Wednesday, August 19, 2009

Dulu kayu, sekarang aktor

Dulu kayu, sekarang aktor

Iqbal Mazlan membuktikan jika minat datang dengan tekad dan disiplin yang tinggi, ia mampu membuahkan hasil.




PROGRAM realiti pencarian bakat pelakon, Pilih Kasih melabuhkan tirainya malam Ahad lalu dengan menobatkan Iqbal Mazlan, sebagai juara.

Menariknya jika dilihat daripada undian peminat, Iqbal sepatutnya berada di tangga terbawah namun, ternyata pelakon dan juga penerbit, Rosyam Nor bukan sahaja menyelamatkan pelakon muda itu, bahkan meletakkan dia di kedudukan teratas.

Rosyam Nor telah memberikan 39 peratus markah kepada Iqbal yang menjadikan keseluruhan jumlah markahnya 39.36 peratus. Tidak timbul isu ketidakadilan di sini kerana umum sudah mengetahui bahawa format pemarkahan diberikan secara seimbang antara Rosyam dan undian penonton di rumah.

Mengambil kira lakonan peserta menerusi drama, Memburu Mangsa yang telah dirakamkan sebelum itu serta persembahan kesemua 10 finalis termasuk monolog dan teater muzikal, Inspirasi Pilih Kasih, Rosyam berpendapat Iqbal paling menonjol bukan pada malam itu sahaja.

Disebabkan Iqbal menunjukkan peningkatan dari hari pertama dan mempunyai disiplin, dia menjadi pilihan utama aktor itu. "Disiplin Iqbal lebih baik. Dari hari pertama, saya sudah menegaskan bahawa disiplin amat penting. Kami bukannya hanya mahukan pelakon berbakat tetapi juga berdisiplin.

"Dia menunjukkan peningkatan pada permulaan pertandingan tetapi agak perlahan pada pertengahan pertandingan. Namun, ketika itu dia tidak berada di tangga bawah. Jika tidak, dia mungkin sudah disingkirkan. Sejak kebelakangan ini, dia menunjukkan prestasi baik," kata Rosyam ketika ditemui selepas pertandingan.


BERBEZA dengan program realiti lain, Pilih Kasih masih belum berjaya menjadi satu fenomena di kalangan peminat seni tanah air.


Bersiaran secara langsung di TV2 dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammmad, Seremban, Iqbal membawa pulang wang tunai RM10,000, kereta Naza Suria, trofi, pakej percutian ke Perth bernilai RM5,000, cenderamata Alfo Lighting bernilai RM2,000 dan biasiswa pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Selain daripada hadiah itu, Iqbal bersama empat pemenang lain, Reza Hasbi (kedua), Indera Hafiz (ketiga), Nabila Dally (keempat) dan Wanina Zaki (kelima) akan berlakon dalam drama muzikal sebanyak 26 episod arahan Erma Fatima, Inspirasi Variasi dengan menyaksikan Iqbal sebagai pelakon utama.

Kesemua 20 peserta sebelum itu juga akan terlibat dalam rakaman drama raya dan projek ketiga mereka adalah drama sebanyak 13 episod yang turut diarahkan oleh Erma Fatimah.

Bermula seperti semut

Tidak lekang dengan senyuman Iqbal yang pernah dikaitkan mempunyai wajah seiras penyanyi comel Dafi tidak menyangka dirinya akan menjadi pemenang.

"Saya tidak pernah rasa diri saya akan menang. Apa yang ada dalam kepala saya adalah untuk menghabiskan persembahan pada malam itu. Maka, apabila diumumkan sebagai pemenang, saya tidak mampu berkata apa-apa.

"Asalnya saya rasa berada dalam tangga kelima pun sudah cukup baik bagi saya. Jadi saya tidak kisah jika undian SMS saya adalah terendah. Sekurang-kurangnya kini saya telah membuka mata penonton," kata Iqbal, 20.


IQBAL (lima dari kanan) menunjukkan prestasi cemerlang sehingga dinobatkan sebagai juara Pilih Kasih.


Memiliki sedikit pengalaman dalam dunia lakonan, ramai yang tertanya-tanya sama ada latar belakang itu memberikan kelebihan Iqbal berbanding peserta lain yang tidak pernah berlakon.

"Tidak. Saya meletakkan diri saya sebagai semut semula sama seperti peserta lain. Bermula dari bawah, saya menimba banyak pengalaman dan tahu bahawa saya tidak sehebat mana pun berbanding peserta lain," ujar Iqbal.

Rosyam yang berada di sebelahnya mencelah, "Dulu lakonan dia sangat kayu. Tidak ada kelebihan dan saya tidak kenal dia langsung. Tapi tengoklah lakonan dia sekarang terutama dalam drama. Dia telah berjaya memikat penulis skrip dan pengarah sehingga mendapat watak utama."


PENYOKONG Iqbal bersungguh-sungguh membawa pelbagai bentuk sepanduk untuk meningkatkan undian pelakon itu.


Bagaimanapun Rosyam menegaskan, ini merupakan sebuah program realiti dan dia beranggapan bahawa pemenangnya tidak semestinya berjaya dan mereka yang tersingkir atau tidak menang sebenarnya masih boleh berjaya jika berusaha.

Maka, naib juaranya, Reza sedikit pun tidak berasa sedih apabila kalah kepada Iqbal.

"Memang saya berada di kedudukan teratas dalam undian peminat. Ini kerana ramai penonton sukakan saya. Tetapi ini adalah program realiti. Lagipun saya banyak belajar di sini dan pengalaman yang dikumpul sebenarnya cukup bernilai," katanya yang berasal dari Taiping, Perak.




Undian SMS sedikit

Walaupun mengikut perancangan awal, semua peserta bakal muncul dalam sebuah filem arahan Bade Azmi Rosyam bagaimanapun membuat keputusan untuk menangguhkan projek itu.


IQBAL menjulang trofi kemenangannya dalam pertandingan Pilih Kasih.


Katanya kesemua pesertanya termasuk pemenang masih kurang popular. "Saya kena mencipta populariti mereka dahulu sebelum buat filem. Mereka sekarang belum cukup popular lagi jadi tidak perlu terburu-buru.

"Jika dilihat dari segi jumlah undian, tidak banyak yang mengundi sebenarnya. Dekat surat khabar pun tidak banyak liputan mengenai mereka. Maka, tidak hairanlah jika mereka tidak dikenali lagi.

"Saya pernah membiarkan mereka membeli-belah di Mid Valley sebagai kajian sama ada orang mengenali mereka. Malangnya, tiada siapa yang menegur mereka dan ini membuktikan mereka belum cukup menarik perhatian lagi. Jadi tunggu mereka popular dahulu baru memulakan penggambaran filem Kekasih," tambah Rosyam.

Kesemua 20 peserta kini merupakan artis milik RTM dan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. tetapi mereka boleh menyertai mana-mana syarikat produksi yang mahu mengambil mereka sebagai pelakon.


IQBAL (tiga dari kiri) bersama pemenang lain (dari kiri) Wanina, Reza Hasbi, Sofian Bujang, Indera Hafiz dan Nabila Dally.


Rosyam memberitahu syarikatnya tidak akan mengikat perjalanan karier mereka tetapi hanya memberikan tunjuk ajar supaya mereka belajar berdikari.

Diserikan dengan dua pengkritik pada malam itu, iaitu juri tetap, Pensyarah Kanan Jabatan Media, Universiti Malaya, Dr. Abu Hassan dan juri jemputan, Mamat Khalid.

No comments: