengarah berbeza pendekatannya, Gayatri berkata Kabir mempunyai cara yang tersendiri menyebabkan dia begitu selesa untuk terus bekerjasama dengan pengarah itu pada masa akan datang.
“Pertama kali berjumpa, saya memang dapat rasakan Kabir ada aura tersendiri sebagai seorang pengarah. Tak dinafikan setiap pengarah masing-masing ada cara mereka, begitu juga dengan Kabir. Dia juga tidak kisah berkongsi idea dan yang penting, walaupun nampak serius tapi siapa sangka dia boleh tampil dengan hasil karya seperti Setem,” kata Gayatri lagi.
Biarpun Setem masih lagi ditayangkan namun ada ura-ura mengatakan filem ini akan disambung dan judulnya adalah Syiling. Difahamkan penggambaran filem ini akan dibuat di luar negara.
“Dia sudah memberikan jalan cerita mengenai sambungan filem Setem yang diberi judul Syiling. Kalau mengikut apa yang dibayangkan Kabir, dia mahu lokasi filem Syiling ini dilakukan di Jordan. Dia pernah berkunjung ke sana sebelum ini dan menyifatkan Jordan mempunyai panorama menarik serta bersesuaian dengan jalan cerita filem itu nanti.
Wednesday, August 19, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment